Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku, Dia & Sebalang Gula-Gula
Aku, Dia & Sebalang Gula-Gula
Tinta Ana
2/12/2020 21:34:56
47,496
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 1

Kosong!


Semalam dia masih ada lagi wang di dalam dompet ini. Tak kan kena ambil lagi? Tapi ini bukan kali pertama, kan? Tak kan dia habiskan semua duit lagi? Kalau betul parahlah keadaan mereka nanti. Duit itulah yang tinggal untuk belanja hingga kiriman wang yang seterusnya. Entah bila hendak dikirim pun dia tidak pasti.Habis macam mana sekarang? Hendak pulang, sesi persekolahan belum tamat lagi.Ah, makin fikir makin lapar dibuatnya! Minum air kosonglah! Bukan dia tidak biasa! Balik nanti dia cari lagi duit itu. Entah-entah ada di rumah.


“Woi, comot!”


“Dia tak dengarlah!”


“Betulkah dia?”


“Ya! Memang kami panggil dia macam tu sejak sekolah rendah lagi. Kuat sikit!”


“COMOT!!!!”


Rasa-rasa mereka panggil Ayni, sebab ini bukan kali pertama dia dipanggil begitu. Gelaran itu melekat dengannya selepas pelajar lain melihatnya dengan baju sekolahnya yang lusuh dan comot sedikit. Tapi dia sudah biasa, jadi langsung tidak berpaling. Hampir bertahun- tahun dipanggil dengan pelbagai gelaran, dia sudah lali dengan semua itu. Itu pun bukan gelaran paling teruk dia pernah kena. Tapi setakat panggilan begitu, Ayni dah tak ambil peduli. Lebih baik dia pura-pura tidak mendengar daripada menyahut atau menunjukkan reaksi. Panggillah apa pun, tak matilah!


Selesai minum air kosong dari mesin air, Ayni kembali ke kelas. Perutnya masih minta untuk diisi dengan makanan tapi itu bukan pilihan. Nanti balik dia makanlah. Lagipun dia sudah biasa begini. Puasa satu hari pun boleh tahan tak makan. Jadi setakat setengah hari tak makan, tak matilah!


Untuk menghilangkan rasa lapar, dia ambil keputusan untuk mengulangkaji. Tapi belajar dengan perut kosong, satu benda pun tidak akan melekat di otak! Asyik fikir nasi, nasi, nasi. Pun begitu, Ayni paksa diri juga. Tahun ini tahun akhir dia di sekolah menengah. Selepas ini dia boleh cari kerja dan sambung belajar secara perlahan-lahan. Hendak belajar sepenuh masa itu mustahil! Belajar sambil bekerja, dia boleh buatlah! Tak matilah!


Semasa meraba mencari buku di dalam laci, tangannya tersentuh benda yang lembut. Apa ni? Ayni segera menjenguk, kemudian mengeluarkan sebungkus roti. Siapa punya? Kenapa ada dalam laci mejanya? Salah letakkah? Tapi kebelakangan ini dia memang selalu jumpa makanan di dalam laci mejanya. Aneh betul!


Dia memang lapar tapi itu tidak bermaksud dia akan makan apa saja yang ada di depan mata. Lagipun ini entah roti siapa? Ayni memandang ke kiri, ke kanan, ke sekeliling, tapi dia masih belum dapat menduga tuan empunya roti ini. Akhirnya dia letakkan roti itu ke atas meja. Harap-harap nanti tuannya akan ambil sendiri. Bukan kali pertama perkara ini berlaku, jadi dia malas untuk bertanya. Kemudian dia keluarkan buku dan terus membaca.


“Lepas SPM aku ingat nak ajak keluarga aku pergi bercuti. Boleh hilangkan stress lepas penat belajar!”


“Nak ke mana?”


“Mana-mana pun tak apa! Janji pergi berjalan- jalan!”


“Ajaklah keluarga kau pergi Korea. Mak ayah kau mampu, kan? Bila lagi nak pergi?”


“Betul tu! Aku pun teringin nak pergi jugak! Mana tahu jumpa EXO ataupun BTS!”


Tak mungkin EXO, BTS atau mana-mana artis kpop itu merayau di kawasan awam secara tiba- tiba. Tak pernah Ayni jumpa mana- mana artis pun secara kebetulan semasa dia pergi ke sana dulu. Malah bukan sekali dia pernah ke sana. Entah berapa kali pun dia sudah tidak ingat! Mengarut betul mereka ni! Tapi mungkin juga semasa dia pergi, dia langsung tidak berminat dengan mana-mana artis korea. Dia terlalu muda pada ketika itu untuk peduli. Jadi mungkin juga sebab itu dia tidak pernah perasan sesiapa pun.


Ayni cuba menumpu perhatian kepada buku di depan. Rakan sekelasnya masih lagi rancak berbual di sebelah. Walaupun tidak mahu mendengar, perbualan mereka tetap jelas di telinganya. Kenapa dia ambil kisah? Dia rasa cemburukah? Cemburukan apa sebenarnya? Hidup mereka lebih baik dari dia?


Hmm, sudahlah!


Ayni menutup buku, menopang dagu memandang ke luar tingkap. Jujurnya dia pernah hidup lebih baik dari mereka. Segalanya ada dan segalanya dimiliki. Sebut saja dia pasti akan dapat. Tapi semua itu masa lalu. Tak guna rasa apa-apa lagi. Yang penting sekarang dia perlu hidup sebaik mungkin.


Dia akan cuba sedaya upaya untuk ubah hidupnya. Lagipun kalau bukan dia, siapa lagi yang boleh dia harapkan. Tidak ada siapa yang akan terus berada di bawah. Asal terus hidup dan berusaha pasti ada cara.


“Belajarlah Ayni! Jangan fikir banyak hal-hal tak penting!” bisik Ayni, cuba memberi semangat kepada diri.


Kali ini Ayni keluarkan buku nota Sains dari laci meja. Selak saja buku, matanya terus bulat. Kerja siapa???


Ayni menyelak- nyelak helaian buku nota yang diconteng dengan pelbagai kata- kata dan lukisan ke anak- anakkan. Apa ini? Benda apa yang kotak berwarna kuning ini?Budak lelaki berambut nanas? Ninjakah? Gelak- gelak di belakang membuatkan Ayni berpaling. Tiga orang pelajar lelaki paling nakal di dalam kelas tergelak-gelak melihat ke arahnya. Kerja merekakah?


“Kenapa comot? Ada benda tak puas hati?” soal Razmi, salah seorang dari mereka.


Suara dia yang kuat membuatkan semua pelajar lain terdiam dan memandang antara Ayni dan kumpulan pelajar itu. Ini bukan kali pertama Razmi dan Ayni bergaduh, jadi semua orang hanya melihat.


“Kau yang buatkah?” soal Ayni.


“Buat apa?” soal Razmi kembali.


Ayni mengangkat buku, menunjuk ke arah mereka bertiga. Terus mereka bertiga ketawa berdekah- dekah. Kenapa? Kelakar sangatkah?


“Cakap! Kaukah? Tak pun kawan-kawan kau yang sama macam kau ni?” soal Ayni lagi.


“Eh, kau ada nampak kami yang buatkah?” Soal seorang lagi.


“Korang ingat ni kelakarkah?” tanya Ayni.


“Kami tak cakap apa-apa pun,” balas lagi seorang. Lagi berdua tersengih dan mengangguk-angguk, macam burung.


“Aku tak ada masa nak bergurau macam ni. Korang ingat murah harga buku ni? Senang-senang nak conteng macam ni!” tengking Ayni.


Terus diam mereka bertiga. Tapi Razmi yang bagaikan tidak puas hati ditengking seorang gadis terus bangun menghampiri Ayni.


“Hah, memang aku yang buat! Habis tu kenapa? Kau tak puas hati? Kau cakap buku ni mahal? Kelakar betul!” Razmi keluarkan beberapa keping wang sepuluh ringgit dari dompetnya, melontar ke arah Ayni. “Ambik duit ni, pergi beli buku yang baru! Setakat duit dua tiga ringgit pun nak bising!”


Merah padam wajah Ayni. Tanpa menghiraukan duit itu, dia terus bangun menghampiri Razmi.


“Kau ingat ini kelakarkah?” tanya Ayni dengan nada dingin.


“Ada dengar aku buat lawakkah?” balas Razmi.


“Kau ni memang kurang ajar, kan? Tak ada ubat perangai kau ni!”


“Eh, cakap tu baik-baik sikit! Siapa yang mula dulu? Kau atau aku? Jangan ingat kau tu perempuan aku tak berani pukul kau!”


“Pukullah! Pukul! Jangan ingat aku tak melawan!”


“AYNI NASMEEN!”


Terus berhenti mereka berdua. Guru kelas, Cikgu Haniza mereka berdiri di pintu dengan mencekak pinggang. Tapi mereka berdua bergaduh, kenapa cuma nama Ayni yang dipanggil?


“Apa kena dengan kamu berdua? Kamu berdua bergaduh apa? Yang perempuan perangai tak macam perempuan!”


Tengok, Ayni juga yang disebut terlebih dahulu!


“Razmi?” tanya Cikgu Haniza.


Razmi cuma menjungkit bahu. Ayni mencerlung ke arahnya. Kenapa tak mengaku? Takutkah?


“Ayni?”


“Dia hina saya cikgu!” jawab Ayni.


“Betulkah Razmi?”


“Kami bergurau sajalah cikgu. Dia yang naik angin macam kena rasuk!” jawab Razmi.


“Aku tak marah kalau kau tak kurang ajar! Bergurau apa macam tu?” desis Ayni.


“Sudah! Nak bergaduh lagi?” tengking Cikgu Haniza. “Sekarang kamu berdua pergi jumpa Cikgu Ayub!”


Cikgu Ayub itu cikgu disiplin, cikgu yang paling digeruni disekolah. Setakat ini entah berapa kali Ayni perlu berjumpa dengan cikgu itu. Ayni rasa Aynilah orangyang paling kerap berjumpa dengan Cikgu Ayub berbanding pelajar lain. Ayni mengaku, yang lain tu, setengahnya mungkin salah Ayni. Tapi kali ini Ayni rasa langsung tidak puas hati. Bukan salah Ayni pun!


“Tunggu apa lagi?” soal Cikgu Haniza.


“Tapi cikgu…”


“Tak ada tapi-tapi! Pergi sekarang!”


“Cikgu-”


“Kamu nak pergi atau saya tarik tangan kamu pergi?” soal Cikgu Haniza.


Razmi menggaru kepala, kemudian berjalan keluar perlahan-lahan. Ayni mendengus. Dia langsung tidak berpuas hati dengan hal ni. Cikgu Haniza pun langsung tidak mahu dengar penjelasan dia. Tapi dia berjalan ke mejanya, memasukkan buku ke dalam beg, kemudian berjalan keluar.


“Kamu nak ke mana bawak beg tu?” soal Cikgu Haniza.


“Cari Cikgu Ayublah!” balas Ayni dengan nada dingin.


Malas untuk mempertikai, dia membiarkan saja Ayni membawa begnya keluar. Lagipun ini bukan kali pertama Ayni berperangai begini. Tapi separuh jalan ke bilik disiplin, Ayni berhenti.


Kenapa dia mesti pergi? Dia tak salah! Siapa yang tak marah kalau berada dalam situasi tadi?


Makin fikir, makin marah Ayni dibuatnya. Akhirnya dia teruskan berjalan juga, tapi tidak ke bilik disiplin. Sebaliknya terus ke pintu pagar besar untuk keluar.Lebih baik dia balik dari terus berada di sini! Tapi separuh jalan dia berhenti lagi. Matanya memandang ke arah tempat meletak kenderaan pelajar. Dia memikirkan sesuatu, kemudian berjalan lagi. Kali ini dia teruskan perjalanan hingga ke tempat parking.


Melilau dia mencari sesuatu, akhirnya dia berhenti di hadapan sebuah motorsikal berwarna hijau. Lama juga dia merenung kenderaan itu. Ayni menggigit bibir, membuat keputusan. Dia menyelongkar beg sandangnya, mencari sesuatu. Ayni kemudiannya mengeluarkan sebilah pisau kecil.


Memandangkan kau tak faham macam mana hidup orang susah, apa kata hari ini kau belajar!


Kedua-dua tayar motor ditoreh Ayni. Dia tersenyum puas melihat tayar motor yang kini pancit. Mungkin Razmi akan pulang dengan dua orang badut itu ataupun dia boleh berjalan kaki hingga ke rumah. Ayni tak peduli! Puas hati, akhirnya Ayni terus pulang ke rumah.

 

 

Sunyi saja. Mana papa?


Ayni mencari hingga ke bilik papa. Barangkali keluar lagi. Ayni mendengus. Bukan kali pertama begini tapi Ayni masih rasa marah setiap kali.


Di rumah ini cuma tinggal Ayni dan papa Ayni, Arman. Dulu semasa mamanya masih ada, sekurang- kurangnya mereka tidak rasa sunyi seperti ini. Malah perangai Arman tidak seperti sekarang. Arman masih cuba mencari kerja, cuba menyara keluarga.Tapi selepas mama Ayni pergi, sikap Arman berubah sepenuhnya. Bukan setakat tidak bekerja, Arman mula berjudi. Entah apa yang Arman fikir pun Ayni tak faham. Habis barang digadai atau dijual. Keadaan mereka dari yang miskin bertambah papa kedana. Nak makan pun susah! Tapi Arman masih tak serik- serik. Barangkali duit yang Ayni cuba jimatkan pun hari ini diambil Arman.


Ah, sebut tentang hal tu! Cepat-cepat Ayni bergegas ke bilik. Ke sana sini dia menyelongkar, cuba mencari ke mana hilangnya wang itu. Dalam almari. Bawah katil. Dalam apa saja beg yang ada. Sah, tak ada! Bukannya nak menuduh tetapi memang Ayni yakin papanya yang ambil. Lagipun ini bukan kali pertama papa buat macam ni.


Tapi...kenapa???


Perutnya berkeroncong minta diisi tapi Ayni terlalu sedih untuk peduli. Duit itulah baki wang terakhir yang dikirim Ayman beberapa bulan yang lepas. Entah bila pula hendak dikirim pun dia tidak pasti. Ayni pun tak mahu memaksa abangnya itu.Entah kerja apa yang Ayman buat di sana semata- mata untuk menyara mereka berdua. Hampir setiap sen dihantar kepada mereka. Sebab itu Ayni berusaha untuk jimatkan duit itu. Ia terlalu berharga. Arman pula langsung tidak boleh diharapdalam hal ini.


“Kenapa mesti abang yang hantar duit? Abang teruk-teruk kerja, papa langsung tak buatapa-apa,” rungut Ayni semasa kali terakhir mereka bercakap di telefon. “Yang dia tahu cuma habiskan duit!”


Ayman menghela nafas. “Janganlah marah pada papa. Papa mesti tertekan. Dia dah biasahidup senang seumur hidupnya. Tiba-tiba jadi macam ni, macam mana dia nakbiasakan diri?”


Tapi kita berdua pun sudah biasa hidup senang seumur hidup kita? Jadi macam mana kita boleh belajar biasakan diri?


TapiAyni tidak mahu tanyakan pada Ayman soalan itu.


“Abang jangan kerja teruk teruk sangat. Jadi diri abang baik-baik ya,” pesan Ayni.


Aymanntergelak. “Sayang jugak adik abang dengan abang ni ya?”


Ayni mendengus. “Tak adalah! Salah cakap!”


Kali ini Ayman tergelak lebih kuat. “Jangan risau, abang akan jaga diri. Adik pun sama. Jangan marah sangat dengan papa. Nanti dia biasalah dengan keadaan kita sekarang. Beri dia masa, ya?”


Selepas itu langsung tidak ada khabar berita dari Ayman. Entah apa yang sudah berlaku.Papanya pula langsung masih tidak berubah. Tengoklah, dia ambil lagi duit yang Ayni berusaha untuk jimatkan!


Habis macam mana sekarang? Wang entah masih ada atau tidak. Banyak benda yang perlu dibeli dan dibayar tapi hendak guna apa? Bil elektrik dan air pun entah berapa bulan tertunggak. Tunggu masa dipotong saja. Nasib baik rumah ini rumah peninggalan mak toknya, Hajah Azizah. Kalau tidak pasti sudah lama mereka diusir kerana tidak mampu membayar sewa.


Ayni mati akal. Akhirnya dia duduk termenung di dinding, menghala ke pintu. Lama dia duduk berteleku, tidak tahu hendak membuat apa. Petang akhirnya menginjaksenja. Akhirnya pintu rumah dibuka perlahan-lahan. Arman, papa Ayni melangkah masuk. Dia tidak perasan Ayni yang duduk disitu, Ayni juga tidak bersuara.


"Wah!!!" Arman menjerit, akhirnya nampak kelibat Ayni. "Kenapa duduk tempat gelap macam hantu?"


Wajah Ayni pun macam hantu sekarang!


“Papa dari mana?” tegur Ayni.


Arman langsung tidak pedulikan Ayni. Perlahan-lahan dia berjalan ke tangga, menuju kebiliknya.


“Duit dalam dompet Ayni, papa ada ambikkah?” tanya Ayni lagi.


Arman tetap membisu. Ayni tidak puas hati, terus bangun mengikut papanya itu.


“Papaambilkah? Bagi balik pa, duit tu saja yang kita ada!” desak Ayni.


Arman terus masuk ke biliknya, kemudian mengunci pintu.


Ayni terkedu, kemudian mengetuk-ngetuk pintu bilik. “Pa, tolonglah! Bagi balik duittu! Nanti kita nak makan apa papa? Ayni ada benda nak bayar lagi? Nak guna duit tu jugak!"


“Bisinglah! Mintalah lagi dari Ayman! Susah sangatkah?” Terdengar papa menengking dari dalam bilik.


“Dia dah lama tak hantar duit! Kita dah tak ada duit!” jerit Ayni.


“Kalau dia tak hantar duit, kau pergi buat duit!”


Terus Ayni diam selepas itu. Senangnya papa cakap! Sepatutnya dia yang bekerja, bukanAyni, bukan Ayman! Ayni memang rasa sedih. Tapi lama-kelamaan, dia mula rasa marah. Selepas beberapa kali diketuk pun tiada balasan dari Arman, gadis itu terus hilang sabar. Dia menyepak pintu bilik itu sekuat hatinya!


"Papa,kenapa papa macam ni? Papa dah hilang akal? Papa guna duit tu untuk judi lagi?JAWAB PA!"


Mungkin jiran sekeliling pun boleh dengar suara Ayni tetapi dia tidak peduli. Pintu bilik itu ditendang beberapa kali. Memang tidak cukup kuat untuk membuka pintudan kakinya sakit setiap kali, tapi hatinya rasa puas.


"Takkan papa guna semua duit tu? BAGI BALIK!"


"DAH TAK ADA!" Kali ini ada jawapan dari Arman.


"Apa maksud papa dah tak ada? Tak kan papa habiskan semuanya? Bukan sikit. Ada lima ratus lagi!" soal Ayni, walaupun dalam hati dia sudah dapat mengagak jawapannya.


Arman kembali membisu. Ayni terasa ingin menangis tetapi dia menahan diri. Tangisan itu bukti kelemahan diri. Tangisan tidak akan dapat selesaikan apa-apa masalah pun. Pintu bilik yang tidak bersalah itu ditendang berkali- kali, tapi masih tidak dapat hilangkan rasa marahnya. Akhirnya Ayni berdiri membatu, merenung pintu. Kemudian dia masuk ke biliknya.


Apa patut dia buat sekarang? Hendak minta duit lagi dari Ayman, dia tak tahu bagaimana untuk hubungi dia selepas terputus hubungan. Kalau tahu pun dia terasa berat hati. Ayni tahu betapa susahnya hidup Ayman di sana. Dia tidak mahu membuatkan Ayman terasa tertekan. Pada siapa dia hendak mengadu? Ayni terasa betul-betul buntu sekarang.


'Allah sentiasa ada!'


Bagai terdengar suara mak tok. Tapi bila susah baru hendak ingatkan Allah! Ayni jadi malu. Tapi itu saja jalan yang Ayni nampak sekarang. Ayni tahu dia bukan hamba Allah yang sempurna. Solat tidak menentu. Aurat pun tidak dijaga dengan baik.Tapi...Allah Maha Pengampun, kan? Allah Maha Mendengar. Allah sentiasa mendengar. Jadi... bolehkah Ayni berdoa hari ini? Adakah Allah akan mendengar doa seseorang seperti Ayni?


Malam itu Ayni berdoa sepenuh hatinya. Dia pinta agar dibuka pintu untuk menyelesaikan masalahnya. Moga- moga Allah masih mahu mendengar doa manusia seperti Ayni. Moga-moga masih ada jalan untuk Ayni.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.