Home Novel Seram/Misteri LENGLOI
LENGLOI
Maria Kajiwa
28/9/2013 06:31:31
109,774
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 17

Bab 17

MOMENTUM perniagaan Muthu terus rancak hingga ke lewat petang. Pelanggan tidak putus-putus datang. Kesemua yang ada di situ gembira dalam kepenatan termasuklah Devi. Dia harap keadaan itu akan berterusan sampai bila-bila.

“Penat?” tegur Muthu kepada Devi. “Kaki okey?”

Devi tersenyum. Diraih tangan ayahnya dan mereka sama-sama melangkah meninggalkan kedai yang baru ditutup. Penat memang terasa namun perasaan gembira kerana melihat kedai ayahnya didatangi semula pelanggan melebihi segala-galanya.

“Esok Devi tak payahlah datang. Duduk rumah rehat. Macam mana mau pergi sekolah kalau kaki tak baik cepat?”

“Cuti lagi satu minggu.” Devi tersengih.

Muthu ikut tersenyum melihat kenakalan Devi yang sudahpun berusia 15 tahun.

“Tahun ni mau ambil PMR, kan? Nanti semua kawan-kawan belajar, Devi tak tau apa.”

“Ala… nanti boleh tanya kawan-kawan. Cikgu pun mesti tolong.”

“Betul tapi tetap tak sama. Belajar dalam kelas itu yang paling bagus. Sebab tu tak mau ponteng.”

Leteran ayahnya membuatkan Devi menutup mulut. Dia sedar kata-kata ayahnya semua benar namun dia juga sangat selesa berada di samping ibu bapanya. Mungkin selepas habis SPM, dia mahu bekerja saja di situ membantu apa-apa yang perlu. Mungkin boleh belajar memasak supaya dapat meringankan beban ibunya. Dia harap dia tidak dipaksa belajar jauh-jauh.

“Esok jangan ikut ya?” pinta Muthu lagi apabila mereka berdua sudah sampai di tepi kereta.

“Bukan penat sangat,” bantah Devi. Sejujurnya dia sangat suka berada berada di situ.

“Duduklah rumah. Esok rehat, lagi satu hari baru datang pulak. Macam mana?”

Kali ini Devi tidak dapat membantah lagi. Dia takut kalau ayahnya marah dan langsung tidak membenarkan dia datang ke situ selepas ini. Biarlah dia mengalah buat seketika.

******

PADA sebelah malamnya, Muthu keluar semula. Hala tujunya ke bilik sewa Balan. Dia percaya Murugan dan Raju tidak akan syak apa-apa. Dia boleh sahaja kata, dia ke situ untuk melihat keadaan Balan. Sewaktu dia tiba, ketiga-tiganya belum tidur lagi. Mereka sedang leka menonton sebuah filem Tamil dari CD yang disewa.

“Aku dengar bisnes banyak bagus ni hari, bos.” Balan tersenyum sampai ke telinga. Pada waktu itu, dia dan Muthu bercakap di dalam bilik sementara Murugan dan Raju masih leka di hadapan televisyen.

“Handal betul tangkal tok sami tu,” puji Muthu. “Beng terus sakit teruk. Kedai dia tutup sepanjang hari.”

“Wah! Banyak cepat?” kata Balan.

Muthu ketawa. Dia terasa geli hati melihat reaksi spontan Balan. Pada awalnya dia sendiri tidak percaya dengan kesan yang begitu cepat. Tetapi itulah kebenarannya.

“Padan muka dia. Siapa suruh kacau kita dulu?”

Balan angguk sahaja.

“Apa yang awak buat semalam?” Itu yang Muthu ingin tahu sangat.

“Aku buat apa yang bos suruh buat. Gelas tu aku serahkan pada budak yang cuci meja. Budak tu ambil saja dan masukkan ke dalam bekas cawan yang belum dibasuh,” terang Balan sambil cuba mengingatkan segala apa yang dilakukan semalam. Tidak ada apa-apa yang pelik dan semuanya berjalan lancar.

“Mereka tak tanya kenapa awak datang situ?”

“Beng ada tanya. Tapi aku jawab kedai tutup. Jadi tak dapat makan sana.”

“Mereka tak syak apa-apa, kan?” Muthu pandang muka Balan. Sejujurnya dia berharap agar Balan bercakap benar. Malah apa yang lebih penting, Balan tidak belot.

Balan menggeleng.

Hati Muthu terasa lega. Dia yakin rancangannya berjalan dengan baik. Dia melihat masa hadapan perniagaannya akan kembali cerah dan bertambah baik selepas ini. Bisnesnya bertambah maju, dia akan buka beberapa cawangan dan yang paling pentingnya segala hutang pada Natesh akan dapat dibayar habis sedikit masa lagi.

Dia yakin benar.

*****

SUDAH dua jam, Lim, Gark, Janet dan Ben sampai semula di rumah. Dalam perjalanan balik dari hospital tadi dia sempat singgah di rumah pengasuh untuk menjemput Ben. Selepas singgah membeli bubur nasi di sebuah gerai di tepi jalan, Lim terus memandu pulang. Setibanya di rumah, kepulangan Gark disambut Lassie dengan salakan dan lolongan panjang.

“Aiyaa…” marah Janet. Dia pimpin Gark masuk ke dalam rumah. Gark diam sahaja bagai orang bingung.

Lim pandang Lassie yang masih menderam-deram menunjukkan gigi. Dia juga perasan akan perubahan sikap lassie sejak beberapa yang lalu. Lassie bukan lagi seekor anak anjing yang manja dan tenang. Kini Lassie selalu menyalak dan sesekali melolong tidak kira masa. Dia sendiri rasa galau.

“Shhh!”

Dia menengking Lassie. Lassie menundukkan muka lalu berundur perlahan-lahan ke sudut kandang. Dia rasa kasihan tetapi dia tidak ada masa untuk memeberi perhatian kepada Lassie. Dia hempas nafas lalu membawa beg pakaian Gark masuk ke ruang tamu. Baru sampai di muka pintu, dia dikejutkan dengan jeritan dan tangisan Gark. Dia terus meluru untuk membantu.

“Jangan macam ni la.” Suara Janet meninggi.

Gark berguling-guling di atas lantai sambil menutup muka. Sesekali menangis. Sesekali menerajang sesiapa sahaja yang berdekatan. Janet suruh Ben menjauh. Lim pula tarik nafas dalam-dalam. Dia betul-betul tidak tahu apa yang tidak kena dengan Gark. Di hospital sudah elok sepanjang hari, senja itu berulang lagi penyakitnya.

Sepanjang malam, dia dan Janet terpaksa mengawasi Gark yang bagaikan orang kesurupan. Di luar rumah, Lassie asyik menyalak.

*****

“ANAKLAH raja pergi menyumpit…dapat seekor burung terkukur… anaklah raja pergi menyumpit…alangkah cantik bintang terbit, alah dondang sayang, bagaikan songket lah songket kuntum bertabur…”

Suara Aunty May menyanyikan lagu dondang sayang kedengaran tenggelam timbul. Sambil tekun mengelap satu per satu barang-barang milik Suzy di atas meja solek, sesekali dia bergumam melagukan irama dondang sayang yang begitu sebati dalam hidupnya. Kalau dulu, dia yang selalu menyanyikan dondang sayang di pentas-pentas kini bakat itu diwarisi Suzy pula. Sayangnya tidak lama. Semuanya terhenti apabila Suzy terus hilang tanpa jejak sehingga kini.

“Suzy… lu baliklah.”

Dia terdiam sebentar apabila rasa rindunya memecah empang perasaan. Rasa seperti ingin mati apabila sakitnya terlalu menghentam dada. Kehilangan anak bukan mudah apatah lagi Suzy satu-satunya anak yang hidup. Kini hilang pula entah ke mana.

“Gua tak marah lu lagi.”

Air matanya gugur semakin laju. Pipi mula basah. Akhirnya dia tersedu-sedu. Setelah puas melepaskan tekanan di jiwa, dia menyeka air mata dengan hujung baju. Dia tahu Suzy tidak mendengar tetapi dia cuma mahu menyuarakan isi hati. Walau kekesalan itu mungkin sudah terlambat. Biar mati anak; jangan mati adat itu kedengarannya mudah namun apabila ketegasan mahu memelihara tradisi dan budaya itu memberi kesan sebegitu perit; dia terpaksa mengalah.

Sedang dia cuba bangun dari lantai, dia terdengar suara esakan seperti orang menangis tersedu-sedu.

Dia pandang keliling tetapi tidak melihat sesiapa. Dia pergi ke tingkap lalu menyelak sedikit kain langsir. Dia terus terpandang seorang perempuan berdiri di hadapan kedai Muthu. Untuk beberapa saat dia terpaku sehinggalah tubuh tuanya terasa seram sejuk.

Dengan jari yang mengigil-gigil, dia tutup semula langsir lalu beredar.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.