Home Novel Seram/Misteri Destinasi
Destinasi
nurmazunie razif
11/7/2019 12:09:01
29,903
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 7

Wani, Anita dan Nisa keluar dari kereta lantas menuju ke bahagian bonet belakang. Beg galas yang mengandungi pelbagai makanan ringan diambil.

Anita dan Wani masing-masing mengalas satu beg yang mengandungi makanan ringan seperti roti dan keropok sahaja. Manakala Nisa pula dipaksa oleh Wani mengambil satu beg galas yang mengandungi pelbagai minuman ringan. Minuman kotak dan juga tin. Beg tersebut agak berat sehingga membuatkan Nisa mengeluh dan merengus marah.

"Woi! Korang bagi aku beg berat ni. Mana larat aku nak angkat", bebel Nisa dengan nada suara separuh menjerit.

Dia sempat menjeling ke arah penanda jalan yang bertulis selekoh kilometer 46. Namun tidak dihiraukannya. Dia lebih fokus kepada rasa lapar yang semakin menyucuk-nyucuk perutnya ketika itu.

"Woi! Beratlah!", omel Nisa lagi dengan wajah masam mencuka.

"Padanlah dengan muka kau, nak sangat ikut kita orang!", tempelak Wani. Geram. Rasa mahu disikunya gadis itu yang banyak mengomel.

"Kalaulah telefon aku yang mahal ni ada signal, tak ingin aku nak ikut engkau oranglah!", balas Nisa. Tidak sudah-sudah dengan sikap suka menunjuk dan bermegah-megah. Telefon bimbit berjenama ditayang-tayang ke arah Wani.

Wani hanya membuat wajah mengejek ke arah Nisa. Malas dia mahu melayan sikap riak Nisa yang begitu keterlaluan.

"Sudah tu! Nah! kak Nisa. Ambil ni", Anita memberi sebuah troli kecil yang dikhaskan untuk mengusung beg kepada Nisa.

Lantas beg yang mengandungi pelbagai jenis minuman itu diletakkan di atas troli tersebut. Nisa mempamerkan riak kelegaan. Tidak ada lagi beban yang perlu digalas di atas bahunya lagi. Dia menghembus nafas lega.

"Kita nak ke mana ni Anita. Macam nak pergi jauh je gayanya ni. Kau nak masuk ke dalam hutan ni ke? Kau jangan macam-macam. Kalau terserempak dengan binatang buas nanti. Tinggal rangka kita semua tau", panjang lebar Nisa membebel. Riak ketakutan terpancar di wajahnya.

Anita memandang wajah Wani dan Nisa silih berganti. Senyuman nakal dilemparkan ke arah mereka berdua. kedua-dua mereka tidak mengerti langsung mengapa Anita boleh tersenyum seolah-oleh mereka semua telah terlepas dari bala kesesatan yang mereka alami sekarang. Ah sudah. Kena rasuk ke budak Anita ni!

"Kak Wani dan kak Nita perasan tak ada denai di depan tu. Nampak tak tu", jari telunjuk Anita ditunding ke arah sebuah denai memanjang yang kiri kanannya dipenuhi semak samun. Namun di tengah-tengahnya lapang seperti laluan pejalan kaki.

Serentak Wani dan Nisa memandang denai yang dikatakan Anita. Memang sah yang ianya sebuah denai iaitu sebuah lorong pejalan kaki. Namun penemuan tersebut tidak mengembirakan Wani dan Nisa. Mereka hairan, apa manfaatnya jika denai tersebut ditemui. Mereka masih sesat juga. Tidak tahu haluan yang hendak dituju, malah mahu bertanya tiada seorang pun yang kelihatan di sini selain dari hutan belantara yang mempamerkan suasana kelam dan gelap.

"Kenapa kak Wani dan kak Nita tak gembira? Anita teruja tau", Anita tersengeh. Dia begitu ghairah untuk ke sana apabila sahaja dia terlihat lorong tersebut, namun wajah Wani dan Nita mempamerkan riak hambar.

"Anita, tujuan sebenar kita tadi nak makan kan! Lepas tu kau tunjuk lorong tu untuk apa? kau tahu ke apa yang ada kat dalam denai tu? Entah-entah ada binatang buas ke? Bunia ke? Eee! Sudahlah! Apa kata kita makan je, lepas tu kita teruskan perjalanan. Mana tahu dalam satu atau dua kilometer lagi terdapat pekan koboi dan ada penduduk kampung. Bolehlah kita tanya dia orang jalan nak menuju ke Kampung Rasa Sayang. Lepas tu sah-sah aku boleh balik ke bandar. Faham!", bentak Nisa. Geram. Dia tidak mahu melengah-lengahkan masa. Lebih lama mereka di sini bermakna lagi lambatlah untuknya pulang ke rumah.

"Aha, betul juga kata Nisa tu Anita", Wani telan liur. Itulah kali pertama dia bersetuju dengan saranan Nisa.

"Tetapi mana tahu juga kalau di dalam denai tu ada perkampungan dan orang yang kita boleh bertanya?", saran Anita masih lagi tidak berputus asa.

"Ish! Budak ni. Bagi aku naik darah je! Mana ada orang nak duduk tengah-tengah hutan ni! Sudahlah tu. Jom makan. Dah kebulur dah aku ni", marah Nisa. Perutnya diusap-usap. Malas mahu melayan kerenah Anita yang tidak sudah-sudah dengan minatnya mahu melalui lorong tersebut.

"Okeylah", rendah suara Anita. Akhirnya dia mengalah.

Saranan Nisa dipertimbangkannya. Sebenarnya dia juga merasa was-was untuk melalui denai tersebut, namun hatinya ghairah untuk mengetahui apakah yang sebenarnya ada di sebalik denai itu. Nampak gayanya dia terpaksa melupakan hasrat tersebut. Dia lebih bersetuju kepada saranan Nisa. Selain hatinya ghairah untuk mengetahui sesuatu di sebalik denai tersebut hatinya juga melonjak-lonjak untuk keluar dari tempat dia berada sekarang.

"Jomlah kita ke bawah pokok getah kat sana tu, redup sikit. Bolehlah kita makan kat situ. Anita pun dah lapar sangat ni", tanpa mempedulikan reaksi Wani mahupun Nisa, Anita terlebih dahulu bergerak menuju ke arah pokok getah yang dimaksudkannya. Beg galas dibawa bersama.

Melihat sahaja Anita pantas bergerak. Wani dan Nisa membontonti. Mata masing-masing tidak lepas dari melihat ke arah hutan di sebelah kanan. Risau juga jika ada sesuatu yang tiba-tiba keluar dari hutan tersebut lalu menerkam mereka. Ah! Padah jawabnya. Manakala, di sebelah kiri pula adalah jalan raya. Sehingga ke saat ini sebuah kereta pun tidak mereka nampak melalui jalan tersebut. Situasi pelik yang dialami sentiasa menjadi tanda tanya di benak masing-masing.

Mereka duduk di bawah pokok getah yang agak redup. Angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup begitu menyamankan. Tubuh mereka terasa segar dan selesa. Kadang-kala mereka terdengar biji-biji getah meletup-letup. Satu suasana yang langsung tidak mereka perolehi apabila berada di bandar. Betul-betul memberikan ketenangan jiwa untuk beberapa saat.

Setelah beberapa minit berlalu, sebuku roti coklat bersama air soya habis dijamah dan diteguk oleh mereka bertiga. Mana tidaknya, sejak dari malam tadi tiada walau sebutir makanan pun yang masuk ke dalam perut. Masing-masing menlafazkan Alhamdulillah sebagai tanda syukur di atas rezeki yang dikurniakan kepada mereka. Perut tidak lagi berkeroncong.

"Kak Wani, Anita peliklah macammana Kak Wani boleh tersilap tengok destinasi yang Kak Wani sepatutnya diarahkan bertukar? Kak Wani ada makan apa-apa ubat ke?", Anita bertanya selamba.

Soalan yang diajukan Anita kepadanya benar-benar mengejutkan Wani. Adakah Anita memaksudkannya sudah gila. Sehingga dia melakukan kesilapan besar ini. Dia memang langsung tidak menyangka bahawa destinasi yang ditujui adalah salah.

"Anita nak tuduh akak gila ke? Hahahaha", entah mengapa Wani terasa lucu. Dia tergelak besar.

Anita dan Nisa sempat melemparkan pandangan geram dengan dahi yang berkerut. Mana tidaknya. Soalan yang diajukan bukannya kelakar sehingga menyebabkan Wani ketawa berdekah-dekah.

"Kau memang perempuan gila!", sebiji batu sebesar ibu jari dilempar oleh Nisa ke arah tubuh Wani yang masih lagi bersisa dengan ketawanya.

"Hoi! Sakitlah!", Wani mulai berang.

Wani bangun untuk menyerang Nisa, namun belum sempat Wani melangkah tiba-tiba sahaja dia mendengar sayup-sayup jeritan seorang wanita di dalam hutan belantara di sebelahnya. Telinganya dipicingkan betul-betul. Ya! Memang sah dia mendengar suara seorang wanita menjerit sayup-sayup di dalam hutan belantara itu.

"Weh, kau orang dengar tak suara seorang wanita menjerit di dalam hutan tu?", wajah Anita dan Nisa dipandang silih berganti.

"Cabul mulut kau kan! Aku langsung tak dengar apa-apa pun. Bunyi unggas hutan berbunyi adalah", tingkah Nisa.
"Betul aku dengar suara wanita menjerit, sangat jelas, aku tak tipu engkau orang", Wani mempertahankan hujahnya.

"Arghhhhhh!!".

Mereka bertiga tersentak apabila tiba-tiba sahaja di sebalik hutan terdapat suara wanita menjerit. Ternyata apa yang dikatakan oleh Wani sebentar tadi adalah benar. Suara itu kedengaran nyaring dan sepertinya wanita itu berada di dalam ketakutan.

"Jom tengok!", saran Wani.

Cepat-cepat Anita mengalas beg galas di bahu. Wani juga melakukan perkara yang sama. Cuma Nisa sahaja yang masih duduk sambil memainkan kotak minuman soya yang telah lama kosong.

"Hey! Kau taknak ikut kami ke?", soal Wani kasar.

"Weh, fikir logik boleh tak. Entah-entah yang jerit tu bukan manusia. Kan kita dekat dengan hutan sekarang ni. Jom lah, kita gerak sekarang. Hari pun dah pukul 4 petang ni. Dah lama tau kita lepak kat sini", Nisa mendongak memandang wajah Anita dan Wani yang sedang memerhatikan tingkah-lakunya sejak dari tadi.

Perasaan Nisa mulai dilanda rasa takut dan gusar. Di ruangan matanya mulai terbayang pelbagai kisah seram yang menakutkan. Mana tidaknya, tiba-tiba terdapat suara seorang perempuan di dalam hutan tebal. Di manakah logiknya. Mengapalah mereka berdua ini tidak berfikiran sepertinya.

Meluat sungguh Wani mendengar kata-kata yang baginya cuma mementingkan diri sendiri. Lagipun Wani memang sudah terlalu arif dengan sikap mementingkan diri yang ditonjolkan oleh Nisa sejak dari dulu lagi. Bagi Nisa yang penting cuma dirinya dan kehendaknya sahaja. Ah! Lantak kau la Nisa. Aku tetap nak tahu siapa yang menjerit tu. Mana tahu wanita tersebut memerlukan pertolongan.

Pantas sahaja tangan Wani menarik pergelangan tangan Anita. Dibiarkannya sahaja Nisa dengan pendiriannya. Malah mereka melihat Nisa begitu ralit bermain-main dengan straw yang dipegangnya sambil menguis-guis tanah serta daun-daun pokok getah yang telah lama gugur.

Malas sungguh mahu bertekak dengan Nisa. Tanpa Nisa pun mereka berdua boleh sahaja mengharungi hutan tersebut berdua. Lagipun, Nisa yang mengada-ngada mahu menumpang mereka.

Tanpa Nisa sedari Wani dan Anita telah memulai langkah menuju ke arah denai. Semuanya demi rasa kasihan terhadap manusia yang menjerit di dalam hutan tersebut. Anita dan Wani yakin suara tersebut adalah manusia. Mana mungkin hantu, hari kan masih siang.

Kelibat Anita dan Wani hilang di sebalik denai.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif