Home Novel Seram/Misteri LENGLOI
LENGLOI
Maria Kajiwa
28/9/2013 06:31:31
109,783
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 5
Bab 5

HARI keesokannya, pagi-pagi lagi Muthu dan Pooja sudah berada di restoran. Devi pula ditinggalkan di rumah kerana mendapat cuti sakit selama seminggu. Sewaktu mereka berdua tiba, Balan, Raju dan Murugan sudah sedia menunggu di belakang kedai.

“Kenapa?” Muthu terus bertanya apabila melihat wajah Balan yang seakan-akan mahu menyatakan sesuatu. Rasa sesak dadanya.

Balan tidak menjawab. Dia tunjukkan ke arah longkang yang memisahkan bangunan kedai itu dengan jalan kecil.

“Apa?” Muthu bertanya lagi. Hatinya mula cuak dengan perlakuan Balan. Seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Yang lain termasuk Pooja juga menuju ke arah longkang. Di situ, Muthu melihat sesuatu yang menyentak perasaannya. Empat ekor anak kucing yang selalu meminta makanan di belakang kedai mereka, mati bergelimpangan. Begitu juga ibu kucing tersebut yang mati dengan mata yang terbeliak dan mulut yang ternganga.

“Aiyooo....” Pooja tepuk dahi. Dia mula menangis. Dia diterpa rasa sedih dan rasa bersalah yang bukan kepalang

“Buang semua.” Muthu berikan arahan.

Dia simpati tetapi dia juga harus bertindak cepat. Jika semua bangkai kucing itu tidak dibuang, nanti bau busuk akan masuk ke dalam kedai pula. Timbul pula masalah lain.

Pooja masih terpegun. Hanya Raju yang mula bergerak membantu Muthu membuka pintu belakang. Dia masih terpaku kerana terlalu sedih. Diakah yang bersalah? Adakah semua kucing-kucing itu mati kerana makanan yang diberi semalam?

Bang!Roller shutter menghentam dinding apabila Muthu menolaknya ke atas. Dia terus melangkah masuk untuk membuka suis lampu. Sebaik sahaja dia melangkah masuk, dia diserbu angin sejuk yang kuat sehingga kulitnya terasa merinding. Bulu romanya menegak sehingga kulit lengannya jelas berbintil-bintil. Dia terpegun sesaat. Rasa sesejuk itu tidak pernah dirasa sejak membuka kedai itu setiap pagi.

Tap! Suis lampu ditekan. Lampu dapur terpasang. Tanpa melangkah, dia melihat ke sekeliling, namun tidak ada apa-apa yang pelik. Rasa leganya mula hadir namun dia dikejutkan dengan bau yang aneh. Dia menenyeh hidung beberapa kali. Bau apa pula ni? Busuk!

“Pooja!” Dia melaung dari arah kaunter. Bau busuk seperti bau benda reput itu sangat mengganggu semangatnya. Dia mula rasa risau semula.

Pooja yang mendengar suara Muthu terus terkocoh-kocoh datang.

“Ada bau tak?”

Langkah Pooja terus terhenti. Pooja pandang kanan, pandang kiri kemudian mengangguk.

“Yalah.... ada bau.”

“Bau apa?” Muthu renung wajah Pooja. Lega rasanya apabila Pooja juga terbau bau yang sama. Dia fikir, dia yang sudah hilang akal.

“Bau busuk. Bau macam... bangkai.” Pooja menjawab sambil menyapu hidungnya dengan hujung sari yang dipakai.

“Cepat suruh budak-budak tu buang bangkai kucing tu. Sekarang bau sudah masuk dalam kedai.”

“Kucing tu baru mati. Mana ada bau lagi,” bantah Pooja.

Muthu menggeleng keras. Dia tidak mahu mendengar sebarang alasan. Mesti ada punca kepada bau yang busuk itu, fikirnya.

“Awak bawa sini pewangi udara. Saya mahu sembur sebelum kita buka kedai,” arah Muthu lagi.Mungkin idea itu boleh membantu, fikirnya.

Melihatkan Muthu masih berkeras, Pooja terus melangkah ke belakang, sementara Raju muncul bersama sebesen doh roti canai yang akan diuli.

“Hah?” Raju bersuara sambil tertegun seketika di kaunter roti canai.

Muthu benar-benar tergamam. Suara Raju menghantar isyarat, ada lagi yang tidak kena pagi itu. Dengan cepat ditinggalkan kaunter lalu menuju ke bahagian roti canai yang terletak bertentangan dengan kaunter.

*****

DARI jauh Muthu merenung Raju yang sedang gelisah. Jantungnya sudah berdegup laju.

“Kenapa?” Dia bertanya. Sedaya upaya cuba bersikap tenang.

“Basi....” Raju angkat doh roti canai yang masih sejuk ke hidung Muthu. “Cuba bau...”

Hidung Muthu terus tercium sesuatu yang masam dan tengik.

“Peti ais rosak ke?”

Raju menggeleng.

“Kan sejuk ni.” Dia raba-raba doh yang ada dengan wajah bingung. Selama ini tidak pernah pula timbul masalah seperti itu.

Muthu menarik nafas panjang. Pagi-pagi lagi dia sudah dihimpit pelbagai kejutan.

“Cuba masak dulu. Tengok macam mana.”

Walaupun dia sendiri tidak pasti sama ada usaha itu akan berjaya memperbaiki keadaan doh itu ataupun tidak namun itu sahaja yang terfikir oleh akalnya. Sayang rasanya melihat doh yang sebanyak dua besen besar itu dibuang sahaja. Lagipun, apa yang mahu dihidangkan sebentar lagi jika roti canai tidak ada? Pelanggan pasti bising.

Raju ikutkan saja arahan Muthu. Dicanai dan ditebar juga doh yang masam dan tengik itu walau melekit-lekit di tangan.

Tanpa menunggu lagi, Muthu terus ke belakang kedai. Disuruhnya Pooja memasak makanan yang lain secepat mungkin. Pagi itu mereka benar-benar kelam-kabut.

Tidak lama kemudian Raju menggamit Muthu datang kepadanya.

“Tak bolehlah,” katanya.

Sekeping roti canai yang sudah dimasak ditunjukkan kepada Muthu. Baunya makin teruk. Hancing.

Muthu kelu. Dahinya berpeluh sejuk.

*****

POOJA memandang wajah suaminya yang sugul. Sudah sejam berlalu sejak Muthu masuk ke dalam pejabat kecil mereka yang terletak di bawah tangga. Dia tahu suaminya sedang susah hati. Restoran itu adalah segala-galanya bagi Muthu, dia tahu itu.

“Ada masalah ke?” Muthu angkat muka membalas renungan mata Pooja. Wajahnya cemas.

Pooja menggeleng.

“Buat apa berdiri di situ? Kan aku kata jangan tinggalkan dapur?” Suara Muthu bertukar tegas.

“Awak okey ke?” balas Pooja.

Dia hanya mahu suaminya tahu, dia ada di situ kalau Muthu mahu bercerita apa saja. Sikap dingin Muthu membuat hatinya sedih. Seperti dia seorang isteri yang tidak mampu membantu. Tidak mampu menjadi tempat untuk berkongsi suka dan duka. Tidak berguna. Walhal seorang isteri itu bukan sahaja mampu melahirkan anak tetapi juga mampu berperang kalau perlu.

“Pergi jaga dapur.” Muthu renung wajah Pooja.

Pooja rasa kecewa. Pertanyaannya tidak dijawab. Sebaliknya asyik disuruh jaga dapur, seperti itulah sahaja kemampuan yang dia ada. Dia ingin membuka mulut tetapi belum sempat perkataan pertamanya keluar, dia sudah terkejut besar.

“Aiyooo!!!” Jeritan dari arah dapur kedengaran.

Dengan spontan Pooja berpaling.

Muthu pula terbangun dari kerusi. Tanpa berlengah mereka berdua meninggalkan pejabat lalu berlari ke arah dapur. Setibanya di situ, kedua-duanya tergamam.

Di atas lantai dapur, Balan meraung-raung dan menggelupur. Badan dan pehanya bersimbah minyak panas.

Sekali lagi, Pooja terasa hendak pitam.

*****

MULUT Muthu riuh rendah memberikan arahan kepada Murugan dan Raju. Dia pula memimpin Balan ke dalam kereta untuk dibawa segera ke klinik. Apa-apa pun, dia perlu memberikan rawatan kepada Balan terlebih dahulu.

Kira-kira sejam setengah selepas itu, dia menghantar Balan ke rumah sewa yang terletak tidak jauh dari kedainya. Mujurlah kulit Balan tidak melecur teruk, cuma di bahagian peha sahaja yang agak terjejas. Dia situ ada kulit yang masak dan mendedahkan isi peha selebar tapak tangan. Dia yang melihatnya pun terasa nyeri. Terbayang-bayang rasa pedih dan sakit yang berdenyut-denyut.

“Saya tak tahu apa jadi. Saya pusing mahu ambil senduk... kuali sudah jatuh.”

Balan mula bercerita setelah terdiam lama. Ada riak bersalah pada wajahnya.

Mendengarkan penerangan Balan, Muthu hanya boleh menarik nafas. Semalam Devi, hari ini Balan. Esok... entah siapa pula. Macam-macam hal. Yang pastinya dia akan kekurangan pekerja buat sementara waktu sehingga Balan boleh bekerja semula.

“Awak duduk rumah diam-diam. Ubat yang doktor beri tadi makan. Jangan tak makan pula, aku bayar tu.” Muthu angkat punggung. Dia masih merisaukan keadaan di kedai. Entah apa pula yang sedang terjadi di sana.

Balan tidak membalas. Wajahnya masih murung.

“Nanti tengah hari, aku suruh Raju hantar nasi,” kata Muthu lagi. Dia tidak boleh berlama-lama di situ. Dia risaukan keadaan di kedai.

“Bos,” panggil Balan takut-takut apabila Muthu mahu melangkah keluar dari bilik tidurnya.

Muthu menoleh.

“Dua tiga hari ni… kedai kita lain macam.” Balan tenung muka Muthu.

Muthu menelan air liur. Pelbagai perkara menerpa ke fikirannya. Tetapi dia tidak selesa untuk membincangkan hal itu dengan Balan. Macam mana sekalipun Balan cuma seorang pekerja.

“Tak ada apa-apalah,” balasnya kemudian.

“Betul, bos,” balas Balan. “Kedai tu kadang-kadang banyak sejuk. Kadang-kadang banyak panas macam ada api kasi bakar.”

“Apa yang awak nak cakap?”

Kali ini Muthu tidak jadi meninggalkan Balan. Mungkin Balan tahu sesuatu yang dia tidak tahu. Pada dia, dia tidak rasa apa-apa. Ataupun yang sebenarnya dia yang kurang peka pada perubahan yang berlaku.

“Kita pergi kuil jumpa tok sami,” balas Balan.

Mata Muthu terkelip-kelip. Dia dapat menangkap apa yang cuba disampaikan oleh Balan. Tetapi fikirannya masih menolak semua yang berlaku sejak dua hari lepas ada kaitannya dengan perkara ghaib. Tetapi dia juga tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku memang ada. Cuma dia tidak sangka ada orang yang sanggup melakukannya kepada restoran dia.

Akhirnya dia tinggalkan Balan tanpa sebarang keputusan. Setibanya di restoran semula, Muthu terkejut lagi.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.