Home Novel Cinta Mr. Debater Miss Motivater
Mr. Debater Miss Motivater
Gorjes
20/11/2019 09:55:38
69,868
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Kasih tersenyum sendirian. Memori lama berputar mengingatkan dia kepada Kashaf.

Malam yang kelam, dirinya dihimpit rasa lapar yang tidak putus-putus. Dia segera menceroboh dapur di tengah-tengah malam sepi ini. Apabila pintu peti sejuk ditarik, matanya memerhati setiap tingkat yang terisi dengan bekas-bekas lauk yang telah disimpan oleh ibunya sebelum masuk tidur. Sambil tangan kanan ligat mengeluarkan bekas Tupperware ungu yang berisi masak lemak pucuk paku, tangan kiri pula menarik bekas sambal belacan yang masih lagi terisi banyak. 

Memang kegemarannya makanan lauk-lauk kampung ini. Dia suka petai, jering, pucuk janggus, pucuk ubi dan jantung pisang. Ulam-ulaman itu kalau direbus lalu digandingkan bersama air asam atau sambal belacan sedap tak terkata. 

Wah, terangkat selera anak Mak Salmah!

Pintu peti sejuk masih terbuka luas. Tangannya sudah dipenuhi bekas-bekas makanan yang ingin diperhangatkan di atas dapur. Tiada keseimbangan antara tangan dan badannya, kaki kanan diangkat sembilan puluh darjah ke atas lalu dia menolak pintu peti sejuk sehingga menghasilkan bunyi yang kuat. 

Dummm...

"Kasihhh, buat apa tu?" laungan Mak Salmah memecah kesunyian malam. 

"Kucing bu. Kasih halau kucing nak buka peti sejuk curi ikan!" Seloroh Kasih. 

"Kucing!? Sejak bila kita bela kucing? Jangan ingat ibu tak tahu. Kasih kan… kucing tu?" Mak Salmah cuba mengintai Kasih dari celah-celah lubang pintu biliknya yang tidak bertombol. Bilik Mak Salmah berhadapan dengan dapur. Jadi mudah baginya untuk tahu keberadaan 'kucing' yang dikatakan oleh Kasih.

"Ngiauuu, ngiauuu, ngiauuu. Shhhuuuhhhhh, shhhuuuhhhh... Ibu, Kasih dah halau dah kucing ni. Ibu tidurlah, jangan risau ye." Kasih memejamkan matanya, bekas makanan diletakkan di atas meja. Dadanya dilurutkan tanda lega Mak Salmah sudah kembali tidur. Perlahan-lahan dia berjalan menuju ke arah dapur.

Pemetik api berbentuk pistol diambil dari atas kabinet dapur. Dengan sekali sahaja, tembakan pemetik api itu di tekan, serta-merta api pun terhasil. Dia mengangkat periuk kecil lalu meletakkannya di atas dapur. Kuah masak lemak pucuk paku dituangkan ke dalam periuk lalu dipanas dalam beberapa minit.

“Sedapppnyaaa.”Kasih menelan air liur berkali-kali. 

Selepas lauk siap dipanaskan, Kasih menghidangkan makanan. Hidangan ala bujang. Nasi putih, semangkuk  kecil masak lemak pucuk paku dan sambal belacan. 

Aroma hidangan yang dipanaskan itu menyebabkan Mak Salmah tidak lena tidur. Hampir tersedak Kasih, apabila Mak Salmah muncul di depan muka pintu bilik dengan rambut yang agak mengerbang.

"Mak kau hantuuu!!!" Jerit Kasih terkejut dengan penampilan Mak Salmah yang menjerubung seperti Hantu Kak Limau. Tidak semena-mena dia tersedak lalu mencapai gelas berisi air masak di hadapannya.

"Minum, minum air ni Kasih. Ya Allah, makan ke melantak ni?" Soal Mak Salmah.

"Muntah ke darah ibu.” balasnya sambil mengurut dada akibat tersedak.

“Muntah ke darah? Siapa? Kasih ke? Mana darah, mana…mana?” Puan Salmah menoleh ke kanan dan kiri. Tiada pula kesan darah.

“Ibuuu…muntah ke darah tu maksudnya makan. Aman cakap. Itu istilah orang utara. Mak Cik Aman orang Penang.” Terang Kasih .

“Seramnya bahasa orang utara.” bisik Puan Salmah.

“Ibu, bahasa orang utara tak seseram Kasih tengok ibu tadi. Ingatkan Hantu Kak Limah 2.0. Nasib tak pengsan. Kalau tak, habislah ibu, kena angkat Kasih.”

“ Itu lagi seram. Oesteoporosis aku!”

Suasana yang tenang bertukar ceria. Kedua-dua beranak tenggelam dalam ketawa yang mereka ciptakan.

“Lapar bu, itu yang jadi kucing jadian tu. Ngiauuu, ngiauuu, grrrr..." Usik Kasih sambil membuat isyarat  mencakar seperti kucing yang tengah kelaparan. Tangannya yang tersisa makanan itu kembali menggaul nasi dengan sambal belacan.

"Banyak la kamu punya grrr… Kasih ambilkan ibu pinggan, perut ibu lapar pulak." Pinta mak Salmah supaya Kasih bangun menghulurkan pinggan.

"Eh, ibu kan tak makan malam! Nanti rosak pulak diet tu. Pergilah tidur sana. Shuhh, shuhh..." Kasih sengaja membuat isyarat supaya Mak Salmah masuk ke dalam bilik.

"Bertuah punya anak. Tak ada, tak ada. Ibu lapar! Siapa suruh panaskan lauk ini semua. ini semua salah kamu. kamu dah rosakkan diet ibu." Mak Salmah mengeluarkan 'saman' kepada Kasih.

" Ek,ek le...cakap je ibu lapar kan senang. Mari sini ibu kesayangan ku, Kasih suapkan. Alololo..." Pujuk Kasih kepada Mak Salmah yang sudah menyenduk nasi ke dalam pinggan. 

Mak Salmah pun membuka mulut. Cair juga hati Mak Salmah dengan anak daranya seorang ni.

"Kasih, ibu tengok selera Kasih lain macam ja. Anak ibu ini ada masalah ke? Stres kerja?"Tekaan Mak Salmah.

"Mana ada stres. Memang habit Kasih kuat makan kan ibu. ‘Gemuk is Awesome kan tu tredmark Abam Boncil." Kasih cuba berdalih. 

Malas untuk dia meluahkan kepada ibunya. Semakin dia berfikir, semakin dia berserabut. Bukan ke masalah itu dihadirkan Allah S.W.T untuk melihat siapa-siapa di antara hambanya yang kuat dan mampu bersabar menempuh ujian. Lagi kita bersabar, kita semakin dekat dengan Allah S.W.T. Nama pun manusia, tak akan lari daripada masalah selagi ajal tak mendatang.

"Jangan ‘Gemuk Is Awesome sangat. Kamu tu perempuan. Siapa nak kahwin dengan perempuan gemuk? Ibu nak kamu beringat. Ini bila nak kurus ni?" Kerisauan Mak Salmah tidak dapat diselindung lagi. Mak Salmah jujur benar dengan anaknya. Dia semakin risau melihat Kasih yang tidak bermotivasi untuk menurunkan berat badan.

"Entahlah ibu. Seru nak kurus ni belum datang agaknya." Ringkas jawapan Kasih. Fokusnya hanya untuk menghabiskan masak lemak pucuk paku. Kata-kata Mak Salmah ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

"Seru, seru...bukan ibu tak seru, naik berbuih mulut ni. Bila ada senamrobik di taman perumahan, bukan ibu tak pernah ajak kamu. Kamu tu asyik sibuk aje di butik. Banyak sangat ke tempahan sampai nak turunkan berat badan pun tak ada masa. Kawan ibu, Mak Cik Siew Ling, anak dia Betty dulu badan dia lagi besar daripada kamu. Lepas tiga bulan dia join kelas zumba secara konsisten, konnnsistennn tahu...badan dia dah susut. Dari 120 kilogram dah tinggal 90 kilogram. Bukan main semangat dia pergi kelas zumba lepas tu. Dah tak payah kena bebel. Tengoklah sikit hari nanti mesti dia ada buah hati. Kamu tak jelous ke?" Panjang lebar ceramah Mak Salmah malam itu.

"Panjang ceramah ibu malam ni. Ini kalau Kevin Zahari dengar ni, mesti dia merayu kat ibu untuk join program Jom Kurus." Di akhir ayat ada ketawa memerli.

Kasih sudah selesai mencuci pinggan mangkuk yang digunakannya tadi. Kini, dia hanya meneman ibunya untuk menghabiskan sisa-sisa makanan yang ada. 

" Program Jom Kurus. Eh, Kasih macam best je! Kita join nak?" Permintaan yang tidak dirancang.

Aduh, Kasih mulut, mulut, mulut tu jaga. Kau cari masalah ke?! Monolog hatinya.

 

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Gorjes