Home Novel Seram/Misteri LENGLOI
LENGLOI
Maria Kajiwa
28/9/2013 06:31:31
109,973
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 8
Bab 8

DARI pintu dapur, Pooja memerhati jam yang dipasang pada dinding. Jarum pendek sudah menunjuk ke arah nombor tujuh. Jarum panjang sudah menghampiri nombor dua belas. Di luar pula matahari sudah lama rebah di balik bumbung-bumbung bangunan. Di jalan raya kesibukan sudah jauh berkurangan. Kesepian sudah mula mengocak perasaan. Muthu pula masih duduk di kaunter ; termenung keseorangan.

Entah apa malangnya, sejak Natesh dan kawannya meninggalkan kedai itu, belum ada seorang pun pelanggan yang masuk ke situ. Tidak usahkan masuk, melintas di hadapan kedai pun tidak. Keadaan itu sangat pelik. Satu perubahan yang sangat mendadak.

“Kedai Beng penuh orang...” Murugan yang keluar membeli bekalan tepung membawa pulang cerita.

“Penuh?”

Pooja menjeling Muthu. Dia tahu Muthu mendengar tetapi Muthu seperti tidak bereaksi.

“Penuh betul. Sampai ada yang berdiri di luar tunggu meja kosong,” balas Murugan sebelum menuju ke stor.

Kali ini Pooja tidak berkata apa-apa. Tetapi di dalam hati dia berasa ralat kerana selama ini kedai Beng tidak pernah penuh. Biasa-biasa sahaja. Kadang-kadang kedai mereka penuh tetapi kedai Beng tidak ada seorang pun pelanggan. Kini sudah terbalik.

“Pelanggan kita sudah lari ke sana kut?” Raju, yang sedang sibuk menguli doh roti canai pula yang menyampuk dari jauh.

Pooja tidak berani untuk membalas. Dia tahu semua kata-kata itu hanya akan menghancurkan perasaan suaminya. Persaingan dalam bisnes yang sama, satu perkara biasa. Namun untuk menerima hakikat itu bukan mudah. Pahit tetap pahit.

“Jangan-jangan mereka yang buat kacau sama kita.” Murugan bersuara lagi.

Kali ini Pooja berasa amat geram kepada Murugan. Budak muda yang tidak tahu berfikir jauh. Kalau bercakap ikut sedap mulut tanpa mahu memikirkan perasaan suaminya.

“Jangan tuduh-tuduh kalau tak ada bukti,” katanya cuba menenangkan keadaan.

Dia tahu hati suaminya sedang runsing. Sudah dua hari perniagaan mereka terjejas. Dia sendiri berasa takut kalau keadaan itu berterusan. Bagaimana suaminya mahu membayar semula wang Natesh? Bagaimana mereka mahu meneruskan bisnes mereka? Bagaimana dengan nasib mereka sekeluarga? Dia susah hati tetapi tidak ada arah untuk diluahkan.

“Makanan yang dah basi tu macam mana?” Murugan bersuara lagi.

“Basi?” Muthu yang diam sejak tadi bersuara. Bulat matanya merenung wajah Pooja.

Bibir Pooja terketar-ketar. Perlahan-lahan dia mengangguk. Sebenarnya dia sendiri buntu memikirkan masalah makanan yang begitu cepat basi dan berbau busuk. Makanan yang baru dimasak selama dua jam pun sudah basi. Makanan yang disimpan dalam peti ais pun mudah basi. Bahkan kari yang sentiasa dipanaskan atas dapur juga basi. Seolah-olah tidak ada makanan yang boleh dimasak di situ. Dia buntu.

Muthu mengeluh panjang.

“Kalau tak ada makanan yang boleh dijual, tutup sajalah kedai.”

“Awak....” Pooja menegur suaminya yang kelihatan sudah berputus asa dengan semua kejadian itu. “Sabarlah....”

Muthu tidak membalas. Dia pergi ke hadapan kedai lalu menarikroller shutter.Pooja rasa pilu melihat Muthu begitu.

*****

MALAM itu, Pooja terkejut besar. Tanpa sebarang perbincangan, suaminya mengemaskan pakaian. Kerisauannya spontan memuncak. Suaminya hendak ke mana pula? Dia rasa hendak menangis.

“Awak mahu pergi mana?”

“Malam ni... aku mahu tidur di kedai.”

Muthu tarik zip beg baju kecil yang sudah siap berkemas. Ada sehelai tuala, sehelai baju bersih dan sehelai kain pelikat untuk dibuat selimut. Juga ada sebatang berus gigi dan ubat gigi. Itu sahaja.

“Tidur di kedai? Tapi...”

Muthu mengangkat tangan memberikan isyarat supaya Pooja mendiamkan diri. Tanpa mempedulikan Pooja, dia tinggalkan bilik tidur mereka yang sudah dihuni selama lima tahun.

“Di mana awak nak tidur? Lantai kedai tu bukannya bersih sangat.” Pooja masih cuba memujuk suaminya. Bagi dia, itu satu tindakan yang kurang wajar. Kenapa suaminya perlu tidur di situ pula?

“Atas meja,” balas Muthu sambil menuju ke muka pintu.

Atas meja? Pooja masih berasa susah hati. Belum pernah Muthu berkelakuan begitu sebelum ini.

“Di rumah elok-elok ada katil, ada tilam kenapa mahu tidur di kedai pula?”

“Awak jangan banyak tanya boleh tak?” Suara Muthu sudah mula tinggi.

Pooja langsung terdiam. Dia menghempas nafas. Nampaknya dia tidak akan berjaya menghalang hasrat suaminya walau dengan cara apa sekali pun.

“Jangan lupa bawa ubat,” pesannya perlahan. Akhirnya dia terpaksa mengalah. Kalau itu keputusan Muthu, biarlah. Kalau hendak ditahan nanti bergaduh pula.

Semasa Muthu memasukkan beg pakaiannya ke dalam bonet kereta, dia menggamit Pooja supaya datang mendekat. Dihulurkan sebuah bungkusan yang berbalut cantik.

“Apa?” tanya Pooja.

“Untuk awak,” kata Muthu dengan tenang.

Untuk seketika, Pooja tergamam. Namun bungkusan itu diterima juga. Kemudian dia tersenyum tawar.

“Terima kasih,” katanya. Terharu seketika kerana suaminya masih ingat ulang tahun kelahirannya walau sedang dihimpit masalah.

Muthu senyum. Perlahan-lahan keretanya bergerak meninggalkan kawasan rumah mereka sambil diperhatikan Pooja dan Devi yang kebingungan.

*****

“AMMA... appa pergi mana?” Devi yang sempat melihat ayahnya menjinjing beg pakaian meninggalkan rumah menerpa ke pintu rumah. Kesal hatinya kerana tidak sempat bertanya kepada ayahnya sendiri.

Pooja tersenyum nipis.

“Malam ni… appa mau tidur di kedai,” balasnya sambil melangkah ke arah kerusi di ruang tamu lalu duduk. Tidak sabar rasanya hati untuk melihat hadiah hari jadinya itu.

“Tidur di kedai? Tapi kenapa?”

Devi turut duduk di sisi ibunya sambil menjeling bungkusan hadiah yang sedang dibuka. Kehadiran hadiah itu sedikit sebanyak memberi petanda bahawa kerisauannya mungkin hanyalah sia-sia sahaja.

“Appa mau jaga kedai kita.” Pooja menarik keluar sehelai sari berwarna merah hati dari dalam kotak hadiah. Dia tersenyum senang.

“Wah... cantiknya! Appa masih ingat warna kegemaran amma.” Devi turut melihat-lihat kain saree itu.

Senyumannya melebar. Dia yakin kain saree itu mahal harganya, itu sudah cukup memadamkan kerisauan hatinya. Dia percaya hubungan ibu dan ayahnya baik-baik sahaja walaupun kebelakangan ini dapat merasakan hubungan mereka berdua agak tegang.

Mendengarkan pujian Devi, senyuman Pooja makin melebar.

“Esok amma masakkan manisan, okey?” Dia tepuk pipi Devi dengan lembut.

Devi tersenyum senang. Senyuman di wajah ibunya menyejukkan hati. Tetapi ada sesuatu yang tetap berlegar di fikirannya.

“Hari ini bisnes okey, ma?”

Air muka Pooja terus berubah keruh. Lama dia merenung wajah Devi sehingga Devi kehairanan.

“Ma?” Devi menegur.

“Teruk,” balas Pooja. Dia mengeluh perlahan sambil melipat semula kain saree yang dipegang. “Macam-macam hal lagi berlaku di kedai.”

“Hal apa?” Mata Devi terkebil-kebil.

Pooja menghempas nafas lagi.

“Amma....” Devi mula mendesak. Hatinya mula risau semula apabila mendengarkan keluhan ibunya yang berat dan sarat.

“Dua kali amma masak, dua kali basi. Balan pula kena minyak panas. Telur masin boleh meletup jadi telur tembelang....”

Devi benar-benar terkejut. “Begitu terukkah?”

“Tak apalah. Devi jangan risau. Amma sama appa akan cuba selesaikan masalah ni.” Pooja tersenyum pahit. Kemudian dia memegang tangan Devi. Menyesal pula membuat Devi risau. Devi sudahlah sakit. Lagipun pada dia Devi masih terlalu mentah untuk memahami masalah orang dewasa.

“Apa yang berlaku pada kedai kita, ma?”

“Amma pun tak tau.” Pooja angkat punggung, tinggalkan kerusi. Sebelum melangkah pergi, dia menoleh seketika ke arah Devi yang masih muram di atas kerusi.

“Ibu kucing yang Devi selalu beri makan tu, dah mati pagi tadi. Anak-anak dia sekali,” tambahnya.

Mulut Devi terlopong. Kalau macam itu, maknanya sudah betul-betul teruk

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.