Home Novel Komedi/Romantik Komedi Biar Mereka Cemburu
Biar Mereka Cemburu
A. Darwisy
9/10/2013 21:04:09
120,276
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 12

Marsha tidak sudah-sudah menagih jawapan. Naik serabut kepala Iedil dibuatnya. Sedangkan belum sampai seminggu berlalu dan dia tidak berjanji pun untuk memberikan keputusannya dalam masa yang terdekat. Malangnya, Marsha terus-terusan menekan. Tidak dapat di talian telefon, ke pejabat lelaki itu diterjahnya. Iedil bertambah hairan dengan ulah buah hatinya itu yang seperti terdesak saja gayanya. Kalau dulu, bukan main lagi dia mencipta macam-macam alasan bagi mengelak untuk berkahwin. Terbalik pula sekarang.

“I tak kira, you kena kahwin dengan I jugak!” Marsha memberi kata dua. Iedil yang sedang fokus membuat kerja di bilik pejabatnya, berasa terganggu. Yalah, Marsha tiba-tiba saja datang menyerang ke pejabatnya, serupa along mahu kutip hutang. Sudahlah begitu, buka-buka saja pintu, soal kahwin dibangkitkannya. Langsung tidak ada bunga-bunga ayat, gelojoh ada biadap pun ada sedikit. Iedil membuat penilaian.

“Hisy, boleh tak you tutup pintu bilik tu dulu? Apalah staf-staf I kata bila dorang terdengar nanti. You juga yang dapat malu,” Iedil tenang-tenang saja nadanya. Hendak tidak hendak, Marsha terpaksa akur pada kata-kata Iedil. Dia berjalan menghentak-hentak kaki menuju ke muka pintu lalu ditutupnya kemas daun pintu bilik tersebut.

“Okey, sekarang you dah bersedia nak kotakan janji you?” Marsha mengambil tempat duduk setentang di hadapan meja Iedil. Wajah lelaki itu direnungnya tajam.

“I masih tak ada jawapan yang you nak. Sorry dear...”

If not now, when???” Aura mendesak Marsha datang lagi. Ini yang membuatkan Iedil berasa semakin tidak selesa. Apatah lagi dengan sikap memaksa Marsha yang kian menjadi-jadi. Sementelahan, perempuan itu sejak kebelakangan ini, asyik marah-marah saja tingkahnya.

“You ganggu I kerjalah, dear. Can we talk about this later? Lunch time, maybe? Tak lama lagi pun. Sejam aje lagi...” pujuk Iedil lembut. Sekurang-kurangnya dia punya ruang masa yang singkat untuk menenangkan fikirannya yang mulai kusut.

“Eh, you kan bos? You boleh aje sesuka hati keluar, buat apa nak ikut protokol sangat?”

“I nak bagi contoh yang baik pada staf-staf I. Lagipun daddy I dah banyak kali pesan kat I, kepimpinan melalui teladan. Dia dapat tahu I curi-curi keluar nanti, nahas I dibuatnya.” Iedil membebel dalam tidak sedar. Tetapi sememangnya dia tidak berbohong tentang itu. Tengku Alauddin seorang yang menepati masa. Pantang sungguh orang tua itu apabila ada staf-stafnya yang mengelat dalam waktu bekerja. Lebih-lebih lagi kalau anaknya sendiri.

Whateverlah! I tunggu you dekat kafeteria bawah ni. Later, we decide where to go. See you in a hour, honey.” Marsha melangkah keluar dari bilik itu sambil melayangkan kucupan mesra. Hilang saja kelibat perempuan itu di balik pintu, Iedil sudah mati kutu. Mati kutu hendak memberi jawapan apa kepada Marsha nanti. Dia perlukan idea! Ya, dan oleh kerana itu, khidmat Reza diperlukan.

“Reza, masuk bilik aku kejap...”

Iedil berinterkom dengan Reza yang berada di bilik sebelah. Tidak perlu menunggu lama, lelaki itu sudah terpacak di depan pintu. Memandang Iedil dengan kening terjongket. Yalah, dia bukannya sedang duduk-duduk senang-lenang di pejabat tadi. Banyak kerja yang perlu diuruskan biarpun dia cuma penolong pengarah kreatif di situ.

“Kau nak apa ni? Hisy, aku tengah sibuk tau. Overhead bridge dengan flyover billboard untuk brand Canon aku belum siap lagi. Tak pasal-pasal Tengku marahkan aku pulak. Pelanggan kita mahu tukar latar iklan jadi warna hitam. Sudahnya terpaksa aku suruh orang-orang kita sediakan kelengkapan lampu suluh sekali apabila iklan tu dipasang nanti. Kalau tidak, mahunya tak nampak apa-apa bila waktu malam.” Reza menceceh, lebih pada mengadu sebenarnya.

“Alah, benda senang aje pun. Lima minit boleh siap. Tak payahlah nak kusut-kusutkan kepala.” Iedil mengambil mudah. Hakikatnya, dia tidak sabar hendak bertanyakan pendapat Reza, pembantu merangkap kawan baiknya itu.

“Banyaklah kau punya lima minit boleh siap! Nak jumpa aku sangat ni kenapa?”

Iedil tersenyum kambing. Pintu bilik pejabatnya dikunci dari dalam. Reza yang sedang menyandar batang tubuhnya di atas sofa empuk di bilik pengarah muda itu mulai berasa curiga. Tambahan lagi melihat Iedil yang berjalan menghampirinya dengan senyuman yang sukar hendak dimengerti maksudnya. Makin lama makin dekatlah pula. Reza sudah berfikir yang bukan-bukan. Iedil pula mengambil tempat duduk di sebelahnya dengan pandangan mengharap. Hisy, lain macam aje mamat ni! Desis hati Reza yang sudah bersedia dengan apa saja kemungkinan.

Sebaik saja tangan Iedil mendarat di pehanya, lintang-pukang Reza bangun seperti terkena renjatan elektrik. Iedil terpinga-pinga melihat ulah Reza yang serupa beruk kena belacan. Dia tergelak-gelak sudahnya.

“Kau tu dah kenapa? Ha...ha...ha...” Iedil gelak besar. Apatah lagi melihat muka pucat lesi si Reza, siap dengan kalutnya lagi.

“Kau jangan apa-apakan aku! Aku... aku... err... aku menjerit nanti!”

“Ha...ha...ha... Adoi, keras perut aku ketawa!” Sampai merah muka Iedil mentertawakan kawan baiknya itu. Hilang kusut dalam kepalanya buat sementara. Bikin lawak antarabangsa sungguhlah budak Reza ni!

“Kau fikir aku berselera tengok kau? Mati hidup balik kemudian jadi zombi lepas tu pun aku tak hingin, kau tahu tak? Ha...ha...ha...!”

“Habis tu, kau dari tadi aku tengok lain macam aje. Senyum-senyum... kunci pintu bilik segala, mahunya aku tak kalut fikir bukan-bukan? Huh!”

“Otak senget betul! Ha...ha...ha...” Terbuang masa lima minit itu dengan gelak ketawa. Iedil cuba membuang sisa-sisa rasa gelihatinya itu dan memanfaatkan masa yang berbaki kurang sejam itu dengan meminta pandangan Reza. Reza sudah kembali duduk di atas sofa. Kalau tidak tadi, sampai ke bahu sofa dia berdiri. Punyalah sengal. “Aku ada hal nak minta pendapat kau ni, Reza...” Iedil kembali ke mod gelisahnya. Serta-merta tampangnya berubah keruh.

“Nak minta pendapat aku? Apa kes, bro? Ce cerita ce cerita...”

“Marsha nak kahwin dengan aku,” sekali nafas Iedil memberitahu. Reza mencuit-cuit cuping telinganya. Dia tidak silap dengar rasanya.

“Jadi, apa masalahnya? Bukan ke itu yang kau tunggu-tunggu?” Reza naik hairan dengan sikap aneh Iedil yang seperti tidak gembira pula dengan berita itu. Dia pula yang saspens sudahnya.

“Masalahnya... itu dulu. Dulu memang aku admit aku tak sabar-sabar nak kahwin dengan dia tapi sekarang...” Iedil lambat-lambat hendak meneruskan ucapnya. Dia yakin dengan gerak hatinya cuma dia tidak pasti kenapa secara tiba-tiba, seolah-olah hatinya sudah tawar.

“Tapi sekarang? Sambung ayat kau tu balik...”

“Sekarang... Aku tak yakin yang dia jodoh aku...”

“Wow! Ini betul-betul breaking news ni, bro! Apa maksud kau dengan tak yakin dia tu jodoh kau? Kau dah ada pilihan hati yang lain meh?” tanya Reza teruja hendak mencungkil rahsia. Yalah, Iedil dan Marsha bukannya baru sebulan dua berpasangan bahkan sudah makan tahun. Semua orang mengatakan merekalah pasangan kekasih sehati sejiwa. Mana mungkin salah seorangnya dengan mudah boleh berubah arah. Mustahil pun ada juga.

“Aku tak ada pasang lainlah. Kau fikir aku ni buaya tembaga macam kau? Pantang nampak perempuan dahi licin. Hisy, esok-esok ajelah aku cerita lebih-lebih. Sekarang ni, aku perlukan idea bernas dari kepala otak berjambul kau tu. Kejap lagi, Marsha nak jumpa aku tanya sama ada aku nak kahwin dengan dia atau tak. Adoi, aku tak sukalah kena push-push macam ni! Kau ada akal tak macam mana aku boleh mengelak?” soal Iedil tidak mahu meleret-leretkan cerita. Dia bukannya ada banyak masa lagi hendak bercerita tentang soal hati. Tentang kenapa hatinya tidak lagi seperti dulu.

“Apa kata kau bagi alasan, kau senggugut?”

“Senggugut kepala hangguk kau!” Iedil dengan selamba menepuk kepala kawannya itu. Reza buat muka naif. “Ha, aku ada idea! Apa kata kau yang jumpa dia?” Iedil memetik jari. Wajahnya bersinar-sinar semula.

“Eh, kenapa aku pulak? Bukan dia nak kahwin dengan aku pun!”

“Alah, kau tolong wakilkan aku. Dia tunggu aku kat kafeteria lunch time kejap lagi. Pandai-pandailah ye kau bagi alasan. Ini arahan! Kalau tak, aku potong gaji kau bulan ni!”

Reza menganga mulutnya. Wakillah sangat! Pak sanggup, adalah! Reza merungut tidak puas hati. Hendak membantah, tidak beranilah pula. Nanti tidak pasal-pasal gajinya betul-betul kena potong. Iedil tersengih sumbing dan dalam kepalanya sekarang ini, hanya terfikir satu perkara. Dia perlu cabut dari situ sebelum Marsha menyerangnya semula di pejabat. Tetapi hendak buat semua itu, mesti berhati-hati. Tidak nanti, habis dicekup Tengku Alauddin disebabkan mengelat keluar pada waktu bekerja.

“Woi, kau nak ke mana pulak tu?” pekik Reza apabila mendapati Iedil sudah terhendap-hendap di muka pintu. Iedil sebenarnya sedang mencari-cari kelibat Tengku Alauddin kalau ada di mana-mana.

Yes!!! Line clear!” Iedil mengenggam buku limanya dan menghayunkan tangannya ke bawah. Punyalah suka! “Aku blah dulu, bro! Keh...keh...keh...” Iedil mengekeh ketawa dan dengan sepantas kilat meninggalkan Reza yang tercongok seorang-seorang di dalam bilik itu.

Selamat saja sampai di kawasan parkir, Iedil lekas-lekas masuk ke dalam kereta. Dia memecut laju tidak pandang kiri dan kanan. Lega sungguh hatinya kerana berjaya melarikan diri dari Marsha buat sementara waktu. Juga tidak tertangkap dengan ayahnya sendiri sekejap tadi.

“Err... sudah! Aku nak ke mana pulak ni?” Iedil baru tersedar. Punyalah dia memandu laju tidak ingat dunia tadi hingga tidak perasan sudah ke ceruk mana dibawa keretanya sekarang. Matanya terarah pada gerai-gerai tepi jalan yang sedang menghidangkan lauk-pauk untuk makan tengahari. Tidak semena-mena perutnya berkeriuk kelaparan. Apatah lagi melihat wap meliuk-liuk ke udara dari setiap hidangan yang baru diletakkan. Paling tidak tahan, ikan bakar sambal petai yang bikin nafsu makannya meluap-luap.

“Pergh! Kebulur aku dibuatnya,” Iedil sudah kecur air liur. Keretanya perlahan-lahan diparkirkan di bawah pokok yang sedikit teduh kawasannya. Kelihatan beberapa buah bas metro turut berada di kawasan berhampiran, barangkali para pemandunya berhenti rehat sekejap untuk makan tengahari. Keluar saja dari kereta, Iedil terus mengatur langkah menuju ke gerai di hadapannya. Dia tidak pernah ambil kisah pun makan di tempat biasa-biasa begitu.

“Ambil lauk, nak...” sapa peniaga gerai itu apabila Iedil sudah terpacak berdiri memandang dengan rambang. Semuanya dilihat sedap! Pinggan yang sudah disendukkan nasi panas, diunjukkan kepada Iedil. Iedil menyambutnya dengan senyuman buas di wajah. Serupa orang pelarian di Somalia, lelaki itu tidak tunggu lama mahu menceduk apa yang dihajat tadi.

Chup! Chup! Lauk ikan bakar sambal petai ni saya chup dulu!”

Membuntang mata Iedil apabila tangannya dihalang oleh satu tangan yang lain. Besar kecil besar kecil saja dipandangnya orang yang berani menyekat nafsu makannya yang sedang membuak-buak itu.

“Apa chup-chup? Siapa dapat dulu, dia punyalah!” Iedil membengkeng. Raut wajahnya sengaja digarangkan biarpun tak berapa menjadi.

“Ewah...ewah...ewah... cuba tengok senduk siapa atas siapa sekarang ni? Shuh! Shuh! Saya dapat dulu,”

Kurang asam punya perempuan! Boleh pula dishuh-shuhnya aku! Ingat aku anak ayam apa? Iedil membebel geram di dalam hati. Dia tidak mahu berputus asa. Ikan bakar sambal petai itu tinggal seekor saja di dulang lauk, barangkali yang selebihnya sudah habis. Memang tidaklah kalau dia mahu menunggu ikan bakar yang lain. Lagi-lagi sekarang ini perutnya tengah mendidih.

“Kalau macam tu, kita separuh-separuh. Kita potong dua. Awak ambil dari bahagian badan ke kepala, saya pula badan sampai ke ekor? Okey?” Iedil mendapat akal yang dapat memuaskan hati kedua-dua belah pihak. Win-win situation gitu!

“Eh, mana puas kalau macam tu? Awak tunggu ajelah second round punya lauk! Mak cik tu nak bakar lagi ikan tu. Tunggu ajelah. Lagipun saya memang makan kat sini selalu. Jadi secara automatiknya, sayalah yang lebih berhak! Lagipun ladies first okey! Tak malu ke?” Cadangan Iedil ditolak mentah-mentah. Kedua-dua mereka terus berdebat di depan gerai itu. Macamlah lauk ikan bakar sambal petai itu satu-satunya hidangan makan tengahari yang tersedia di situ. Masing-masing tidak mahu mengalah.

“Masalahnya, saya yang nampak dulu lauk ni!”

“Saya dulu!”

“Saya dulu!”

Mak cik di gerai makan yang terdengar suara bertingkah tidak jauh dari tempatnya berdiri, menggeleng-geleng kepala. Dua pelanggannya itu saling berlawan senduk, berebutkan ikan bakar sambal belacan yang tinggal seekor itu. Keadaan bertambah gamat apabila tidak semena-mena sambal petai itu terpercik ke muka pelanggan lelakinya. Mak cik itu terkekeh-kekeh ketawa. Gelagat orang muda, malas dia hendak masuk campur.

See!!! What have you done?” Iedil rasa mahu mengamuk serupa Nasir Bilal Khan di situ juga. Sudahlah satu-satunya ikan bakar yang diingini terlepas ke pinggan perempuan sebelahnya itu, dia pula hanya dapat saki baki sambal petainya saja. Paling malang sekali, sambal petai itu boleh pula terpercik ke muka dan sebahagian kemejanya. Malunya! Kalaulah dia punya kuasa petik jari dan kemudian ghaib begitu saja, waktu itu juga dia menggunakannya.

“Ha...ha...ha... Loser betullah awak ni! Ha...ha...ha...” Perempuan di sebelah Iedil menggelakkannya secukup-cukupnya. Sabar ajelah! Iedil mengetap giginya geram yang amat sangat. Nasiblah kau perempuan, kalau tidak dah lama aku cepuk-cepuk! Gumamnya dalam hati.

Hendak tidak hendak, Iedil terpaksalah mengalah. Dia tidak dapat menerima kenyataan yang dia kalah dalam perjuangan mendapatkan ikan bakar sambal petai itu. Terkial-kial dia mencapai kotak tisu yang diletakkan di meja berlauk gerai makan itu untuk mengelap percikan sambal yang mengena baju dan mukanya. Ah, malang betul dia hari ini.

Beberapa minit kemudian, barulah ikan bakar yang lain siap dimakan. Iedil terpaksa menunggu lama sedangkan perempuan yang terlebih dulu mendapatkan lauk itu, sudah selesai makan dan bangkit dari kerusi hendak beredar. Di samping perempuan itu, kelihatan beberapa orang lelaki yang turut serta. Iedil mengekori perempuan tersebut dengan pandangan matanya.

“WPV 4541? Cis! Inilah bas yang buat aku mandi air longkang dulu tu! Kurang asam! Rupa-rupanya kaulah konduktor bas yang tak ada tamadun tu ye? Siap kau esok!!!” Iedil mengepal buku limanya. Akhirnya, dia dipertemukan juga dengan perempuan yang sakan bergelak tawa apabila batang tubuhnya terkena simbahan air lopak jalan tidak lama dulu. Geram punya pasal, dia tidak sedar yang tangannya sudah menumbuk-numbuk permukaan meja. Semua mata yang berada di gerai makan itu memandangnya aneh.

“Sekarang, aku dah tahu nak cari kau kat mana! Kau kata kau selalu makan kat sini kan? Ha...ha...ha... perhitungan darah kita masih belum selesai, perempuan! Grr!” Iedil mengecilkan matanya. Memasang wajah garang. Biarpun untuk kesekian kalinya, wajah garang lelaki itu langsung tidak menjadi. Nampak comel adalah. Eh!

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.