Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku, Dia & Sebalang Gula-Gula
Aku, Dia & Sebalang Gula-Gula
Tinta Ana
2/12/2020 21:34:56
47,506
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 8

Nampaknya pembantu rumah itu tidak pulang, sebaliknya tinggal bersama Ayni. Katanya arahan dari Luqman. Dia memperkenalkan diri sebagai Juli dan tidak habis-habis menggelar Ayni sebagai ‘Cik’.

“Tak perlulah formal sangat. Panggil saja saya Ayni,” tegur Ayni.

“Baik, Cik Ayni!”

Sepuluh kali ditegur pun masih sama. Akhirnya Ayni menyerah kalah. Panggillah apa pun, asal bukan mengutuk yang bukan-bukan sudah.

Tapi itu bukan masalahnya. Masalahnya dia akan masak makanan untuk Ayni. Bukan masalah? Tapi ia memang masalah kalau lima orang pun boleh makan makanan itu. Banyak sangat!

“Kalau Cik Ayni tak makan, Encik Luqman mengugut untuk pecat saya,” jelas Juli.

Apa kaitan dengan masak begitu banyak? Ayni tak akan mampu makan semua ini! Berkali-kali dipujuk pun, Juli masih berkeras. Biarpun Ayni berjanji untuk merahsiakan dari Luqman, dia langsung tidak terkesan. Akhirnya Ayni minta untuk kurangkan kuantiti. Alasan Ayni ialah dia mahu menjaga berat badan.

Selepas itu barulah dia nampak seperti memahami.

Tapi dia tidak berhenti setakat di situ. Katanya dia diarahkan untuk menyiapkan semuanya untuk Ayni. Jadi ada saja soalan darinya.

“Cik Ayni ada pakaian untuk dibasuh? Kalau boleh cik letakkan saja di dalam raga ni. Saya akan cuci setiap kali ada pakaian di dalam.”

“Cik Ayni, biar saya yang iron baju tu. Memang kerja saya.”

“Cik Ayni nak makan snek? Biar saya sediakan.”

Cik Ayni ini dah biasa jaga diri, jadi sekarang dia rasa pelik dilayan sebegitu. Akhirnya Ayni lari sembunyikan diri di dalam bilik. Esoknya awal lagi Ayni dah bangun.

“Cik Ayni nak ke sekolah?” tegur Juli apabila Ayni keluar siap memakai uniform.

Ayni mengangguk. Selepas seharian dengan Juli, dia merasa letih. Jadi pertama kali dalam hidupnya, dia sangat tidak sabar untuk ke sekolah.

“Saya dah sediakan sarapan,” kata Juli. “Cik Ayni duduklah.”

Membantah pun tak guna. Jadi Ayni duduk makan dengan diam.

“Saya pergi dulu,” kata Ayni selepas selesai, cepat-cepat mencapai beg sekolahnya.

“Kalau macam tu, saya akan beritahu Mat yang Cik Ayni hendak ke sekolah sekarang,” kata Juli. “Saya dah beritahu dia semasa Cik Ayni sarapan tadi. Mungkin dia dah dalam perjalanan pun.”

Langkah Ayni mati di pintu. “Siapa?”

“Mat, pemandu Cik Ayni.”

Sejak bila Ayni ada pemandu? Tapi siapa lagi yang sediakan kalau bukan dia? Ayni hanya mampu menjerit di dalam hati. Macam mana hendak memprotes, Ayni masih tidak tahu bagaimana hendak hubungi dia. Telefon pun tak ada!

Ayni mengetap bibir. Sudah-sudahlah dengan semua ini! Kalau Ayni cepat mungkin dia dapat mengelak. Terus dia lari keluar tanpa bercakap apa-apa lagi. Tapi sebaik saja membuka pintu, seorang lelaki pula menunggu di depan pintu.

“Assalamualaikum, cik dah sedia nak sekolah? Saya pemandu cik. Nama saya Mat.”

Kenapa dia tunggu di depan pintu? Tanpa pedulikan lelaki itu, Ayni terus ke lif. Tapi lelaki itu, Mat mengikut Ayni.

“Saya tak perlu kereta! Saya boleh pergi ke sekolah sendiri!” kata Ayni apabila lelaki itu berdiri di belakangnya.

“Saya diarahkan oleh Encik Luqman untuk hantar cik,” balas Mat.

“Saya tak mahu! Beritahu bos awak yang saya tak mahu!” bantah Ayni.

Turun ke bawah, sebuah kereta diletakkan betul-betul di jalan keluar. Mat segera membuka pintu untuk Ayni.

“Cik, cik akan sampai dengan lebih cepat jika saya yang hantar. Lagipun Encik Luqman memang pentingkan keselamatan dan keselesaan cik,” kata pemandu itu dengan penuh hormat.

Ayni tak boleh ke sekolah dengan menaiki kereta itu. Tak mahu!

“Saya naik bas saja!” kata Ayni, selepas itu terus berlari ke stesen bas terdekat.

Pengawal-pengawal yang menjaga di pondok keselamatan kawasan kediaman itu memerhatikan dia berlari melepasi mereka dengan menjungkit kening, kemudian saling berpandangan.

Lambat pula bas datang! Kereta itu pun sudah sampai kepadanya. Sekali lagi Mat turun,membuka pintu dengan penuh hormat.

“Maaf cik, saya diarahkan untuk hantar cik ke sekolah dengan selamat. Sila naik kereta,” katanya, membuka pintu kepada Ayni.

“Saya tak nak! Saya nak naik bas! Awak beritahu dia!” kata Ayni.

“Itu bukan keputusan saya. Macam ni lah, apa kata cik sendiri cakap dengan dia. Sebentar ya, biar saya telefon dia,” kata Mat.

Sementara lelaki itu cuba menelefon Luqman, bas tiba. Terus Ayni meluru masuk.

“Cik, nanti dulu!”

“Awak cakap dengan dia yang saya tak mahu dan tak akan naik kereta!” jerit Ayni, kemudian terus berlari mencari tempat duduk.

Penumpang lain yang berada di dalam bas memerhatikan dia sambil berbisik-bisik tapi Ayni tak peduli. Dia terasa lega apabila bas menutup pintu dan mula bergerak.

Ayni tak pasti apa yang sebenarnya bermain di fikiran Luqman. Tapi dia sedar suatu perkara, lelaki itu terlalu aneh.


Selepas seminggu tidak ke sekolah, tempat itu bagaikan sedikit asing. Tapi Ayni tetap jadi bualan. Asal nampak saja mukanya, mulalah mereka berbisik-bisik!

“Kau dengar tak dia kena tangkap dengan polis?”

“Seminggu tak datang, dah masuk lokap? Dahsyat jugak dia ni!”

“Betul! Aku pun dengar!”

“Dengar cakap dia belasah samseng!”

“Betulkah?”

“Ya! Seorang!”

“Aku dengar dua orang!”

“Aku dengar dia belasah satu kumpulan samseng!”

“Wah, hebatnya!”

Ah, makin lama, mereka buatkan Ayni bagaikan seorang gadis yang kuat sehingga dapat memukul orang lain sesuka hati! Berhentilah bergosip! Makin lama, kalian makin mengarut! Ayni pekakkan telinga, terus berjalan ke kelas. Sampai di kelas, Razmi pula yang menghalang.

Takkan selepas beberapa hari tak berjumpa dia hendak mengajak Ayni bergaduh? Ataupun dia marah Ayni pukul kawannya tempoh hari? Tapi dia juga yang pertahankan Ayni di kedai makan Kak Iti. Ayni langsung tidak dapat teka apa yang bermain di fikiran Razmi. Jadi dia hanya memandang Razmi, menunggu lelaki itu bersuara.

Razmi membuka mulut, tapi menutup kembali. Apa yang dia hendak cakap. Sekali lagi dia buka mulut, kemudian sekali lagi menutup kembali. Apa kena dia ni?

“Kau kenapa?” soal Ayni.

“Kau okey?” tanya Razmi.

“Kenapa pulak aku tak okey?” Ayni menjungkit kening.

“Aku dah dengar tentang Zam, tentang rumah kau.”

Ayni menghela nafas. “Oh… umm… Aku okey!”

Sejak bila mereka berdua boleh berbual dengan baik begini? Ini memang Razmikah? Takkan selepas beberapa hari tidak berjumpa dia berubah begini?

“Aku cuba cari kau tapi aku tak tahu kau dah ke mana,” kata Razmi.

“Kau cari aku? Tapi nanti! Kau tahu rumah aku di mana?” soal Ayni seraya menjungkit kening.

“Aku pernah lalu kawasan tu. Jadi sekarang kau tinggal di mana?”

“Kawan aku bagi aku tumpang rumah dia buat sementara waktu.”

“Yakah? Baguslah!”

Mereka tidak pernah berbual secara baik selama ini, jadi bila tiba-tiba berbual begini, masing-masing terasa janggal. Terus mereka berdua membisu selepas itu.

“Aku nak masuk!” kata Ayni tiba-tiba.

Razmi segera rapat ke dinding, memberi laluan tanpa sebarang kata. Sebaik saja masuk, baru Ayni perasan yang semua orang sedang memandang mereka. Dua orang yang selama ini bermusuhan boleh berbual tanpa bergaduh, tentulah semua orang terasa berminat. Melihat Ayni yang masuk dan tercegat melihat kelakuan mereka, terus masing-masing pura-pura sibuk dengan hal yang tiba-tiba ada. Pandai berlakon!

Ayni duduk di kerusinya tanpa sepatah kata. Razmi sendiri kembali ke tempatnya, bagaikan dia dan Ayni tidak berbual dengan sopan sebentar tadi. Kalau bukan kerana ada segelintir pelajar yang masih mencuri pandang Ayni dan berbisik-bisik, pasti dia ingat hal tadi ialah mimpi. Ah, peliknya!

Lebih baik dia mengulangkaji. Dia sudah banyak ketinggalan berbanding rakan sekelas. Tapi dia tidak tahu hendak mengulangkaji apa. Maklumlah, seminggu dia tinggalkan sekolah. Ah, keluarkanlah buku apa pun! Baru hendak memasukkan baki buku teks ke dalam laci meja, Ayni perasan ada sesuatu di dalam.

Ayni menjenguk, mengerut dahi. Kemudian dia mengeluarkan sebungkus roti dan sekotak air milo. Ada lagi? Mungkin yang lama agaknya. Tapi tarikh pada roti itu menunjukkan roti ini masih baru. Walaupun sebelum ini Ayni tidak mahu buat sebarang kesimpulan, tapi sekarang dia pasti yang roti dan air ini ditinggalkan untuknya.

Tapi siapa yang buat semua ini? Dan kenapa?

Disebabkan tidak tahu tujuannya, roti dan air itu sekali lagi Ayni letakkan di penjuru meja dengan rasa syak.

“Bangun!” Terdengar suara ketua kelas.

Semua orang berdiri, menyapa Cikgu Haniza yang masuk. Cikgu Haniza letakkan buku, kemudian memanggil Ayni.

“Waris awak datang untuk jumpa pengetua. Cikgu Ayub minta awak ada sekali di bilik disiplin.”

“Waris? Papa saya datang?” tanya Ayni dengan rasa tidak percaya.

“Ya,” jawab Cikgu Haniza, hairan melihat raut wajah Ayni. “Pergilah sekarang.”

Ya, Ayni memang hendak pergi biarpun tidak disuruh. Ayni segera keluar sampai terlupa untuk ambil beg sekolah seperti kebiasaannya.

Langkah yang awalnya cuma berjalan bertukar menjadi lari-lari anak. Dia ingin segera sampai. Banyak yang ingin dia tanya kepada Arman. Sebaik sampai, Ayni hampir saja terus buka pintu dan masuk. Nasib baik dia mengawal diri. Ayni mengetuk pintu dan memberi salam.

“Masuk!”

Cepat-cepat Ayni tanggalkan kasut, kemudian meluru masuk.

“Pa-”

Eh, dia bukan papa! Azhar hanya memandang Ayni yang tercengang.

“Duduklah!” kata pengetua.

Perlahan-lahan Ayni duduk di sebelah Azhar. Lelaki ini datang sebagai warisnya?

“Macam yang saya cakap tadi, Encik Arman mesti perhatikan dia. Tingkah laku sekarang yang menjadi penentu hidupnya di masa hadapan,” kata pengetua.

Azhar mengangguk dengan wajah yang serius. “Saya faham, cikgu! Jangan risau! Saya akan pastikan yang saya akan beri lebih tumpuan pada anak saya di masa hadapan nanti!”

Siapa anak kau? Sebelum ini peguam, tiba-tiba kita naik taraf sebagai bapa dan anak! Tapi Ayni membisu, menggigit bibir.

“Mungkin encik boleh beri lebih banyak masa bersama anak encik. Pelajar seperti ini selalunya mahu lebih perhatian dari ibu bapa mereka,” nasihat pengetua lagi.

“Ya, betul kata cikgu!” Azhar mengangguk. “Saya akan pastikan saya habiskan lebih banyak masa dengan anak saya!”

“Tentang motorsikal tu, pelajar itu sendiri sudah maafkan Ayni. Ayni pun dah jalani hukuman untuk kesalahannya. Jadi kita kira hal ini sudah selesai,” kata pengetua lagi.

“Saya sangat berterima kasih kepada cikgu-cikgu dan pelajar terbabit kerana sanggup memaafkan anak saya. Sekali lagi saya minta maaf untuk kesalahan anak saya,” kata Azhar dengan serius.

Pengetua terdiam selepas itu. Dia tidak pasti sama ada bapa Ayni ini memang serius atau menyindirnya. Tak kira apa yang dikata, semuanya terus dijawab dengan bersungguh-sungguh. Mungkin juga dia benar-benar rasa bersalah atas kesalahan anaknya. Pengetua dan Cikgu Ayub berpandangan selepas melihat bapa Ayni yang duduk dengan serius, manakala Ayni pula nampak seperti tidak berpuas hati. Tapi bapa Ayni langsung tidak peduli dengan anaknya itu. Melainkan ketika Ayni masuk tadi, dia langsung tidak pandang Ayni lagi.

Melihat mereka berdua membuatkan orang lain tertanya-tanya sama ada mereka berkomunikasi begini di rumah. Bapanya kelihatan seperti seorang yang terlalu dingin. Mungkin juga sebab itu Ayni jadi begini, kerana mereka tidak dapat berkomunikasi dengan baik di rumah. Tiba-tiba mereka rasa sangat kasihan pada Ayni.

Ayni sekali-sekala mengerling, melihat Azhar yang masih duduk secara tegak, mendengar kata-kata pengetua seperti sangat berminat. Mungkin juga dia betul-betul berminat. Entahlah, Ayni sendiri tidak pasti. Dia sukar dijangka, sama seperti majikannya. Sebaik mereka keluar, Ayni terus berpaling memandang Azhar.

“Dia yang minta datang?” tanya Ayni.

Siapa dia tidak perlu dijelaskan.

“Saya hanya mendengar arahan dari bos,” jawab Azhar dengan penuh hormat. “Hal ini tidaklah sebesar hal tempoh hari, jadi ia sangat mudah untuk diselesaikan.”

“Dia datangkah?” tanya Ayni.

“Bos ada di luar pagar sekolah. Cik Ayni nak jumpa Encik Luqman?”

Ayni menghela nafas. “Mana mungkin! Saya kena balik ke kelas. Terima kasih sebab datang sebagai waris saya.”

“Saya hanya mengikut arahan, tak perlulah ucap terima kasih,” kata Azhar. “Ada satu lagi pesanan dari bos.”

“Apa dia?”

“Sila naik kereta supaya dia dapat tahu Cik Ayni pergi dan pulang dari sekolah dengan selamat.”

Ayni mendengus, menahan marah. “Kalau awak tak cakap tadi, saya dah lupa! Kenapa saya mesti naik kereta? Apa lagi yang dia nak buat? Awak tanya dia, dia dah hilang akalkah?”

“Saya minta agar Cik Ayni tanyakan soalan itu sendiri kepadanya. Terutamanya soalan yang terakhir itu. Saya tidak dapat tanyakan soalan begitu kepada bos yang saya hormati.”

Maksudnya, saya terlalu menghormati bos saya kerana dia terlalu menakutkan untuk ditanya sama ada dia hilang akal? Jadi sila tanya sendiri, begitu?

“Apa sekalipun, Cik Ayni sila naik kereta saja bila balik nanti. Ia bukan saja memudahkan cik untuk pulang tapi bos juga akan rasa tenang bila tahu cik dah selamat sampai,” kata Azhar lagi.

“Saya tak mahu! Cukuplah apa yang dia dah buat untuk saya! Kereta tu dah melampau sangat! Saya tak faham kenapa dia beria-beria buat semua ni! Awak boleh beritahu pada dia! Sekarang saya nak balik ke kelas!”

Tanpa menunggu jawapan dari Azhar, Ayni terus berjalan ke kelasnya. Azhar bukan Luqman, jadi dia membiarkan saja Ayni berjalan pergi. Kalau bukan kerana mereka di sekolah, pasti dia akan tunduk hormat seperti kebiasaan yang dia lakukan.

Lelaki itu agaknya memang dah hilang akal! Mereka bukannya kenal sangat pun. Kenapa tiba-tiba dia buat semua ni? 

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.