Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku, Dia & Sebalang Gula-Gula
Aku, Dia & Sebalang Gula-Gula
Tinta Ana
2/12/2020 21:34:56
47,502
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 7

“Ini…rumah siapa?”

Ayni berdiri di pintu, melihat saja Luqman yang mengeluarkan kunci. Ayni menjenguk ke sekeliling, tapi masih tidak mahu melangkah masuk.

“Rumah saya!” jawab Luqman.

Tadi dia cakap dia tak akan bawa Ayni ke rumahnya! Jadi dia menipu! Ayni berundur selangkah, kemudian terus berjalan ke lif.

“Wah, nanti! Dengar dulu!” kata Luqman.

“Awak tipu saya!” kata Ayni, enggan berhenti.

Butang turun ditekan berkali-kali. Ah, lambat pula lif ni! Ayni cuba berjalan ke tangga tapi Luqman segera menghalangnya.

“Saya tak tipu!”

Ayni merenung Luqman dengan wajah mencuka.

“Okey…sikit.”

Kali ini Ayni menyilang tangan.

“Banyak sikit! Tapi dengarlah dulu!” Cepat-cepat Luqman menyambung apabila Ayni cuba berjalan lagi.

“Rumah ni memang rumah saya tapi saya tak tinggal di sini,” kata Luqman.

“Awak tinggal di mana?”

“Di rumah yang lain.”

Ayni mengerut dahi. “Berapa banyak rumah yang awak ada?”

“Nanti saya hantarkan senarainya pada awak.”

Dia bergurau atau serius?

“Sayat ak mahulah! Saya nak buat apa dengan senarai tu?”

Luqman menjungkit kening. “Bukan awak nak tahu tadi?”

Ayni mengeluh, terasa ingin memicit kepalanya. Dia terlalu letih dengan semua yang berlaku hari ini dan dia masih tidak dapat berehat.

Luqman tersenyum. “Saya tak kan tipu awak, jadi jomlah.”

“Saya tak mahu masuk berdua-duaan dengan awak!” bantah Ayni.

“Ada orang lain dalam rumah tu. Saya minta dia datang bersihkan rumah.”

“Pembantu awakkah?”

Ayni terbayang Azhar yang masih berwajah serius tapi memakai apron dan memegang penyapu bulu ayam di tangan.

Arahan dari bos, pasti saya akan laksanakan sebaik mungkin!

“Bukan, dia memang pembantu rumah. Saya pasti Azhar pun boleh lakukan kerja dengan baik kalau saya arahkan dia buat, tapi dia masih ada banyak dokumen yang perlu disemak di pejabat,” terang Luqman.

Ayni hanya tersengih. Dia masih terkenang Azhar dengan apronnya itu. Ayni akhirnya mengikut Luqman masuk ke dalam rumah. Memang benar ada seorang wanita menunggu mereka di dalam. Wanita itu tunduk dengan hormat apabila nampak Luqman dan Ayni. Sama seperti dengan Azhar, Luqman langsung tidak pedulikan dia.

“Dia akan datang untuk uruskan semua hal setiap hari. Kalau awak perlu beli apa-apa, awak boleh beritahu dia atau beritahu terus kepada saya. Ada dua bilik tidur, jadi awak boleh pilih mana-mana bilik yang awak mahu,” kata Luqman.

Ayni melihat sekeliling. “Tinggal di sini? Awak ni biar betul.”

“Betullah, apa yang tak betul?”

“Berapa lama?” tanya Ayni.

“Seberapa lama yang awak nak. Nak tinggal terus pun boleh. Tak ada masalah dari pihak saya.”

Ayni mengeluh. “Boleh tak jangan bergurau? Saya terlalu letih untuk layan semua ni sekarang.”

Luqman menggeleng. “Tapi saya memang serius!”

“Tapi kenapa? Saya dah tak ingat berapa kali awak tolong saya. Walhal beberapa hari yang lepas, kita langsung tak kenal pun,” soal Ayni.

Beberapa hari yang lepas, mereka cuma berjumpa di kedai makan. Beberapa hari yang lepas,mereka tidak banyak berbual. Dan beberapa hari yang lepas, Ayni pasti Ayni tidak akan ikut Luqman seperti ini. Kalau orang cakap dia akan berada di sebuah rumah dengan seseorang lelaki yang dia baru kenal, mungkin dia akan cakap ia sangat mustahil!

Luqman mengukir senyum. “Mungkin kita pernah kenal. Mungkin awak tak ingat. Mungkin juga ia bukan hal yang penting pun. Jadi tak perlu fikir banyak.”

Lagi sekali dengan jawapan kaburnya. Boleh tak terangkan saja? Seronokkah timbulkan rasa ingin tahu?

“Awak berehatlah. Esok kita berbual lagi,” kata Luqman.

Ayni sendiri terlalu letih untuk berfikir lagi, jadi dia biarkan dulu hal itu. Esok dia akan tanya lagi sampai dapat jawapan. Selepas Luqman dan pembantu rumah itu pulang, Ayni melihat-lihat sekeliling apartmen itu. Semuanya ada. Dari set bilik tidur yang lengkap, hinggalah ke hiasan. Malah makanan juga memenuhi peti sejuk. Tiba-tiba perut Ayni berkeroncong. Ayni boleh makankah? Tapi ini bukan miliknya.

Ayni menggigit bibir, menahan lapar. Akhirnya dia menutup peti sejuk dengan agak kuat. Tidur! Semua masalah akan selesai bila tidur!

Tapi di tempat baru, susah untuk terus tidur. Bila begini barulah dia boleh berfikir dengan tentang kejadian beberapa hari ini. Ke mana Arman menghilang? Bagaimana dia boleh tinggalkan Ayni begitu saja?

Nanti Ayni masih perlu cari bilik sewa. Walaupun niat Luqman baik untuk menolongnya, Ayni tidak boleh ambil kesempatan. Dia tak boleh tinggal di sini selamanya. Ayni tak mahu terus susahkan orang.

Untuk seseorang yang berumur 17 tahun, banyak betul yang Ayni perlu fikir. Ayni menghela nafas, memandang siling yang gelap. Apa akan jadi lepas ni? Ayni sudah tidak tahu hendak fikir apa lagi.

 

 

Ayni bangun lebih awal dari biasa. Perut meragam kerana dia tidak makan langsung hari sebelumnya. Perlukah dia keluar untuk beli makanan?

Mengarut! Dia mana ada duit!

Selepas berfikir panjang, Ayni buka juga peti ais itu. Dia berfikir sama ada hendak gunakan sedikit makanan di dalam peti ais ini. Apa yang paling murah? Dari bahagian beku hingga ke sayur, hanya itu yang nampak paling murah. Ayni goreng telurlah. Sekurang-kurangnya dia mampu untuk bayar balik harga sebiji telur.

Ingat lagi skil memasak Ayni? Telur goreng itu hangit! Ayni menguis-nguis telur itu dengan garfu, menelan liur. Boleh makan lagikah? Bukan salah Ayni, okey! Telur tu yang melekat di belanga. Mungkin Ayni patut masukkan minyak lebih banyak. Bersusah payah Ayni cuba untuk terbalikkan ke sebelah lagi. Itu yang hancur, selain dari berwarna hitam.

Habis sekarang macam mana? Ayni masih perlu makan. Dia menghela nafas. Ah, makanlah! Rasanya tak akan ada masalah. Lagipun ini bukan kali pertama Ayni masak begini.Setakat ini Ayni masih hidup dengan sihat!

Baru hendak mencucuk telur, terdengar loceng pintu. Terpinga-pinga sekejap Ayni. Dia ada tetamukah? Tapi ini bukannya rumah Ayni. Perlahan-lahan dia bangun, mencapai tudung, kemudian ke pintu. Hendak terus bukakah? Entah-entah orang itu salah rumah. Setelah berfikir beberapa kali, akhirnya Ayni membuka pintu juga.

Luqman tersengih lebar. “Assalamualaikum.”

Eh, rupanya dia! Azhar berdiri tegak di belakang Luqman, cuma menundukkan kepala sedikit kepada Ayni.

“Waalaikumsalam. Kenapa awak tak masuk terus? Bukankah awak pun ada kunci? Rumah awak, kan?” tanya Ayni.

“Tapi sekarang ini rumah awak, tak kan saya nak meluru masuk macam tu saja. Awak buat apa? Boleh kita berbual?” tanya Luqman.

Ayni membuka pintu lebih luas, membenarkan dua lelaki itu masuk. Luqman yang melalui meja makan ternampak hasil ‘seni’ Ayni pada pagi itu.

“Apa benda ni?” tanya Luqman dengan hairan.

Alamak! Cepat-cepat Ayni ke meja, mengambil piring itu.

“Tak ada apa-apa!” kata Ayni dengan rasa malu.

“Makanankah?” tanya Luqman.

Ah, jangan tanya lagi! Malulah! Bertambah malu apabila melihat Luqman tersenyum penuh makna.

Tapi bagaikan 180°, senyuman itu terus lenyap apabila Luqman berpaling memandang Azhar dan bercakap dengan serius. “Telefon pembantu rumah tu. Suruh dia datang sekarang. Mulai sekarang dia kena datang lebih awal untuk siapkan sarapan.”

“Baik!” Terus Azhar keluarkan telefon.

Sarapan siapa? Aynikah?

“Nanti!” kata Ayni dengan tiba-tiba.

“Ada apa?” tanya Luqman.

“Awak minta dia siapkan sarapan siapa?”

“Awaklah,”jawab Luqman dengan selamba. “Sepatutnya dia dah siapkan sarapan awak. Awak tak perlu buat apa-apa pun. Tapi sekarang awak masak sendiri. Mungkin saya patut pecat dia!”

Luqman memang nampak serius apabila dia cakap dia mahu memecat pembantu rumah itu!

“Nanti! Kenapa pula awak nak pecat dia? Eh, bukan! Kenapa pula dia patut masak untuksaya? Tapi… maksud saya… kenapa pula awak sediakan pembantu rumah untuk saya? Saya… awak… hesy!” Ayni menggosok kepalanya.

Luqman tergelak. “Bukan semalam saya dah beritahu awak yang dia akan uruskan semua hal di sini? Saya harap awak dapat tinggal di sini dengan selesa.”

Ayni ingat kata-katanya itu, tapi hari ini bila Ayni sudah berehat, barulah dia dapat berfikir dengan baik. Tindakan lelaki ini benar-benar tidak masuk akal! Mula-mula dia sediakan sebuah rumah. Kemudian dia sediakan seorang pembantu rumah. Entah-entah lepas ini dia akan hadiahkan kereta pula pada Ayni.

Sementara menunggu pembantu rumah sediakan makanan, mereka duduk di sofa. Luqman danAzhar berbincang tentang sesuatu. Ayni pula masih berfikir panjang sambil sekali-sekala mengerling Luqman. Ah, memang sukar untuk menduga apa yang bermain di fikiran lelaki ini sebenarnya.

“Apa yang awak masak tadi tu?” tanya Luqman tiba-tiba.

Kenapa dia masih ingat tentang hal itu? Lupakanlah! Tolonglah lupakan! Tapi Luqman nampak betul-betul berminat, menunggu jawapan dari Ayni dengan sabar.

“Telur goreng,” jawab Ayni.

Luqman mengangguk. “Pertama kali saya nampak telur goreng macam tu.”

Kalau bukan kerana dia nampak serius, pasti Ayni fikir dia menyindir Ayni. Ah, nanti! Mungkin dia memang menyindir!

“Tapi kenapa cuma telur goreng? Bahan tak cukupkah? Nanti saya minta dia tambahkan lagi bahan dapur,” kata Luqman.

“Tak, itu bukan masalahnya,” gumam Ayni.

“Habis kenapa?”

“Nanti saya tak mampu nak bayar balik pada awak. Saya rasa telur itulah yang paling murah.”

“Kenapa pula awak nak kena bayar balik? Awak boleh gunakan apa saja yang ada di rumah ni. Tak perlu bayar apa-apa,” kata Luqman, nampak benar-benar hairan.

Ayni menghela nafas. “Tak bolehlah macam tu. Saya rasa terhutang budi dengan awak.”

“Habis awak nak macam mana?” tanya Luqman.

“Saya akan cari kerja secepat mungkin. Saya akan bayar balik pada awak dengan segera,” kata Ayni dengan bersungguh-sungguh.

“Awak masih lagi seorang pelajar. Kerja seorang pelajar ialah untuk belajar. Jadi kenapa awak nak bekerja kalau saya boleh tolong awak?” soal Luqman, mengerut dahi.

“Saya tak suka berhutang! Saya seboleh-bolehnya tak mahu berhutang dengan sesiapapun! Saya tak mahu awak tolong saya juga! Dah banyak awak tolong saya! Saya tak tahu macam mana nak balas balik nanti!”

“Hmm, nampaknya awak memang berkeras tentang hal ni. Tak kira apa saya cakap pun, awak masih nak bayar balik pada saya. Tapi kerja apa yang awak nak buat?”

“Entahlah, saya belum pasti lagi. Tapi susah juga nak dapat kerja sekarang. Mungkin kalau terdesak, saya boleh juga buah pinggang saya untuk langsaikan hutang pada awak,ha ha.”

Ayni cuma bergurau, tak perlulah tengok Ayni dengan serius! Azhar pun sama! Sama saja majikan dengan pekerja!

Luqman menarik nafas panjang. “Macam ni lah. Saya ada satu cadangan, tak tahulah awak akan setuju atau tidak.”

“Cakaplah.”

“Dari awak bekerja entah apa atau jual buah pinggang awak tu, awak boleh bekerja dengan saya. Tunggu saya cakap dulu,” kata Luqman apabila nampak Ayni ingin memprotes. “Hari biasa awak ke sekolah, awak belajarlah. Hari Sabtu, datang ke pejabat saya. Saya akan minta Azhar sediakan kerja untuk awak. Saya akan beri awak elaun untuk setiap jam awak bekerja. Macam mana?”

“Hari Ahad macam mana?”

“Awak masih perlu mengulangkaji.”

Ini lebih baik dari tiada. Lagipun Ayni boleh belajar dan dapatkan pengalaman bekerja dalam masa yang sama. Tak kisahlah berapa elaun yang dibayar, ada juga pendapatan. Kalau tak cukup, Ayni akan cuba cari kerja lain.

“Saya cuba dulu, boleh?”

“Mestilah boleh!” Luqman tersenyum girang. “Hujung minggu ni awak boleh cuba.”

Ayni tersenyum, mengangguk. Memandangkan Luqman pun ada bersama, Ayni mengajak dia bersarapan bersama. Azhar pun Ayni ajak, tapi dia menolak dengan raut wajahyang serius.

Bila makan bersama begini, Ayni teringatkan keluarganya. Dulu, kadang-kala mereka akan makan bersama. Walaupun papa dan mama selalu sibuk, mereka sering cari masa untuk berkumpul. Ayni yang masih muda pada waktu itu rasa teruja setiap kali semua orang dapat berkumpul. Apatah lagi jika mak tok pun ada. Mak tok melayan karenah Ayni dengan penuh sabar. Rindunya Ayni pada mak tok!

Agaknya sebab itulah masa silam dipanggil kenangan. Ia tidak akan dapat diulang, cuma dapat dikenang.

“Kenapa?” tanya Luqman bila nampak Ayni tidak lagi makan. “Awak nak makanan yang lain?”

Ayni menggeleng. “Di mana agaknya papa saya?”

“Saya akan minta orang carikan dia.”

Sekali lagi Ayni menggeleng. “Biarlah, buat masa sekarang saya tak mahu jumpa dia. Selama ini pun, biarpun dia ada tapi dia macam tak ada.”

Luqman hanya mendengar, tidak menjawab.

“Awak tahu tak yang dia perlu jumpa cikgu di sekolah esok? Macam mana saya nak beritahu cikgu yang papa saya tiba-tiba hilang? Agak-agak cikgu akan percaya tak?” kata Ayni, tersenyum tawar.

Ayni mencucuk- cucuk makanan dengan garfu. Seleranya tiba-tiba hilang.

“Saya dah kenyang. Saya minta diri dulu,” kata Ayni.

“Tak banyak pun awak makan,” komen Luqman.

“Saya nak berehat.” Ayni terus masuk ke dalam bilik.

Memang masa silam itu sepatutnya kenangan. Tapi kejamkah kalau Ayni berharap yang masa silam itu dapat diulang? Ayni rindukan kenangan yang tidak dapat digapai itu lagi. Ayni cuma ingin kembali ke masa itu.

Itu…mustahil, kan?

Previous: Bab 6-2
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.