Home Novel Cinta Mr. Debater Miss Motivater
Mr. Debater Miss Motivater
Gorjes
20/11/2019 09:55:38
69,897
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 23

“Amboi, termenung sakan nampak! Aku tengok kau sembang lama dengan Faliq. Tak nak shared ke dengan aku?” Tegur Amanda memecah kesunyian yang sudah lama sepi antara dia dan Kasih.

 

Semasa ditinggalkan dengan Puan Sri Mariam tadi Amanda membuka ‘silat cekaknya’.

 

Perbincangan mengenai majlis ulangtahun kelahiran Elle, cucu Puan Sri Mariam ialah perkara yang paling mudah pernah dia hadapi dalam hidup.

 

Konsep Royal Fairy Tale. Banyak sangat tertelan vitamin semasa menjaga Kasih di hospital, Amanda mengambil masa kurang lima hari untuk menghasilkan rekaan ala-ala puteri raja. Sungguh, mendapat kelulusan daripada pelanggan bukanlah mudah. Gara-gara Elle ternampak perbualan video call Amanda dengan Puan Sri Mariam semasa dia sedang menjaga Kasih di wad. Elle berasa kasihan melihat keadaan Kasih yang ketika itu sedang koma. Hati anak kkecil itu direnjut seperti memahami dirinya yang dijerut. Kalau dia tak dapat siapkan tempahan ini, dia pula yang akan koma.

Nampaknya Amanda telah diselamatkan dek Kasih yang sedang koma. Kejutan yang tak disangka-sangka, Elle terus membantu Amanda untuk menyiapkan rekaan kostumnya. Maka, terhasillah gaun kuning keemas-emasan yang mempunyai ciri-ciri seorang puteri raja seminggu kemudian setelah Kasih sedar daripada koma. Cepat dia bekerja.

 

Memang gajinya wajib kena double.

 

Cucu Puan Sri Mariam sangat menyukai watak Belle dalam Beauty And The Beast.

 

Watak gadis yang menukarkan dirinya dengan ayahnya, Maurice yang telah ditangkap Beast. Amanda sempat bersembang dengan Elle tentang mengapa semestinya watak Belle yang dipilih.

 

Sempat dia bergurau, “…because when you drop the ‘B’ it become me, Elle.” Guraunya. Seraya ketawa kecil kedengaran di hujung ayat.

 

Anak Dr. Faliq persis papanya pandai bergurau.

 

Like father, like daughter, bagaimana acuan begitulah kuihnya.

 

Jika ditatap ke dalam wajah Elle, Elle persis Belle kiranya.

 

Dia juga sudah membuat kajian terhadap watak kartun tersebut. Bila diperhatikan ciri-ciri personaliti Belle ada pada Elle. Berambut perang dan panjang. Elle turut mengikat rambutnya dengan gaya low ponytail. Matanya berwarna coklat dan mempunyai pipi kemerah-merahan. Sama. Jadi tepatlah pilihan Elle untuk menjadi Belle pada malam sambutan hari lahirnya itu. Cuma, siapa pula Beastnya?

 

Hati Amanda tertanya-tanya, siapakah gerangan Beast? Kalau dipandang secara dalaman Beast, Dr. Faliq la pilihannya tetapi jika dilihat dari sudut luaran, Beast yang ‘hodoh’ itu tak lain tak bukan siapa lagi, sudah semestinya Si Noah Kashman.

 

Galak kanak-kanak itu bercerita yang dia amat meminati watak Belle kerana Belle sangat berani. Berani menyelamatkan bapanya daripada dipenjarakan Beast. Keberanian yang diceritakan itu yang membuatkan Elle meletakkan dirinya persisi Belle. Dia mahu melindungi papanya. Sesiapa yang mengapa-apakan papanya perlu ‘langkah mayatnya dahulu’. Begitulah gaya bahasa yang difahami Amanda apabila diterjemahkan ke dalam bahasa lidahnya.

 

“Kau dah tak marahkan aku ke?” Soal Kasih mengembalikan Amanda ke alam nyata. Fokus pemanduannya tetap nombor satu walaupun sempat berangan-angan.

 

“Marah tetap marah. Kawan tetap kawan.” Jawab Amanda ringkas.

 

“Kau dah ‘sakitkan’ kereta aku kut. Kereta ni la yang usung kau ke hulu, ke hilir. Last, last…kau calarkan pulak. Kalau aku jadi kereta ini, dah tak ingin aku tumpangkan penumpang yang dah cederakan aku. Aku profesional la. Kalau Si Cashman tu boleh tuntut bayaran kereta dia yang beribu riban, kira kes aku ni celah gigi kau je la. Berapa sen la sangat.” Tambah Amanda lagi.

 

Amanda kalau bab-bab nak mengenakan Kasih nombor satu. Itulah, terlalu beremosi. Sekarang Kasih perlu bayar ganti rugi untuk Noah Kashman dan Amanda Kashman. Sengaja dia ‘Kashmankan’ kawannya itu. Sebab tiba-tiba Amanda menyertai Si Noah Kashman menuntut ganti rugi kereta. Sama isunya dan dia yang harus menanggung kos-kos tersebut. 


Aduhai, masakan Si Noah itu sanggup meminta agar diperbuat sepasang pakaian pengantin buat dia.

 

Apa? Noah tu nak kahwin dah ke?

 

Setahu Kasih, Puan Sri Mariam hanya mahukan sepersalinan pakaian tradisional pengantin perempuan bukan lelaki.

 

Kalau betul-betul nak kahwin tak apa, dia akan bersengkang mata membuatnya. Tapi alih-alih kalau sengaja mahu mencipta alasan dan nak membazir.

 

Itu Kasih akan bertukar dua kali bahaya daripada harimau.

 

Dia boleh jadi naga berkepala tiga.

 

Membazir amalan syaitan.

 

Sudahlah jatuh ditimpa tangga dengan kemalangan tempoh hari.

 

Kini dia perlu menyediakan tiga persalinan pakaian. Sepasang buat cucu Puan Sri Mariam. Itu Amanda sudah uruskan dan Si Amanda itu pandai-pandai berunding sehingga kostum itu akhirnya jadi satu perleburan bukan perlaburan buatnya.

 

Sudahlah mereka perlu menyediakan pakaian kot lelaki yang ‘mahal’ dan ‘mewah’. Duit tabungannya saja tidak mencukupi untuk dihabiskan. Wang yang dikumpul olehnya adalah untuk ibunya.

 

Sudah lama ibunya berhajat untuk menunaikan haji ke Mekah dan dia bercita-cita ingin menghantar ibunya bagi menunaikan umrah dan haji sekali gus. Bayar mahal sikit tak mengapa. Kalau bukan untuk ibu sendiri, untuk siapa lagi dia harus berhabis-habisan wang titik peluhnya. Kan anak dituntut supaya menggembirakan ibu bapa.

 

Baru hidup tenang dan aman damai.

 

Syurganya ialah ibunya.

 

 

“Yelah, dua-dua kaki ungkit. Padan sangat kau dengan Si Cashman tu. Bagai pinang digelek traktor.” Perli Kasih lagi.

 

“Hello…Hello. Sedapnya mulut tu bercakap. Nak kenen-kenenkan aku dengan Si Cashman tu pulak. Eleh, ada meeting konon! Ingat aku nak percaya ke dia tu pergi bermesyuarat entah, entah pergi ‘melewaq’. Kalau dengan Mr. Drive-thru itu, lainlah ceritanya.” Kali ini dia tersengeh seperti kerang busuk. Terkeluar perkataan utaranya. Pengaruh mak saudaranya amat kuat.

 

Cashman tak mahu, ‘Cash flow’ nak pulak!”

 

 ‘Cash flow?’ Kenapa pulak ‘Cash flow’ ?” Soal Amanda hairan.

 

“Yelah, Si Noah Kashman itu, kau cakap dia lambang kemewahan, sikit-sikit nak tunjuk lagak dia dengan pakaiannya, keretanya. Aku pun naik menyampah bila flashback tentang dia tu. Tapi kalau Si Dr. Faliq itu pulak Mr. Drive-thru kau, aliran tunai kau asyik mengalir aje la. Dah drive-thru mesti beli makanan kan, tak akan kau lalu situ semata-mata nak mengorat abang cashier McD pulak!” Tempelak Kasih.

 

“Tak ada makna aku nak mengorat abang cashier ke, Foodpanda ke , Grabfood sekalipun. Tunai tak tunai yang penting Dr. Faliq dah cairkan hati aku. Jangan kau sebut nama Si Noah itu depan aku. Beku hidup balik hati ni. Ini amaran tau.” Kasar sungguh suara Amanda ketika berbicara tentang Noah. Berbeza pula bila dia memetik nama Dr. Faliq.

 

Dr. Faliq.

 

Lelaki itu menawarkan sesuatu kepada Kasih.

 

Tawaran yang datang bergolek-golek. Durian runtuh.

 

Saat diuji dengan kemalangan, ada juga habuan dan ganjaran buat dia, Amanda dan butik. Amanda itu, terkena tempiasnya saja. Yang perlu berusaha lebih keras dan gigih ialah dirinya. Itu yang Kasih rasa macam tak adil. Lembu punya susu, sapi dapat nama. 


Kasih yang mendengar pula cemas. Dia masih tak dapat menghadam tindakan dan persoalan Dr. Faliq itu. Mereka baru sahaja kenal tiba-tiba ada tawaran yang besar menantinya. Wah, rezeki selalu tak salah alamat. Dr. Faliq mahu Kasih sertai dia sebagai salah seorang peserta pertandingan transformasi tubuh badan.

 

Isu tubuh ini bukan isu biasa bagi orang perempuan. Terlalu kurus, digelar ‘lidi’, ‘cicak kobeng’, ‘papan’, dan ‘tiang lampu’. Semua serba tak kena. Apabila terlalu gemuk nanti ada yang tak puas hati, asyik nak mengeji dengan panggilan ‘Moks’, ‘Tong Drum’, ‘Enot’, dan panggilan paling tragis ialah apabila tubuh manusia disamakan dengan binatang ‘King Kong’. Body Shaming ini satu jenayah sebab ia boleh menyebabkan seseorang jadi kemurungan, kecelaruan makanan, gangguan emosi, kehilangan keyakinan diri dan kesan paling ditakuti ia boleh menyebabkan seseorang untuk membunuh diri. Nauzubilahiminzalik.

 

Kalau bukan kerana dia berada di rumah orang, sudah tentu dia akan melempiaskan kemarahannya kepada Dr. Faliq kerana cuba menyentuh isu tubuh badan. Kasih tidak suka. Baginya, terimalah dia seadanya. Tak perlu mengajar dia apa yang patut dia lakukan atau belajar. Dia tak mengharapkan belas kasihan daripada sesiapa pun. Katanya kepada Dr. Faliq, kalau dia berbadan gempal sekalipun, itu tandanya dia gembira. Kegembiraan tak boleh dibeli dengan wang ringgit. Dr. Faliq cuba membetulkan pernyataan dan tujuan dia berunding dengan Kasih. Dia tidak bermaksud membuat Kasih beremosi tetapi ada dua perkara yang Kasih perlu pertimbangkan untuk menurunkan berat badan. Pertama, untuk keyakinan diri dan yang kedua untuk kegembiraan jangka masa panjang.

 

Keyakinan diri?

 

Apa dia belum cukup berkeyakinan diri ke?

 

Hanya dia sahaja yang tahu dan tak dijangka pemerhatian Dr. Faliq terhadap dirinya dapat ‘dibaca’ walau itu pertemuan pertama mereka.

 

Bagaimana pula dengan soal kegembiraan jangka masa panjang?

 

Sudah semestinya dia akan bernikah dan membina keluarga hasil perkahwinannya. Kalau pada masa depan, faktor kesihatannya terjejas. Tidakkah itu menjadi masalah besar kepada suami dan anak-anak untuk menjaga dan memikirkan tentang dirinya. Sepatutnya, pada masa itu, dia yang perlu menjaga ahli keluarganya. Bukan sebaliknya.

 

Tapi, ada syaratnya.

 

Syarat yang dikemukakan Dr. Faliq boleh memberhentikan nafasnya sesaat. Dr. Faliq mahu Kasih tinggal di rumah ini. Mudah sungguh syaratnya. Dr. Faliq akan mengajar Kasih A-Z tentang proses penurunan berat badan ideal manakala Kasih pula perlu tinggal bersama-samanya di rumah agam ini. Tinggal berasingan. Dia maklum, di rumah ini ada Puan Sri Mariam. Masakan Dr. Falliq ingin melakukan ‘sesuatu’ ke atas dirinya. Bila ditanya sehingga bila, Dr. Faliq memberikan tempoh masa dalam 3 bulan sahaja.

 

Kasih menolak tanpa berfikir panjang.

 

Dr. Faliq menawarkan bantuan kewangan ke atas butik Kasih. Dia juga berjanji sekiranya Kasih bersetuju, semua perbelanjaan hutang yang ditanggung oleh Kasih akan dilangsaikan oleh Dr. Faliq. Langkah pertama, Kasih akur dengan syaratnya itu.

 

Itu yang membuat Kasih terdiam sehingga kini. Dia tahu, kegusaran dan kepayahan untuk terus bertapak dalam dunia fesyen menyebabkan dia perlu mengorbankan banyak perkara. Bukan senang untuk dia senang.

 

Baru Kasih ingin membuka mulut telefon pintarnya berdering. Tertera nama ‘Ibu Buchuk-Buchuk’ pada skrin telefon pintarnya. Sedikit kekok apabila semua perkara perlu menggunakan tangan kiri.

 

Dia bersyukur. Sekurang-kurangnya, dia masih dikurniakan tangan walau hanya satu tangan sahaja yang fleksibel lakukan pekerjaan berbanding insan-insan istimewa yang tiada anugerah tangan ini. Tangan kiri memegang telefon pintar lalu jari telunjuk tangan kanan masih dapat digerak-gerakkan. Jari terlunjuk menjalankan tugas kecil tuannya yang agak kelainan upaya ketika ini. Simbol butang menjawab panggilan berwarna hijau di slide ke kanan.

 

“Waalaikumsalam. Apa? Ibu kena samun! Okay, ibu hantar location, Kasih minta Amanda hantar Kasih ke sana sekarang!” Pinta Kasih keresahan. Dia sudah melupakan soalan Amanda sebentar tadi. Baginya ibu ialah keutamaan kini.


Amanda turut terkejut mendengar Mak Salmah disamun. Sudah jatuh ditimpa tangga keluarga ini. Belum anaknya sembuh daripada kemalangan kini ibunya pula mendapat kecelakaan, menjadi mangsa samun.

 

Sebaik melihat lokasi yang dihantar oleh Mak Salmah melalui pesanan Whatsapp, kereta Myvi Amanda memecut laju ke destinasi yang ingin dituju.

 

Dan ketika ini, Kasih sudah mula lupa akan perjanjian yang boleh menyelesaikan semua hutang-hutangnya itu.

 

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Gorjes