Teori
Laksamana Do Re Mi. Ihsan tergelak sendirian. Di kotak kepalanya masih
terbayang-bayang wajah Abang Mat. Ahli perniagaan itu sangat kreatif. Ihsan
kagum dengan pemikiran Abang Mat. Lelaki itu bijak memanipulasikan peluang yang
ada. Dalam masa yang singkat, kata-kata semangat Abang Mat begitu mendominasi
pemikirannya. Abang Mat mudah mesra. Mungkin juga sikap orang berniaga.
Sentiasa bergaul dengan berbagai ragam manusia. Bermula dari peringkat bawah
sehingga ke peringkat atas. Atau, mungkin sikap asal Abang Mat begitu. Mungkin.
Ahli perniagaan pun ada yang tidak mesra alam.
Sebagaimana
seorang penyanyi baru, mesti ada jati diri. Begitu juga dengan seorang
usahawan. Mesti ada stail tersendiri. Itu pesanan Abang Mat tempoh hari. Banyak
ilmu baru yang Ihsan telah pelajari daripada Abang Mat. Dia ingat. Betul-betul
ingat. Pesanan Abang Mat. Ilmu. Ya! Mesti berilmu.
Kad
kecil yang diberikan oleh Abang Mat itu direnung. Lama. Dia menggeleng-geleng.
Bibirnya mengorak senyum. Inilah yang dikatakan seperti ilmu padi kian berisi
kian runduk. Bisiknya sendirian. Pandangan matanya tidak dilepaskan dari
memandang ke atas kad itu. Bibirnya ditarik lagi. Semakin lebar senyumnya.
“Ihsan...
senyum sorang-sorang ni, kenapa?” tegur Mak Lela yang baru berhenti dari
menyapu lantai. Tangannya masih menggenggam sebatang penyapu. Ihsan yang sedang
berbaring di sofa bingkas bangun. Tersengih lagi.
“Menantu
Haji Rokiman tu... rupa-rupanya bukan calang-calang orang juga ya emak?” Ihsan
meluahkan apa yang terbuku di hati, agar dapat dikongsi bersama-sama emaknya.
“Yang
mana?” Tanya Mak Lela, minta kepastian.
“Yang
bersembang dengan Ihsan masa kat masjid malam tadi tu,” jelas Ihsan. Muka
dipalingkan ke muka emaknya.
“Ooo...
yang tu. Suami Nisa...” beritahu Mak Lela. Jari telunjuk tangan kanannya
diangkat dan dijatuhkan. Ihsan mengangguk. Malam tadi baru dia tahu, Abang Mat
itu suami Kak Nisa. Sebelum ini, dia belum kenal dengan Abang Mat. Apa yang dia
tahu, suami Kak Nisa itu bekerja di Kuala Lumpur. Itu sahaja. Itu pun secara
tidak sengaja dia mendengar Kak long dan Kak ngahnya selalu bercerita. Setiap
kali mereka berkumpul.
“Abang
Mat tu, lulusan kejuruteraan dari luar negara, syarikat dia pun agak besar...”
kad nama di tangan itu diangkat-angkat.
“Tapi...
orangnya sopan, warak... tak sombong pun,” cerita Ihsan lagi, umpama seorang
juri tetap di dalam program realiti televisyen.
“Anak
menantu Haji Rokiman memang macam tu... semua baik-baik,” tokok Mak Lela,
bersetuju dengan penilaian yang diberikan oleh Ihsan.
“Segan
Ihsan pulak...” rungut Ihsan, emaknya hanya mengerling ke arah kertas tebal
kecil yang masih di tangan anaknya itu. Walaupun emaknya tidak pandai membaca
dan menulis, ada juga huruf-huruf yang dia kenal. Sebutnya pun tepat. Namun,
tiga huruf sahaja. A,B,C. Setiapkali balik sekolah, dia akan menemani Iman ke
kedai Kak Zainon. Membeli Air Batu Campur. Sekarang, emaknya sedang belajar
menyebut satu huruf lagi. Iaitu huruf “J”. Kak Zainon memperkenalkan satu lagi
produknya, iaitu A,B,J. Air Batu Jagung. Mereka ketawa mengekeh-ngekeh apabila
mendengar emaknya bercerita tentang itu.
“Kenapa
segan pulak?” Emaknya mula duduk di atas sofa bersebelahan dengan Ihsan. Penyapu
di tangan disandarkan ke tepi sofa.
“Minggu
depan, dia nak bawa Ihsan pergi daftar peniagaan,” beritahu Ihsan, muka dihadapkan
ke muka emaknya.
“Dia
ajak Ihsan berniaga?”
“Tak...
bukan ajak, tapi dia cadangkan Ihsan berniaga. Macam-macam dia bagitau pasal
niaga. Katanya... bila-bila masa dia sedia beri khidmat nasihatnya pada Ihsan,”
jelas Ihsan, cuba membetulkan tanggapan emaknya.
“Ooo...
betul juga tu. Mana tau ada rezeki kita di situ,” Mak Lela menopang dagu, nampak
seperti bersetuju.
“Tapi...
modal tu... mana kita nak cari,“ rungut Ihsan kecewa.
“Insya-Allah...
dapat duit pampasan nanti, kita buat modal. Macam mana?” cadang Mak Lela,
seolah-olah dapat dibaca apa yang bersarang di benak Ihsan.
“Tapi...
kak long... kak ngah...”
“Ihsan
jangan risau, tadi kak long dah telefon emak. Kak ngah pun sama. Emak baru aje lepas
bagitau pasal tanah kebun tu... dia amanahkan Ihsan. Dia percayakan Ihsan.
Kalau Ihsan nak buat berniaga pun dia benarkan. Dia suruh Ihsan guna duit
pampasan bahagian dia tu.” Berita yang baru disampaikan oleh Mak Lela itu bagai
hujan yang turun pada musim kemarau.
Berita
itu amat menggembirakan Ihsan. Dia sudah mendapat lampu hijau daripada emak dan
kakak-kakaknya. Dia mesti berusaha. Dia tidak mahu mengecewakan harapan
keluarganya. Dia tidak mahu kepercayaan dan amanah yang diberikan itu dianggap
sia-sia. Dia nekad. Teori Laksamana Do Re Mi, ciptaan Abang Mat itu akan
direalisasikan. Biar teori itu nanti tercatat di dalam setiap buku. Biar teori
itu diajar di mana-mana pusat pengajian. Mungkinkah? Dia tersenyum lagi.
“Tapi...
sementara tu Abang Mat suruh Ihsan kerja dengan dia dulu. Dia nak Ihsan
belajar,” beritahu Ihsan, dia merapatkan belakang ke sofa. Membetul-betulkan
letak punggung.
“Kat
Kuala Lumpur?” Mak Lela kelihatan ragu-ragu.
“Tak…
kat Jeli aje, dia suruh Ihsan belajar sikit-sikit. Lepas tu, Ihsan kena masuk
kursus.”
“Kursus
apa pulak?”
“Kursus
kontraktor… bila tamat semua syarat tu, baru Ihsan boleh mohon jadi kontraktor.
Kontraktor... kontraktor gred G1,” beritahu Ihsan dengan wajah berseri-seri.
“Kontraktor...
gi... satu tu apa?”
“G1
tu… gred paling bawah, kalau dulu dia panggil kontraktor kelas F. Kontraktor
gred ni hanya boleh ambil kontrak… kalau Ihsan tak silap... kata Abang Mat tak
boleh lebih 200 ribu ringgit.”
“Hish…
tak apalah. Tak usah nak beritau emak. Emak bukan faham pun. Patutlah Yamin tu
malas nak daftar niaga. Pening dibuatnya,”tuntas Mak Lela, memicit-micit dahi.
Mak
Lela bangkit dari sofa. Dicapai batang penyapu yang berada di sisi. Ligat tangannya
mengayun-ayun bulu penyapu ke atas lantai.
“Ni
aje yang emak tau...” ujarnya, menyapu-nyapu sehingga ke pintu.
Ihsan
hanya tersenyum
“Tapi...
200 ribu tu banyak, apa tak banyak pulak?” bantah Mak Lela kepalanya dipusing
ke arah Ihsan.
Ihsan
hanya memandang ke arah emaknya. Wanita ini sangat tabah. Cekal menghadapi
setiap ujian Allah. Ihsan merasa sangat beruntung. Beruntung kerana dilahirkan
dari perut seorang ibu seperti emaknya.