Home Novel Komedi/Romantik Komedi Biar Mereka Cemburu
Biar Mereka Cemburu
A. Darwisy
9/10/2013 21:04:09
120,247
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 7 + Pemenang Peraduan FORTEEN

Mak Mah kalau sedang memasak di dapur, usahlah diganggu. Silap-silap boleh melayang pisau di tangan dek melatahnya yang menjadi-jadi. Iedil tidak peduli, kalau boleh waktu wanita itu bersendirian di dapurlah, lagi suka disakatnya. Perlahan-lahan Iedil mengatur langkah, menyerang hendap dari belakang. Mak Mah yang sedang memegang seikat sayur kangkung, terkejut bukan kepalang apabila disergah Iedil yang sudah tidak dapat menahan ketawa.

Iedil tergelak-gelak apabila melihat Mak Mah tiba-tiba saja membuka pencak silat dengan sayur kangkung dihunus-hunus seperti sedang memegang sebilah keris lagaknya. Lagi Iedil mengacah-acah, lagi bertambah haru-biru keadaan di dalam dapur pada waktu itu. Mak Mah dalam melatahnya itu, sempat lagi berpantun empat kerat. Iedil yang mendengar, pecah perut dibuatnya.

“Kangkung bukan sebarang kangkung,

Kangkung aku beli dari pasar;

Datang dekat aku pelangkung,

Aku srikandi pantang dicabar! Yahhh!!!” Mak Mah meluru ke arah Iedil tanpa sedar. Habis muka pemuda itu ditonyoh-tonyoh dengan sayur kangkung sampai lunyai. Mengucap-ucap perempuan itu apabila baru tersedar yang dirinya di luar kawalan. Termengah-mengah wanita tersebut akibat disakat anak majikannya itu. Sementara Iedil terus-terusan memburaikan ketawa biar dia sudah terduduk dek tidak terlawan dengan kelincahan aksi ‘silat’ Mak Mah tadi.

“Ha...ha...ha... Mak Mah bersilat mengalahkan Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumillah. Dengan kangkung-kangkung pun boleh jadi! He...he...he...” Iedil bergelak sakan. Mukanya yang berbekas dengan daun-daun sayur kangkung yang melekat, dikesatnya dengan telapak tangan.

“Dah berapa kali Mak Mah pesan, kalau Mak Mah sorang-sorang, jangan terperanjatkan Mak Mah. Tengok apa dah jadi? Nasib baik Mak Mah tak pegang benda tajam tau!” Mak Mah sudah membebel. Iedil cepat-cepat membuat muka manja. Bibir bawahnya saja dijuihkan. Takut kena marahlah tu!

“Mak Mah marah Iedil ke? Uwaaa!!!” Iedil kalau dengan Mak Mah, manjanya bukan main lagi. Tidak sedar diri dah tua bangka. Mah Mah surut rasa geramnya serta-merta melihatkan wajah redup anak majikannya yang sudah dianggap seperti anak sendiri. Iedillah buah hati pengarang jantungnya. Yalah, dia bukannya ada siapa-siapa lagi. Sejarah hidupnya pahit, tidak mahu lagi dikenang-kenang perkara yang sudah lepas.

Tetapi dia bersyukur kerana ALLAH mempertemukannya dengan keluarga Tengku Alauddin yang berhati mulia. Selain bekerja sebagai pencuci di syarikat Tengku Alauddin, Mak Mah juga bekerja sebagai pembantu rumah di banglo tersergam indah keluarga itu. Dari belum akil baligh sampailah Iedil besar panjang, wanita itulah yang banyak mencorak keperibadian pemuda itu dalam meniti hari-hari perjalanan hidupnya. Pendek kata, tumpah manja Iedil lebih kepada Mak Mah, tidak kepada kedua-dua orang tuanya.

“Kamu dalam sehari tak buat muka cekodok kamu, tak sah! Itu ajelah modal kamu kan?” Mak Mah bercekak pinggang. Iedil tersengih-sengih serupa kerang busuk. Dia bangun dan memaut bahu wanita itu mesra. Dibawanya Mak Mah duduk di kerusi di mana di atas meja, sedikit berselerak dengan bahan-bahan tumis yang belum diracik-racik lagi.

“Muka cekodok Iedil nilah yang mahal, Mak Mah. Perempuan tengok boleh cair tau! Sampai termimpi-mimpi. He...he...he...” balas Iedil yang ada saja jawapannya.

“Pandailah kamu. Iedil kena ingat, setampan manapun kita, sehebat manapun kita, semuanya ALLAH yang beri. Dia pinjamkan aje, bila-bila masa Dia boleh tarik balik.” Mak Mah menitip pesan. Lembut nadanya. Iedil tersengih lagi.

“Mak Mah ni macam daddy tau. Asyik ceramah agama aje. He...he...he... InsyaAllah, Mak Mah... Iedil tak lupa tu. Mak Mah kan pernah cerita dengan Iedil dulu, ambillah iktibar dari kisah hidup Nabi Yusuf alaihisalam. Tampan luaran, tampan juga iman di dalam.” Iedil meyakinkan Mak Mah meski hakikatnya, terkadang dia sering terlupa. Godaan dunia terlalu mencabar keimanan. Lagi-lagi apabila bersama Marsha, buah hatinya. “Mak Mah nak masak apa sebenarnya dengan sayur kangkung tadi tu?” Iedil bertanya, mengubah topik cerita.

“Mahu masak sayur kangkung goreng belacan,”

“Sayur aje? Tema makan tengahari kita hari ni vegetarian eh, Mak Mah? Adeh...” tanya Iedil sambil mengusap-usap perutnya, sengaja mengusik. Wanita itu lantas mencubit pinggang Iedil yang mengekeh kemudiannya.

“Kamu kalau dalam sehari tak menyakat Mak Mah, memang tak sah kan? Sabar ajelah. Mah Mah dah siap masak ikan selar masak asam pedas dengan udang goreng tepung kegemaran kamu tu. Tengku dengan puan engku balik dalam pukul tiga nanti, mereka dah siap-siap pesan, suruh kamu makan dulu.” Mak Mah menyampaikan pesanan Tengku Alauddin dan Engku Zulaikha yang sekarang ini berada di Bentong, Pahang setelah bertolak ke sana pada malam tadi. Ada urusan penting kata mereka tetapi tidaklah dikhabarkan kepada Iedil. Balik hari saja kedua-dua pasangan itu.

Daddy dengan mummy tak beritahu Mak Mah, kenapa mereka ke Pahang? Macam ada perkara emergency aje sampaikan Pak Ngah pun terpaksa disuruh drive larut malam, semalam.” Iedil bertanya, mengharap Mak Mah mengetahui sesuatu. Pak Ngah adalah suami kepada Mak Mah, dialah pemandu keluarga itu sejak sepuluh tahun dahulu. Selain memandu, Pak Ngah yang rajin berkebun itu juga merupakan tukang kebun kediaman megah keluarga itu. Meski Tengku Alauddin tidak menyuruh lelaki tua itu melakukan kerja-kerja berat begitu tetapi Pak Ngah memang menggemari aktivit berkebun.

“Adalah Pak Ngah kamu beritahu Mak Mah tapi...” Mak Mah mempamerkan riak sedang berfikir. Iedil tertunggu-tunggu. Entah kenapa, urusan kedua-dua orang tuanya kali ini, sedikit sebanyak mengundang rasa ingin tahu dalam diri. Sebelum ini, tidaklah diambilnya kisah sangat.

“Tapi apa, Mak Mah?” Ada sedikit debar dalam hati Iedil. Mak Mah masih berkerut-kerut seperti tadi, seolah-olah ingatan tuanya sedang dikerah-kerah untuk bekerja. Bertambah saspens pula Iedil dibuatnya lagi-lagi menanti saat-saat wanita itu membuka mulut.

“Tapi... Mak Mah lupa...”

PAP!

Iedil menepuk dahi. Hujungnya, pemuda itu tergelak besar. Mak Mah pula tersengih-sengih.

“Mak Mah saja bikin saspens betullah! Ha...ha...ha... Cuba Mak Mah ingat betul-betul, apa yang Pak Ngah beritahu malam tadi?” Iedil mengambil pendekatan psikologi. Tidak memaksa meski hakikatnya, dia memaksa dalam diplomasi. Sementelahan, Iedil memahami yang Mak Mah ini kalau disuruh bercerita mendadak pada waktu itu juga, serba-serbi boleh hilang dalam kepalanya. Apabila beberapa minit sudah berlalu, barulah datang semula apa yang terakam dalam ingatan.

Mak Mah menarik kerusi dan duduk sejenak. Seikat sayur kangkung yang dipegangnya tadi sudah diletakkan ke dalam bekas plastik untuk dicuci. Iedil sabar menunggu. Nanti disergahnya, melatah pula orang tua ini. Sudahnya bersambung berpencak silatlah pula tidak pasal-pasal.

“Ha! Mak Mah baru ingat... Pak Ngah kamu beritahu, tengku dan puan engku ke sana sebab mahu ke balai polis.”

“Balai polis?” Iedil seperti tidak percaya akan apa yang didengarnya. Untuk apa orang tuanya perlu ke balai polis? Nun di Bentong pula? Iedil berfikir-fikir, cuba mencari jawapan. Melihat kerut resah di wajah pemuda itu, Mak Mah lekas memujuk.

“Iedil janganlah risau sangat. Balik daddy dengan mummy kamu, Iedil tanyalah mereka ya?” Mak Mah mengusul pendapat. Iedil terangguk-angguk. Tidak sabar pula dia menantikan jam tiga. Iedil berlalu meninggalkan Mah Mah, menghala ke ruang tamu. Otaknya ligat berfikir tetapi sudahnya yang dia temu adalah buntu.

Mak Mah dan Pak Ngah makan di dapur saja meski Tengku Alauddin saban kali mengajak sepasang suami isteri yang banyak berjasa kepada keluarga mereka itu untuk sama-sama menjamu selera di ruang makan besar. Tetapi Mak Mah dan Pak Ngah tetap menolak pelawaan itu dengan lemah lembut. Lagi-lagi apabila adanya Engku Zulaikha di rumah. Wanita itu tidak semesra Tengku Alauddin.

“Adik kau tu asyik buat hal aje. Suka betul memalukan mummy dengan daddy 24 jam! Lepas satu hal, satu hal lagi dia timbulkan!” Engku Zulaikha sudah membebel di meja makan. Iedil memandang tampang Tengku Alauddin, memohon penjelasan. Yalah, Iedil langsung tidak tahu akan punca sebenar kemarahan ibunya itu. Sekembalinya Tengku Alauddin dan Engku Zulaikha dari Bentong, kedua-dua orangnya itu terus dijemput makan oleh Mak Mah yang sudah siap-siap menghidangkan lauk-pauk yang panas-panas di atas meja makan.

“Fetri kena tangkap polis. Daddy dah jaminkan pun. Kenapalah liat benar hidayah nak meresap dalam jiwa adik kamu tu?” Tengku Alauddin yang lebih tenang dan berhemah penyusunan ayatnya, memaklumkan kepada Iedil. Serta-merta Iedil membeliakkan biji mata. Adiknya kena tangkap polis? Atas kesalahan apa pula kali ini?

“Dia buat salah apa daddy?”

Sexual harassment... mabuk punya pasal di Genting. Daddy pun tak tahu nak cakap apa lagi. Nasib baiklah budak perempuan yang jadi mangsa tu, tak kecohkan benda ni. Kalau tidak boleh jadi isu di suratkhabar.” Tengku Alauddin mendesah lemah. Langsung selera makannya mati memikirkan tentang perangai anak lelakinya yang seorang itu. Siapa kata menjaga anak lelaki itu senang dan anak perempuan itu payah? Baik Iedil mahupun Fetri, kedua-duanya punya cabaran tersendiri.

Iedil dan Fetri merupakan adik-beradik lain emak. Jarak umur mereka, selisih setahun cuma. Fetri tahun ini sudah masuk 30 tahun. Ibu Iedil adalah isteri pertama Tengku Alauddin yang sudah meninggal dunia, hampir sepuluh tahun yang lalu. Tengku Alauddin berkahwin lain dua tahun kemudiannya dengan seorang janda kaya berharta yang punya seorang anak lelaki. Engku Zulaikhalah orangnya.

Engku Zulaikha yang dulunya semedang bengkeng sifatnya, sekarang ini beransur-ansur lembut jiwanya meski tidak sepenuhnya. Barangkali kesan tarbiah si suami yang tidak jemu-jemu menasihat secara ikhlas dan penuh kasih sayang. Walaupun begitu, saki-baki jahiliah dalam segumpal daging bernama hati di dalam batang tubuh Engku Zulaikha tetap ada. Hati yang sering dihasut bisik-bisik jahat, untuk sering merusuh dan mencari kesalahan suami.

“Fetri dekat mana sekarang?” soal Iedil mengambil berat. Biarpun Fetri adik tirinya dan hubungan mereka agak dingin tetapi sebagai abang, Iedil rasa perlu menegur kesilapan adiknya itu sekali-sekala. Yalah, bukan baru pertama kali Fetri menyusahkan Tengku Alauddin tetapi semenjak dua buah keluarga itu bersatu. Ada saja tindakan yang boleh mencalar maruah keluarga dibuatnya.

Daddy malas hendak ambil tahu. Semalam lepas diikat jamin, berterima kasih pun tidak. Pantang ditegur, dengarnya tidak mahu. Entah perangai buruk siapa diikutnya!” Tengku Alauddin terlepas cakap lantaran terlalu mengikut hati yang geram. Engku Zulaikha tersentap! Wanita itu mendadak bangun dan mencuci tangannya yang masih berbekas lauk. Iedil sudah dapat menjangka, tidak lama lagi perang akan meletus dalam keluarganya itu. Cepat-cepat dia menghabiskan nasi di pinggan sebelum cuping telinganya terpaksa menadah mendengar suara Engku Zulaikha melengking-lengking di udara.

Tengku Alauddin yang seleranya mati lebih awal, turut bangkit dari kerusi dan membersihkan tangannya. Lelaki korporat itu menyedari akan kesalahannya yang terlajak kata sekejap tadi. Hendak tidak hendak, dia terpaksa memujuk si isteri yang kalau sudah terasa hati, rajuknya berpanjangan. Bahkan boleh bertukar menjadi dendam!

“Awak terasa ke dengan apa yang saya cakap tadi?” tanya Tengku Alauddin bersahaja sebaik kedua-dua suami isteri itu sudah berada di kamar utama. Engku Zulaikha pura-pura tidak mendengar. Subang bertatahkan permata yang masih di telinga, ditanggalkan di hadapan cermin. Sambil merenung tajam tampang si suami yang terzahir dari pembalikan imej di cermin. Tengku Alauddin yang berdiri tidak jauh di belakang, mempamerkan raut tenang.

“Awak fikir? Lainlah kalau saya ni dilahirkan tanpa perasaan!”

Zass! Engku Zulaikha sudah mula melenting. Itu baru permulaan. Tengku Alauddin tidak tahu sama ada kali ini dia mampu bertahan untuk bersabar dan terus memujuk atau membiarkan saja si isteri dengan egonya yang melangit tinggi.

“Fetri tu sudah melampau, saya tengok Zu. Kalau dia Iedil, memang saya sudah tangan-tangankan sejak dulu. Tengok Iedil, ada dia buat perkara-perkara tak senonoh macam Fetri?” lembut ucapan Tengku Alauddin tetapi Engku Zulaikha yang mendengar sudah berjelaga gegendang telinganya.

“Wah! Sejak bila awak dah pandai membanding-bandingkan anak sendiri ni? Mentang-mentanglah Fetri tu bukan anak awak, awak muliakanlah si Iedil tu ye?” Engku Zulaikha berfikir yang bukan-bukan. Hakikatnya, Tengku Alauddin tidak memaksudkan begitu.

“Bukan saya hendak membuat perbandingan tapi kita sebagai orang tua sepatutnya menjalankan peranan kita sebaik mungkin. Anak buat silap, kita tegur dia supaya dia cepat sedar! Bukan dimanja-manjakan lagi. Sudahnya, menyusahkan awak juga.” Engku Zulaikha tidak berkutik. Barangkali sedang menghadam segala kata-kata nasihat si suami masuk dalam kepala. Tengku Alauddin mengambil kesempatan ini untuk menyambung hujahnya lagi.

“Rasulullah sendiri sudah berpesan untuk kita memukul anak-anak kecil yang tidak mendirikan solat apabila usia mereka sudah menjangkau 10 tahun, inikan pula Fetri yang sudah layak bergelar bapak orang tu. Saya lihat, dia bukan saja tidak sembahyang bahkan perkara-perkara lain yang ditegah agama, langsung tidak dihiraunya sama sekali. Saya hendak nasihatkan dia, awak pula asyik back-up melulu.” Tengku Alauddin menzahirkan ketidakpuasan hatinya. Yalah, setiap kali dia hendak menegur kesilapan si anak, pasti Engku Zulaikha akan campur tangan. Manalah si anak tidak naik lemak.

“Habis, awak nak saya libas kaki dengan tangan budak tu sampai luka-luka, lebam-lebam segala! Ini bukan zaman dulu-dulu lagilah Tengku Alauddin, rotan anak dengan pembaris, ikat badan anak dengan pokok yang ada kerengga, tak praktikal langsung!” bidas Engku Zulaikha semula membuatkan Tengku Alauddin menggeleng-gelengkan kepala. Lain yang cuba disampaikan, lain pula pemahaman si isteri. Bagaimana lagilah mahu membuatkan wanita itu faham?

“Saya tak suruh awak libas budak Fetri tu tapi setidak-tidaknya, jangan menghalang apabila saya cuba hendak membentuk dia!” Tengku Alauddin lebih tegas kali ini berbanding pendekatan berhemah lagi berhikmah yang selalu digunapakai. Engku Zulaikha membuat muka cemberut. Wanita itu bangun dan menghampiri si suami. Berdiri betul-betul setentang dengan Tengku Alauddin.

“Sekali pun tidak saya izinkan awak sentuh anak saya! Awak kena ingat tu!” Engku Zulaikha mengeluarkan amaran sambil jari telunjuknya, lurus ditudingkan di hadapan suami. Tengku Alauddin mengeluh halus. Bertambah payahlah dia hendak menarik anak tirinya itu ke jalan yang lurus kalau awal-awal lagi, Engku Zulaikha sendiri yang menjadi batu penghalang utama. Dia tahu Engku Zulaikha terlalu menyayangi Fetri, satu-satunya anugerah yang dia ada selepas doktor mengesahkan wanita itu tidak boleh mengandung lagi.

Tetapi Engku Zulaikha terlepas pandang satu perkara. Menyayangi bukan bermaksud memberi segala kemewahan, kebebasan juga kehidupan dunia tanpa sempadan. Dan hujungnya kelak, ruginya berbalik pada Fetri sendiri. Hidupnya hancur, akhlaknya rosak, dan paling ditakuti sekali, tidak hinggap iman dalam diri. Itulah yang merusuhkan pemikiran Tengku Alauddin sekarang ini.

BERIKUT DISENARAIKAN PARA PEMENANG PERADUAN FORTEEN - BIAR MEREKA CEMBURU | A.DARWISY


AINI NIE

https://www.facebook.com/ainiami


IERA MAWI

https://www.facebook.com/lfc.iera


DILA NURFIASRA

https://www.facebook.com/starmieangel



SILA TINGGALKAN ALAMAT SURAT-MENYURAT BERSERTA NOMBOR TELEFON DI FB PAGE BIAR MEREKA CEMBURU UNTUK URUSAN PENGHANTARAN HADIAH. HADIAH BERUPA ALBUM EKSKLUSIF FORTEEN DENGAN TANDATANGAN ARIZ, AMEER, ONE DAN IZZUE ISLAM JUGA TANDA MATA ISTIMEWA DARI A.DARWISY. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.