Home Novel Seram/Misteri LENGLOI
LENGLOI
Maria Kajiwa
28/9/2013 06:31:31
109,951
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 14
Bab 14

PUKUL 7.30 malam. Hujan mencurah-curah turun di luar. Di luar wad lelaki pula, Lim resah gelisah. Sebaik sahaja dia tiba di situ tadi, Gark terus diserang sawan semula. Disebabkan terlalu tiba-tiba, Gark terjatuh dari katil ke lantai. Keadaan menjadi kelam kabut kerana pelawat masih ramai pada waktu itu. Mujurlah dapat dirawat oleh jururawat dan doktor dengan cepat.

“Tadi… semasa lu belum datang dia elok saja.” Janet bersuara sambil duduk di sebelah Lim dengan muka risau.

“Sebelum ni Gark tak pernah kena macam tu,” balas Lim.

“Semalam doktor kata suhu badan Gark tinggi sangat. Tapi tadi, dia tak demam pun. Demam dia sudah baik. Tapi bila dia nampak saja muka lu dia terus jadi macam tu. Semasa Jacky datang, dia elok saja.”

Lim mengeluh perlahan. Terasa seperti diri dia dipersalahkan tetapi dia cuba tidak ambil hati dengan mulut Janet. Mungkin Janet cakap begitu kerana susah hati pasal Gark.

“Jacky ada datang sini tadi?” Dia pula bertanya. Dia hairan kerana kebelakangan ini abangnya nampak sangat baik dengan Beng dan Jacky. Makan minum pun selalu di kedai Beng.

“Datang sekejap,” balas Janet.

“Beng?”

“Jacky kata Beng pun tak sihat.”

Beng pun sakit? Lim terdiam seketika. “Lu baliklah dulu. Saya boleh jaga Gark.”

“Betul ni?” Janet pandang mula Lim.

“Kesian Ben. Entah-entah sedang nangis.” Lim angguk sekali lalu. Kalau bukan dia yang jaga Gark, siapa lagi? Mereka cuma dua beradik. Apatah lagi Janet perlu menjaga Ben yang dititipkan di rumah pengasuh.

“Dia sudah makan,” kata Janet sebelum mengambil beg plastik yang berisi pakaian kotor Gark. “Tapi kalau ada apa-apa, telefon cepat.”

“Tahu,” balas Lim. Dia faham perasaan Janet yang seolah-olah sedang terbelah dua. Risaukan Gark dan risaukan Ben dalam masa yang sama. “Tak ada apa-apa tu. Sekejap lagi dia okey la.”

Dengan wajah muram Janet beredar pergi. Tinggal Lim di luar wad; menanti tirai yang menutupi katil Gark dibuka semula dan doktor selesai merawat Gark. Dalam hati dia juga berharap semoga Gark pulih dengan cepat. Sedang leka termenung memikirkan keadaan Gark, kerusi yang didudukinya bergoyang bagaikan ada orang yang baru duduk di sebelahnya.

Dia menoleh ke sisi tetapi tidak ada sesiapa. Bulu romanya terus menggermang. Dia terus bangkit dan berlari masuk ke dalam wad.

*****

SECAWAN Milo suam sudah siap dibancuh. Muthu angkat muk lalu membawanya ke ruang tamu. Di situ Pooja duduk seorang diri. Asyik menonton sebuah filem Hindustan sejak sejam yang lalu. Bagi Muthu, inilah waktu terbaik untuk memujuk Pooja.

“Milo?” Dia suakan muk itu ke arah Pooja.

Sayangnya, Pooja menggeleng. Sedikit pun dia tidak menoleh ke arah Muthu.

“Minumlah. Aku buat untuk awak.Special. Banyak Milo.” Muthu suakan sekali lagi muk itu kepada Pooja.

Mujurlah kali ini Pooja tidak menolak walaupun muncungnya masih boleh dibuat tali kail.

“Kenapa tak pakai saree yang aku beli tu? Tak cantik ke?” Muthu duduk di sebelah Pooja. Dirapatkan tubuhnya.

Pooja hanya mendiamkan diri bagai sedang tenggelam dalam irama Bollywood yang sedang mendayu-dayu di kaca televisyen. Filem Mohabbatein.

“Pakailah, aku nak tengok.”

Diusap bahu Pooja dengan lembut. Sejujurnya cintanya kepada Pooja tidak pernah luntur cuma beberapa hari ini semua yang berlaku mudah membuatkan dia marah. Yang jadi mangsanya ialah Pooja. Kasihan isterinya yang setia itu. Dia sedar, selama ini dalam susah mahupun dalam senang Pooja sentiasa ada di sisi membantu tanpa banyak soal.

Kali ini Pooja menarik nafas panjang kemudian melepaskan dengan laju. Muk yang dipegang tadi, kini diletakkan di atas meja kopi. Langsung tidak disentuh.

Melihatkan kelakuan Pooja, Muthu tahu usahanya tidak berkesan. “Okey, aku minta maaf sebab tengking awak tadi.”

Pooja masih tidak memberikan apa-apa reaksi.

Muthu garu kepala. Akhirnya dia paut bahu Pooja dengan tangan kanan. Tangan kirinya menarik dagu Pooja sehingga menghadap mukanya. Kini mereka saling berpandangan.

“Pagi tadi pun awak marah-marah juga.” Semena-mena Pooja bersuara.

Kali ini Muthu tidak ada pilihan. Dia mengeyakan sahaja. Dia baru teringatkan hal pagi tadi. Betul kata Pooja, memang dia marahkan Pooja sejak balik dari kedai malam tadi. Sejak dia terserempak dengan ‘benda’ hodoh dalam bilik air restoran mereka; dia rasa hendak marah sahaja.

“Boleh maafkan aku?” Itu sahaja yang dia harapkan sekarang.

Kemuraman wajah Pooja menambahkan sesak di dadanya. Belum lagi sikap Devi yang asyik termenung sana-sini sejak dia balik tadi. Dia mula merasakan ada perubahan dalam keluarganya. Ketenangan, kegembiraan dan kemesraan yang dahulunya ada mula hilang satu persatu.

Pertanyaan Muthu membuatkan Pooja tertunduk.

Muthu angkat semula dagu Pooja walau sedikit payah. Wajah itu direnungnya lama-lama.

“Sorry?” katanya lagi.

Akhirnya Pooja angguk. Dia labuhkan wajahnya ke dada Muthu. Malam itu mereka berdua menonton filem Hindustan bersama sehingga tamat.

Dalam hati, Muthu berasa lega. Namun, fikirannya tetap melayang ke kedai. Entah apalah yang akan jadi hari esok, fikirnya.

*****

PADA waktu itu, sudah hampir ke tengah malam. Udara sangat dingin kerana hujan baru sahaja berhenti. Angin juga masih bertiup kuat sehinggakan tanglung-tanglung kecil yang tergantung di beranda tingkat dua rumah itu berpusing ligat. Aunty May menarik baju sejuk yang dipakai ketat-ketat. Sedang leka memerhati langit yang tidak berbintang, Aunty May tertoleh ke arah kedai Muthu. Apa dilihat membuatkan dia membetulkan letak cermin mata.

Ada seorang perempuan sedang berdiri di hadapan kedai Muthu. Lantaran lampu kalimantang di kaki lima kedai Muthu tidak dipasang pada malam itu, cahaya di situ agak suram. Yang dia nampak hanyalah sesusuk tubuh seorang perempuan berpakaian lengkap sedang berdiri memandang ke arah rumahnya.

Entah kenapa cara perempuan itu memandang membuatkan dia berasa seram sejuk. Makin lama makin dia berasa tidak betah. Perlahan-lahan dia berundur ke belakang lalu menutup pintu gelonsor. Sewaktu dia menarik langsir, dilihatnya perempuan itu tetap di situ; masih memandang ke arahnya. Menggermang bulu tengkuknya.

*****

DI HOSPITAL, Lim hampir panik. Baru sahaja hendak melelapkan mata, Gark sudah terjerit-jerit dengan tangan terkapai-kapai. Suasana jadi riuh rendah. Dengan suara Gark dan suara jururawat yang bertingkah-tingkah sehinggakan Gark diberikan ubat penenang oleh doktor yang bertugas malam itu. Hampir sejam kemudian barulah Gark tertidur semula namun rasa mengantuk Lim sudah hilang.

Dia ambil keputusan untuk turun ke tingkat bawah untuk minum kopi. Semua yang berlaku buat hatinya runsing. Pada waktu itu tidak ada sesiapa di hadapan pintu lif. Dia seorang. Sebaik sahaja masuk, dia menekan butang untuk menutup pintu tetapi pintu hanya tertutup sedikit. Tidak tertutup sepenuhnya bagai ditahan seseorang dari luar.

Dia menjenguk lalu ternampak seorang perempuan berdiri berdekatan butang lif sambil membelakangkan dia. Dia undur ke belakang menanti gadis itu masuk. Tetapi setelah menunggu beberapa minit, tiada siapa yang masuk. Dia menjenguk semula. Tetapi kali ini tidak ada sesiapa pula di situ.

Dia hairan tetapi dia tetap meneruskan niatnya untuk turun ke bawah. Sebaik sahaja pintu lif tertutup dia terbau bau hangit yang meloyakan. Seolah-olah di dalam lif itu ada daging busuk yang terbakar. Apabila dia toleh ke sisi, hampir tercekik rasa lehernya. Seorang perempuan bermuka hitam terbakar berdiri di situ.

Dia terkejut besar. Cepat-cepat dia menekan pintu lif. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, dia terus berlari keluar tanpa memandang ke belakang lagi. Malam itu dia tidak tidur sampai pagi. Wajah ngeri itu sentiasa terbayang-bayang di ruang mata..


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.