Home Novel Seram/Misteri TANAH RIZAB JIN - PROJEK SERAM LOMBONG
TANAH RIZAB JIN - PROJEK SERAM LOMBONG
A. Darwisy
19/3/2016 09:38:14
10,088
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 3

Sir Richard melaung-laung nama anaknya. Tindakan lelaki Inggeris itu bagi Leman bukan satu langkah yang bijak. Lebih baik mereka bergerak secara senyap kerana mereka tidak tahu dengan apa mereka berdepan sekarang ini. Menjerit-jerit begitu mendedahkan mereka semua dalam bahaya. Tetapi larangan Leman, tidak dipedulikan Sir Richard.

“Kau rasa, benda yang tarik budak perempuan tu...benda yang sama kita nampak hari tu?” Idris berbisik, tidak senang hati. Kalaulah dia tahu, perkara seumpama ini akan berlaku kepada mereka, ditawar selonggok emas pun dia tidak mahu. Ini sudah melibatkan nyawa.

“Aku tak tahu...penting sekarang, jumpa saja budak tu kita berambus keluar dari sini.” Balas Leman tegas.

Berpandukan cahaya lampu kabaid yang dipegang, Leman terus memimpin perjalanan. Mereka bertiga semakin terkedalam dan hilang petunjuk. Peluh sudah membanjiri satu badan. Bahang panas bawah tanah dengan udara yang semakin menipis, membuatkan mereka perlu bergerak lebih pantas. Kalau tidak, dengan mereka sekali berkubur di dalam lubang itu.

Langkah Idris dan Sir Richard terhenti apabila Leman yang berdiri paling depan, menuding ke satu arah. Ke dinding batu yang hampar permukaannya.

“Itu tulisan apa?” Sir Richard bertanya.

“Jawi lama. Maknanya, kita bukan orang yang pertama masuk ke sini.”

Jawapan Leman itu membuatkan Idris semakin seram sejuk. Sir Richard maju ke depan untuk melihat dengan lebih jelas.

“Leman, awak baca.” Arah Sir Richard. Leman berbelah bagi. Tetapi dalam masa yang sama, dia hendak tahu apa kandungan tulisan purba itu. Leman mendongak, membaca dari arah kanan ke kiri.

“Emas merah kesuma danding... Perahu sarat seperti pelanting... Penjaganya putih pinggang ramping... Matanya tajam seperti gunting.”

Haul bacaan, menyergap rasa tidak sedap hati dalam diri Leman tiba-tiba. Sumpah, bulu romanya meremang dari hujung kaki naik sampai ke kepala. Petanda tidak baik.

“Tuan, ada eloknya kita keluar dari sini terlebih dulu dan minta pertolongan untuk selamatkan Isabelle. Saya khuatir kalau-kalau...”

No!!! She’s my daughter! We're not going out till we find her!” Jerkah Sir Richard lalu menghunus muncung senjata patah ke arah muka Leman. Lelaki itu terundur langkahnya ke belakang. Idris tergamam dibuatnya. Dua lelaki Melayu itu sudah pucat lesi.

Kemarahan Sir Richard hilang serta-merta sebaik saja cuping telinganya menangkap jeritan Isabelle yang begitu jauh bunyinya. Leman dan Idris saling berpandangan sesama sendiri. Tanpa membuang masa, mereka bertiga berlari menuju ke arah suara itu. Mereka terpaksa membongkok kerana laluan yang ada, bumbung batunya terlalu rendah. Tidak ubah seperti menelusur sebuah gua yang ada stalaktit di atasnya. Bezanya, di sini batu-batu pejal ini cukup tajam dan mampu mengoyakkan kulit kepala mereka sekiranya tidak berhati-hati.

Ngilu Leman membayangkan betapa azabnya Isabelle diseret sejauh ini dengan tubuhnya tertelentang. Moga-moga gadis itu selamat. Getus Leman dalam hati.

“Tolong...”

Suara itu kedengaran lagi. Tetapi bunyinya begitu lemah sekali. Sir Richard semakin laju bergerak. Harapan untuk melihat anaknya selamat, menggunung tinggi.

“Suaranya dari arah sana...” Leman berjaga-jaga dalam langkahnya. Bimbang tersadung atau terperosok pada celahan batu. Keluar saja dari laluan yang memaksa mereka membongkokkan diri itu, mata mereka terbeliak apabila melihat apa yang berada di sekeliling mereka sekarang ini. Idris dan Leman sudah tergeleng-geleng. Bulu roma mereka meremang lagi. Sir Richard terpinga-pinga. Serupa orang gila dia memandang ke semua arah mencari kelibat Isabelle.

Why we’re still in the same place? This cannot be!

Leman, Idris dan Sir Richard kembali ke tempat permulaan mereka jatuh tadi. Apabila mereka mendongak, lubang besar akibat runtuhan tadi berada di atas mereka. Seolah-olah, mereka bergerak dalam satu pusingan labyrinth!

“Kita dipermain-mainkan ke, Leman? Aku rasa kita dah lama kat bawah ni. Tercabut kepala lutut aku berjalan jauh. Tapi kenapa pusing-pusing, ke sini balik?” Idris cuba menenangkan diri. Kalau tidak, boleh jadi gila dia memikirkan apa yang berlaku. Ini tidak masuk akal sama sekali.

“Aku tak tahu... Aku tak tahu...” Leman juga naik cemas. Dia cuba berfikir dengan waras. Dipanggilnya Sir Richard supaya mereka boleh berbincang dan mencari penyelesaian yang terbaik untuk keluar dari situ dengan selamat.

“Tuan...saya fikir kita perlu berpecah. Deris akan panjat naik ke atas dan minta pertolongan orang di luar. Saya dengan tuan pulak akan terus mencari Isabelle di sini tapi mesti mengikut arah petunjuk peta ini. Kalau kita cari Isabelle membabi buta seperti tadi, buang masa kita saja.”

Sir Richard bersetuju. Idris tertelan air liur. Walaupun rancangan Leman kedengaran lebih menguntungkan dirinya kerana boleh keluar dari situ lebih awal tetapi dia terpaksa memanjat dinding batu itu sendirian. Idris sudah berfikir seburuk-buruk kemungkinan yang akan menimpa dirinya. Bila-bila masa saja bayang hitam yang dia nampak sebelum ini, akan membelit dirinya. Hujungnya, dia juga akan menerima nasib seperti Isabelle atau lebih malang lagi, mati dalam keadaan dahsyat sekali serupa arwah Kamil.

“Aku tak beranilah, Leman...”

“Kau jangan jadi pengecut. Kalau kita semua tak boleh keluar dari bawah tanah ini, sekurang-kurangnya biarlah salah sorang daripada kita selamat. Dah, pergi!”

Idris menggigil kecil. Dia menghampiri dinding batu dan mulai memanjat. Leman dan Sir Richard kembali pada misi mereka menjejak Isabelle yang ghaib entah ke mana. Mereka berpisah di situ.

Peta di tangan itu satu-satunya kunci petunjuk yang mereka ada. Leman yakin mereka tidak akan sesat selagi berpandukan pada arah laluan yang ditunjukkan di dalamnya. Mereka pergi semula ke tempat di mana Isabelle diseret tubuhnya. Dan pada titik inilah, sepatutnya mereka terus bergerak ke hadapan. Sir Richard memegang rantai berbuah salib yang tergantung di lehernya. Berdoa kepada Tuhannya supaya dia dipertemukan dengan Isabelle.

Leman terus berjalan dan Sir Richard mengekori rapat dari belakang. Mereka tidak banyak berbalah kali ini. Lelaki Inggeris itu mengikut saja ke mana Leman membawa kakinya. Leman sendiri tidak menyangka yang keluasan di bawah tanah itu lebih besar dari apa yang ada dalam bayangan kepalanya. Mereka bagaikan ahli arkeologi yang tersesat ketika dalam misi ekskavasi. Jauh telusur ke dalam, Leman tiba-tiba berhenti langkahnya.

“Kenapa?” soal Sir Richard.

“Tuan dengar tak bunyi tu?”

Dua lelaki itu menajamkan deria pendengaran. Cuping telinga masing-masing menangkap bunyi ketukan yang bertalu-talu tetapi sayup-sayup saja. Bunyinya tidak beritma. Lebih pada lentam-lentum yang tidak sekata. Leman mengisyaratkan supaya mereka bergerak secara senyap. Jangan terlalu cepat teruja kerana barangkali bunyi yang mereka dengar itu bukan datangnya daripada Isabelle.

“Bunyi itu makin jelas...” bisik Sir Richard. Leman mengangguk lantas membelek peta di tangan entah untuk kali yang ke berapa. Dia bimbang tersasar.

“Ikut dalam peta ni, kita sudah di laluan yang betul.”

Let’s move faster, then!

Deru nafas masing-masing semakin tercungap-cungap seiring dengan gerakan pantas kaki melangkah. Leman dan Sir Richard deras menuju ke arah punca bunyi berkenaan sehinggalah kedua-duanya berhenti larian dan terbelalak biji mata.

Where the hell are we now?” Sir Richard tergamam. Di depan mata mereka sekarang ini, terbina satu arsitektur megalit berupa batu-batu besar mirip batu bersurat tetapi berkali ganda besar saiznya menyamai ketinggian seorang lelaki dewasa. Tersusun dalam bentuk bulatan secara menegak dan terdapat enam biji batu kesemuanya. Pada keenam-enam batu itu pula terukir ayat-ayat yang diyakini Leman sebagai kalam-kalam Allah di permukaannya.

Leman bingung. Ini tempat apa sebenarnya? Dan kalau benar batu-batu besar itu terpahat ayat-ayat Al-Quran, apa tujuannya? Lagi banyak dia berfikir, lagi buntu dia dibuatnya. Leman memberanikan diri untuk mendekati binaan yang berada utuh di depan mata. Apabila berada setentang dengan batu-batu besar itu, bunyi ketukan yang mereka dengar tadi, berdentum kuat. Terangkat bahu Leman kerana terperanjat.

“Ada keranda di tengahnya...”

Sungguh, Leman bertambah-tambah berasa tidak sedap hati. Di tengah-tengah bulatan batu besar itu, dia melihat ada sebuah larung kayu dan ditindihkan dengan sebuah lagi batu besar. Apa mungkin ada jenazah di dalamnya? Kalau iya, sudah tentu tinggal jadi rangka. Getus Leman ikut logik akalnya. Sumpah, dia tidak berani menyentuh.

“Leman, ke mari! Ada tulisan orang Melayu...awak baca.” Sir Richard memanggil Leman untuk melihat sama. Mereka bagaikan terlupa tujuan asal mereka yang sepatutnya mencari Isabelle. Sir Richard teruja hendak tahu apa yang ada di dalam larung kayu itu. Dalam kepalanya, sudah terbayang ketulan-ketulan emas dan benda berharga yang lain.

Leman menghembus permukaan larung kayu yang tebal dengan debu hitam itu. Benarlah seperti kata Sir Richard tadi, memang terdapat tulisan Jawi lama yang terpahat di bahagian depan larung berkenaan.

“Asam kandis asam gelugur... Dua urat asam belimbing... Menangis mayat dalam kubur... Melihat papan menjadi dinding.”

Terkelu lidah Leman sebaik saja haul membacanya. Belakang tengkuknya mengembang. Seluruh bulu roma di badan merinding. Serentak itu juga, bunyi ketukan dari dalam larung kayu itu bergempita dititir dari dalam. Lantaran terperanjat, Leman tersilap langkah lalu terjatuh ke tanah.

“Apa maksudnya, Leman?” Sir Richard menyoal. Dia hairan melihat lelaki Melayu itu yang tiba-tiba ketakutan dan berubah pucat-pasi! Belum sempat Leman membuka mulut dan bangun, satu suara menangis-nangis kedengaran dari dalam larung kayu itu.

Daddy, help me! Someone locked me inside!

Membuntang mata Leman dan Sir Richard apabila mendengar suara Isabelle, merayu-rayu dan seperti sedang meronta-ronta minta dilepaskan. Sir Richard sepantas kilat mahu membuka larung kayu itu tetapi kudratnya tidak kuat hendak mengalihkan batu besar yang menindan di atasnya. Leman lekas bangun dan melarang Sir Richard dari meneruskan kerja gilanya itu.

“Jangan buka, tuan! Kita tak tahu sama ada di dalam ini benar-benar Isabelle!”

Are you out of your mind?Itu suara Isabelle! Saya kenal suara anak saya!!!” Sir Richard melengking marah. Leman tergeleng-geleng. Dia tidak mahu terpedaya.

Who did this to you, Isabelle?

“Idris...” jawab Isabelle, lemah. Ketukannya juga sudah tidak sekuat tadi. Sir Richard semakin galak menolak batu besar di atas penutup larung kayu itu tetapi tenaganya seorang saja tidak cukup. Dia memerlukan Leman untuk membantunya sekali. Kalau tidak, Isabelle akan mati lemas!

“Leman, tolong saya! Awak dengar sendiri Idris yang masukkan Isabelle dalam keranda ni.”

“Mustahil! Saya nampak Deris panjat dinding batu tadi. Bila masa pulak dia aniaya anak tuan? Ini semua merepek tuan! Kita kena keluar dari sini sekarang!”

Leman dapat merasakan apa yang berlaku kepada mereka semua berpunca dari tempat itu sendiri. Mereka sepatutnya dari awal lagi tidak menceroboh masuk! Selagi mereka masih berada di bawah tanah dan tidak meninggalkan tempat itu dengan segera, selagi itulah mereka akan terus dipermainkan. Pendengaran mereka diperdaya, penglihatan mereka dimanipulasi lalu membuatkan akal fikiran mereka mulai berhalusinasi.

Sir Richard tidak punya pilihan selain menghunus muncung senapang patah ke arah Leman. Dia mengugut mahu menembak lelaki itu jika tidak menolongnya membuka penutup larung kayu tersebut. Perseteruan dua lelaki berkenaan terbantut apabila mata masing-masing menangkap pergerakan laju bayang-bayang hitam melintasi hadapan mereka. Leman tertelan air liur.

What’s that?” Sir Richard turut sama kalut. Muncung senapang patah yang tadinya dihalakan ke arah Leman, diturunkan. Lelaki Inggeris itu menggelabah melepaskan tembakan ke sekelilingnya secara rambang dan bertubi-tubi. Sehingga dia tidak sedar, senapangnya hampir kehabisan peluru. Dalam masa yang sama, Leman berpusing-pusing tubuhnya, mencari kelibat bayang hitam tadi. Pandangan Leman akhirnya terhenti pada satu sosok yang menunduk, berdiri di luar bulatan binaan batu-batu besar itu.

“Deris...” sungguh Leman terkejut apabila mendapati sosok itu rupa-rupanya Idris. Tetapi sebaik saja lelaki itu mengangkat muka, Leman mengucap panjang. Astaghfirullahalazim.

Jesus Christ!” Sir Richard turut sama terperanjat. Di hadapan mereka, Idris bukan lagi menjadi dirinya. Batang tubuh lelaki itu seperti dirasuk sesuatu. Mata putihnya hilang. Urat-urat hitam menimbul di keseluruhan muka dan rahang mulut lelaki itu jatuh ke bawah. Cecair likat berwarna hitam menjejeh keluar dari mulut dan semakin lama semakin berjebak-jebak banyaknya. Sir Richard pantas mengacu senapang patahnya ke arah sosok itu lalu menekan picu senjata. Peluru terakhir dari senapang patah itu mengena sasaran. Idris mendadak rebah ke tanah.

Leman terlopong. Dalam masa yang sama, suara Isabelle dari dalam larung kayu itu kedengaran lagi memohon belas supaya dikeluarkan dari situ. Leman betul-betul keliru. Siapa yang dia hendak percaya sekarang ini?

“Tolong saya, Leman. Saya tak boleh bernafas dalam ni...” Isabelle teresak-esak, nadanya lemah sekali. Leman beroleh idea, dia meraih pergelangan tangan Sir Richard yang masih kaku berdiri tidak jauh dari situ. Lelaki Inggeris itu masih tergamam dengan apa yang dilihatnya depan mata.

“Tuan...saya akan tolong tuan buka penutup keranda ni tapi tuan kena buat satu perkara.”

“Apa dia?”

Leman berbisik di telinga Sir Richard. Ini saja caranya untuk dia menyakinkan dirinya yang di dalam larung kayu itu benar-benar Isabelle.

“Tuan tanyakan kepada Isabelle, satu rahsia yang hanya tuan dan dia saja yang tahu. Kalau jawapannya betul, maka saya akan tolong tuan selamatkan anak tuan.”

“Baiklah!”

Sir Richard dan Leman merapati larung kayu itu dan mendekatkan cuping telinga mereka. Dalam pada itu, Leman sempat mengerling ke belakang. Jasad Idris yang mati ditembak masih di situ. Dia kembali menumpukan perhatiannya ke depan. Leman mengangguk, mengisyaratkan supaya Sir Richard meneruskan perancangan yang mereka bincangkan tadi.

Isabelle, listen here. Do you still keep your late mom’s ring?

Of course. Why you suddenly ask this type of question? Let me out from here, daddy!

Where do you keep the ring?

Inside the crystal box you gave me on my birthday last year.

Sir Richard memandang Leman di sebelahnya. Leman menunggu kesahihan dari mulut lelaki Inggeris itu.

“Bagaimana, tuan?”

“Isabelle jawab dengan betul.”

“Kalau begitu, mari kita tolak batu ni dan keluarkan Isabelle sekarang juga.” Leman tekad dengan keputusannya. Dia cuma berharap mereka bertiga dapat keluar dari bawah tanah itu dengan selamat. Leman sudah tidak mampu berfikir perkara lain lagi. Dia boleh jadi gila kalau lebih lama berada di situ.

Leman dan Sir Richard mengerah segala kudrat mereka untuk menolak batu besar yang menindih penutup larung kayu itu. Usaha mereka ternyata berhasil apabila batu berkenaan lama-kelamaan bergerak dari kedudukan asalnya. Pun begitu, cubaan hendak mengalihkan batu itu bukan satu kerja mudah. Mereka mengambil masa yang agak lama sebelum batu itu jatuh ke tanah.

“Tuan angkat penutup ni di bahagian kepala, saya akan angkat di bahagian kaki. Dalam kiraan tiga, kita angkat sama-sama.”

“Baik!”

Sekarang, usaha hendak membuka penutup larung kayu itu pula. Tidak sesukar tadi, dalam selang masa yang singkat, mereka berjaya mengangkat penutup itu.

Daddy!

Isabelle menangis-nangis. Sungguh, gadis itu dalam ketakutan yang teramat sangat. Manakan tidak, dia disumbat hidup-hidup di dalam keranda itu dengan rangka manusia yang sudah tentu sekali adalah jasad yang pernah tersimpan berkurun lamanya di situ sehingga tinggal tulang-temulang. Sir Richard dan Isabelle berpelukan. Leman menghela nafas lega. Dia kemudiannya membantu lelaki Inggeris itu untuk mengeluarkan Isabelle dari larung kayu tersebut.

Leman! Behind you!” Isabelle menjerit tiba-tiba. Sepantas kilat Leman berkalih ke belakang. Mereka bertiga terbelalak biji mata. Idris yang ditembak dan mereka yakin lelaki itu sudah mati, bangkit semula!

Holy crap!” Sir Richard menekan picu senapang patahnya tetapi kantung pelurunya sudah kosong. Dia menyumpah seranah. “Sekarang, bagaimana Leman?” tanya lelaki Inggeris itu kepada Leman. Sir Richard erat memeluk Isabelle yang menggigil ketakutan. Leman buntu. Otaknya tidak mampu berfikir lagi.

Isabelle menjerit sekuat hati apabila dia melihat Idris yang tadinya hanya berdiri tegak, membuka langkah menghampiri mereka bertiga. Leman, Sir Richard dan Isabelle terdorong terkebelakang. Mereka terkepung. Idris tidak ubah seperti mayat hidup yang mahu membaham daging mereka. Tangan lelaki itu cuba menyauk salah seorang daripada mereka tetapi tidak berjaya. Anehnya, Idris hanya berlegar-legar di sekeliling batuan besar itu saja dan tidak masuk ke dalam.

Leman mengisyaratkan supaya Isabelle dan Sir Richard kekal di tempat mereka. Sementara itu dia cuba mengalihkan perhatian Idris dengan helah yang diharapnya menjadi.

“Awak mahu ke mana, Leman? Jangan tinggalkan kami!” Isabelle tidak faham dengan apa yang cuba lelaki Melayu itu buktikan. Leman tidak memberi sebarang jawapan sebaliknya dia memberanikan diri dengan mendekatkan dirinya betul-betul di garis persempadan batuan besar tersebut.

“Sini! Kau mahukan kami bukan? Nah, ambil aku!” Jerkah Leman sambil berdiri di celahan batu-batuan yang sama tinggi dengannya itu. Dua beranak yang ketakutan di belakang, terkejut mendengar tawaran gila lelaki tersebut.

Leman, what are you trying to do?” Sir Richard menjerit. Leman berserah pada nasib. Berharap permainan liciknya mampu menyelamatkan mereka bertiga keluar dari situ. Idris seperti binatang buas yang kelaparan. Kedua-dua belah tangannya cuba menggapai Leman tetapi sebaik saja hujung jari-jemarinya melepasi batuan yang berpahat kalam-kalam Allah itu, lelaki itu berganjak ke belakang semula. Leman cuba menguji lagi dan hasilnya tetap sama.

Leman berderau darahnya tiba-tiba. Sel otaknya ligat bekerja dan menyimpul sesuatu.

“Tadi kau kata Deris yang sumbat kau masukkan dalam keranda ni, kan? Kau tipu! Kau bukan Isabelle! Kau siapa sebenarnya?” Leman naik gila. Dia menjerkah sekuat-kuat hati. Sir Richard tergamam. Pertama kali dia melihat Leman hilang pertimbangan sedemikian rupa.

“Leman, awak dah kenapa?”

“Dia bukan Isabelle, tuan. Dia bukan anak tuan!”

“Apa maksud awak?”

“Benda yang masuk dalam badan Deris tu tak boleh melepasi sempadan batu-batu ni. Jadi, apa yang perempuan ni beritahu kita tadi, semuanya bohong!!!”

Sir Richard tertelan air liur. Dia buntu hendak percaya yang mana satu. Sementara di luar bulatan batu-batu besar itu, erangan Idris kedengaran begitu menakutkan.

I speak the truth, daddy. Please believe me. Leman...percayalah cakap saya. Bila kaki saya kena belit, kena seret... saya pengsan dan tak sedar apa yang berlaku. Kepala saya terhantuk batu. Awak lihat sendiri kesan koyak pada dahi saya ni. Dan bila saya sedar, Idris ada dengan saya. Dia bukan macam dirinya.He looks like he’s being possessed!” Sungguh-sungguh Isabelle menerangkan perkara sebenar. Dia bukan tidak melawan tetapi kudrat Idris lebih kuat berbanding dirinya. Bahkan, batu yang berat itupun mampu diangkat Idris seorang. Isabelle dapat merasakan ada sesuatu yang merasuk badan lelaki itu.

Selepas mendengar penjelasan Isabelle, mata Leman terus terarah pada bahagian dahi gadis Inggeris itu. Memang benar Isabelle tercedera, kulit dahinya tersayat dalam. Malah, pipi kiri gadis itu juga calar-balar dan berdarah, barangkali kesan seretan tadi.

Leman meraup mukanya berkali-kali. Rambutnya ditarik ke belakang. Dalam kekalutan dan fikiran masing-masing sudah tertekan, Leman, Sir Richard dan Bella mendengar suara orang bersilih ganti memanggil nama mereka bertiga. Serentak itu juga bunyi tembakan bertalu-talu dilepaskan. Idris menggeletik sebelum tumbang mendadak. Berbelas butir peluru memasuki tubuh lelaki itu.

“Leman! Tuan Richard!” laung Ah Meng dari satu sudut. Bersama lelaki Cina itu, seramai sepuluh orang yang lain yang terdiri daripada pekerja lombong dan pegawai Inggeris datang menyelamatkan mereka bertiga. Leman menghembus nafas lega.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.