Home Novel Komedi/Romantik Komedi Ustaz Pink
Bab 4 : Pagi-pagi lagi dah kena hadap muka dia!

SEPERTI yang dijanjikan, Zahra tiba di hadapan blok Desasiswa Tekun tepat pada pukul sembilan pagi. Sebaik sahaja Ida meloloskan diri ke dalam kereta, Zahra terus bergerak meninggalkan Desasiswa Tekun.

“Ingatkan lambat lagi?” Ida yang cuba menceriakan pagi itu mengusik Zahra.

“Kau ni pagi-pagi lagi dah nak perli aku. Dah la aku takde mood. Aku berhenti juga kau dekat tepi jalan nanti.” Ida ni pagi-pagi lagi dah nak perli. Aku sekeh karang baru tahu.

“Okey, okey, okey, aku senyap. Erm... tapi kan kenapa mata kau nampak sembam je? Gaduh dengan Johan lagi?” Sejak bertunang Zahra sering mengadu kepada Ida mengenai hal dia dengan Johan. Dia sendiri tidak faham kenapa dia dengan Johan selalu bergaduh. Ada sahaja yang tak kena. Kata Ida itu adalah satu ujian daripada Allah.

Zahra menggenggam erat stereng kereta. “Johan tak call pun aku semalam. Dia hantar mesej je. Aku makin tak fahamlah dengan dia tu.” Dia mendengus kuat tanda tak berpuas hati dengan layanan tunangnya itu.

Ida memandang Zahra. “Busy dengan kerja lagi?” tekanya.

“Haah... entah betul ke tak? Entah-entah dah pasang lain. Aku je yang terhegeh-hegeh dekat dia.” Zahra mula berprasangka buruk terhadap tunangnya itu.

“Kau ni tak baik berburuk sangka. Berdosa tau. Mungkin betul dia sibuk dengan kerja dia. Dia kan baru nak bina karier dia.” Ida cuba menyedapkan hati Zahra.

“Entahlah Ida. Kadang-kadang aku macam dah tawar hati dekat dia je. Kalau dah kahwin nanti macam manalah agaknya kehidupan aku dengan dia. Masing-masing buat hal sendiri. Kau tahu tak raya puasa baru-baru ni pun aku tak jumpa dia langsung. Padahal dia ada dekat KL. Aku pun raya dekat KL juga masa tu. Bila aku ajak jumpa, dia bagi macam-macam alasan. Kononnya nak beraya dekat rumah saudara la, kawan la. Takkan tak boleh nak jumpa langsung. Bosan tau tak kalau terus macam ni.” Segala yang terbuku di hati diluahkan. Zahra sudah mula bosan dengan sikap Johan yang acuh tak acuh terhadap hubungan mereka. Duduk berjauhan dengan Johan sesungguhnya memberi banyak dugaan buat dia.

“Sabar Zahra. Banyakkan berdoa,” pujuk Ida lagi. Dalam masa yang sama mereka tiba di Perpustakaan Hamzah Sendut II. Zahra memarkirkan keretanya. Setelah menekan suis penggera kereta, mereka terus berjalan beriringan ke perpustakaan.

“Takpelah Ida, kalau betul kita orang ada jodoh pasti tak ke mana kan? Kau juga yang cakap macam tu dulu.” Zahra malas hendak mengulas tentang topik tu lagi.

Ida terus merangkul erat lengan kiri Zahra. “Betul, betul, betul.” Dah macam dalam siri animasi Upin & Ipin. Mereka tertawa kecil.

“Eh Zahra, tu Encik Arif kan?” Teruja punya pasal, Ida tertepuk bahu Zahra kuat.

Zahra mendengus. “Ye. Kenapanya?” Dari jauh mereka ternampak Arif sedang rancak berbual dengan seseorang.

“Kawan dia nampak manis la. Macam ustaz. Pakai kopiah lagi. Siapa eyh? Lecturer kat sini juga ke?” Bersinar-sinar mata Ida.

“Mana la aku tahu. Dahlah jom masuk sekarang.” Zahra sudah mula berjalan meninggalkan Ida yang masih memandang ke arah Arif dan kawannya.

“Kau ni tak bagi peluang kat aku langsung. Tak salah kalau kita tegur lecturer kita kan? Boleh mengeratkan silaturahim.” Ida tidak mempedulikan Zahra lagi. Dia terus berjalan kepada Arif yang masih berbual bersama temannya.

Zahra menoleh. “Ida, kau nak ke mana tu?” Terpaksa juga Zahra mengekori Ida. Budak ni pantang jumpa lelaki pakai kopiah.

“Assalamualaikum Encik Arif,” sapa Ida. Zahra pula nampak tercungap-cungap sedikit kerana terpaksa melajukan langkahnya untuk mengejar Ida tadi.

Arif dan rakannya menoleh dan menjawab salam. “Wa’alaikumsalam.”

Arif angkat kening. Budak semalam pun ada. Marah lagi nampaknya. Geli hatinya melihat wajah Zahra yang masam cemberut.

“Kami nak ke library sebenarnya. Ternampak pula Encik Arif, tu yang tegur,” tutur Ida sambil tersenyum manis.

Good. Pagi-pagi lagi dah ke library. Kan bagus bangun awal,” kata Arif dengan penuh makna.

Eleh, saja nak perli aku la tu, huh! Kutuk Zahra dalam hati.

“Ni lecturer juga ke? Tak pernah nampak pun.” Ida bertanya.

“Yup. Ni Ustaz Iqbal. Lecturer dari Pusat Pengajian KemanusiaanMengajar subjek agama. Kalau ada masalah bab-bab agama bolehlah rujuk dengan dia.” Arif menepuk bahu Iqbal.

“Insya-Allah kalau saya boleh bantu, saya akan bantu. Ilmu yang ada pada saya ni ilmu dari Allah juga,” tutur Iqbal dengan rasa rendah diri. Bagi dia, segala yang dia peroleh selama ini adalah kurniaan daripada Allah s.w.t.

“Ooo ustaz rupanya. Saya Norul Syahida. Boleh panggil Ida je. Ini Nur Humaira az-Zahra. Panggil Zahra je.” Tanpa disuruh, Ida memperkenalkan diri kepada Iqbal. Diheretnya Zahra sekali. Nampak pelik pulak kalau dia kenalkan diri dia seorang je.

Iqbal mengangguk sedikit sebelum bibirnya diukir dengan senyum. “Siap kenalkan diri dengan nama penuh tu. Nama ayah tak nak bagi tau?” Sengaja Iqbal bergurau.

“Nama ayah saya, Abdul Rahim. Nama ayah Zahra, Abdul Rahman.” Dengan senang hati Ida bagi tau.

“Bunyi macam ada link je kamu berdua ni.” Iqbal mengerutkan keningnya sedikit.

Ida merangkul bahu Zahra. “Kami ni sepupu ustaz. Kalau ustaz nak tahu ayah kami ni adik-beradik.” Zahra yang mendengarnya buat-buat don’t know je. Kalau boleh dia nak beredar cepat.

Iqbal mengangguk tanda faham.

“Padanlah Encik Arif pun nampak macam ustaz. Rupa-rupanya ada kawan macam ustaz.” Ida bersuara lagi sambil tersengih. Zahra pula masih membisu. Tak dipandang langsung muka Arif. Awal-awal lagi dia dah malas nak masuk campur. Biar Ida sendiri yang bercakap dengan Arif dan Iqbal.

“Yang sebelah ni dari tadi senyap je.” Iqbal sudah mengagak ada sesuatu yang tak kena di antara Arif dan Zahra. Mmm, suspicious ni. Satu dengan muka masam mencuka. Satu lagi dengan muka selamba. Sah! ‘Bidadari’ tu. Iqbal mula menghidu sesuatu. Jangan ingat ustaz ni tak tahu. Berkelulusan dalam bidang psikologi lagi.

“Kawan saya ni memang macam ni kalau depan orang lain. Dengan saya je dia banyak mulut. Tapi ada masa kawan saya ni terlepas cakap juga.” Ida memandang Zahra dengan hujung matanya. Hehe sorry Zahra. Sengaja nak menghidupkan suasana.

Zahra tarik senyum tak ikhlas. Ida ni pandai-pandai je cakap aku macam tu. Nak kena ni.

No wonder.” Arif tiba-tiba mencelah. Riak wajahnya kelihatan bersahaja.

Huh? No wonder apa ke bendanya? Bengangnya aku! Mata Zahra menjeling kepada Arif. Ida pula hanya mengekeh perlahan.

Iqbal rasa pelik. “Apa yang no wondernya?

“Takde apa lah,” jawab Arif selamba. Mukanya masih nampak tenang. Tak seperti Zahra. Seperti seekor harimau garang yang ingin membaham mangsanya. Zahra semakin tak keruan untuk terus berada di situ. Dia menarik-narik lengan baju Ida.

Alah Zahra ni tak bagi chance langsung. “Okeylah Encik Arif, Ustaz Iqbal, kami pergi dulu ya.”

“Okey, selamat belajar,” ucap Arif.

“Terima kasih Encik Arif. Assalamualaikum.” Ida menyengih. Dia tahu kata-kata tu untuk Zahra sebenarnya. Tangannya ditarik oleh Zahra yang sudah angkat kaki untuk beredar.

“Wa’alaikumsalam,” jawab Arif dan Iqbal serentak.

Setelah Zahra dan Ida berlalu pergi. Iqbal mula menyoal Arif. “Orang dah pergi Rif. Kau tengok apa lagi. Bidadari kau ke tu Rif?” Iqbal angkat kening sambil menarik senyum.

“Kau ni betul-betul ustaz ke?” Soalan dibalas dengan soalan.

“Tanya aku macam tu pulak. Orang tanya dia, dia tanya kita balik. Nak berdalih lagi la tu.”

“Apa-apa jelah Iq. Aku nak pergi sekarang. Ada kelas. Kau pun ada kelas juga kan?” Arif malas nak membuka cerita panjang lagi.

“Ada lima belas minit lagi. Saja la tu, nak escape. Balik nanti kau pun tak boleh nak lari punya. Kita kan dah satu apartmen.”

“Hari ni aku balik lambat. Nak ke rumah along.”

“Jaga anak saudara lagi?”

“Yup. Anak saudara aku macam anak aku sendiri juga.” Mindanya sudah memikirkan wajah mulus Asyraf dan Aleeya.

“Cepat-cepat la kahwin Rif.” Iqbal menepuk bahu Arif.

“Cakap orang. Dia tu bila nak kahwinnya. Mak kau nak carikan, kau tak nak.”

“Kau ni pun dah macam mak aku. Jodoh takde lagi,” balas Iqbal bersahaja.

“Yelah tu. Okeylah. Dari tadi berborak, sampai bila-bila pun tak habis. Pergi dulu.” Setelah berpamitan, mereka berpisah di situ. Arif tergelak kecil. Tak sangka pagi-pagi lagi boleh 'terjumpa' dengan Zahra.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Pistacia Vera