Home Novel Seram/Misteri Destinasi
Destinasi
nurmazunie razif
11/7/2019 12:09:01
29,844
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 3

Kereta mewah milik Wani meluncur laju membelah jalan raya. Fikirannya kacau-bilau. Entah mengapa hatinya benar-benar berat mahu ke Kampung Bukit Keramat. Seolah-olah ada sesuatu yang buruk bakal menanti dirinya. Namun demi tugas dia turutkan. Tidak boleh tidak. Tugas merupakan amanah Allah dan juga merupakan ibadah yang pasti diberi ganjaran pahalanya.

Rasa sakit hatinya terhadap Nisa tidak mampu dihilangkannya. Hatinya benar-benar sakit. Nisa tidak henti-henti memberinya masalah. Dia dapat merasai dendamnya kepada Nisa semakin hari semakin membuak-buak.

Pergaduhan mereka berdua tempoh hari semasa di lot parking sekolah, bukanlah yang pertama kali. Selama berkhidmat di sekolah tersebut, acapkali Nisa mengambil kesempatan mahu bergaduh dengannya. Dia sentiasa sabar. Namun sabarnya benar-benar teruji apabila Fakry kekasihnya sendiri bertunang dengan Nisa.

Wani tidak tahu bagaimana Fakry boleh senang-senang bersetuju untuk bertunang dengan Nisa. Padahal, Fakry juga tidak menyukai Nisa. Ah, apa sebenarnya yang terjadi?

Bam!!

"Kak Wani! Apa tu??", jerit Anita yang duduk di sebelah. Wajahnya serta-merta pucat seperti tidak berdarah.

Lamunan Wani mengenai Fakry dan Nisa terbejat. Dadanya berdebar-debar. Liurnya ditelan berkali-kali. Kereta diberhentikan secara tiba-tiba. Jeritan Anita begitu mengejutkan.

"Akak tak nampak apa-apa pun?", tergagap-gagap Wani melafazkan kata.

Dari suluhan lampu kereta, Wani tidak melihat apa-apa yang aneh di hadapannya. Namun dia tidak menyangkal memang dia terlanggar sesuatu tadi. Bunyi gedebuk yang didengarinya tadi agak kuat. Masakan Anita menjerit lantang jika tiada apa yang dilanggarnya.

Wani beristiqfar berulang-kali. Dia cuba menenangkan diri. Jika benar dia telah melanggar sesuatu pasti benda yang dilanggarnya itu ada di bawah keretanya.

"Anita, nampak macam Kak Wani terlanggar budak tadi?", Anita bercakap sambil memandang lama wajah Wani. Bibirnya terketar-ketar.

"Be...be.. betul ke ni Anita? Astaqfirullahalazim.... ".

"Kita keluar kak, tengok", saran Anita.
Sebelum mempersetujuai saranan Anita, Wani memandang sekitar jalan tersebut. Kiri kanan dipenuhi hutan belukar tebal. Tiada lampu jalan. Rumah pun tiada di kawasan tersebut. Cuma kedengaran bunyi cengkerik dan unggas-unggas malam sahaja yang memeriahkan suasana. Sesekali kedengaran bunyi Burung Jampuk sahut-menyahut. Bulu roma Wani mulai tegak berdiri.

"Jomlah keluar kak, kita tengok", kedengaran suara Anita yang berbaur risau.

Wani akur. Pintu kereta dibuka. Aplikasi touch light dari telefon bimbit dihidupkan. Namun dia masih lagi tidak berganjak dari tempatnya berdiri. Dia cuma melihat Anita berlari pantas ke bahagian hadapan kereta.

Terbuntang mata Anita apabila terdapat tangan manusia dari bawah kereta tersebut. Anita menekup mulut. Cuba mengawal rasa terkejutnya. Tubuhnya menggigil. Air matanya tidak dapat ditahan dari tumpah.

Apabila melihat reaksi Anita yang yang berlainan perlahan-lahan Wani menghampiri sepupunya itu. Dia membongkokkan tubuh. Mahu melihat apa sebenarnya yang dilihat oleh Anita. Terlopong mulutnya apabila tubuh seorang budak lelaki terperosok di bawah kereta dengan kesan darah yang begitu banyak.

Wani jatuh terjelepok Anita pula masih kaku. Cuma tangisannya sahaja yang semakin kuat.

Berbekalkan semangat yang masih bersisa, Wani menarik budak lelaki itu. Maka terserlahlah wajah budak lelaki tersebut. Wajahnya berlumuran darah. Tubuhnya calar-balar. Pakaian juga koyak-rabak, malah terdapat kesan seperti kelaran di lehernya. Wajah Wani berkerut. Cuba memikirkan sesuatu.

Bagaimana kesan kelaran boleh ada di leher budak lelaki itu?. Adakah berpunca dari hentaman keretanya. Ah! Walau apapun itu memang salah dia. Dia yang leka mengelamun semasa memandu sehingga tidak menyedari apa yang melintas di hadapan.

"Anita berhenti menangis! Tolong akak angkat budak ni masuk kereta", arah Wani. Dia memandang kiri dan kanan jalan raya. Nasibnya baik tiada sebuah kereta pun yang kelihatan.

"Ba...ba..baik Kak Wani", Anita mengesat air matanya. Dia tidak mahu lagi mengeruhkan keadaan. Budak lelaki tersebut mesti cepat diselamatkan.

Mereka berdua pantas mengangkat budak lelaki tersebut masuk ke dalam kereta. Budak lelaki itu dibaringkan di bahagian belakang manakala Anita dan Wani cepat-cepat mengambil tempat duduk.masing-masing. Wani mula memandu. Walaupun masih mengeletar namun dikuatkannya juga semangat.

"Macammana ni Kak Wani, nak bawa ke hospital ke budak ni? Budak tu hidup ke dah mati?", Anita begitu risau akan keselamatan budak lelaki yang dilanggar itu.

"Entah, akak terlupa nak periksa nadinya tadi. Akak takutlah Anita. Dah macam kes bunuh pula ni, tapi akak tak sengaja", seriau. Wani betul-betul seriau.

Hembusan nafas Anita dihembus kasar. Dia buntu. Jawapan Wani tidak begitu membantu menghilangkan kegusaran hatinya.

"Kak Wani, tahu di mana hospital?", Anita bertanya lagi.

Spontan Wani menoleh ke arah Anita dengan wajah berkerut. Dia tidak tahu langsung di mana hospital, malah pekan yang terdekat pun tidak diketahui. Dia cuma memandu mengikut arah jalan raya yang terbentang luas sahaja. Ah! Buntu.

"Kampung Bukit Keramat tu jauh lagi ke Kak Wani? Anita rasa tak sedap hatilah, lagipun budak yang kita langgar kat belakang tu entahkan hidup atau mati", perlahan sekali suara Anita. Rasa takutnya bergelojak ketika ini.

Wani tidak membalas sepatah pun apa yang dikatakan Anita. Ketarnya masih belum hilang.

Melihatkan reaksi Wani yang lebih banyak berdiam diri, Anita menoleh ke tempat duduk belakang. Dia mahu pastikan sama ada dada budak lelaki tersebut berombak atau sebaliknya.

"Kak Wani berhentikan kereta sekarang?", jerit Anita kuat dan lantang.

Brek kereta ditekan secara mengejut. Tubuh Wani dan Anita terdorong ke hadapan. Nasib baik tali pinggang keselamatan dipakai. Jika tidak mahu kedua-duanya terhantuk kepala.

"Anita! Kenapa terkejutkan akak! Nasib baik tiada kenderaan lain di belakang kita, kalau tak....nahas tau!", marah Wani. Dadanya turun naik menahan amarah dari perbuatan Anita yang mengejutkannya sebentar tadi.

"Budak tu dah hilang", terasa mahu pitam di masa itu juga apabila tubuh kanak-kanak tadi lesap.

"Bu...bu...budak....".

"Budak lelaki tu dah tiada di tempat duduk belakang", terketar-ketar jari Anita menunding ke arah tempat duduk belakang.

Spontan Wani menoleh. Bagaikan mahu gugur jantungnya ketika itu apabila budak lelaki yang dilanggarnya tadi tiada di tempat duduk belakang. Cuma kegelapan yang menyimbahi bahagian tersebut.

"Mustahil. Budak tu cedera parah! Macammana budak tu boleh keluar dari kereta sedangkan.....", kata-kata Wani terhenti. Seingatnya tadi kereta yang dipandunya menunjuk ke angka meter 120 km/j. Mustahil seorang budak yang berumur dalam linkungan 9 tahun boleh melompat keluar.

Tanpa berbincang dengan Wani, Anita keluar dari perut kereta. Wani termangu melihat reaksi Anita yang begitu bersungguh-sungguh mahu mencari budak tersebut. Dia cuma melihat tubuh Anita meluru ke tengah jalan raya. Wani tahu pasti ada yang tidak kena pada situasi yang dialami mereka pada malam itu. Hatinya mulai berasa tidak sedap.

Di luar Anita berdiri mundar-mandir. Dia meninjau-ninjau sekeliling dan tercari-cari budak lelaki yang dilanggar tadi.

"Takkan boleh hilang macam tu je", bisik Anita sendiri.

Tubuhnya di bawa ke bahagian kiri dan kanan jalan yang dipenuhi hutan tebal secara bergilir-gilir, namun kelibat budak lelaki itu masih tidak kelihatan. Anita berdiri di tempat asalnya semula. Kepalanya didongakkan ke langit. Kelihatan bulan mengambang penuh memenuhi dada langit. Suasana ketika itu sedikit terang namun tetap suram. Secara tiba-tiba angin sepoi-sepoi bahasa menyapu tubuh Anita. Entah kenapa bulu romanya meremang. Dia seperti terasa diperhatikan.

"Ah! Perasaan aku je kot", gumam Anita sambil tangan kanannya memegang belakang leher.

Wani masih tidak berganjak dari dalam kereta. Mulutnya tidak henti-henti mengomel tindakan bodoh Anita yang meluru keluar tanpa berbincang dengannya. Tidak boleh berfikir logikkah, mana boleh seorang budak yang cuma manusia biasa tiba-tiba lenyap dari kereta. Lainlah jika yang mereka bawa tadi bukan manusia.

"Cari nahas betullah. Apalah yang kau buat berdiri tercegat di tengah jalan tu", Wani dapat melihat jelas susuk tubuh Anita yang berdiri tegak di tengah jalan melalui cermin pandang belakang.

Penyaman udara ditutup. Entah kenapa dia berasa amat sejuk. Tubuhnya terasa dingin. Rasanya mahu sahaja dia keluar dari kereta dan menyedut udara segar di luar . Namun dia takut. Mahu membuka tingkap kereta pun dia takut. Takut kalau-kalau ada sesuatu di luar yang akan mengheretnya keluar dan menjadikannya tawanan seperti yang dilihat di dalam filem-filem seram.

"Ah! Mengarut je", Wani protes apa yang bermain di mindanya.

Radio dibuka. Wani cuba menghilangkan rasa gusarnya. Matanya masih lagi memandang susuk tubuh Anita.

Bum! Bum!

"Apa tu?", liur diteguk berkali-kali.

Bunyi bumbung kereta seperti dipijak seseorang membuatkan Wani panik. Siapa pula yang sedang berada di atas bumbung keretanya ketika itu?

Bum! Bum!

Bunyi dentuman kedengaran semula. Malah bertambah kuat.

"Siapa tu? Jangan main-mainlah!", Jerit Wani. Tubuhnya mengeletar.

"He! he! he! ", hilaian halus terdengar dari atas bumbung.

"Siapa tu?", jerit Wani lagi. Tiada sahutan.

Di atas bumbung kereta figura seorang kanak-kanak berbaju compang-camping merangkak ke arah cermin kereta. Bunyi seretan kedengaran. Kepalanya ditelengkan ke arah cermin. Apabila terpandang.sahaja kepala kanak-kanak tersebut secara terbalik mengejutkan Wani. Tubuhnya tiba-tiba menjadi kaku. Berpeluh. Mengeletar. Matanya terbeliak.
...................................

"Wani! Astaqfirulallahalazim!", aku bermimpi rupanya.

Zubaidah terjaga dari tidur. Mimpi buruk yang dialaminya sebentar tadi mengusarkan hati. Belum pernah selama ini dia bermimpi sedemikian rupa. Dia dapat merasakan mimpi buruknya sebentar tadi mempunyai alamat yang tidak dapat ditafsirkan. Pastinya alamat yang tidak baik.

Jam dinding dipandang lama. Waktu telah berganjak ke jam 2.00 pagi. Zubaidah menyandar di kepala katil. Telefon bimbing dicapai. Telefon tersebut dipandang lama dan dibelek-belek. Tiada panggilan masuk dari Wani. Hampa.

Seingat Zubaidah. Wani berjanji mahu menghubunginya apabila sampai ke Kampung Bukit Keramat itu nanti, namun setelah dinihari masih lagi tiada panggilan dari anak tunggalnya itu.

"Ah...", kedengaran satu keluhan halus keluar dari bibir Zubaidah. Telefon bimbit diletakkan kembali di atas meja sisi.

"Wani belum sampai lagi ke?", gumam Zubaidah sendirian lantas lampu tidur di sebelah katil dipetik suisnya. Keluhan kasar dilepaskan

Telefon bimbit dicapai kembali. Nama Wani dicari di dalam phonebook, lantas didail. Setelah beberapa kali dicuba. Masih tiada jawapan.

"Kenapa aku rasa tak sedap hati ni. Kenapa Wani tak angkat telefon? Nak kata tiada talian. Talian bersambung, tetapi tak angkat", Zubaidah merungut lagi. Setelah itu dia bangun dan mundar-mandir di dalam bilik tidurnya.

Telefon bimbit yang telah sedia ada di tangan ditenung sekali lagi. Zubaidah masih belum putus asa mahu menghubungi Wani. Nombor didail.

Tut! Tut! Tut! Tut!

Talian diangkat.

"Hello! Wani! Wani! Hello! Hello!".

"He! He! He!", kedengaran suara ketawa seorang kanak-kanak di talian.

Suara hilaian kanak-kanak tersebut menyentap tangkai jantung Zubaidah. Dadanya berombak kencang. Tiba-tiba sahaja bulu romanya meremang. Kerisauan yang dialaminya makin membuatkan Zubaidah libang-libu.

Setahunya tadi Wani bertolak bersama Anita. Mana mungkin terdapat kanak-kanak pula yang bersama mereka. Ah, mungkinkah dia tersilap dengar?

Bum! Bum! Bum!

Bunyi dentuman pintu di tingkat bawah tiba-tiba kedengaran sehingga mengejutkan Zubaidah. Lututnya mengeletar. Tidak semena-mena lampu di keseluruhan rumah terpadam pula. Pandangan mata Zubaidah menjadi gelap-gelita. Tiada satu cahaya pun yang menerobos masuk bagi membantu penglihatannya. Zubaidah mulai panik.

"He! He! He!", suara ketawa kanak-kanak kedengaran di cuping telinga Zubaidah. Pintu bilik dipandangnya. Risau.

"He! He! He!", suara hilaian semakin jelas kedengaran.

Telefon bimbit yang dipegang terjatuh. Tubuhnya bagaikan terkunci. Dia kaku. Suaranya juga bagaikan tersekat di kerongkong.

"He! He! He!", suara ketawa itu masih lagi kedengaran namun kali ini seperti suara itu berada betul-betul di hadapannya.

"Ya ALLAH. Tolong aku", Zubaidah merintih di dalam hati. Dia tidak dapat mengagak apa yang bakal dihadapinya.

Tiba-tiba bekalan elektrik bersambung kembali. Cahaya kembali menerangi bilik tidur tersebut. Namun belum sempat Zubaidah menghela nafas lega. Satu susuk tubuh kecil berada di hadapannya.

"Ya ALLAH!", jerit Zubaidah.

Terkejut bukan kepalang apabila seorang kanak-kanak lelaki tanpa baju yang pucat wajahnya dan mempunyai kelaran di leher memandang tepat wajah Zubaidah. Kanak-kanak tersebut mengalirkan air mata darah yang membuak-buak dan berbau busuk.

Langkah kaki Zubaidah terundur ke belakang. Dia mahu berpaling ke arah lain, namun dia seperti dipukau untuk memandang mata kanak-kanak itu.

Bau busuk semakin menyengat hidung. Air mata darah semakin rakus mengalir. Susuk tubuh kecil semakin mendekati Zubaidah. Tanpa diduga susuk kecil itu menerpa ke arahnya. Tubuhnya terlentang ke belakang dan kepalanya mengenai bucu katil.

Akhirnya pandangan Zubaidah berbalam-balam.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif