Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku, Dia & Sebalang Gula-Gula
Aku, Dia & Sebalang Gula-Gula
Tinta Ana
2/12/2020 21:34:56
47,505
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 2

Awal Ayni bangun pagi ini. Berat hatinya untuk ke sekolah. Tapi pelajaran itu penting. Bagaimana hendak mengubah nasib diri kalau tidak bersungguh-sungguh belajar? Jadi Ayni paksa diri untuk ke sekolah.


Sarapan hanya ala kadar. Lagipun tidak ada banyak makanan yang tinggal di dapur dan Ayni pun bukannya pandai masak sangat. Selama ini Ayni akan makan saja apa yang ada. Ayni bungkuskan sedikit makanan untuk makan tengah hari. Arman masih mengurung diri di dalam bilik. Barangkali dia masih tidur. Ayni terus ke sekolah selepas itu. Pahit semalam masih terasa, jadi dia tidak mahu berjumpa dengan papanya.


Ayni yang banyak berfikir langsung tidak perasan ada sebuah kereta yang berada di jalan keluar rumahnya. Dia terus berjalan ke sekolah tanpa pedulikan langsung kereta itu. Malah kalau dia perasan, dia boleh tahu yang kereta itu mengekorinya perlahan-lahan. Tapi tuan empunya kereta langsung tidak lakukan apa-apa, cuma mengekori dari belakang hingga Ayni sampai ke sekolah.


"Dia datanglah!"


"Memang jenis muka tebal betul!"


"Kau dengar tak apa jadi semalam?"


"Dengar! Dengar! Tapi betulkah?"


"Akudengar..."


Dengar apa? Mesti tidak ada benda yang baik pun. Perkara biasa kalau pelajar sekolah juga tahu bergosip. Mereka bagaikan tidak ada hiburan lain yang boleh dibuat. Ayni terus ke kelas, langsung tidak menghiraukan pelajar-pelajar yang berbisik-bisik sesama mereka. Kalau ada yang ingin disampaikan, baik lakukan secara berdepan. Ini hanya tahu mengumpat, kononnya dia tidak nampak apa yang mereka lakukan. Mereka fikir dia buta?


Penakut! Ayni mendengus. Tapi dia bertekad untuk tidak timbulkan masalah hari ini, jadi teruskan langkah bagai tidak mendengar mereka.


Razmi dan dua sahabat baiknya juga ada semasa dia sampai. Mereka berhenti berbual sebaik saja nampak Ayni. Mata mereka mengikut langkah Ayni sehingga dia duduk di tempatnya. Sama macam orang lain, Ayni langsung tidak pedulikan mereka. Dia letakkan buku yang dipegang ke dalam laci meja. Sekali lagi dia dapat rasakan ada sesuatu di dalam laci mejanya. Cepat-cepat dia keluarkan buku, kemudian menjenguk. Dia keluarkan sebungkus roti dan air kotak milo.


“Siapa punya ni? Hari-hari tinggalkan makanan, tak kan hari-hari lupa?” rungut Ayni.


Tak mungkin ada orang sengaja nak tinggalkan makanan untuk dia. Kelakarlah, tak ada manusia sebaik itu! Ayni mendengus. Siapa yang nak mainkan dia ni? Ada racunkah dalam makanan ni? Ayni menguis roti, jauh sedikit daripadanya. Ah, walaupun memang pelajar sekolah ini nakal, kurang ajar, suka mengeji dan membuli dia.Tapi tak kan sampai begitu sekali mereka nak kenakan dia.


Tapi baik jangan dilayan. Nanti seronok mereka lihat dia akhirnya tunjukkan reaksi. Roti dan air kotak sekali lagi dia letakkan di penjuru meja. Siapa yang nak ambil, ambillah. Tapi...ada benda lain lagi bersebelahan makanan tadi. Sekali lagi dia menjenguk, kemudian mengeluarkan sebuah buku nota.


Ini...buku nota yang baru.


Tapi?


Siapa punya?


Ayni berpusing, memerhatikan sekeliling. Tidak ada seorang pelajar pun yang memerhatikan dia. Semua sibuk berbual atau buat kerja sendiri. Malah tiga badut dibelakang pun tidak pedulikan dia. Mereka rancak berbual entah apa. Dari gaya mereka, bagaikan berbual tentang lumba motor dan perempuan. Pasti bukan perkara yang baik! Ayni tidak mahu tahu!


Ayni merenung buku nota itu. Apa pula kali ini? Ini... penambahbaikan? Selalunya cuma ada makanan, sekarang dia tinggalkan minuman dan buku. Adakah selepas ini dia akan tinggalkan barang kemas, duit atau benda berharga yang lain? Ah,mengarutlah! Tapi apa niat orang itu lakukan semua ini?


"Ayni Nasmeen?"


Ayni mendongak. Bila masa ketua pengawas berdiri di depannya? Ayni cuma mengangguk.


"Sila ikut saya," kata ketua pengawas.


Ayni mencapai beg, bangun untuk menurut. Tapi anehnya, Razmi pun ada bersama. Dia berjalan jauh sedikit dari Ayni dan ketua pengawas. Ayni diam, berfikir sambil berjalan. Dia bagaikan sudah dapat mengagak kenapa dia dipanggil. Tapi,biarlah. Biar dia dengar sendiri dari mulut mereka.


Ketua pengawas membawa mereka terus ke bilik guru disiplin. Dia mengetuk pintu dengan perlahan sebelum membuka, meminta agar mereka masuk. Bukan Cikgu Ayub saja yang ada, tapi pengetua dan Cikgu Haniza pun ada. Ayni masih lagi membisu.


"Duduk," kata Cikgu Ayub, menunjuk ke sofa kosong di hadapan mereka.


Mereka bertiga akur menurut.


"Kamu tahu kenapa kamu dipanggil?" tanya Cikgu Ayub, memandang terus kepada Ayni.


Ayni cuma menggeleng.


"Semalam apa kamu yang dah buat?" tanya Cikgu Ayub.


Ayni cuma membisu. Ayni tidak pasti yang mana satu Cikgu Ayub maksudkan, jadi lebih baik dia mendiamkan diri. Matanya memandang terus ke mata Cikgu Ayub.


"Kamu tak mahu cakap apa-apa? Semalam bukankah kamu yang bergaduh dengan Razmi?" soal Cikgu Ayub lagi. "Masa tu banyak pulak kamu boleh cakap. Sekarang kenapa kamu diam? Kenapa tak datang ke sini bila Cikgu Haniza minta kamu datang?"


Sebab bila bercakap pun tidak ada orang yang akan mendengar. Jadi buat apa nak cakap? Sebab itulah Ayni langsung tidak membuka mulut.


"Ini bukan kali pertama kamu buat perangai begini. Saya dah pernah beri kamu surat amaran, kamu lupakah?" soal pengetua pula.


Siapa yang boleh lupa hal begitu? Tapi Ayni masih lagi diam.


"Masalahnya sekarang, kesalahan kamu dah jadi berat? Kamu tahu kenapa?" soal Cikgu Ayub pula.

Ayni menggeleng.


"Kamu tahu atau pura-pura tak tahu?" soal Cikgu Ayub dengan nada yang keras.


"Saya memang tak tahu," balas Ayni.


"Kenapa kamu toreh tayar motor Razmi?" soal pengetua. "Kamu lupa ada CCTV di tempat letak motor tu? Memang jelas muka kamu disitu!"


Oh, sebab itukah? Razmi memandang Ayni, pasti tidak percaya itu kerja Ayni sebenarnya. Tapi Ayni tidak peduli. Biar dia tahu!


"Kenapa kamu buat macam tu?" soal pengetua.


"Sebab dia yang salah," balas Ayni dengan mendatar.


"Salah apa sampai kamu toreh tayar motor dia? Sebab dia hina kamu semalam? Habis kalau cikgu denda kamu, kamu nak pancitkan tayar kereta cikgu pulak?" soal pengetua lagi.


Ayni mengerut dahi, merenung pengetua. Langsung tidak pernah terlintas difikirannya untuk buat begitu. Hanya sebab dia pernah berkelakuan begitu, tidak bermaksud itu perkara biasa baginya.

"Walaupun memang jelas dah nampak muka kamu di situ, saya masih nak tanya, kamu mengaku salah?" tanya Cikgu Ayub.


"Ya!" jawab Ayni tanpa teragak-agak.


Memang dia bersalah tapi tetap tidak rasa salah dengan apa yang dia buat. Mereka yang lain bagaikan boleh baca apa yang terlintas di mindanya itu. Pengetua hanya menggeleng.


"Kali ini saya akan beri kamu surat amaran lagi. Kamu juga akan digantung sekolah selama seminggu. Cuba renung balik kesalahan kamu ni. Satu lagi surat, serahkan pada ayah dan ibu kamu. Saya nak jumpa mereka!" kata pengetua.


Ah, yang akhir itu berat sedikit. Arman bukan setakat tidak lagi menyara keluarga,dia juga tidak pernah hiraukan persekolahan Ayni lagi. Sama ada cukup atau tidak kelengkapan atau sama ada Ayni bersekolah atau tidak, dia langsung tidak ambil tahu. Jadi bagaimana dia hendak serahkan surat itu kepadanya? Kalau serahkan pun, adakah dia akan peduli?


Hmm, yang nanti, fikirlah nanti!


"Kamu nak cakap apa-apa pada Razmi?"


Ayni langsung tidak pandang Razmi.


"Kamu tak mahu minta maaf pada dia?" soal Cikgu Haniza.


Ayni langsung tidak berikan respons.


"Razmi?" Cikgu Haniza memandang Razmi pula.


Razmi yang terperanjat kerana tiba-tiba dipanggil memandang Cikgu Haniza, kemudian memandang Ayni. Renungan tajam gadis itu membuatkan dia terus memandang ke depan.


"Bukan hal besar pun cikgu! Tak payahlah nak panjangkan cerita!" kata Razmi. "Tak payahlah nak gantung-gantung sekolah semua ni!"


"Eh,kenapa pulak? Semalam kamu yang paling marah lepas tengok keadaan motor kamu. Kenapa tak mahu panjangkan cerita pulak?" soal Cikgu Haniza yang terkejut dengan jawapan Razmi.


Bukan dia saja. Selain Ayni, semua yang berada di dalam bilik itu nampak terkejut.


"Macam mana nak cakap?" Razmi menggaru kepala. "Yang itu, semalam. Hari ni,saya... dah tak marah pun."


Ayni menahan diri dari tergelak. Berlakon baik pulak dia! Bukan dia tak tahu, Razmi ini seseorang yang menyimpan dendam. Dia pernah belasah seorang pelajar lelaki yang malukan dia selepas sebulan. Itu cuma malukan dia. Ayni sudah rosakkan harta yang dia paling sayang, motorsikalnya. Jangan kata sebulan, entah-entah sepuluh tahun pun dia akan ingat! Depan cikgu, pandai pulak tunjuk baik!


Pengetua menghela nafas. "Jadi kamu maafkan dia?"


Cepat saja Razmi mengangguk.


"Razmi pun boleh macam ni, kenapa kamu susah sangat nak minta maaf?" soal Cikgu Ayub.


Ayni langsung tidak menjawab. Cikgu-cikgu yang berada di dalam bilik itu nampak kecewa dengan sikap Ayni. Bagi mereka, Ayni tidak boleh dibiarkan terus begini. Ayni perlu berubah!


"Cikgu Haniza, serahkan surat yang berkaitan pada dia. Biarpun Razmi dah maafkan dia,saya rasa hukuman masih perlu diteruskan. Jadi saya harap ini akan jadi pengajaran pada kamu kelak. Ubah kelakuan kamu, jaga disiplin kamu. Surat jangan lupa beri pada penjaga kamu. Saya nak jumpa mereka!" arah tuan pengetua,sekali lagi mengingatkan Ayni.


Selepas mengambil surat-surat yang perlu diambil, Ayni cuma mengucapkan terima kasih pada para guru. Dia terus keluar dari kawasan sekolah. Hukuman gantung sekolah itu bermula esok, tapi dia tidak berminat untuk belajar hari ini.


Hmm, apa nak jadi dengan dia? Kena gantung sekolah. Duit pun tinggal beberapa ringgit saja. Nak balik ke rumah, nanti jumpa papanya lagi macam mana? Ayni duduk di bahu jalan, termenung panjang. Dia perlu fikirkan sesuatu atau mereka akan mati kebuluran nanti.


Eh, nanti! Dia tak perlu ke sekolah selama satu minggu! Baik dia gunakan peluang ini sebaiknya!

Previous: Bab 1
Next: Bab 3-1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.