Home Novel Seram/Misteri Destinasi
Destinasi
nurmazunie razif
11/7/2019 12:09:01
29,961
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 8

Di rumah banglo dua tingkat milik Zubaidah. Kemurungan mula menghantui kediaman itu. Di dalam rumah itu dia bersendirian.

Kehilangan Wani membuatkan Zubaidah berada di dalam kesedihan. Ada kalanya di waktu malam dia akan dihantui oleh mimpi-mimpi buruk yang begitu menakutkan. Tidak terkecuali di dalam mimpi tersebut dia melihat Wani dan Anita silih berganti sedang meratah daging busuk. Mimpi tersebut berulang-ulang sehingga meresahkannya.

Ting! Ting! Ting!

Loceng banglo berbunyi nyaring. Zubaidah tersentak. Dia begitu ralit bermain-main dengan ingatannya terhadap Wani dan Anita. Dia bangun dari pembaringan lantas menuju ke pintu. Sebaik sahaja pintu dibuka terpancul wajah Roza.

"Mak Long, Roza nak tidur sini ye", tanpa menunggu persetujuan daripada Zubaidah, Roza menarik beg besarnya masuk ke dalam rumah. Terus sahaja dia duduk di ruang tamu.

Perlakuan Roza menerbitkan rasa hairan di hati Zubaidah.

Pintu utama ditutup kembali.  Zubaidah mendapatkan Roza yang sedang duduk di ruang tamu sambil membelek telefon bimbit di tangan. Punggung dilabuhkan di atas sofa empuk.

"Kenapa Roza datang ke rumah Mak Long malam-malam ni?", Zubaidah bertanya perlahan. Wajah putih melepak Roza dipandangnya dengan penuh pengertian.

"Roza takut dengan papa tu Mak Long. Sejak kehilangan Anita, papa banyak berubah. Papa menjadi seorang pemarah dan panas baran. Roza takut", terdapat air mata yang bergenang di kelopak mata Roza.

Telefon bimbit yang dipegangnya disimpan semula ke dalam beg tangan. Wajah tua Zubaidah yang masih lagi cantik dan menawan itu dipandang sekilas. Setelah itu Roza menundukkan wajahnya.

Wajah Roza mempamerkan reaksi sedih, Zubaidah lantas memeluk tubuh anak saudaranya itu. Dia bersimpati. Namun tiada apa yang dia dapat lakukan pada ketika itu kecuali membenarkan Roza tinggal di rumahnya. Dia dan Roza agak rapat. Roza sudah dianggapnya sebagai anak sendiri. Lagipun rumah banglo miliknya itu terlalu besar untuk dirinya seorang. Kehadiran Roza pasti serba sedikit dapat menghilangkan rasa bosan dan kerinduannya pada Wani.

"Boleh Mak Long tanya Roza?", Zubaidah memohon keizinan. Risau jika situasi sekarang ini tidak sesuai untuk bertanyakan itu ini pada Roza. Maklumlah, hati Roza sedang digayut perasaan sedih dan pilu saat ini.

"Boleh. Tanyalah apa yang Mak Long nak tanya. Mak Long jangan risau, Roza okey", Roza memahami Mak Longnya agak takut-takut untuk bertanya. Risau jika keadaan tidak sesuai. Namun dia okey. Dia berasa selamat berada di rumah Zubaidah.

"Sejak bila papa Roza berkelakuan pemarah dan panas baran? Baru dua tiga hari lepas Mak Long berjumpa dengan papa Roza. Namun kelakuannya macam biasa sahaja. Mak Long tak sangka pula yang papa Roza berkelakuan yang tidak sepatutnya", ulas Zubaidah panjang lebar.

"Yang pasti sejak kehilangan Anita kelakuan papa berubah. Tapi yang lebih pelik, Roza sering mendengar papa bercakap sorang-sorang. Kadangkala Roza berasa takut juga Mak Long", Roza memandang wajah Zubaidah tepat.

Zubaidah cuma memgangguk. Dia langsung tidak mengetahui kenapa zaman berkelakuan sedemikian rupa. Adakah sebab kehilangan Anita membuatkan adiknya itu mengalami tekanan perasaan. Ah! Mungkin juga. Mungkin juga adiknya itu memerlukan masa untuk menerima kenyataan akan kehilangan Anita. Seperti situasinya juga yang adakalanya menolak takdir bahawa Wani sudah tiada lagi di sisinya. Sama ada hidup atau mati tidak diketahui keadaannya. Namun dia tetap tabah dan setiap kali lepas solat tidak lepas-lepas dia berdoa memohon semoga Wani dan Anita lekas-lekas ditemui oleh pihak polis serta berada di dalam keadaan selamat.

"Sabarlah Roza. Nanti bila ada waktu yang sesuai, Mak Long akan nasihatkan papa Roza tu. Roza naiklah atas dulu. Waktu pun dah hampir tengah malam ni. Roza rehat dulu ye. Tenangkan fikiran. Jika Roza nak apa-apa cari Mak Long kat dalam bilik atau kat bilik bacaan", Zubaidah tersenyum.

Roza mengangkat beg dan terus meminta diri untuk ke tingkat atas. Rumah tersebut memang mempunyai bilik khas untuknya. Sejak dari dulu lagi Zubaidah menyediakan satu bilik untuk Roza jika sesekali dia bertandang ke situ.

Langkah kaki dan gerak tubuh Roza diperhati oleh Zubaidah sehingga Roza hilang di sebalik dinding tingkat atas.

Zubaidah masih lagi memikirkan tentang Zaman yang berubah kelakuan. Dia masih lagi bersangka baik. Pasti Zaman rasa tertekan. Okeylah. Bila masanya yang sesuai dia akan memberikan nasihat kepada Zaman. Dia tidak mahu anak saudaranya merasa terpinggir dengan ayahnya sendiri.

Zubaidah mendaki anak tangga ke tingkat atas. Bilik bacaan menjadi pilihannya. Dia mahu membaca buku bagi menghilangkan tekanan perasaan yang dialaminya. Sejak ketiadaan Wani di sisinya. Membaca adalah aktivitinya pada setiap hari.

Sampai sahaja di bilik bacaan.  Zubaidah menuju ke rak buku kesayangannya. Sebuah buku motivasi dari seorang pakar motivasi terkenal yang diminatinya sejak dari dulu diambil. Buku motivasi yang ditulis oleh pakar motivasi tersebut tersusun rapi di rak buku yang dikhaskan. Pelbagai warna, ketebalan dan saiz dapat dilihat tersusun cantik. Sebuah buku berwarna biru ditarik dan dibawa ke meja bacaan. Dia mahu membaca buku tersebut.

Sebaik sahaja Zubaidah melabuhkan duduknya di kerusi empuk berwarna hitam, tiba-tiba dia terdengar suara seorang kanak-kanak ketawa di belakangnya. Dia terkejut. Dadanya diusap beberapa kali. Mana tidaknya, secara logiknya mana ada kanak-kanak di dalam rumah banglo itu.

He! He! He!

Terdengar lagi suara kanak-kanak mengilai. Perlahan-lahan dengan tubuh yang terketar-ketar menahan rasa takut yang amat sanga Zubaidah bangun dari kerusi dan menoleh ke belakang.

"Tiada apa-apa pun", gumam Zubaidah. Dia mulai panik.

"Siapa itu. Siapa! Tolong jangan ganggu aku", jeritan Zubaidah bergema di dalam bilik bacaan tersebut. Walaupun takut, digagahkan juga dirinya untuk bertanya.

He! He! He!

Suara hilaian kanak-kanak  kedengaran lagi, malah bertambah kuat. Zubaidah, cepat-cepat membawa langkah kakinya keluar dari bilik tersebut. Tidak sanggup rasanya lagi dia mendengar suara hilaian yang entah dari mana datangnya itu.

Zubaidah berlari masuk ke dalam bilik tidur. Tubuhnya yang masih lagi mengeletar diselubunginya dengan selimut. Berpeluh-peluh dia menahan rasa takut yang teramat sangat. Hatinya ada terdetik mahu ke bilik Roza namun tubuhnya sudah tidak mampu untuk bergerak.

Beberapa minit berlalu, Zubaidah menarik nafas lega apabila suara hilaian kanak-kanak tidak lagi kedengaran. Selimut yang berada di paras muka disingkap. Seluruh bilik diperhati. Alhamdulillah! Suara hilaian itu tidak mengikut sehingga ke bilik tidur. Dia lega.

Tanpa disedari ada sepasang mata dengan wajah menderam marah sedang memandangnya. Ada sesuatu yang harus dilunaskan oleh sepasang mata itu. Namun masanya belum tiba.

Di bilik Roza.

Roza membelek-belek wajahnya di cermin. Beberapa titis serum disapu ke wajah. Dia tidak mahu wajahnya kelihatan kusam ataupun tidak berseri. Serum tersebut disapunya berulang-kali sehingga cecairnya kelihatan rata di seluruh wajah.

"Roza! Roza!", terdengar sayup-sayup ada suara memanggilnya.

"Mak Long ke tu? Masuklah Roza tak kunci pintu", kata Roza. Dia menoleh sekilas ke arah pintu yang bertutup.

Beberapa minit berlalu, namun pintu tersebut masih lagi tidak terkuak. Roza masih lagi menunggu kalau-kalau tubuh Zubaidah terpancul di muka pintu.

"Mak Long masuklah, kenapa tak masuk lagi!", Roza menjerit menyuruh Zubaidah masuk.

Roza bingkas bangun dari duduk lantas menuju ke muka pintu. Daun pintu dikuak luas. Kepala dijenguknya ke kiri dan ke kanan.

"Eh?!Mana pula Mak Long ni. Tadi bukan main lagi memanggil-manggil nama aku. Alih-alih kelibat pun tiada. Ishh..perasaan aku je ke?", Roza membebel sendiri.

Daun pintu ditutup kembali. Roza menuju ke katil. Tanpa disedarinya ada sesusuk tubuh kecil sedang bersamanya pada ketika itu. Namun dek kerana mata Roza yang berhijab, dia langsung tidak menyedari susuk tubuh makhluk kecil itu. Makhluk itu menyeringai ke arah Roza sambil kukunya yang tajam membelai-belai tubuh Roza. Tiba-tiba Roza terasa seram sejuk dan bulu romanya meremang.

Selimut di birai katil ditarik ke atas sehingga menutupi keseluruhan tubuh. Perlahan-lahan Roza terlelap bersama-sama makhluk aneh yang sedang mengulitnya di kala itu. 

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif