Home Novel Seram/Misteri Destinasi
Destinasi
nurmazunie razif
11/7/2019 12:09:01
29,966
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 5

Zubaidah terbaring lesu di atas katil sambil ditemani oleh Zaman.  Zaman adalah adik bongsu Zubaidah daripada perkahwinan ayahnya dengan ibu tirinya iaitu seorang wanita indonesia.  Zaman merupakan ayah Anita yang digelar Pak Ngah oleh Wani.

"Aduh", sebaik sahaja sedar dari pengsan Zubaidah mengaduh kesakitan. Kepalanya yang berbalut dipegang dengan tangan.

Sedikit-demi sedikit kelopak mata Zubaidah terbuka. Pandangan matanya berbalam-balam. Jelas dia melihat wajah adiknya itu bersama Roza iaitu anak sulung Zaman yang merupakan kakak kepada Anita sedang merenungnya di birai katil.

"Sakit betul kepala Mak Long ni", rintih Zubaidah sambil perlahan-lahan bangun dan duduk menyandar di kepala katil.

bergegas Roza mendapatkan Mak Longnya bagi meletakkan bantal di belakang badan. Manakala Zaman cuma melemparkan senyuman melihat keadaan kakaknya yang pucat lesi itu.

"Rehat-rehatlah Mak Long. Mak Long tu nampak pucat lagi", kata Roza. Prihatin.

"Betul kata Roza tu, Kak Zu kena banyak berehat. Kepala Kak Zu tu luka", nasihat Zaman dengan wajah tersenyum. Dia sudah beralih tempat ke sisi kakaknya itu. Jari jemari kakaknya digengam erat.

"Itulah, sakit sangat kepala aku ni. Nasib baik aku okey Man", balas Zubaidah. Tangannya masih lagi memicit-micit kepala.

Melihatkan keadaan Zubaidah yang seperti diserang sakit yang teramat sangat, Zaman merasa amat simpati. Sebolehnya dia mahu tahu apa sebenarnya yang terjadi kepada kakak sulungnya itu.

"Apa cerita ni Kak Zu, Man jumpa Kak Zu pengsan kat dalam bilik ni dengan kepala yang berdarah. Kak Zu jatuh ke?", tanya Zaman yang ralit melihat ulah kakaknya itu.

"Aku.....", tidak tahu apa yang patut dikatakannya kepada adiknya.

Peristiwa malam tadi tiba-tiba terimbas kembali di ruangan mindanya. Wajah gerun kanak-kanak yang cuba menerkamnya malam tadi sehingga dia terjatuh membuatkan bulu romanya tiba-tiba meremang. Dia pasti kejadian malam tadi adalah realiti bukannya mimpi.

"Aku...", sukar rasanya untuk Zubaidah memberitahu perihal sebenar kerana dia tidak yakin adiknya mahu pun Roza akan mempercayainya.

"Kenapa ni Kak Zu! Siapa yang buat Kak Zu sampai teruk sangat berdarah kepala tu? Nasib baik saya dan Roza teringat nak datang jumpa Kak Zu pagi ni. Kalau tidak tak tahulah apa yang terjadi kepada Pak Zu? Kalau Kak Zu keberatan nak beritahu. Tidak mengapa. Lagipun saya sebenarnya nak tanya sesuatu pada Kak Zu", Zaman memandang wajah kakaknya itu agak lama.

"Apa dia Man?", soal Zubaidah. Wajahnya berkerut.

"Ada tak Anita atau Wani telefon Kak Zu semalam? Saya risau. Sejak Anita bertolak petang semalam sampailah sekarang ni satu panggilan mahupun whatsapp belum lagi dihantar kepada saya ataupun Roza", Zaman mempamerkan riak wajah risau.

Zaman mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluarnya. Tiada panggilan yang masuk dari Anita. Aplikasi Whatsupp pula dibuka namun mesej dari Anita tetap tiada. Dia mengeluh panjang. Perlakuannya diperhati oleh  Zubaidah dengan perasaan yang libang-libu.

"Wani pun tak call mahupun whatsapp aku. Aku risau sesuatu yang buruk berlaku kepada mereka berdua. Lagipun malam tadi....", terkebil-kebil mata Zubaidah memandang wajah Zaman. Dia cuba mengumpulkan semangatnya untuk memberitahu kejadian semalam.

"Semalam apa Kak Zu", pintas Zaman.

Dari kerutan wajah Zubaidah, Zaman tahu pasti ada sesuatu yang disorokkan oleh kakaknya itu. Jika tidak masakan bahasa tubuh kakaknya itu menunjukkan tanda-tanda resah yang tidak menentu.

"Ah....", terdengar keluhan pendek dari bibir tua Zubaidah.

"Semalam ada budak kecil, budak lelaki menerkam aku, wajahnya pucat, hodoh dan ada darah keluar membuak-buak dari mulutnya. Aku fikir bukan manusia", perlahan sekali suara Zubaidah menceritakan perihal malam tadi. Matanya liar memerhati sekeliling bilik. Risau, jika makhluk semalam masih berada di dalam biliknya.

"Apa yang Kak Zu merepek ni? Kak Zu bermimpi ni? Lagipun apa kaitannya dengan Wani mahupun Anita?", Zaman mulai meninggikan suara. Kata-kata kakaknya itu tidak dapat diterima akal langsung.

"Entahlah Man mungkin aku silap kot. Jadi macammana sekarang ni? Aku dah cuba call  Wani banyak kali tapi satu talian pun tak bersambung", perasaan kecewa terpamer di wajah Zubaidah.

Dia tahu tiada sesiapa akan mempercayainya. Jadi tiada gunanya untuk dia menceritakan perihal suara kanak-kanak yang didengarinya di dalam talian semasa menghubungi Wani semalam. Dia mendiamkan sahaja perkara itu.

Wajah adiknya dipandang. Dari riak wajah Zaman, Zubaidah tahu adiknya itu betul-betul risau akan Anita. Ah! Salahnya juga, dia yang gatal mulut menyuruh Anita menemani Wani, kononnya bolehlah Anita menemani Wani mencari rumah sewa dan tinggal bersama Wani buat seketika sehingga sesi persekolahan bermula. Namun dia tidak menyangka sesuatu perkara buruk bakal berlaku.

"Kalau masih tiada panggilan dari mereka berdua kita buat report polis", saran Zaman.

Dirinya di bawa ke arah jendela. Langsir dikuak, sinaran matahari pagi menerjah masuk ke dalam bilik. Dia mengeluh perlahan. Keselamatan anaknya benar-benar dirisaukannya. Apalah yang telah terjadi kepada mereka berdua. Semoga ALLAH melindungi Anita dan Wani. Itulah doanya di dalam hati takkala ini.

Zubaidah memerhati adiknya itu dengan perasaan kecewa. Saranan  Zaman untuk melapor akan kehilangan Anita dan Wani dipersetujui. Dia cuma mengangguk lemah. Fikirannya masih lagi memikirkan kejadian semalam. Dia masih lagi berpegang kuat pada pendiriannya yang mengatakan sesuatu yang buruk telah terjadi kepada Wani dan Anita. Pasti ada kaitannya dengan peristiwa malam tadi. Selama ini belum pernah dia mengalami kejadian sedemikian rupa.

"Man minta diri dulu, Roza akan temankan Kak Zu kat sini", terdengar perlahan suara Zaman meminta diri. Zubaidah mengangguk.

Zaman mula mengorak langkah keluar dari bilik dan diikuti Roza yang mengiringi langkah ayahnya sehingga ke muka pintu.

..................

"Waailaikumsalam", Nisa menjawab perlahan salam yang diberi. Hatinya masih teragak-agak mahu menoleh ke belakang. Risau. Jika yang memberi salam itu bukan manusia.

Ah! Takkanlah hantu pula yang beri salam. Hari pun dah cerah dan terang-benderang. Jadi mestilah yang memberi salam itu adalah manusia. Di atas dasar prasangka baiknya itulah, Nisa memalingkan tubuh.

"Kau!", mulut Nisa terlopong seketika. Begitu juga wanita yang berada di hadapannya. Masing-masing memandang di antara satu sama lain dengan pandangan yang cukup jelek.

"Kau buat apa kat sini hah. Oh! Mengintip aku kan! Nak kenakan aku lagi!?" Jerkah Wani.

Tubuh Nisa ditolak kuat sehingga menghentam dinding di tepi jendela yang terkuak. Bergegar seketika anjung surau.

"Wani! Kau dah melampau. Sakitlah. Eeee, tak kuasa aku nak intip-intip kau. Aku nampak kereta kau depan tu. Kereta kau rosak ke?" mata Nisa mencerlung tajam memandang wajah Wani yang masih lagi marah.

"Tak. Kita orang saja singgah sini. Penat sangat memandu malam tadi", terang Anita sambil tersenyum.

"Oh! Macam tu".

"Kau pula macammana boleh ada kat sini!", soal Wani dengan suara kuat.

"Aku sesat, dari malam tadi aku memandu, tapi aku tak jumpa jalan keluar. Sehinggalah aku jumpa kereta kau orang kat luar tu. Aku jumpa beg kau kat dalam kereta tu, jadi aku agak mesti kau kat sini", Nisa memberi penjelasan sambil matanya memandang wajah Wani.

"Kau orang berdua ni pula, macammana boleh tersadai kat sini, sesat juga ke?", Nisa menyambung bicaranya semula.

"Semuanya sebab kau lah , tak puas hati sangat dengan aku, sehingga aku ditukarkan. Aku nak lapor diri. Ini semuanya kerja kau kan Nisa!",jerkah Wani. Meluat sungguh rasanya dia melihat batang tubuh Wani yang mengedik itu.

"Eleh, kau yang pukul aku dulu. Salah kau lah. Padan muka", Nisa tersenyum sumbing.

Sebenarnya memang dia yang menyarankan kepada Encik Zaki agar Wani ditukarkan ke daerah pedalaman. Dia benar-benar meluat mahu melihat muka Wani. Tetapi alih-alih sekarang ini mereka bersama pula. Pelik. Bagaimana dia boleh tersesat sebegini jauh sehingga boleh menemui Wani yang mahu melapor diri. Ah! Kerja Dukun Siah ke?

"Sudahlah tu Kak Wani! Kak Nisa! Jom Kak Wani kita teruskan perjalanan, rasanya masih jauh lagi perjalanan kita ni", saran Anita.

Anita tidak mahu mereka berdua memulakan pertengkaran yang tidak sudah-sudah di surau lama ini. Tak pasal-pasal nanti dia pula yang terpaksa menjadi saksi pada sesuatu yang tidak diingininya. Oh! Tidak. Mereka berdua tidak boleh dibiarkan bertengkar.

Anita mulai beredar ke pintu utama surau manakala Wani dan Nisa membontotinya dari belakang. Masing-masing keluar dari surau dengan wajah yang masam mencuka. Perasaan benci dan dendam tetap kejap di dalam hati masing-masing. Musuh tetap musuh. 

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif