Home Novel Seram/Misteri Roh rumah sewa
Bab 10 ; Misteri bilik pintu berukir

Bab 10

Malam itu selepas Isyak mereka bertiga berjumpa di Gerai Pak Abu. Selepas minum dan berbual. Mereka bertiga terus balik ke rumah Rafael. Jam di dashboard kereta menunjukkan pukul 10 malam.

“Rumah cikgu ni bila tidak dipasang lampu semakin gelap pula saya tengok,” kata Osman di tempat duduk belakang. Benar, rumah Rafael yang hanya dipasangkan lampu di tangga menampakkan kesuraman. Kereta kini sudah diparkir di hadapan rumah Rafael, mereka bertiga keluar daripada kereta. Rafael naik tangga rumahnya dan membukakan pintu utama. Berkeriuk bunyi pintu apabila Rafael menguak pintu rumahnya. Rafael menoleh ke belakang ;

“Apa yang tercegat lagi? Marilah masuk,” ajak Rafael yang melihat Mail dan Osman masih lagi tercegat di laman rumah. Rafael masuk dan membukakan lampu di ruang tamu. Mail dan Osman menaiki tangga dan masuk ke dalam rumah. Rafael menutup pintu semula selepas mereka berdua masuk ke dalam rumah.

“Jom kita ke rumah bawah,” ajak Rafael dan terus berlalu ke rumah bawah. Mail dan Osman berjalan beririangan mengikuti Rafael dari belakang. Apabila sampai di bilik di mana pintunya diukir cantik.

“Bilik inikan Mail dan Osman?” Rafael memandang Mail dan Osman. Terdapat riak cuak di wajah Mail. Manakala Osman mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu ;

“Allhumabariklana,” bacaan yang didengari oleh Rafael.

“Kamu baca doa apa tu Osman? Bunyi macam doa makan jer?” tegur Rafael.

“Allah… bila dalam keadaan berdebar-debar, ayat saya bacapun tunggang terbalik,” Osman beristifar.

“Cikgu, tak payahla kita buka pintu ni. Saya dah rasa lain macam ni. Seram sejuk lutut saya.”

“Insya Allah takde apa. Mari kita baca ayat-ayat rukyah bersama-sama.” Rafael mula membaca ayat-ayat rukyah diikuti oleh Osman dan Mail. Selepas habis membaca… Rafael berdoa agar dijauhkan dari bala bencana dan mendapat pelindungan daripada Allah. Selepas membaca doa, Rafael mengambil segugus anak kunci rumah daripada poketnya.

“Kamu berdua sudah bersedia? Ingat… Allah bersama dengan kita. Kita berlindung dari syaitan yang direjam,” Rafael mencuba semua kunci yang ada. Akhirnya pada kunci yang keempat bunyi klik pada ibu kunci menandakan bahawa ibu kunci sudah terbuka. Rafael segera membuka pintu itu dengan lafaz assalaimualaikum.

“Waalaikumussalam.” Jawab Mail. Osman memandangnya dengan pandangan menyinga.

“Kenapa pula engkau yang jawab?”

“Mak aku kata, orang bagi salam kita kena jawab. Salah ker?” jawab Mail selamba.

“ Sudahlah tu,” Rafael mencium bau hapak dari dalam bilik itu. Rafael membuka pintu seluas-luasnya. Hatinya tidak henti-henti berzikir. Memohon perlindungan dari Allah. Pintu bilik dibuka.. nyata lampu biliknya masih lagi boleh berfungsi. Mentol kuningnya masih menyala walaupun malap. Rafael masuk ke dalam bilik. Kelihatan senjata lama seperti keris dan tombak bergantung di dinding bilik. Rafael mendekatkan diri ke dinding dimana senjata lama dilekatkan di dinding. Osman mengikuti langkah Rafael dan turut mengamati senjata yang ada.

“Keris milik moyang saya panglima Badar dan Dato Maharaja. Saya tahu sebab ayah saya pernah tunjukkan gambar keris itu,” Osman menunjukkan dua keris yang dimaksudkan. Keris Dato Maharaja agak panjang berbanding keris Panglima Badar. Hulunya diperbuat daripada emas. Keris Panglima Badar pula bersepuh mutiara di hulunya. Kedua-kedua keris yang sarungnya diperbuat daripada kayu nampak usang. Rafael menyentuh keris Dato Maharaja. Seperti keris yang pernah aku lihat dahulu dalam mimpi. Osman pula menyentuh keris moyangnya.

“Patutlah bila saya tanya keris peninggalan moyang saya. Ayah diam seribu bahasa. Rupanya di sini ianya disimpan. Tapi kenapa?” persoalan yang bermain di fikirannya.

“Tentu ada cerita kenapa keris ini disimpan di sini.” Rafael melihat keris yang ada. Ada 6 kesemuanya. Selain keris ada juga 4 lembing yang digantung.

“Hak milik Istana Kuala Kangsar.” Mail menyebut tulisan jawi yang tertera di pemegang kayu lembing.

“Boleh kamu baca jawi lama Mail?” tanya Rafael. Mail hanya tersengih.

“Arwah atuk saya mengajar saya mengaji dan membaca jawi tulisan lama cikgu.”

“ Senjata yang lama ini mungkin pemiliknya berkaitan antara satu sama lain. Pejuang yang membunuh Birch dan melarikan diri dengan keluarga ke sini untuk berkampung. Walaupun sudah berkampung di sini, tetapi mereka masih tidak berasa selamat dan membuat kubu di sekeliling kampung. Rumah ini dibuat menara agar mudah melihat pemandangan sekeliling kampung. Malah sebagai sebahagian daripada tempat bertahan jika diserang tentera British,” Rafael membuat telahan.

“Dan apa yang Mail dan saya jumpa itu adalah makhluk yang diseru untuk menjaga kampung ini,” telah Osman.

“Betul tekaan tuan dan cucu cicit moyang Badar.” Rafael dan Osman menoleh ke arah suara yang garau tadi. Rafael terperanjat apabila Mail duduk bersimpuh di atas lantai bilik. Matanya tertutup tetapi nampak pelipisnya bergerak. Rafael memandang Osman.

“Kamu siapa yang masuk ke dalam tubuh kawanku ini?” tanya Osman. Nampak gerak gaya seperti Osman bersedia.

“Namaku Panglima Endai… aku telah diseru pada tahun 1875. Datang untuk menentang benggali putih. Aku bertuankan Panglima Badar. Tuan aku yang baru ini adalah keturunan diraja Sultan Amirul Rashid yang digantung. Sultan yang sangat aku junjung dan kasihi,” Rafael terperanjat dengan pengakuan Mail yang kini telah dirasuk oleh Endai.

“Saya keturunan Sultan Amirul Rashid? Kalau saya berketurunan raja, tentu ada gelaran tengku atau raja pada permulaan nama saya. Kamu cuba menyesatkan saya. Kamu pembohong!” tingkah Rafael.

“Apabila British mula mencari siapa dalang pembunuh Birch. Tuanku telah memerintahkan anak keduanya Raja Muazam lari ke Pattani. Sampai di Pattani, Raja Muazam menyamar sebagai saudagar dan membuang ke semua gelaran bagi anak-anak dan cucu-cucunya. Raja Muazam menjadi rakyat biasa dan berdagang. Apabila keadaan reda, baru Raja Muazam membuat rumah di Kuala Selangor di atas perlindungan Raja Sabtu anak kepada sultan Selangor. Jadi cucu cicit dan piungnya iaitu kamu kekal tanpa ada nama Raja atau Tengku di awalan nama. Tapi darah yang mengalir di tubuhmu adalah darah raja. Keturunan kamu adalah Sultan Amirul Rashid.”

“Tapi ayah saya tidak pernah bercerita tentang hal ini.”

“Tentulah. Sebab moyang kamu Raja Muazam berwasiat agar susur galurnya tidak diketahui oleh sesiapa. Ini adalah untuk keselamatan keluarga diraja,” terang Endai lagi.

“Buragas?” tanya Rafael.

“Buragas ada di sebelahku. Dia sudah terlalu tua untuk merasuk, Buragas warisan dari nenek moyang Batin Sempah. Umurnya sudah beratus tahun dan hanya menunggu masanya. Sebelum itu, Buragas perlu jalankan tugasnya. Barang kebesaran Tuanku Sultan Amirul Rashid perlu dipulangkan kepada tuannya. Tuan, di dalam almari kayu itu ada peti. Di situ ada keris dan barang kepunyaan Tuanku Sultan yang diamanahkan kepada keturunan Panglima Badar untuk menjaganya. Tuan silalah ke almari itu untuk melihatnya.” Tangan Mail menunjukkan ke satu arah dan Rafael melihat ke arah yang ditunjukkan. Satu almari usang, Rafael memandang Osman. Osman mengelengkan kepala tanda tidak bersetuju.

“Saya tengok dahulu. Jika berbahaya, barulah kita tamatkan semuanya. Kita berlindung dengan nama Allah,” sifat ingin tahu Rafael mengatasi segala-galanya. Rafael bergerak ke almari itu… dia membuka almari yang tidak berkunci. Benar, terdapat kotak besi di bawah almari. Rafael mengangkatnya keluar kotak besi itu yang tidak seberat mana dan meletakkan di atas lantai. Rantai besi itu ada kuncinya.

“Adakah kuncinya ada di sini?” Rafael mengambil segugus kunci dari dalam poket dan diangkat bagi memperlihatkan kepada Mail.

“Tidak. Tuan hanya perlu letakkan tangan kanan di atas pemuka peti. Jika tuan seorang yang benar pewaris Sultan Amirul Rashid, kotak itu akan terbuka sendiri,” terang Mail. Rafael meletakkan tangan di atas peti besi tersebut. Secara automatik peti itu terbuka sendiri. Osman yang berminat untuk mengetahui apakah isi peti tersebut duduk bersebelahan Rafael. Rafael membaca bismillah sebelum membuka lebih luas dan melihat isi di dalamnya. Ada bungkusan warna kuning dan Rafael mengambilnya. Apabila kain kuning itu diselak terserlah keris sundang panjang bersalut emas di hulunya.

“Itulah keris sundang milik Sultan Amirul Rashid. Keris ditempuh di Sriwajaya. Keris warisan kesultanan Perak. Nama kerisnya dendam tak sudah. Keris yang banyak memakan nyawa. Diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Keris ketiga selepas Taming Sari dan juga Keris Buana warisan kerajaan kesultanan Melaka. Usah risau, keris itu sudah ditawarkan oleh Syeikh Maulana. Kesaktiannya telah hilang. Pemakainya tidak lagi kebal,” jelas Mail yang telah dirasuk oleh Endai.. Rafael mencabut keris itu dari sarungnya. Nampak berkarat besinya kerana mungkin sudah lama tidak diperasapkan atau dijalankan upacara basuh keris. Rafael meletakkan di lantai keris sundang tersebut. Dikeluarkan tengkolak lusuh daripada dalam peti.

“Tengkolak rasmi diraja. Buatan Terengganu. Dipakai pada hari terakhir dimana baginda Sultan ditangkap British,” kata Mail yang masih duduk bersila. Rafael mengeluarkan satu lagi bungkusan dam membukanya. Pakaian rasmi baginda Sultan berwarna kuning keemasan. Turut ada di dalam kotak besi itu mahkota milik permaisuri diperbuat daripada belian dan emas padu. Malah barang kemas milik permaisuri juga ada. Ada juga 10 uncang wang emas yang bertanda Negeri Perak. Tentu nilainya beratus ribu,

“Kesemuanya adalah peninggalan Sultan Amirul Rashid kepada pewarisnya. Dan tuan berhak ke atas semua barangan tersebut. Buragas puas hati kerana dapat memberikan kesemuanya kepada tuan.”

“Saya harap kamu berdua jangan menganggap aku tuan kamu. Aku bebaskan kamu dan jangan mendampingi aku dan menganggu penduduk kampung,” perintah Rafael. Dia tidak mahu jin sebagai khadamnya walau apa juga alasan.

“Boleh. Tapi tuan kena jalankan upacara putus khadam. Tuan kena sediakan alat-alatnya,” 

“Apakah alatnya?”

“Ayam kampung hidup perlu disembelih dan diberikan kepada kami. Pulut kuning dan bertih. Upacara dilakukan pada bulan mengambang penuh di tepi Sungai Perak. Kami akan kembali kepada asal kami,” Mail menjelaskan syaratnya.

“Itu syirik namanya!” bentak Rafael… suaranya agak meninggi.

“Tidak kisahlah syirik atau apa. Selagi tuan tidak melakukannya… kami akan mendampingi tuan,” ada nada tegas dalam suara Mail.

“Kurang ajar!” Rafael membaca ayat kursi dengan kuat dituruti oleh Osman. Tiba-tiba sahaja Mail menggigil. Setelah habis ayat Kursi dibaca… Mail pengsan. Osman memangku kepala rakannya itu manakala Rafael bergegas ke dapur mengambil air kosong. Dia membacakan selawat dan menyapu ke muka Mail. Mail sedar,

“Apa yang berlaku tadi?” Osman dan Rafael mengucapkan Alhamdulillah serentak.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.