Home Novel Seram/Misteri Destinasi
Destinasi
nurmazunie razif
11/7/2019 12:09:01
29,806
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 2

"Dari mana ni, pagi-pagi lagi dah keluar?", sapa Zubaidah di muka pintu.


Dia melihat Wani sedang terkial-kial menanggalkan selipar jerut belakang yang dipakai. Dia melihat jelas riak wajah sedih dan muram yang terpamer di wajah ayu anaknya itu.


Tanpa mengendahkan sapaan ibunya yang sedang memerhati lama gerak-gerinya sedari tadi, langkah kaki Wani diayun menuju ke ruang tamu.


Zubaidah cuma mampu mengeleng melihat tingkah-laku anak tunggalnya itu. Dia benar-benar tidak dapat menyelami hati dan perasaan Wani semenjak dari dulu lagi. Dia sama sekali tidak dapat mentafsir gelojak hati dan perasaan anaknya itu.


" Ibu tanya ni! Wani pergi mana? Kenduri ke? Keluar pagi-pagi dengan bertudung pula tu?" Zubaidah mengulangi soalannya.


Pertanyaan ibunya itu masih lagi tidak diendahkan. Wani terus sahaja berbaring di atas sofa empuk berwarna merah hati. Setelah berasa selesa merehatkan diri barulah dia mahu menjawab soalan ibunya.


"Dari kubur".


Zubaidah terkejut. Dahinya berkerut-kerut.


Siapa pula yang meninggal pagi-pagi ni? Kenapa aku tak tahu? Ataupun si Wani ni saja nak mempermainkan aku ke? Getus Zubaidah di dalam hati.


"Tiada siapa yang meninggal. Wani pergi kubur arwah papa. Dua hari lagi kan Wani terpaksa melapor diri ke luar daerah jadi sebelum pergi Wani rasa nak melawat kubur papa dulu", terang Wani panjang lebar.


"Oh! Wani buat ibu terperanjat je".


"Wani rindukan arwah papa".


" Ibu pun sama".


Tidak semena-mena setitis air mata menitis perlahan-lahan turun di pipi gebu Wani. Kenangan bersama arwah papanya menjalar di minda. 


Genap tiga bulan Wani ditugaskan sebagai guru sekolah, ayahnya pergi menghadap ilahi. Wani benar-benar merasa kehilangan. Kehilangan tempat bermanja. Kehilangan tempat mengadu dan kehilangan tempat meluah perasaan. Pemergian ayahnya sangat memberikan kesan mendalam.  


Masa berputar dengan begitu pantas, kini hampir 3 tahun ayahnya pergi buat selamanya.


"Kenapa ibu rasa awal sangat Wani mahu bertolak ke Kampung Bukit Keramat tu? ".


"Kampung tu jauh ibu. Sehari perjalanan baru sampai. Lagipun Wani mesti cari tempat tinggal kat sana tu!", Wani mengeluh perlahan. 


"Takkan ibu nak tengok anak ibu ni tinggal kat masjid kot", sambung Wani lagi sambil tersengeh nakal.


Wani mengeluh sambil bangun dari posisi berbaringnya sebentar tadi. Dia duduk menghadap wajah ibunya yang sudah berkerut merenungnya.


"Kamu tahu ke di mana letaknya kampung tu? Ibu rasa macam pernah dengar nama kampung tu, tapi ibu tak ingat di mana". 


"Wani pun tak pernah dengar nama kampung tu. Tapi masa di sekolah semalam ada Wani tanyakan pada Encik Zaki, pengetua sekolah Wani tu. Dialah yang beritahu Wani kat mana kampung tu", terang Wani panjang lebar.


" ye lah", balas Zubaidah pendek.


"Kamu pergi seorang ke?", soal Zubaidah kemudiannya.


"Wani pergi seorang je ibu. Ibu tak payah risau okey. Wani tahulah nak jaga diri", kata Wani sambil tersenyum. Tangan ibunya digengam erat.


"Macam ni lah, nanti ibu suruh Anita anak Pak Ngah Zaman tu temankan Wani melapor diri. Nanti bila cuti sekolah Wani baliklah sini hantar Anita tu", saran Zubaidah. Hatinya risau melepaskan Wani pergi berseorangan. 


"Boleh ke ibu?", membulat mata Wani memandang wajah ibunya. Terasa lega hatinya kerana ada yang sudi menemani. Jika tidak terpaksalah dia pergi seorang diri. 


"Inshaallah ibu rasa Pak Ngah kamu tu tak keberatan. Si Anita tu pun baru habis belajar".


Wani menggangguk. Perasaan tidak sedap hatinya tetap juga bertandang dan menujah-nujah benaknya. Entah kenapa semakin dekat harinya untuk dia melapor diri, samakin perasaan tidak sedap hatinya itu kian mencengkam.


*******


Sedari tadi Nisa mundar-mandir di hadapan pintu sebuah rumah usang yang terletak di dalam kebun kelapa sawit. Beg tangannya dijinjing sehingga mencecah tanah. Kesunyian yang menghantui tempat tersebut tidak dihiraukan. Dia cuma mahu melaksanakan hajat yang telah terpendam sejak sekian lama.


Dap! Dap! Krak! Krek!


Langkah kaki Nisa terhenti. Bunyi dedaun kering dan ranting patah di pijak seseorang kedengaran. Dia memerhati keadaan sekeliling yang dipenuhi pokok kelapa sawit yang telah matang dan hutan belukar kecil. Perasaan seram mula menjalar di seluruh tubuh. Mana tahu jika dari sebalik pokok atau semak samun itu keluar binatang buas seperti harimau, beruk mahupun apa sahaja yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada dirinya, Nisa mengagau sesuatu dari dalam beg. Sebilah pisau rambo dikeluarkan.


Dap! Dap! Krak! Krek!


Bunyi tapak kaki dan ranting patah masih lagi kedengaran. Air liur telah beberapa kali ditelan. Rasa takut cuba dikawal. Matanya dipicing ke setiap arah termasuk hutan belukar dan pokok-pokok kelapa sawit.


Bum! Bum!


Bagaikan mahu gugur jantung Nisa mendengar bunyi letupan seperti mercun di dalam ladang tersebut yang berbunyi secara tiba-tiba.


Nisa berdiri tegak bagaikan tiang elektrik. Pergerakan tubuhnya bagaikan terkunci. Jantungnya berdebar-debar laju. Arterinya bagaikan mahu pecah. Dia betul-betul takut ketika itu. 


Haruskah dia membatalkan sahaja niatnya mahu bertemu Dukun Siah dan lari dari ladang kelapa sawit yang dirasakannya berpuaka itu? Bebal. Otaknya tidak dapat berfikir. Dia masih lagi berdiri seperti patung bernyawa.


"Kenapa kamu ke mari?", sergah Dukun Siah dari arah belakang tubuh Nisa. 


Pisau rambo yang dipegang terlepas dari tangan. Pisau itu hampir-hampir mengenai jari kaki Nisa yang cuma bersandal. Pisau rambo tercacak di tanah. 


Nisa menelan liur. Jika pisau tersebut terkena jari kakinya tadi, mahunya dia meraung sekuat hati. Dia memang tidak boleh melihat darah. Rasa mahu pitam dan muntah dibuatnya.


"Nasib baik saya tak pengsan Dukun Siah", perwatakan Nisa berubah menjadi berang tiba-tiba. Suaranya kasar memarahi Dukun Siah.


Dukun Siah tersenyum lebar. Sikap kadar Nisa tidak langsung diendahkannya. Dia amat kenal dengan gadis di hadapannya itu. Mesti ada hajat duniawi yang mahu dilaksanakan dengan pertolongannya. Manusia memang tak pernah puas dengan apa yang telah dimiliki. Kemahuan dan nafsu yang membabi buta seringkali sukar dikawal. Ramai manusia seperti Nisa yang menemuinya semata-mata mahu mendapatkan apa yang dihajati dengan jalan mudah.


Namun pertolongannya bukanlah ikhlas semata-mata. Setiap pertolongannya pasti ada ganjarannya. Bukan mudah mahu mendapatkan sesuatu yang dihajati dengan jalan singkat. Dukun Siah mahukan ganjarannya setimpal dengan pertolongan yang diberikannya.


Dukun Siah meludah sireh yang dikunyahnya sekian lama ke tanah. Gumpulan sireh kemerah-merahan yang bercampur dengan air liur tersepuk membuatkan Nisa hampir mahu muntah. Namun ditahannya semampu mungkin. Dia tidak mahu memperlekehkan Dukun Siah. Pertolongan Dukun Siah amat diperlukan. Ada sesuatu yang perlu dilunaskannya. 


"Er..er...er..Saya mahukan Dukun Siah buat sesuatu untuk saya", tergagap-gagap Nisa mahu melafazkan hasratnya. 


"Naik atas rumah dulu".


"Ya".


Nisa melangkah ke arah tangga kayu yang dirasakannya bergoyang. Berhati-hati Nisa melangkah. Risau jika tersilap langkah nanti tidak pasal-pasal kakinya terperosok ke bawah tangga.


"Duduk kat tempat biasa", kedengaran suara Dukun Siah sayup-sayup di dalam rumah tersebut. Namun figuranya masih tidak kelihatan.


Nisa duduk bersimpuh di tempat perbomohan Dukun Siah. Bau kameyan semerbak baunya memenuhi ruang perbomohan itu.


Nisa meliarkan matanya memandang sekeliling dalam rumah itu untuk mencari kelibat Dukun Siah. Kelihatan di sebalik dinding rumah berhampiran dapur, Dukun Siah sedang mengantung sesuatu di dinding. Namun apa yang digantung tidak dapat dilihat jelas kerana suasana di dalam rumah itu benar-benar gelap cuma terdapat satu jendela sahaja yang dibuka.


Seusai melaksanakan tugasnya di dapur, Dukun Siah melangkah mendekati Nisa, lantas tiga batang lilin yang terletak di hadapannya dinyalakan. Dukun Siah merapatkan silanya. Wajah jelita Nisa dipandangnya tanpa berkelip. Nisa serba-salah.


"Kamu mahu apa lagi? Kekasih orang kamu sudah dapat", garau suara Dukun Siah berkata-kata.


Wajah tampan Fakry menerjah ruang ingatan Nisa. Dia tersenyum sendiri.


"Saya mahukan pertolongan Dukun Siah untuk melampiaskan dendam saya pada seseorang", Nisa mengetap gigi. Geram. 


Di paparan matanya telah terbayang wajah yang paling dibencinya selama ini. 


"Kau nak aku buat apa?", Dukun Siah menjegilkan mata. Nisa menelan liur.


"Buatkan musuh saya tu seperti orang gila. Jadikan dia gila Dukun Siah. Ini gambarnya", Nisa menghulurkan sekeping gambar seorang gadis berbaju kurung biru kepada Dukun Siah.


Dukun Siah menyambut huluran tersebut dengan mata yang mencerlung tajam. 


"Aku akan buat apa yang engkau mahu, namun ganjarannya bukan calang-calang", gertak Dukun Siah.


"Saya sanggup lakukan apa sahaja", Nisa memandang wajah Dukun Siah dengan seribu pengharapan.


Sengihan Dukun Siah bertambah lebar apabila mendengar persetujuan Nisa. Ada sesuatu yang tersirat di sebalik senyuman itu.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif