Home Novel Seram/Misteri Roh rumah sewa
Akan terbit... petikan bab
DUA jam kemudian, mereka sampai di pangkalan Lenggong. Kereta kuda kepunyaan Panglima Hitam juga ada di pangkalan ditarik Jai, salah seorang pekerja Aduka. Keadaan di pangkalan agak sibuk kerana sungai menjadi jalan utama beberapa buah kampung yang terpencil terutama di daerah Gerik. Mereka segera memunggah barangan di sampan ke kereta kuda. Kemudian mereka berempat akan terus ke Taiping untuk berdagang. Mereka sampai di hutan Melintang melalui jalan pintas yang biasa dilalui para pedagang. Jalan yang dilalui mereka sangat sunyi dan hanya kereta kuda mereka sahaja yang kelihatan. Mereka berempat duduk di pelana hadapan. 

“Keadaan sangat sunyi. Tidak pernah hutan ini sesunyi ini. Malah tiada satu kereta kuda pun yang melaluinya,” ujar Aduka.

Matanya sentiasa melihat ke kiri dan ke kanan mengawasi sekeliling. 

“Ya, terlalu sunyi. Hamba pun berasa tidak sedap hati,” balas Kamel sambil memegang hulu kerisnya.

 “Kita perlu bersedia. Lanun bukan berada di air sahaja. Malah turut berada di darat,” ujar Aduka. Di satu kawasan hutan, keluarlah segerombolan manusia dari hutan. Pemandu kereta kuda mengarahkan kudanya memperlahankan rentak kaki.

“Nampaknya betul tekaan tuan,” ujar Kamel. Aduka hanya mengangguk. “Berhenti!” laung seorang pemuda botak yang berdiri di tengah-tengah jalan. Pemandu kereta kuda memberhentikan kereta kudanya.

 “Siapakah tuan hamba?” tanya Aduka kepada pemuda berkepala botak itu. Bajunya seperti ahli pesilat. Serba hitam. Keris disangkut di pinggang. 

“Hamba penguasa di hutan ini,” ujar pemuda botak itu. “Penguasa? Jadi apakah tujuan tuan hamba menghalang perjalanan patik?”

 “Siapa yang melalui hutan ini perlu membayar cukai.” “Cukai? Bukankah cukai sudah dikutip tadi di pangkalan oleh kerani cukai? Mahu cukai apa lagi?” soal Aduka. 

“Itu untuk British! Ini untuk penguasa Melintang!” tegas pemuda botak itu. “Setahu hamba, penguasa Melintang hanyalah British yang wakilnya berpangkalan di Lenggong.”

 “Bayar sahajalah! Ini kawasan hamba! Jangan banyak bercakap pula jika sayangkan nyawa!” jerit pemuda botak itu. 
“Hamba tidak akan membayar satu sen pun!” tegas Aduka. Endai! Bersatulah denganku, seru Aduka dalam hati. Baiklah, bisik satu suara. Bisikan itu kedengaran di tepi telinga Aduka. Aduka tersenyum.

“Kenapa tuan hamba tersenyum? Hamba benar-benar maksudkan kata-kata hamba. Jika tuan hamba tidak bayar cukai, barang dagangan tuan hamba akan dirampas. Malah mungkin tuan hamba akan luka atau mati. Hamba mempunyai ramai pengikut. Baik tuan hamba bayar sahaja,” ujar pemuda botak itu tegas. 

“Tuan hamba masih mentah hendak berlawan dengan pahlawan yang menentang British. Tuan hamba menjual, hamba membeli,” celah Kamel. “Cis! Tuan hamba mengatakan hamba budak mentah! Tuan hamba yang meminta, nanti jangan menyesal!” Aduka tersenyum. Badannya terasa ringan tanda satu semangat telah meresapi tubuhnya. Aduka bangun dan melompat tinggi mendarat di tanah. Gerakannya diikuti Kamel dan Rasan. Pemuda botak itu menjadi kagum melihat gaya lompatan ketiga-tiganya. Tetapi dia menyembunyikan kegentaran apabila berhadapan dengan lawannya. Dia yakin dapat mengalahkan ketiga-tiga orang di hadapannya kerana mempunyai ramai pengikut. 

“Nampaknya tuan hamba mahu berlawan dengan patik. Tidak gentarkah tuan hamba kerana patik mempunyai ramai pengikut? Hampir 12 orang sedangkan tuan hamba hanya bertiga sahaja?” ujar pemuda botak itu, cuba menakutkan.

 “Berilah 30 orang sekalipun. Kami pejuang Kuala Kangsar tidak takut. Kenapa? Gentarkah tuan hamba?” jawab Aduka. “Aku tidak gentar! Ayuh kawan serang! Habiskan mereka!” Serentak mereka semua mengeluarkan senjata. Satu per satu menyerang Aduka dan dua orang pembantunya. Aduka dan pembantunya yang sudah bersiap siaga menentang satu per satu musuh yang datang. Nyata musuh hanya mempunyai asas silat dan kesemua tentangan mudah ditumpaskan. Aduka yang tergamam melihat pengikutnya tumbang satu per satu segera melarikan diri ke dalam hutan

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.