Home Novel Komedi/Romantik Komedi Biar Mereka Cemburu
Biar Mereka Cemburu
A. Darwisy
9/10/2013 21:04:09
120,272
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 2

“Keh...keh...keh...! Merasalah milo tepi jalan!” Nad tidak habis-habis mengekeh dari tadi. Terhibur sungguh hatinya melihat kekalutan lelaki berkemeja putih dan bertali leher merah jambu itu tadi. Itulah, siapa suruh berdiri dekat dengan lopak air. Padanlah muka. Nad tersengih-sengih.

“Kau ni dah kenapa, Nad?” tegur Rostam yang tidak sedar apa yang berlaku. Lelaki itu, tahunya memandu saja. Masakan hendak melilau matanya ke kiri dan ke kanan, silap gaya bas yang dipandu pula bertembung dengan kenderaan lain. Menempah maut namanya.

“Tadi, ada mamat loser kena simbah dengan air lecak... baik punya terpercik! He...he...he...” cerita Nad seimbas lalu.

“Kau kalau bab menggelakkan orang, nombor satu! Nad, malam ni teman abang boleh?” Rostam mengalih tajuk perbualan. Nad berkerut dahi.

“Teman abang ke mana?”

“Kita tengok wayang... abang ada empat tiket wayang ni. Dua keping tiket, abang dah bagi dekat Tajul. Ada dua tiket lebih ni, abang ingat mahu ajak Nad sekali. Tak syok pula tengok sorang-sorang,” Rostam mempelawa. Nad berfikir lama.

“Cerita apa? Kalau cerita cinta, memang abang salah ajak oranglah!” pesan Nad awal-awal. Ya, dia ini nama saja perempuan tetapi Nad bukan antara kelompok penonton yang menggemari filem-filem bertemakan cinta. Filem-filem perang, aksi, tembak-menembak, mahulah dia!

“Tahu dah! Kita tengok cerita Jackie Chan, banyak lawan-lawan. He...he...he...” Rostam mengumpan. Bukan sehari dua pun dia mengenali konduktor tiket bas perempuan bernama Nad itu, sudah dua tahun lebih mereka berkawan. Nad atau nama penuhnya Nadia. Nad yang akan menyambut ulangtahunnya yang ke dua puluh pada malam ini. Dan itulah sebab utama Rostam mengajak perempuan itu untuk keluar menonton wayang bagi meraikan hari istimewa tersebut. Rostam tahu, kejutan yang dirancangnya itu tidak akan diketahui oleh Nad sendiri. Perempuan itu hari lahir sendiri pun dia bukan ambil kisah!

Bunyi loceng bas kedengaran menandakan ada penumpang yang mahu turun. Rostam memperlahankan pemanduannya menghampiri sebuah perhentian bas. Sebaik memastikan penumpang turun dengan selamat, Nad mengetuk dinding bas sebanyak dua kali sebagai isyarat untuk Rostam meneruskan pemanduan.

“Jalan!!!” laung Nad seperti kelazimannya. Nad tidak kisah kalau ada segelintir orang yang kurang senang dengan pilihan kerjayanya sekarang. Dia akui dirinya bukan ada kelayakan akademik yang bagus. SPM pun tidak lepas. Hidupnya bukan senang, mewah jauh sekali. Selepas PMR, dia terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti belajar walaupun keputusannya agak cemerlang pada ketika itu. Namakan saja kerja kasar apa yang dia tidak pernah buat. Mengambil upah mengecat rumah orang, dia pernah. Bekerja kilang pun dia pernah. Tidak padan dengan badannya yang kecil itu. Dan sekarang, dia selesa bergelar seorang konduktor tiket bas.

Terhuyung-hayang Nad yang sedang berdiri apabila bas yang dipandu Rostam sedang menyelekoh ke kanan. Kantung kain berisi duit syiling dan wang kertas, dijaga sebaik mungkin. Tiket bas berwarna-warni diletakkan sekejap di atas tempat duduk. Teringat Nad sewaktu masih di usia kanak-kanak, tiket-tiket bas yang ada bermacam-macam warna itulah yang disimpannya sebagai koleksi. Kalau orang lain hobi mengumpul setem, dia pula mengumpul tiket bas. Tidak sangka pula, inilah punca rezekinya sekarang. Nad tersenyum. Bersyukur kepada ALLAH kerana paling tidak, dia melakukan kerja yang halal demi membahagiakan keluarga yang dicintai.

“Chow Kit! Sogo! Kotaraya!” laung Nad apabila Rostam memberhentikan bas yang dipandu buat sementara waktu. Menjadi tugas Nad untuk melaungkan nama-nama tempat yang akan bas itu lalui. Biasanya, ada segelintir penumpang yang tidak hafal dengan nombor bas dan arah destinasi. Lagi-lagi perantau dari negara-negara lain yang datang mencari rezeki di bumi bertuah Malaysia. Pernah Nad bersembang dengan salah seorang penumpang bas yang berasal dari Jogja, Indonesia. Bagi mereka, Kuala Lumpur adalah lubuk kekayaan.

Tetapi sayang, rakyat Malaysia sendiri pula yang suka memilih kerja. Mahu duduk di dalam bilik berpenghawa dingin saja. Nad sendiri punya kawan-kawan sebaya yang memandang rendah akan dirinya selepas mengetahui dia bekerja sebagai seorang konduktor tiket bas. Ironinya, mereka pula sudah bertahun menganggur tidak bekerja.

Sampai di perhentian bas Chow Kit, berpusu-pusu orang menaiki bas. Keadaan di dalam bas yang banyak kerusi kosong sebentar tadi, sekejap saja sudah dipenuhi. Ada juga yang berdiri dan ramai lagi yang masih di tangga, berhimpit-himpit hendak masuk ke dalam. Di saat-saat beginilah Nad perlu mengecam setiap wajah penumpang yang naik. Kalau tidak, ada saja yang buat muka selamba, tidak mahu membayar tambang. Yalah, kalau sudah sesak-sesak begitu, adalah yang cuba mengelat.

“Tolong masuk ke dalam!” lantang Nad bersuara. Sudah diarah-arah sedemikian, barulah yang berkumpul di pintu keluar bas, berengsot-engsot masuk ke dalam. Mentaliti segelintir warga kota yang suka mementingkan diri sendiri. Tidak mengambil peduli kalau orang di belakang mereka dapat menaiki bas atau tidak, asal lepas diri mereka sendiri. Macamlah dia seorang saja yang hendak balik. Nad hanya mampu mengebam bibir melihat kerenah kelompok manusia sebegitu.

Menjelang malam, Nad bersiap-siap ala-kadar bagi memenuhi pelawaan Rostam yang mahu mengajaknya menonton wayang. Orang sudah mahu belanja, rugilah pula kalau menolaknya. Lagipun Nad sudah menganggap Rostam seperti abangnya sendiri. Kalau mengikut jarak umurpun, Rostam tujuh tahun lebih tua daripadanya. Nad yang duduk menyewa dengan dua orang kawan perempuannya, sudah terlebih dulu memaklumkan kepada mereka. Tidaklah nanti kedua-duanya tercari-cari pula di mana dia.

“Kau dengan Rostam tu, ada apa-apa ke Nad?” terjah Aini dengan soalan cepuemasnya. Selain Aini yang merupakan teman serumah Nad, ada seorang lagi yang tidak kurang kecohnya, Aminah namanya. Baik Aini mahupun Nad memanggilnya dengan nama, Kak Min.

“Apa-apa apa?”

“Alah, takkan kau tak faham kut?”

“Sungguhlah, aku tak faham. Apa kau nak beritahu aku sebenarnya ni?” Aini sudah menjongketkan keningnya. Kak Min pula mengambil alih tugas sebagai wartawan Melodi.

“Yalah, kami tengok kau dengan Rostam punyalah bukan main rapat sekarang ni. Setiap bulan, mesti ada aje satu hari istimewa dia luangkan masa untuk kau.” Kak Min berhujah bagi pihak Aini.

“Lah... dah dia driver, aku pulak konduktor... memanglah kita orang rapat. Abang Rostam ajak aku keluar pun jarangnya berdua, mesti ramai-ramai dengan geng-geng satu tempat kerja.” balas Nad dan hujungnya, baik Aini mahupun Kak Min tergaru-garu kepala. Payah sekali mahu mereka memahamkan si Nad yang lurus betul pemikirannya. Sebagai teman serumah merangkap kawan baik, mereka sekadar mahu mengambil berat. Yalah, lelaki sekarang, berapa peratus sajalah yang boleh dipercayai? Nad masih mentah, perlu sentiasa diperingatkan.

“Hmm... susahlah nak bercakap dengan kau ni, Nad. Bawa skuter kau tu, elok-elok. Apa-apa, telefon aje kami...” sudahnya, itu saja yang mampu terkeluar dari mulut Kak Min. Nad mengangguk tersenyum. Dia membuat isyarat OK menggunakan jarinya dan kemudian terus saja menyarung topi keledar di kepala.

“Nad pergi dulu, Aini... Kak Min...”

Dalam sekelip mata, skuter yang ditunggang Nad sudah meluncur laju di atas jalan raya. Lazimnya, tempat perjumpaan mereka di Wangsa Walk. Yalah, di sana macam-macam aktiviti boleh dibuat. Hendak berkaraoke boleh, bermain boling pun boleh, termasuklah juga menontong wayang. Sampai saja di pusat membeli-belah itu, Nad terus menghubungi Rostam mahu mengetahui keberadaan lelaki tersebut.

“Bang Rostam dekat mana?”

“Restoran Ayam Penyet...”

“Oh okey!” Nad menamatkan panggilan. Tertanya-tanya pula dia di dalam hati, kata mahu belanja tengok wayang saja, ini mahu belanja makan malam sekalikah?

Masuk-masuk saja ke dalam restoran itu, Nad terkejut besar apabila melihat di satu sudut, berkumpul kawan-kawan satu tempat kerjanya dan salah seorang daripada mereka, menatang sebiji kek. Serentak dengan itu juga, suara Rostam tiba-tiba berkumandang di udara mengetuai yang lain menyanyikan lagu selamat hari lahir kepadanya. Nad menutup mukanya dengan kedua-dua belah telapak tangan. Terasa satu restoran itu sedang menatap akan dirinya. Ya ALLAH, malunya!

“Ya ampun, kau orang ni! Birthday aku ke hari ni? Ha...ha...ha...” Nad tergelak sambil menggeleng-gelengkan kepala. Sungguh, dia tidak ingat. Lagipun, selama ini dia tidak pernah meraikan hari lahirnya sendiri.

“Selamat harijadi yang ke dua puluh tahun, Nadia!” serentak ucapan selamat itu keluar dari mulut kawan-kawannya. Nad tersengih lebar. Dia benar-benar terharu.

“Ha, buat apa tercegat berdiri aje dekat situ? Lekas tiup lilin ni, potong kek sekali...” tegur Tajul, seorang konduktor bas juga yang datang dengan isterinya. Rostam menghulurkan pisau plastik kepada Nad yang masih terpegun tidak tahu hendak buat apa. Rasa terkejutnya masih belum surut.

“Okey-okey... Bismilahirahmanirahim...” dengan nama ALLAH, Nad menghembus tiga batang lilin kecil yang bernyala di permukaan kek coklat itu. Sejurus kemudiannya, perlahan-lahan Nad memotong kek itu pada beberapa bahagian. Rostam menolong Nad mengagih-agihkan potongan kek yang sudah diletakkan di atas piring-piring kecil kepada kawan-kawan yang menghadiri majlis sambutan hari lahir kecil-kecilan itu.

“Terima kasih abang Rostam. Susah-susah aje tau buat semua ni untuk Nad.” luah Nad sangat-sangat menghargai. Rostam mengukir senyuman manis.

“Sama-sama. Tak susah manapun. Ini ajelah yang abang termampu... nak buat di tempat-tempat yang lebih istimewa, abang tak berduit. He...he...he...” Rostam berterus-terang dan di hujungnya, lelaki itu tertawa kecil. Pengakuan jujur Rostam membuatkan Nad bertambah rasa terharu.

“Hisy, ni dah istimewa sangat dah tau! Kalau abang nak tahu, inilah first time Nad celebrate birthday... siap dengan kek segala,” balas Nad menzahirkan kegembiraan. “Eh, macam mana abang tahu Nad punya birthday hari ni eh?” tanya Nad ingin tahu.

“Mestilah abang tahu. Tentang Nad, segala-galanya abang tahu tau! He...he...he...” Rostam bercanda. Keletah abang adik itu menarik perhatian Tajul dan isteri. Manakala empat kawan yang lain pula sedang asyik menikmati menu nasi ayam penyet yang terhidang di atas meja.

“Kau orang berdua ni kahwin ajelah. Rimas pula aku tengok. Ha...ha...ha...” usik Tajul sekadar mahu menyakat. Berubah riak pada wajah Nad tetapi dia cuba menyembunyikannya dengan sengihan yang dibuat-buat. Rostam yang cepat menangkap ketidakselesaan pada tampang Nad, lekas-lekas mencelah. Dia tidak mahu Nad berfikir yang bukan-bukan pula.

“Merepeklah kau Tajul! Nad ni adik aku tau. Siapa yang cuba-cuba kacau dia, harus berdepan dengan aku dulu. Ha...ha...ha...” jawab Rostam dan airmuka Nad serta-merta bersinar seperti sedia kala. Rostam menghela nafas lega di dalam diam.

“Beruntunglah kau, Nad! Mengalahkan artis, kau dah ada bodyguard. He...he...he...” usik Tajul lagi. Ah, tetapi dia tahu Rostam tidak jujur dengan kenyataannya itu. Dia lelaki dan dia tahu bagaimana perasaan seorang lelaki yang meminati seorang perempuan. Dari layanan baik yang diberikan Rostam terhadap Nadia, mudah saja untuk dia membaca.

Usai makan malam di restoran itu, mereka berlapan menuju ke panggung wayang untuk menonton filem Jackie Chan yang terbaru, CZ12. Tayangan bermula pukul 9:15 malam dan masih ada suku jam lagi untuk mereka dibenarkan masuk. Rostam beratur membelikan bertih jagung madu untuk Nad yang sedang rancak bersembang dengan Lina, isteri Tajul. Tajul pula yang baru keluar dari tandas, lekas-lekas mengambil tempat beratur di belakang Rostam.

“Kau tak payah nak tipu akulah, Rostam. Aku lebih dulu makan garam daripada kau,” Tajul sengaja mahu menduga. Rostam berkalih kepalanya ke belakang.

“Tipu apanya?” Rostam pura-pura bertanya sedangkan dia sudah dapat mengagak akan arah soalan kawannya itu ke mana hujungnya nanti.

“Kau cintakan si Nad tu, kan?” telus saja soalan Tajul, langsung tidak berselindung. Rostam meliar matanya mencari-cari kelibat Nad, takut perempuan itu terdengar. Dia meletakkan jari telunjuknya ke mulut, meminta Tajul tidak bercakap kuat-kuat.

“Kalau Nad dengar nanti! Hisy, kau ni pun satulah!” marah Rostam tetapi Tajul tetap buat muka selamba.

“Aku peliklah dengan kau ni, Rostam. Umur dah masuk 29 tahun tapi perangai serupa budak-budak sekolah. Kenapa kau takut sangat nak luahkan isihati kau yang sebenar? Aku tak mahu lagi lama kau berlengah-lengah, putih mata kau nanti,” nasihat Tajul yang sudah lima tahun usia perkahwinannya dengan Lina.

“Aku tak mahu Nad fikir aku ambil kesempatan. Aku nak biar perasaan cinta datang dari hatinya yang ikhlas bukan sebab aku yang memaksa...” luah Rostam sekaligus membenarkan telahan Tajul selama ini yang lelaki itu memang mempunyai hati terhadap Nadia.

“Tapi kau kena faham, Rostam... Nad tu baru masuk dua puluh, dia tak ada pengalaman bercinta pun. Jiwa dia bersih... sampai bila-bila pun dia tidak akan sedar yang kau sebenarnya dah tangkap syok dengan dia. Ada baiknya, kaulah yang mulakan langkah terlebih dulu,” Tajul menyuarakan pendapat. Rostam terdiam sejenak.

“Aku tak mahu jadikan Nad kekasih aku, itu bukan stail aku bro. Lagipun aku tahu agama tak suka berkasih-kasihan sebelum ada akad yang sah. Aku pernah dengar ustaz cakap, bila hati berdetak mengatakan perempuan itu adalah untuk kita, lebih baik menikahinya saja.” jelas Rostam akan prinsip yang dipegangnya. Tajul tersenyum bangga. Dia tahu Rostam anak muda yang baik dan disebabkan itu jugalah, dia tidak mahu kawannya itu terlepas jodoh yang baik juga. Nad, pada pandangannya, cukup-cukup sesuai untuk dipadankan dengan Rostam.

“Habis tu, kau teruskan ajelah niat baik kau tu... untuk memperisterikan dia...”

“Tak semudah itu, bro... Kau doakan ajelah untuk aku. Aku harap masa yang sesuai tu akan tiba...” Rostam menamatkan perbincangan sebaik saja dia sudah berdiri di hadapan kaunter makanan ringan. Bertih jagung bertukar tangan sebaik usai pembayaran. Rostam dan Tajul menghampiri Nad, Lina dan yang lain-lain. Tidak lama kemudian, nombor panggung dimana filem yang hendak mereka tonton itu, sudah berkelip. Berlapan mereka melepasi penjaga tiket, tidak sabar-sabar. Nad paling teruja sekali. Yalah, pada malam itu, serba-serbi dia dibelanja. Sambutan hari lahir yang dia tidak akan lupa sampai bila-bila. Terima kasih, abang Rostam. Nad berbisik di dalam hati.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.