Home Novel Seram/Misteri LENGLOI
LENGLOI
Maria Kajiwa
28/9/2013 06:31:31
109,618
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 15
Bab 15

KEESOKAN harinya, Muthu bangun awal pagi. Sempat juga dia pergi berjoging di kawasan perumahannya seketika. Pagi itu hatinya sungguh lapang. Terasa-rasa bahawa hari itu, nasib akan memihak kepada dia. Teruja sungguh dia hendak ke restoran.

“Pagi awak bangun,” tegur Pooja yang baru siap mandi. Rambutnya masih bergulung dengan tuala. Melihatkan Muthu lebih tenang pagi itu, dia turut terasa tempiasnya.

“Malam tadi tidur banyak lelap.” Muthu tersenyum. Dia capai tuala mandi. Peluh di badan sudah semakin kering. Dia mahu segera mandi dan bertukar pakaian.

Melihatkan Muthu sudah menutup bilik air, Pooja segera menuju ke ruang dapur untuk menyediakan sarapan. Dia harap biarlah keadaan sebegitu kekal sampai bila-bila.

“Nak ke mana ni?” Dia terperanjat apabila melihat Devi masuk ke dapur dengan berpakaian elok.

“Jemulah duduk rumah, amma. Saya mau ikut pergi kedai.” Devi merenung muka Pooja.

“Amma tak tau nak cakap apa. Tunggu appa,” balas Pooja dengan riak wajah yang serba-salah.

“Appa,” tegur Devi kepada Muthu yang baru sahaja masuk ke dapur. “Hari ni saya ikut pergi kedai ya?”

Muthu tergamam. Dia toleh ke arah Pooja tetapi Pooja buat tidak tahu sahaja. “Boleh ke ni? Nanti berdarah kaki tu, macam mana? Cuti lagi satu minggu.”

“Bolehlah, appa....” Devi goncang lengan Muthu.

Muthu tarik nafas dalam-dalam. Bukan dia tidak suka, lagipun selama ini, anak perempuanya itulah yang selalu membantunya di kedai selepas balik sekolah. Cuma sekarang...

“Duduk rumah sajalah... Devi bukan tak tau kedai kita tu sedang ada masalah.”

Devi tarik muka masam. “Ala... kalau susah-susah nanti, appa hantarlah saya balik. Bosanlah duduk rumah sorang-sorang.”

“Haish! Duduk sajalah rumah...” Muthu teguk habis air teh dalam cawannya.

“Ala....” Devi semakin galak mendesak. “Bolehlah, appa...”

Kali ini Muthu terasa geram. “Yalah, yalah. Tapi kalau kaki tu berdarah... jangan salahkan appa. Nanti duduklah rumah seminggu lagi.”

Devi tersengih. Cepat-cepat dihabiskan air susu yang diminum. Pooja hanya menggelengkan kepala.

*****

SETENGAH jam selepas itu, mereka bertiga tiba di restoran. Seperti biasa, Raju dan Murugan sudah sedia menanti. Selepas berbual pendek, Muthu membuka pintu kedai. Dia menunggu seketika untuk memerhati keadaan. Setelah dilihatnya kedainya seperti biasa sahaja, baru dia melangkah masuk. Hatinya lega. Kemudian dia teringatkan sesuatu. Dia lantas menuju ke luar kedai untuk memerhati Kedai Beng.

“Appa mau pergi mana?” Devi menegur sebelum melangkah perlahan-lahan mengikut ayahnya.

Muthu tarik nafas perlahan. Kehadiran Devi di sisinya membuat perasaannya sedikit terganggu.

“Tak ke mana... saja ambil angin.”

“Eh! Kenapa Kedai Beng tak buka lagi?” Devi kerling jam di tangan. Selalunya pada waktu itu Kedai Beng sudah terang-benderang.

Muthu tidak menjawab. Dia sendiri tertanya-tanya kenapa Kedai Beng tidak dibuka pagi itu. Adakah sesuatu telah terjadi pada kedai itu? Adakah usaha tok sami semalam telah mula menunjukkan hasil? Dia ingin tersenyum namun selagi dia tidak tahu apa yang telah terjadi kepada Kedai Beng, selagi itulah dia tidak senang hati.

“Kedai ada roti ka pagi ni?” tegur satu suara.

Muthu menjeling ke sisi. Di situ Chandran berdiri dengan seorang lagi kawannya.

“Ada. Masuklah,” balasnya. Dalam hati, dia merungut-rungut. ‘Kedai Beng tutup... baru nak datang ke kedai aku’ tapi dia ikutkan juga langkah Chandran bersama kawannya. Bimbang pula ada lagi gangguan yang berlaku.

Setelah Chandran duduk di meja dan dilayan Murugan, Muthu menuju ke arah Raju yang sedang mencanai doh.

“Macam mana pagi ni? Basi lagi?”

Raju menggeleng, kemudian tersenyum.

Muthu tarik nafas lega. Dia tepuk bahu Raju. Gembira benar hatinya kerana nampaknya tangkal tok sami telah menjadi. Dia yakin ‘benda’ itu tidak akan menganggu kedai itu malah mungkin sudah pergi jauh kerana takutkan tangkal tok sami. Diam-diam dia memuji-muji kehandalan tok sami. Tidak sia-sia dia membayar wang yang banyak semalam.

Malah senyumannya makin lebar pagi itu kerana makin ramai yang masuk ke situ. Hari yang baik, fikirnya.

*****

LANGKAH Muthu laju sahaja ke dapur. Di situ Raju, Murugan dan Pooja sedang sibuk membancuh air. Devi pula membantu memotong sayur. Keadaan mula bertambah sibuk apabila semakin ramai yang datang. Muthu tersenyum sendiri. Namun apabila dia bertentang mata dengan isterinya, dia tergamam.

“Apa awak buat?” tanya Pooja sambil mengelap tangan. Kini hanya tinggal dia, Muthu dan Devi di bahagian dapur. Murugan sudah ke ruang hadapan menghantar air minuman pelanggan.

“Buat apa?” Muthu berpura-pura mengambil pinggan untuk dibawa ke hadapan.

Pooja pegang lengan Muthu. Dia tatap wajah Muthu tidak berkelip.

“Beng jatuh sakit,” katanya. “Awak tak ada kena-mengena, kan?”

“Mana awak tahu?” Dada Muthu berdebar-debar. Benarkah Beng jatuh sakit?

“Orang yang hantar ikan cakap. Kedai Beng tutup awal semalam. Pagi ni pun tak buka.”

“Kalau dia jatuh sakit pun, apa kena-mengena dengan aku? Aku bukan jaga dia.” Hatinya mula panas.

Walhal… dia cuma terkejut apabila dapat tahu Beng jatuh sakit. Begitu mendadak? Wah! Hebat sungguh ilmu tok sami, kata hatinya. Terdetik di hatinya untuk bertemu Balan. Dia mahu dengar apa yang telah dilakukan Balan semalam sehingga begitu cepat kesannya kepada Beng.

“Beng muntah darah dalam kedai. Sekarang ICU.” Pooja lepaskan tangan Muthu.

“Nanti kalau aku ada masa, aku pergi tengok dia di hospital. Nak ikut?” sindir Muthu. Apa-apa pun, dia tidak selesa apabila dicurigai oleh isterinya sendiri. Macamlah dia jahat sangat. Dia cuma balas balik apa yang Beng telah buat kepada dia. Itu sahaja.

Kata-kata Muthu buat Pooja terdiam.

“Tak payah sibuk jaga hal dia. Jaga kita punya kedai sudah cukup,” kata Muthu lagi sebelum melangkah meninggalkan tempat itu.

Hatinya tetap tersinggung dengan sikap Pooja. Dalam masa yang sama, dia gembira dengan apa yang sedang berlaku. Hatinya mula rasa hendak menyanyi-nyanyi apatah lagi apabila terpandang kedainya yang sudah penuh semula seperti dahulu.


Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.