Home Novel Seram/Misteri LENGLOI
LENGLOI
Maria Kajiwa
28/9/2013 06:31:31
109,734
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 12
Bab 12

TENGAH HARI itu, Lim mencuri sedikit masa untuk pergi ke kedai Muthu. Selain ingin mengisi perut, Lim juga ada tujuan yang lain. Dia juga berharap pada hari itu kedai Muthu sudah bebas daripada masalah sayangnya apabila dia tiba, kedai itu terasa amat sunyi dan lengang. Langkah kakinya jadi lemah. Setibanya dia meja yang selalu dia duduk, dia tarik kerusi dengan bersahaja.

“Tak kerja ke?” tegur Muthu yang baru keluar dari dapur.

Lim hempas nafas. Memang dia ambil cuti hari itu. Malam tadi dia tidak tidur sangat kerana menjaga Gark di hospital. Badan pun mula rasa sakit-sakit kerana duduk di kerusi sepanjang malam.

“Cuti. Abang saya masuk hospital semalam. Malam tadi jaga dia di wad.” Lim menjawab perlahan.

“Gark sakit? Sakit apa?”

“Demam panas. Sampai sawan. Tapi pagi tadi dia sudah okey sikit.”

“Sekarang siapa jaga?”

“Janet.”

Muthu angguk.

“Nasi ada?” Lim pandang ke arah kaunter lauk. Perut sudah berbunyi.

“Mi goreng ada. Mau?” Muthu membalas.

Lama Lim memandang muka Muthu. Riak muram di wajah itu, memberitahu dia sesuatu. Masalah tidak selesai lagi ke? Dia hanya bertanya dalam hati walau jawapannya seperti sudah terbentang di hadapan mata.

“Basi lagi?”

Muthu hanya mengeluh

“Mi goreng pun bolehlah. Teh satu,” balas Lim. Dia tahu semua itu bukanlah kehendak Muthu. Daripada air muka Muthu pun dia tahu orang tua itu sedang berdepan dengan masalah yang rumit. Dia simpati.

“Ada dengar cerita apa-apa tak?” Selepas menghantar pesanan ke dapur, Muthu tarik kerusi lalu duduk di sisi Lim.

Lim tidak terus menjawab. Dia teragak-agak. Hendak cakap ke tidak? Dadanya mula berdebar-debar tidak tentu pasal. Dia bimbang kalau-kalau ceritanya akan menyinggung perasaan Muthu.

“Cerita pasal apa?”

“Pasal kedai inilah,” balas Muthu dengan nada yang tegas.

“Tak ada.” Lim menggeleng tanpa memandang ke arah Muthu. Dia takut Muthu tahu dia berbohong.

“Betul?”

“Betul,” kata Lim sambil memaksa diri untuk tersenyum. “Siapa yang cerita? Cerita pasal apa?”

“Ah! Tahu sajalah Beng tu.”

“Dia ada datang sini ke?”

“Tapi dia ada tanya pasal kedai ni. Mesti ada yang bawa mulut.”

“Entahlah, saya tak dengar apa-apa pulak.”

Sebenarnya Lim teringatkan cerita Pak Cik Kasim dan Gark semalam. Kalau Gark yang tidak bekerja di kawasan itu pun tahu, orang lain apatah lagi. Bagaimanapun, dia simpan segalanya dalam hati. Dia tidak sampai hati untuk memberitahu Muthu.

“Biarkanlah apa orang nak cakap. Buat apa pun dalam dunia ni, orang akan cakap. Tak buat apa-apa pun orang akan cakap. Buat baik, orang cakap. Buat buruk lagi banyak orang cakap. Orang sekarang terlalu banyak masa untuk bercakap,” katanya lagi buat menyedapkan hati Muthu dan hatinya sendiri.

“Kalau cakap yang elok-elok tak apalah. Ni entah apa-apa.” Muthu terus merungut. “Hal kecil tapi orang cerita jadi makin besar. Makin besar.”

“Nanti orang lupalah pasal tu semua.” Lim cuba memujuk lagi. Kemudian dia menyeluk poket seluarnya. Dikeluarkan sekeping kertas bersaiz A4 yang berlipat empat.

“Macam ni boleh tak, uncle?” Diletakkan di atas meja.

Kini Muthu mengalihkan perhatian kepada kertas yang ditunjuk oleh Lim. Perlahan-lahan dia mengangguk. Di atas kertas A4 itu terpapar wajah Suzy dalam warna hitam putih. Ada juga tercatat sebaris nombor telefon bimbit yang dia percay nombor milik Lim.

“Takkan sehelai saja? Buatlah tiga empat keping,” kata Muthu. Kertas itu dipegang. Lama matanya merenung seraut wajah Suzy yang manis.

“Okey. Ini contoh saja,” balas Lim. Dia hanya mahu tunjuk pada Muthu. Mungkin Muthu mahu kompelin apa-apa atau suruh dia tambah apa-apa.

“Okey la tu. Buat banyak lagi.” Muthu angguk.

“Nanti uncle tampal sini ha?”

Kini Lim merenung muka Muthu dengan penuh harapan. Selama ini pun Muthu yang kerap kali bertanya mengenai Suzy dan mengambil berat pasal dirinya. Lebih kerap berbanding Gark atau seisi keluarganya yang lain. Hanya dengan Muthu dia rasa dapat berkongsi kesedihan yang tidak dapat diluahkan kepada orang lain.

Tanpa suara Muthu mengangguk. Disambutnya pinggan yang mengandungi mi goreng yang baru dimasak Pooja yang sudah balik ke kedai. Diletakkan di hadapan Lim.

Lim menghela nafas. Aroma mi goreng yang masih panas itu menggoda perutnya yang lapar. Dia terus mencapai sudu dan garpu. Baru terkais-kais, dia terpandang sesuatu. Sudu garpunya terlepas. Dia kelam kabut bangkit meninggalkan kerusi.

“Kenapa?” Muthu ikut berdiri. Sikap Lim buat dia ikut cemas.

Lim tunjukkan sahaja mi dalam pinggannya. Muthu lantas memandang. Pucat mukanya.

“Aiyo,” kata Muthu terus menjauhi meja.

Lim pula terkaku. Di celah-celah mi yang berwarna coklat kehitaman itu, ada beberapa ekor cacing yang menyeronot dan menjalar. Serta-merta tengkuknya terasa kembang. Puas diurut dada supaya tidak muntah tetapi dia berlari juga ke bilik air.

*****

MUKA Muthu pucat lesi. Dia menunggu Lim keluar dari bilik air. Sebaik sahaja Lim keluar dia terus menerpa.

“Sorry, ha Lim. Sorry….”

Itu sahaja kata-kata yang dapat diluahkan. Sejujurnya dia sudah tidak tahu bagaimana lagi mahu meminta maaf pada Lim. Itu kali ketiga Lim ditimpa perkara buruk di situ. Dia memang tidak tahu bagaimana cacing-cacing itu boleh berada ada di atas pinggan Lim. Dia sendiri geli-geleman melihatnya.

“Uncle tak tau macam mana…”

“Tak apa, uncle. Tak apa.” Lim tepuk bahu Muthu dengan lembut.

Muthu hanya mengeluh berat. Dadanya terasa hendak meletup dengan semua yang berlaku di situ. Itu pun mujur Lim yang kena, kalau orang lain?

“Uncle,” tegur Lim. Apabila Muthu memandang ke arahnya, Lim menyambung. “Tak boleh biarkan macam ni. Nanti lagi teruk.”

Muthu diam sahaja. Sehingga Lim meninggalkan kedai, dia masih kehilangan kata-kata.

*****

“AKU tak salah.” Takut-takut Pooja bersuara. Apa yang menimpa Lim tadi, benar-benar membuatkan dia takut. Bukan dia yang meletakkan cacing di dalam mi. Dia sendiri geli pada cacing. Lagipun di mana hendak cari cacing tanah segemuk itu di kawasan perniagaan itu?

Sayangnya Muthu tetap menarik muka masam.

“Awak pun tahu, aku takut pada cacing,” tambah Pooja. Kecil hatinya apabila Muthu tidak menyebelahinya. Takkan Muthu syak dia yang bukan-bukan?

“Nasi sudah jadi bubur,” kata Muthu sambil bangkit meninggalkan kerusi dan bergerak ke arah kaunter.

Pooja lantas mengikut. Makin panas hatinya melihat sikap Muthu yang acuh tidak acuh terhadap kata-katanya.

“Awak tak percaya?” Dia renung muka Muthu.

Muthu hanya tunduk memeriksa laci.

“Aku tak buat apa-apa. Aku masak. Aku hantar.” Pooja tidak dapat menahan perasaannya lagi. Air matanya sudah membasahi pipi. Dia kecewa kerana Muthu sangsi kepada dia. Bagi dia dalam situasi itu dia dan Muthu seharusnya duduk berbincang mencari penyelesaian. Bukan saling berbalah dan menyalahkan.

“Awak…” Pooja bersuara lagi.

“Aiyo…. diamlah!” tengking Muthu sambil menjengilkan mata ke arah Pooja. Dicapainya kunci kereta lalu terus beredar.

Tinggal Pooja terkebil-kebil. Air matanya menitik.

****

“HAI, Lim… termenung saja hari ni?” tegur Pak Cik Kasim sambil meletakkan segelas air tebu.

Apa yang dia perhatikan air belum sampai tetapi sepiring keropok lekor yang dihantar sebelumnya sudah dihabiskan Lim. Perlahan-lahan dia labuhkan punggung di atas kerusi plastik. Hari itu sangat panas. Di bawah khemah pun terasa berbahang tetapi sikap Lim yang tidak seperti selalu lebih buat dia keresahan.

Lim sambut air tebu yang diletakkan Pak Cik Kasim. Disedut perlahan. Tekak terasa dingin. Kini perut beralas sedikit dengan keropok lekor. Walau tidak begitu kenyang, tetapi tidaklah begitu lapar seperti tadi.

“Dua tiga hari ni badan rasa tak sedap la.” Dia toleh sekilas ke arah Pak Cik Kasim.

“Tak sihat ke? Pergilah klinik. Cuaca panas macam ni, memang mudah saja demam. Awak tak cukup minum air kosong agaknya.”

“Bukan demam…” Lim tunduk semula. Hati terus berperang sama ada mahu memberitahu Pak Cik Kasim ataupun tidak.

“Habis tu?” Pak Cik Kasim renung muka Lim. Muka Lim seperti orang yang bermasalah. Apa pula penyakit Lim?

“Entahlah, pak cik. Nak cakap pun susah.”

“Cakaplah yang senang.” Pak Cik Kasim tersenyum. Risau juga dia kalau Lim sebenarnya sakit teruk.

“Dua tiga hari ni badan rasa seram sejuk saja. Tapi berpeluh.”

Pak Cik Kasim angguk. Dia masih tidak begitu faham. Dia bukan doktor yang memahami simptom-simptom penyakit tetapi dia layan juga cerita Lim. Adakalanya bukan jawapan yang diperlukan oleh seorang kawan tetapi sepasang telinga yang sudi mendengar dengan sabar.

“Tapi… itu pun bukan masalahnya,” tambah Lim sambil tersenyum pahit.

“Habis tu?”

Lim garu kepala.

“Cakaplah. Dengan pak cik tak payah malu-malu.”

“Bukan malu,” balas Lim kemudian termenung semula.

“Habis tu cakaplah.” Pak Cik Kasim tepuk bahu Lim. Hatinya sudah geram.

Mata Lim terkebil-kebil. Dalam kepala dia cuba mengarang ayat yang sesuai untuk menceritakan masalahnya kepada Pak Cik Kasim. Dia tahu Pak Cik Kasim orang Melayu, orang Islam. Mungkin Pak Cik Kasim tidak percaya kepada cerita dia tetapi dia tidak ada tempat lain untuk dibawa berbincang. Kalau diceritakan kepada Gark, tentu dia diketawakan.

“Pak cik percaya pada hantu tak? Saya rasa ada hantu ikut saya la.”

Untuk beberapa saat Pak Cik Kasim tergamam. Bergetar dadanya. “Kenapa pulak cakap macam tu?” balasnya perlahan.

“Kalau saya duduk sorang-sorang… saya rasa ada orang dekat saya. Di belakang atau di sebelah. Kalau saya pergi mana-mana, ada yang ikut dan perhati. Malam tadi saya tertidur di hospital, saya terjaga bila terasa ada orang pegang kepala saya. Pagi tadi pun, semasa saya bawa kereta, seperti ada orang duduk di belakang saya. Ke mana pun saya pergi mesti saya rasa ada orang ikut. Tapi tak ada siapa. Kalau bukan hantu… nak panggil apa?”

“Perasaan saja kut?”

Pak Cik Kasim tidak berani bercakap banyak. Mungkin juga semua itu disebabkan Lim merindui Suzy kerana dulu Lim dengan Suzy tidak ubah bagaikan belangkas. Asyik berkepit sahaja. Tetapi tidak berani diungkitkan perkara itu. Bimbang Lim sedih pula.

Lim tarik nafas dalam-dalam.

“Awak jangan fikir sangat, Lim. Kalau fikir sangat nanti betul-betul ada hantu baru awak tahu.” Pak Cik Kasim cuba berseloroh tetapi Lim tetap muram.

“Ya la… mungkin tak ada apa-apa.” Lim tersenyum nipis. Mungkin dia yang berlebih-lebih. Mungkin hanya perasaan.

“Orang kata, fikir baik-baik baru datang yang baik-baik. Sebab fikir itu pun satu doa. Apa kita doa, Tuhan kasi. Tapi kalau selalu fikir hantu nanti datang hantu la.” Pak Cik Kasim ketawa kecil walau dalam hati dia berasa sangat kasihan pada Lim.

Lim terangguk-angguk. Kini senyumannya kembali menghiasi wajah tetapi tidak lama. Dahinya berkerut apabila menjawab satu panggilan yang tiba-tiba masuk ke telefon bimbit.

Pak Cik Kasim perhatikan sahaja gelagat Lim. Apabila Lim terjenguk-jenguk memandang ke kiri dan ke kanan baru dia bertanya; “Pandang apa?”

“Aunty May. Dia kata mau jumpa saya,” jawab Lim sebelum bangun dan menyeluk poket. Duit lima ringgit dihulur kepada Pak Cik Kasim. “Tak apalah, biar saya tunggu dia kat kedai Muthu.”

Pak Cik Kasim lepaskan Lim pergi dengan perasaan simpati.


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.