Home Novel Cinta Mr. Debater Miss Motivater
Mr. Debater Miss Motivater
Gorjes
20/11/2019 09:55:38
69,993
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18

Kasih merangkul bakul berisi pucuk paku sambil membebel kepada Mak Salmah. Tiada lagi lagu tradisional yang selalu dia dan ibunya melodikan semasa pulang dari memetik pucuk paku. Kebiasaannya dia yang akan mula melagukan lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee seperti Lagenda, Seri Bulan, Buang Yang Keruh Ambil Yang Jernih, Di mana Kan Ku Cari Ganti dan pelbagai lagi lagu seangkatan dengannya. Mak Salmah terkejar-kejar anak perempuannya yang jalan mengalahkan robot. Laju je.

"Kasih, cuba perlahankan langkah tu, semput ibu nak kejar macam gini."

Mak Salmah terhenti di tengah jalan, Sambil memegang dadanya yang berombak sebelah tangan lagi mengelap dahi yang berkeringat.

Kasih berhenti lantas badannya pusing menghadap ibunya. Terpaksa dia berundur mendapatkan ibunya. Pada mulanya Kasih hanya membatu di tengah jalan. Apabila dia melihat ibunya seperti mahu pitam dia pula yang cemas berlari mendapatkan emaknya. Bakul yang dirangkulnya tadi dihempas ke tanah. Habis berselerak pucuk-pucuk paku yang dipetiknya.

"Ibu, bu...bu okay tak ni?" Soal Kasih cemas melihat Mak Salmah sudah melutut dan tidak semena-mena terduduk di atas jalan.

"Kau jal...jaalan...cepat sangat." Termengah-mengah Mak Salmah menyusun bait-bait ayat.

"Bukan kau tak tahu yang ibu ada asma." Mak Salmah tiba-tiba tercungap-cungap seperti dia memerlukan alat sedutnya. Mak Salmah sudah menggunakan Metered Dos Inhaler (MDI) sejak dua tahun lalu kerana asmanya menjadi-jadi. Atas nasihat doktor yang merawatnya, Mak Salmah diperkenalkan dengan alat bantuan ini untuk meredakan asmanya.

Kasih semakin cemas melihat keadaan ibunya. " Ibu, mana 'siput' ibu?" Kasih tercari-cari alat sedut MDI milik emaknya. " Kan tadi Kasih cakapppp.... Kasih yang nak pegang.....Sebab ....ibu kan suka letak merata-rata." Mak Salmah menghabiskan ayat demi ayat dalam keadaan nafas tercungap-cungap.

‘Terseksanya aku macam ni. Kasih, Kasih...mana kau letak alat sedut ibu nak,’ Mak Salmah menangis semput dalam hati mengenangkan sikap anaknya itu. Rasa geram pun ada tapi mengenangkan itulah satu-satu anaknya, dia bersabar ajelah.

Sudah puas Kasih menyelongkar beg sandangnya, namun tidak juga menemui alat MDI milik emaknya. Sel-sel otak mula berhubung. Getaran dan cas ion-ion positif bergetar merangsang otak untuk menemukan jawapan. Kasih, Kasih cepat fikir,fikir,fikir... Laju kalimah hati bergendang dalam hati.

Seingatnya, kali terakhir alat sedut itu berada dalam poket seluarnya dan dia tak pernah pula keluarkan. Kasih masih berfikir. "Entah-entah..." Nampaknya sel-sel otak sudah bergetar menemukan gambaran waktu yang mungkin dapat menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

" Ibu, ibu tunggu sini kejap, Kasih rasa mesti tercicir dekat sungai tadi. Ibu, ibu tunggu tau. Kasih pergi cari." Kasih berlari sekuat hati menuju ke arah sungai.

"Cepat nak...Ibu kau dah separuh semput ni... Hah...Hah... Tahan Salmah, tahan...Kau kuat." Motivasi diri yang tak putus-putus Mak Salmah ucapkan kepada dirinya. Mak Salmah memegang dadanya yang berombak-ombak sambil memerhatikan pucuk paku yang berselerak tidak jauh dari tempat dia duduk. Perlahan-lahan dia bangun lalu berjalan mendapatkan paku pakis yang berselerak.

"Membazir ni kalau tak kutip. Nasibbb laa...Mah, dapattt...laki yanggg sukaaa pucuk pakuuu...hahh...hahh..." Sambil Mak Salmah mengutip satu persatu pucuk paku sempat dia membebel tentang pucuk paku. Tak padan dengan semput Mak Salmah ni.

Laju Kasih berlari. Anak matanya sudah berjaya memfokuskan set barang yang sedang dicari. Hah, tu pun alat sedut ibu, monolognya hati berbunga.

"Kasihhh..." jeritan itu mengalih fokusnya kepada suatu susuk tubuh lelaki berbaju kemeja T biru laut bersama seluar track kelabu. Lama juga Kasih merenung susuk tubuh itu. Maklumlah hari sudah semakin senja. Si Kasih pula ialah seorang yang rabun malam.

Akhirnya, dia kenali itulah lelaki yang menyebabkan hatinya sakit dengan peristiwa katak di sekolah. Kesian Cikgu Kassim kerana terpaksa mengambil cuti pada keesokan harinya selepas sehari peristiwa katak itu terjadi.

"Eh, Kashaf!" Hairan juga dia betul ke Kashaf atau ini cuma jelmaan makhluk halus. Berkali-kali dia menggosok matanya. Riak wajah lelaki itu seperti berada dalam kesepitan. Kasih memejamkan mata, mulutnya terkumat-kamit membacakan surah Al-fatihah bersama ayat pendinding, Ayatul Kursi.

‘Kashaf semakin pelik melihat perwatakan Kasih seperti ingin menghalau entiti halus. Ada gaya tok bomoh budak ni. Ish, menjengkelkan pulak. Aku tengah tersepit ni,’

Bunyi katak semakin bermelodi. Kashaf sudah seram sejuk. Walaupun matahari sudah tenggelam di ufuk barat namun warna-warni senja masih memantulkan cahayanya. Dia dapat melihat di sekitar batu-batuan itu semakin dipenuhi katak.

"Fuhhh...fuhhh...fuhhh..." Kasih menyembur di sekelilingnya selepas membaca ayat-ayat suci beserta doa agar dirinya dilindungi Maha Pencipta. " Baik kau cakap, siapa kau sebenarnya?" Kasih mula menyoal dengan wajah yang serius. Alat MDI milik emaknya disimpan rapi dalam poket seluarnya. Kali ini in shaa Allah tak akan tercicir lagi.

"Kasihhh...Ini akulah Kashaf. Armel Kashaf." Mata lelaki ini mula menjegil. Kashaf mula meyakinkan dirinya.

" Hmm... Apa bukti yang kau tu Armel Kashaf yang poyo, berlagak, ego, dan control macho tu?" Kasih takut tetapi dia sengaja mengawal ketakutannya dengan menguatkan nada suaranya. Pesan emak, 'benda' tu tahu kalau kita takut, jadi kena pura-pura kuat. Berlakon Kasih, motivasi senja buat Kasih.

Terkejut Kashaf dengan pengakuan Kasih. Dia terdiam seketika. 

‘Aku ego? Aku poyo? Aik, Kasih ni melebih pulak, Kang aku baling seekor-seekor katak ni baru tahu langit ni tinggi ke rendah. Eh, tak boleh, tak boleh…! Nanti dia tak tolong aku. Aku pun takut katak juga.’ Lama Kashaf berbahasa-basi dalam benak jiwanya.

Akhirnya dia bersuara, "Ye, ye aku mengaku. Aku ego, berlagak macho dan semua-semua yang kau cakap tu. Kasih, tolong aku." Muka Kashaf sudah mencebik ala-ala muka meminta simpati.

"Tak-tak aku tak percaya kau Armel Kashaf. Tak nampak pun muka poyo. Dah la aku, aku bukan mudah untuk diperdayakan. Cau..." Kasih mula melangkah meninggalkan kawasan sungai.

" Woi, Kasih. Kau ingat kau tu cantik sangat ke? Silap betul la hari tu, patutnya aku sumbat katak tu dalam baju kau. Baru padan muka, tuuuiii..." Jerit amarah Kashaf melihat Kasih tidak mengendahkan dirinya. Marah benar Kashaf. Dia sudah mencengkak pinggang, kepalanya ditundukkan sedikit.

"Kashaffff... Kau ke tu?" Lembut suara terpancul keluar dari bibir Kasih. Kasih mengundur langkahnya, berpaling menghadap lelaki di bawah titi.

Usaha yang tak sia-sia Kashaf, good job Kashaf. Kata-kata pujian buat dirinya sedikit memberikan sinar harapan untuk Kasih membantu.

"Kenapa kau tak balik-balik lagi? Kau buat apa kat bawah titi tu?" Bertubi-tubi ayat menembak Kashaf.

"Kasih, kau kena tolong aku. Aku tak boleh nak keluar dari sini sebab...sebab...ada banyak katak di celah-celah batu-batu tu. Aku tak boleh la." Kashaf menggelabah. Berkali-kali dia meraut wajahnya.

Kasih tersenyum nakal. 

‘Padan muka. Itulah karma namanya! Kashaf nak kenakan aku sangat. Nah, Allah bayar cash tu!’ Monolog Kasih.

"Hahaha... Kashaf. Tak sampai seminggu, kau dah terima balasan kan!" Kasih tersenyum sinis.

"Kasih, hari tu semua rancangan Zaki dengan Meon. Aku mengaku, aku terpengaruh dengan ajakan diorang. Okay, okay aku minta maaf. Aku janji lepas ni aku tak kenakan kau lagi." Kashaf menuturkan pengakuan sekali gus membuat permohonan maaf. " Maafkan aku Kasih." Lembut sahaja nada Kashaf lafazkan.

Saat ini cair pula hati Kasih.

Yelah hati perempuan, sekeras-keras kerak nasi kalau dituang air, lembut juga kan. "Yelah, aku maafkan. Kalau kau tak pegang kata-kata kau, siap! Jangan harap aku nak tolong lagi." Amaran keras Kasih. 

" Kau tunggu sekejap, aku kena serahkan 'siput' ni kat ibu aku. Dia tengah semput tu. Sekejap lagi aku datang tolong keluarkan kau. Sabaarrrr tau." Pesan Kasih sambil berlari sekuat mungkin untuk mendapatkan emaknya.

"Siput?!" Kashaf kebingungan.

" Ibuuu..." Jerit Kasih melihat emaknya sudah terbaring di atas tanah. Kasih segera mendapatkan emaknya. Kemudiaan dia meriba kepala emaknya lalu dia mencapai botol air dalam bakul merah milik emaknya. 

Sedikit air dituangkan di telapak tangan.

Bismillah dan selawat nabi menjadi penawar, intipati mujarab yang sering dia amalkan. Setelah selesai menghembuskan ayat-ayat suci dalam ayat yang ditadahnya, dia meratakan air itu pada kedua-dua telapak tangan sebelum menyapu ke muka ibunya.

Tidak seberapa ketika, Mak Salmah membuka mata, "Alhamdulillah, ibu dah sedar." Satu pelukan singgah pada tubuh yang masih terbaring itu.

"Maafkan Kasih ibu. 'Siput' ibu tercicir di kawasan berhampiran sungai tadi. Kasih janji lepas ni Kasih tak akan cuai lagi. Maafkan Kasih ye ibu." Kasih tahu itu salahnya, jadi lebih baik dia meminta maaf kepada Mak Salmah. Rasa bersalah masih berbaki dalam hati.

"Ibu tak marah pun anak dara ibu ni. Apa yang Kasih buat lama sangat dekat sungai tu?" Pertanyaan ibunya mematikan episod manja bersama emaknya.

"Ibu, Kasih lupa...Kashaf. Dia masih dekat bawah titi. Dia tak dapat keluar dari bawah titi sebab ada banyak katak buat 'demonstrasi'." Jelas Kasih yang sudah berdiri. Dia menarik emaknya untuk sama-sama berdiri.

"Demonstrasi?! Hai...macam mana ni orang laki takut katak!" Mak Salmah menggeleng-gelengkan kepalanya. 

"Jangan dia jadi laki kau sudahlah Kasih, dua-dua penakut dengan katak. Nanti kalau terperangkap bawah titi pandai-pandai korang la cari jalan keluar sendiri." Perlahan sahaja nada lantunan suara Mak Salmah, namun telinga lintah Kasih dapat menangkap bait-bait ayat itu.

" Ibu, Kasih dengar ni. Nak Kasih 'aminkan' ke? Macam ibu nak je Kashaf tu jadi menantu ibu kan?" Ejekan Kasih. Kasih mencubit lengan Mak Salmah tanda protes.

"Sakitlah...Ala, ibu jamin kau tak akan berani nak aminkan kata-kata ibu tu. Kau nak sangat ke dekat Si Kashaf?" Sinis benar bunyi pertanyaan itu. 

Mak Salmah mengangkat keningnya ala-ala kening Ziana Zain. Memang emaknya tahu Kasih benci benar pada Si Kashaf tu. Disebabkan itu juga Mak Salmah berani mencabar anaknya dengan pertanyaan sedemikian kerana dia tahu Kasih pasti akan mengangkat bendera putih juga, tidak berani membenarkan kenyataan yang dicipta Mak Salmah itu.

Lama mereka saling berpandangan, "Ibu, daripada Kasih layan cabaran ibu, lebih baik Kasih pergi tolong Kashaf." Sekali lagi Kasih cuba meninggalkan emaknya.

"Eh, Kasih, kau nak ibu maraton macam tadi ke? Nanti ibu semput lagi macam mana?" Mak Salmah bangun mengejar anaknya.

"Tu kat tangan ibu dah ada alat semput tu...eh, alat MDI, kalau semput sedut la benda tu!" Kata Kasih dari kejauhan.

Mak Salmah hanya berpandangan pada alat MDI di tangannya. Sejak bila alat itu diberi Kasih, dia sendiri tidak menyedarinya.

Kasih sampai di kawasan sungai itu semula. Seperti yang dia janji, kembalinya dia ke situ lagi adalah untuk menolong Kashaf yang berada dalam keadaan getir.

" Kashaf...kau okay?" Tanya Kasih tercungap-cungap kerana penat berlari.

" Kau pergi mana Kasih, aku dah tak tahan ni? Katak-katak ni macam faham je yang aku alergic dengan keadaan ni." Kashaf mundar-mandir menahan rasa gerun dengan keadaan sekeliling.

"Bagus la kalau katak-katak tu faham. Kau minta tolong katak-katak tu ajelah. Senang kerja aku." Ayat mengusik Kasih.

‘Inilah masanya untuk kau balas perbuatan dia Kasih. Ala-ala kau balas 10% jadilah. Tak baik tamak-tamak. Lagipun dengan apa yang dia buat dekat kau tempoh hari, tak seberapa dengan apa yang kau akan buat ni. Hehehe…’ Amukan badai kejahatan menguasai Kasih.

Perasaan simpati mula bertandang. ‘Kasih, Kasih...sejak bila kau jadi budak nakal ni? Tak baik tahu menganiayai orang yang berada dalam kesusahan. Tak banyak, tak banyak pun...kejahatan tetap kejahatan dan itu tetap salah. Ingat, doa orang yang dizalimi mustajab.’

Kasih menggeleng-gelengkan kepalanya. Fikiran-fikiran yang datang mengganggunya sudah tiada lagi bermain dalam kepalanya.

" Kashaf, ini je yang ada. Aku nak kau terjun dari situ." Arah Kasih.

"Kasih...dalam tak?" Kata-kata Kashaf mati di situ.

"Tak dalam la. Kau jangan risau, habis dalam pun paras dada aje." Kasih cuba menenangkan Kashaf.

"Baiklah aku terjun." Kashaf terus terjun tanpa bersoal lagi.

Keadaan jadi tidak seperti Kasih jangkakan. Kashaf tidak timbul-timbul. Kasih sudah mula gelisah. 

Suara Mak Salmah memecah keheningan senja. "Kasih air sungai ni dalam." Warna-warni senja kian malap. Pencahayaan semakin kurang. Kasih tidak boleh berdiam diri. Bayangan Kashaf tidak juga timbul.

"Kasih, kamu tahu tak yang Kashaf tu tak tahu berenang?" Tegah Mak Salmah.

" Dia tak pula cakap tadi." Perasaan serba salah menghantuinya. " Mana ibu tahu Kashaf tak tahu berenang?" Soal Kasih.

"Bahagian itu, nanti ibu jelaskan. Kita kalau dah bermulut, nanti macam wartawan pencen, tak berhenti cakap. Sekarang ni kau pergi selamatkan anak orang tu, Haiii, Kasih, Kasih..." Arah Mak Salmah.

Kasih terus terjun ke dalam sungai. Arus sungai tika itu seperti memahami akan niatnya. Arus tidak deras dan akhirnya dia menemui Kashaf. Kashaf lemah tanpa daya upaya lagi. Segera dia menghampiri Kashaf dan menariknya ke permukaan. Kasih mengerah sekuat tenaga untuk mengheret tubuh Kashaf ke darat. Kasih dapat merasakan tubuh Kashaf masih bernadi. Namun denyutan nadinya lemah. Sampai sahaja dipermukaan, Mak Salmah menghampiri mereka berdua.

" Ya, Allah Kashaf... Kasih macam mana nak sedarkan dia?" Kata Mak Salmah saling berpandangan dengan anaknya yang sudah basah lenjun.

Kasih menekan dada Kashaf berulang kali. Hatinya merintih supaya Kashaf dapat sedar secepat mungkin. Dia takut.

"Ibu, tolong gosok telapak kaki dia? Gosok sampai terasa haba." Pinta Kasih kepada Mak Salmah. 

Mak Salmah tidak banyak songeh seperti kebiasaannya. Dia bangun mengadap kaki Kashaf lalu dia menggeserkan tapak tangannya ke permukaan tapak kaki Kashaf. Kasih pula mengulangi tindakannya menekan dada lelaki yang terbaring di depannya. 

Anak gadis ini bernazar, jika sekujur tubuh di hadapannya ini sedarkan diri, dia berjanji yang dia tak akan memusuhi Kashaf lagi. Lagipun dia rasa bersalah gara-gara dia, nyawa Kashaf terancam. Dia harus bertanggungjawab. Itu tekadnya.

Sedang si anak cuba menyeru jantung supaya berdegup kencang, usaha si ibu juga tidak kurangnya mengerah sepenuh tenaga mengalirkan tenaga dan haba ke dalam tubuh yang sejuk bedi di hadapannya.

Respon positif. Setelah hampir beberapa saat, akhirnya mata Kashaf terbuka perlahan-lahan. Pada masa yang sama mulutnya mula memuntahkan air. Akhirnya, Kashaf menyedarkan diri. Kudrat anak muda ini masih lemah untuk bangun. Kasih membantunya untuk dapat duduk. Mak Salmah juga melakukan hal yang sama.

"Kashaf." Kasih tertunduk seketika. " Maafkan aku." Sebaik dia mengangkat mukanya, kelihatan manik-manik halus menitis dari kelopak matanya yang bundar.

Tersentuh hati lelaki berego ini. Jujur, saat ini sudah tiada sekelumit pun rasa marah terhadap Kasih. Semuanya seperti ghaib di bawa arus sungai tadi.

Budak lelaki ini mula menguntumkan senyuman. 

"Terima kasih Kasih. Kau dah selamatkan aku. Kalau aku mati,..." Sayu kata-kata Kashaf.

Mak Salmah yang menjadi pemerhati sejak tadi mencelah, " Jangan cakap macam tu, belum ajal Kashaf sebab tu Kashaf masih hidup. Dah jangan menangis." Satu usapan singgah di bahu anak muda ini.

Kasih memandang Kashaf dengan senyuman. Meskipun tenaganya habis dikerahkan, lega bertamu dalam hati kerana Kashaf masih hidup.

Kashaf sedaya upaya berdiri. Dia berjalan ke arah semak samun dan dia memetik beberapa batang pucuk paku. Dikumpulkan menjadi satu genggam dan dililit pula dengan lalang.

"Kasih, ..." Senyuman Kashaf meruntun jiwa Kasih. "Ini untuk kau, kita kawan ek." Sambungnya lagi.

"Boleh, kita kawan.” Balas Kasih menyambut jambangan halus pucuk tersebut.

"Pucuk paku tu nanti ibu masak pucuk paku tumis belacan.” Celah Mak Salmah. “Rasanya tadi datang dengan bakul.” Mak Salmah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

"Alamak, pucuk paku!" Kata-kata itu sama-sama terpancul dari mulut dua beranak.

Itu ialah memori yang paling indah dalam hidup Kasih.

 

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Gorjes