Home Novel Komedi/Romantik Komedi Biar Mereka Cemburu
Biar Mereka Cemburu
A. Darwisy
9/10/2013 21:04:09
120,216
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 6 + Peraduan FORTEEN

Nad, Aini dan Aminah sudah berjanji untuk sama-sama turun ke dapur pada hari ini. Mereka bercadang hendak memasak nasi kukus ayam goreng berempah. Pagi-pagi lagi mereka sudah bangun dan bersiap hendak ke pasar basah membeli bahan-bahan yang sepatutnya. Duduk bujang seperti mereka, memang jarang sangatlah untuk masak tiap-tiap hari. Boleh dibilang dengan jari, berapa kali mereka memasak dalam erti kata sebenar dalam sebulan itu. Setakat merebus mi Maggi, rajinlah mereka.

Manakan tidak, Aini bekerja di kilang elektronik, sekejap syif pagi sekejap syif petang sampai ke malam. Aminah pula di restoran makanan segera yang mana kerjanya juga mengikut syif. Tidak terkecuali Nad yang selalu benar bekerja lebih masa walaupun dia cuma seorang konduktor tiket bas. Masing-masing punya kekangan waktu mereka sendiri.

“Kak Min bila mahu beli kereta baru ni? Sempitlah kereta ni! Seat dia pulak dah serupa bangku batu, boleh kematu punggung ni tau,” Aini menceceh sebaik punggungnya mencecah tempat duduk. Saban kali menumpang kereta Aminah, ada saja kompelinnya. Tak selesalah, aircond tak sejuklah, sound speaker tak sedap dengarlah! Sabar sajalah!

“Kau tiap kali naik kereta aku, ada ajelah kau punya komen kan? Hello! Nasib baiklah ada kereta Kancil aku ni tau! Kereta ni jugaklah yang banyak sumbang khidmat bakti negara dekat kita semua. Jangan nak banyak songeh,” tukas Aminah lalu disambut riak bersahaja tidak makan saman pada raut wajah Aini. Nad tersengih saja melayan kerenah dua teman serumahnya itu.

Sepanjang perjalanan ke pasar basah, Nad banyak mengelamun dan berdiam diri. Tidak menghiraukan Aini yang sudah menjadikan keadaan dalam kereta itu seperti bilik karaoke. Naik sakit telinga Aminah yang sedang memandu, mendengar si Aini menyanyi sumbang setiap lagu yang berkumandang di corong radio.

“Cara pandang kita terhadap dunia akan tampak berbeza mengikut tingkap perspektif yang kita buka. Dalam kereta ni, aku nampak dunia di luar lebih indah...” tiba-tiba Nad yang sedari tadi membisu tidak berkata, bergumam antara dengar dengan tidak. Aminah cepat-cepat jarinya memperlahankan suara radio. Sementara Aini yang telinga lintah, berkalih tubuhnya ke belakang, berkerut dahi memandang Nad yang masih ralit memerhatikan pemandangan di luar.

“Kau bersajak ke, hafal skrip drama ni Nad? Ke otak kau dah tak center? Ha...ha...ha...” Selamba oh la la saja Aini menyembur kata-kata keramatnya. Aminah yang berada di sebelah, ringan saja tangannya menampar bahu Aini. Aini mencebik bibir.

Nad terpinga-pinga apabila tubuhnya dicuit Aini yang geram apabila pertanyaannya tadi tidak berjawab. Nad yang baru tersedar dari lamunan, terasa terbius akal fikirannya. Sungguh, dia mudah terlarut dalam keindahan yang ALLAH tawarkan.

“Kenapa?” soal Nad kehairanan.

“Lah, dia pulak tanya kenapa? Tadi, aku dengar kau bercakap tentang tingkap apa ke jadah entah? Tingkap apa yang kau nak buka?” Aini teruja hendak tahu. Ah, perempuan seorang ini serba-serbi dia hendak tahu. Busybody bukan main!

Nad ketawa kecil. Aini berkerut dahinya. Tadi bercakap seorang-seorang, sekarang tergelak pula. Sah, dah tak berapa nak center kawan aku ni. Bisik Aini dalam hati.

“Cuba kau pandang ke luar, dari cermin pintu sebelah kau tu. Apa yang kau nampak?” uji Nad sebagai menjawab pertanyaan yang dilantunkan Aini kepadanya sebentar tadi. Aini ragu-ragu hendak menjawab. Sementara Aminah yang sedang fokus memandu, sekadar tumpang mendengar.

“Err... aku nampak pokok, aku nampak... kereta Ford Mustang warna hijau. Eh, boleh tahan handsome juga pemandu dia! He...he...he... Hisy, kau tanya aku soalan pelik-pelik ni kenapa? Betul tak jawapan aku?” jawab Aini lurus. Tetapi dalam masa yang sama, matanya tidak lepas memandang pemandu kereta itu yang tadinya sebelah-menyebelah di atas jalan raya. Dasar merenyam perempuan ini.

“Betullah tu. Aku pun nampak pokok, nampak langit, nampak burung-burung berterbangan. Apa yang aku nampak dengan apa yang kau nampak, sama aje. Tapi ia akan jadi berbeza bila kau duduk di tempat aku dan aku pula duduk di tempat kau. Meski pemandangannya sama tetapi cara kita pandang sesuatu itulah yang membuatkan ia berbeza. Tingkap perspektif perlu dibuka bukan hanya pada satu arah saja tetapi dalam arah yang berbeza-beza. Sama seperti kita memandang sesuatu masalah. Masalah akan tinggal masalah kalau kita tidak cuba untuk menyelesaikannya mengikut cara yang terbaik. Tidak dapat dengan cara itu, cuba dengan cara yang lain pula. Kau faham ke tidak dengan apa yang aku cakap ni?” soal Nad semula. Aini tergaru-garu kepala, cuba mencerakinkan apa yang cuba Nad sampaikan. Malangnya, semakin berselirat pula otaknya. Kali ini, giliran Aminah pula ketawa terbahak-bahak. Dia mentertawakan Aini sebenarnya.

“Tak fahamlah tu! Itulah kau, membaca kurang! Itu yang lembap otak nak berfikir. He...he...he...” Sedas Aminah mengenakan Aini yang malu sendiri. “Kita ni biarpun kerja tak bagus mana, belajar tak tinggi... tapi perlu ada azam untuk memajukan diri. Dan membaca adalah salah satunya. Jangan asyik dengar lagu, menyanyi aje.” Setepek lagi kena ke muka Aini. Seronok pula Aminah menyakat teman serumah merangkap kawan baiknya itu. Aini buat muka mengalah.

“Yalah... yalah... Aku tahulah aku tak bijak macam kau orang berdua. Sampai hati kata aku lembap... Aku touching tau. You broke my heart,” Aini mempamerkan riak konon-konon bersedih tetapi disambut dengan dekahan ketawa Aminah. Dia sudah masak sangat dengan perangai Aini. Pandai berlakon saja lebih.

“Ulang-ulang, ayat Inggeris itu ajelah yang kau tahu kan? He...he...he... Maksud Nad tadi, setiap manusia itu perlu memandang kehidupan bukan hanya pada satu tempat aje. Jangan jadi seperti katak bawah tempurung. Dunia ini akan jadi lebih indah apabila kita memandangnya dari arah dan sudut yang berbeza. Penting sekali, hati kita mesti bersih. Betul tak Nad apa yang akak cakap ni?”

Nad mengangguk laju dan tersenyum manis. Aini yang baru memahami akan intisari sembang-sembang ilmiah itu turut terangguk-angguk kepalanya. Dia juga tersenyum lebar. Berasa bertuah dapat kawan-kawan yang tidak lokek ilmu ini.

Nad, Aminah dan Aini sakan membeli-belah di pasar basah. Di tangan masing-masing, menjinjing plastik berisi bahan-bahan masak yang dibeli mereka. Ada seekor ayam yang sudah siap dipotong lapan, sepeket rempah kari ayam, serbuk kunyit, cili hidup, bawang putih, bawang merah, halia, timun dan macam-macam lagi. Sekali-sekala memborong besar, seronok juga.

“Ada lagi yang tak cukup?” tanya Aminah sebelum mereka meninggalkan pasar basah itu. Baik Nad mahupun Aini menggelengkan kepala. Semua bahan resipi sudah dibeli, tinggal lagi hendak memasak. Sedap atau tidak, belakang kira.

Aminah mendahului yang lain-lain menuju ke kereta Kancil yang diparkirnya tidak jauh dari situ. Semua plastik yang dijinjing mereka tadi, diletakkan ke dalam ruang simpan belakang kereta. Aini cepat-cepat masuk ke dalam kereta kerana cuaca hari ini agak berbahang dan panas meski baru pukul 10.00 pagi. Aminah lekas-lekas menghidupkan enjin kereta. Sementara Nad yang baru hendak membuka pintu, tidak jadi berbuat demikian.

“Kejap eh?” Nad menyuruh kawan-kawannya menunggunya sekejap. Dia berlari-lari anak ke satu arah. Seorang wanita, barangkali sudah melepasi 50 tahun usianya, terkial-kial menjinjing plastik yang sarat dengan kandungan. Segera Nad menghulurkan pertolongan.

“Makcik boleh ke tidak bawa ni semua? Mari saya tolong...” Nad melukis senyuman ikhlas di wajah. Kasihan pula dia melihat wanita itu bersusah-susah hendak bergerak dek plastik yang dibawa agak berat bagi keupayaan tuanya itu.

“Terima kasih, nak...” Wanita itu tersenyum gembira. Jarang-jarang ada orang muda yang berhati mulia seperti perempuan muda ini. Puji wanita itu di dalam hati.

“Tak perlu berterima kasihlah makcik. Tak susah manapun. Makcik balik ni dengan siapa? Naik bas ya?” Nad bertanya jujur. Yalah, risau juga kalau-kalau wanita itu dibiarkan seorang-seorang menunggu bas. Sudahlah perhentian bas dari pasar basah itu, sedikit jauh jaraknya terkehadapan. Terpaksa berjalan kaki. Kasihan kudrat tua itu terpaksa dikerah untuk menapak pula.

“Makcik tunggu... Ha, dah sampai pun! Terima kasih ya, nak. Sebelum tu, boleh makcik tahu nama anak ni siapa?” Lembut wanita itu bertanya, kaya dengan budi bahasa. Nad tersenyum manis.

“Nadia, makcik. Okeylah, makcik... saya balik dulu. Assalammualaikum.” Wanita itu menjawab salam yang diberi. Tidak ketinggalan, segaris senyuman tua mengiringi lambaian pertemuan singkat mereka. Beberapa saat selepas itu, sebuah kereta Ford Mustang menghampiri wanita berkenaan. Sementara Nad sudah pun masuk ke dalam kereta Kancil yang terparkir selangkah dua dari tempatnya membantu wanita tadi.

“Siapa makcik tu? Kau kenal ke?” serbu Aini dengan pertanyaan sambil sekejap-sekejap dia memandang ke belakang. Sudahnya dia membuka cermin pintu dan menjulurkan kepalanya ke luar. Buruk perangai sungguh. Kereta yang bergerak laju di atas jalan raya, membuatkan tudung yang dipakai Aini senget sebelah jadinya ditiup angin deras.

“Tak kenal pun. Alah, apa salahnya tolong-menolong? Yang kau ni asyik tertoleh-toleh ke belakang ni kenapa? Duduklah betul-betul. Tak pasal-pasal kepala kau kena cantas nanti!” Nad menegur. Aini seriau mendengar perkataan cantas itu. Terbayang-bayang pula kepalanya bergolek-golek di atas jalan raya. Hisy, nightmare!

“Makcik yang kau tolong tadi tu naik kereta Ford Mustang,” Aini begitu teruja.

“Jadi, apa masalahnya?” Serentak Nad dan Aminah melantun ucap yang sama.

“Bukan ke itu kereta yang aku cakap pemandu dia handsome tadi tu? Alah, dalam perjalanan kita nak ke pasar, waktu tu kita cakap tentang tingkap, pintu and what so ever tu!” Beria-ia Aini memperincikan kenyataannya. “Kenapa bukan aku yang tolong makcik tadi? Aduh, melepas!” Membebel Aini seorang diri.

“Oh, kau nak ambil kesempatanlah tu ya? Nak menolong pun tak ikhlas. Itu yang Tuhan tak aturkan tu. Dia tahu niat kau tu.” Aminah menggeleng-geleng kepala. Sementara Nad hanya tersenyum nipis.

“Yalah, manalah tahu makcik tu mak kepada pemandu handsome tadi tu. Untung-untung makcik tu terpikat dengan aku yang kaya dengan budi bahasa ni, dipinangnya aku untuk anak lelakinya terus. Happily ever after gitu! He...he...he...” Aini berangan jauh. Tersenyum-senyum kambing.

“Simpan ajelah angan-angan kau tu, Aini oi! Kau fikir kau dalam drama? Terlanggar bahu aje, dalam sekelip mata boleh terus jatuh cinta? Ini real life, cik Aini binti Samad oi. Cinta dalam drama dan cinta dalam realiti kehidupan sebenar, dua perkara yang jauh berbeza.” Aminah menepuk-nepuk lembut pipi Aini.

“Tapi pengarah takkan buat drama kalau cerita tu tak berlaku di dunia realiti! Betul tak, Nad?” Aini tidak mahu mengalah kali ini. Pandai pula dia berbidas. Sudahnya, Nadia pula yang terpaksa menjadi hakimnya.

“Aku sokong dua-dua. Cuma... dalam drama, kita akan tahu penghujung ceritanya sama ada sedih mahupun gembira. Tapi dalam drama kehidupan kita yang sebenar, tak tercapai akal kita dengan qadak dan qadar ALLAH. Pengakhiran kita sama ada baik atau buruk bergantung pada bagaimana kita melalui hari-hari dalam hidup kita. Banyak buat pahala, insyaAllah ke tempat baiklah kita. Banyak buat dosa, bersedia ajelah dengan kemurkaanNya.” Putus Nadia. Baik Aini mahupun Aminah tertelan air liur mereka. Tidak semena-mena mereka berasa kecut-perut. Nadia bermuhasabah diri sendiri. Dia akur dirinya juga terlalu banyak kekurangan. Banyak cacat-celanya. Namun tidak sekali-kali dia berputus harap untuk cuba memajukan diri. ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah nasib mereka sendiri. Dan Nad berpegang pada itu.

JAWAB 6 SOALAN MUDAH INI DAN HANTARKAN KE INBOX PAGE BIAR MEREKA CEMBURU. TARIKH TAMAT PERADUAN 7 JANUARI 2014

BAB 1

1. Apakah jenis kereta yang dipakai Iedil?

BAB 2

2. Selain bekerja sebagai konduktor bas, namakan kerja berat lain yang pernah dibuat oleh Nadia (Nad).

BAB 3

3. Apakah kek kegemaran Marsha?

BAB 4

4. Berikan tarikh yang dipilih oleh Sofea yang mahu merancang berkahwin dengan Rostam.

BAB 5

5. Kuih apa yang dimakan Sofea sewaktu sarapan pagi?

BAB 6

6. Ayat Inggeris apakah yang seringkali disebut Aini dan menjadi bahan tawa kawan-kawannya?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.