Home Novel Cinta Hatiku Not For Sale
Hatiku Not For Sale
Batiah Hadi
23/5/2015 22:35:39
454,803
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 14

“PAKAILAH baju ni. Saya tak pasti saiz awak tapi saya rasa muat ni,” ujar Hasef memberikan sepasang baju kurung kepada gadis itu. Gadis yang berkimono itu mengambil baju dari Hasef. Baju itu kepunyaan adik Hasef bernama Sofea, yang nampak sama saiz seperti gadis itu. Pagi tadi senyap-senyap dia ke bilik Sofea dan mengambil baju dan tudung tersebut. Bilik itu kosong kerana Sofea sedang menuntut di sebuah university di selatan tanah air. Dia hanya pulang bila cuti semester dan hari raya sahaja. Jadi, mudah sahaja kerjanya kerana baju itu tersangkut elok dalam almari.

“Eh kenapa mata awak?” tanya Hasef perasan mata Zahra yang bengkak. Seolah menangis semalaman. Zahra tersentak lantas tangannya spontan meraba matanya. Ketara sangatkah bengkak di matanya itu?

“Err…saya tukar baju dulu.” kata Zahra tidak menjawab pertanyaan Hasef itu. Hasef hanya mengangguk. Dia berdehem. Rasa tidak selesa bila berdua sahaja dengan gadis itu. Sudahlah begitu merenung wajah polos itu yang semalam buat dia gila sekejap. Rasa gelora kian terasa. Bahaya.

“Saya keluar. Nanti saya datang balik dan bawa naik sarapan untuk awak.” kata Hasef kerana sedikit prihatin dan juga rasa pelik itu. Dia pun lantas keluar. Dia ke restoran berdekatan membeli apa yang patut. Boleh saja dia memesan room service tapi dia perlu keluar. Keluar untuk menghalau perasaan tidak selesa itu. Dalam perjalanan ke restoran di sebelah hotel itu, teringat dia peristiwa pagi tadi bila dia keluar awal-awal dan ibunya Datin Amna menegur. Mengingatkan dia tentang realiti hubungannya dengan Zeti.

“Ke mana Hasef pagi-pagi begini?” tanya ibunya hairan.

“Err…Hasef nak jumpa kawan.” ujar Hasef berdalih. Beg plastik di tangan di sorok di belakang. Tak mahu ibunya tertanya-tanya kenapa dia membawa pakaian Sofea pula.

“Mama nak cakap sedikit tentang kamu dan Zeti.” Datin Amna mengajak Hasef duduk di ruang tamu mengadapnya. Hasef pun duduk.

“Cakaplah mama. Apa dia?” tanya Hasef lembut pada ibu yang dikasihinya itu.

“Bila kamu nak langsungkan perkahwinan kamu dengan Zeti tu. Dah lima tahun Hasef. Kamu suka pada dia ke tidak?” tanya Datin Amna. Memerhati riak wajah anak bujangnya yang seorang itu.

“Eh, kenapa mama tanya begini? Dah tentu saya suka. Kalau tidak, saya tak akan tunang dengan dia mama,” ujar Hasef tersengeh.

“Habis…kenapa kamu masih bertangguh untuk nikah? Mama kurang suka kamu ke hulu ke hilir dengan Zeti tanpa ikatan yang sah. Mama tahu zaman sekarang perkara macam tu tak kisah tapi mama ni tak suka. Hati mama ni tak tenteram selagi kamu tak menikah.” luah Datin Amna. Semalam dia ternampak kelibat Hasef yang pulang hampir pagi. Pada sangkaannya sudah tentu Hasef keluar dengan Zeti. Mereka buat apa sampai pagi? Galau hati seorang ibu.

“Alahai mama jangan risau. Bila tiba masanya kahwinlah saya dengan Zeti tu.”

“Bila? Cuba kamu bagi satu tarikh yang tetap,” Hasef terdiam seketika. Hatinya masih belum boleh menetapkan bila. Dia terkenang gadis di bilik hotel itu. Wajahnya berubah.

“Hmm…Hasef dah janji dengan kawan ni. Nanti kalau Hasef dah ada tarikhnya Hasef akan beritahu mama. Lagipun Hasef kena bincang dengan Zeti dulu. Mama jangan risau ye.” ujar Hasef telah pun bangun mencium pipi ibunya. Hasef tersenyum lantas berlalu.

“Hasef…mama nak Hasef nikah dengan Zeti secepat mungkin,” panggil Datin Amna tegas.

“Sorry mama….Hasef dah lambat ni.” ujarnya telahpun ke keretanya. Kata-kata ibunya berlalu sepi sahaja. Datin Amna mengeleng-ngeleng.

“Ish budak ni…kita tak habis cakap lagi dah pergi…” rungut Datin Amna. Masih Hasef ingat wajah mengharap ibunya itu. Entahlah. Dia memang cintakan Zeti tapi hatinya masih lagi belum bulat untuk mengahwini. Adakah dia masih belum yakin untuk mengambil gadis itu sebagai isteri? Entah apa yang menghalangnya. Dia sukakan gadis itu tetapi dia masih teragak-agak. Dia pening sendiri.

“Encik nak apa ni?” tanya pelayan kedai menghambat lamunan Hasef. Hasef tersentak.

“Err, dua nasi lemak dan dua teh ais, bungkus.” ujar Hasef pendek. Si pelayan mengangguk dengan wajah kelat. Dari tadi dia bertanya barulah lelaki itu menjawab.

NAIK-NAIK sahaja Hasef ke bilik hotel, gadis itu telahpun siap berpakaian dan bertudung. Wajahnya tampak manis dan lembut mengingatkan dia pada seseorang tetapi dia tidak pasti. Kenapa gadis itu seperti pernah dilihat?. Baju kurung Sofea memang padan sahaja dengan gadis itu. Berbeza sungguh dengan gadis vogue menggoda yang dia lihat semalam. Pagi itu, gadis itu sama dengan gadis seusianya yang nampak suci dan syahdu. Hatinya dibalut belas dan simpati. Bagaimana seorang gadis mentah seusia itu telah dipaksa untuk menjual diri tanpa kerelaannya? Zahra pula sedikit kekok dipandang begitu tambahan pula berada di bilik hotel seperti itu.

“Ini ada nasi lemak dan teh ais untuk awak. Makanlah. Lepas ni saya akan hantar awak balik,” ujar Hasef menyuakan sebungkus polisterin dan satu cawan plastik berisi teh ais kepada gadis itu. Gadis itu menyambutnya. Kemudian, Hasef duduk di salah sebuah sofa dalam bilik itu. Dia juga turut bersarapan bersama dengan sebungkus lagi nasi lemak dan teh ais. Mereka makan tanpa berkata apa-apa. Suasana senyap seketika.

“Sedap nasi lemak ni.” puji Zahra tiba-tiba. Hasef mengangkat muka. Dia senyum. Hatinya sedikit berbunga melihat senyuman gadis itu. Wajahnya manis dan ceria seolah ada cahaya matahari bersinar di bilik itu. Walaupun malam tadi gadis itu menggoda dengan make upnya tapi dia lebih sukakan wajah naif gadis itu pagi itu.

“Hmm…saya beli di bawah tu. Tapi, ini tidak sesedap nasi lemak yang saya pernah beli di satu kampung ni….” tiba-tiba kata-kata Hasef terhenti. Dia teringat sesuatu.

Wajah itu. Wajah seperti mentari bersinar itu mirip seseorang. Hasef lantas bangun kemudian wajah gadis itu diamatinya seketika. Tentangan mata Hasef menyebabkan Zahra cepat-cepat menundukkan kepala. Dia terperasan apa-apa ke?, soal Zahra resah. Dia serba-salah. Nasi lemak yang dimakan terasa tidak tertelan. Kalau boleh dia mahu lari dari situ. Dia mengangkat muka seketika dan nampak mata Hasef masih di wajahnya.

Hasef menghampirinya kemudian memegang wajahnya dan mendongakkan kepala gadis itu. Tangan lelaki itu terasa hangat di muka. Nafas Zahra turun naik. Dia mula rasa cuak. Jangan pula lelaki itu ubah fikiran.

“Awak….awak ni mirip budak perempuan yang jual nasi lemak di kampung Kenangan. Dan yang saya jumpa di bus stop. Gadis degil dan sombong tu…yang menyumpah tahi kuda dan tahi kucing tu? Namanya Za..dan awak Zahra…cuma dia pakai tudung dan awak tidak,” ujar Hasef tiba-tiba serkap jarang merenung wajah yang terdongak itu. Ada sedikit senyum di bibir Hasef mengingatkan mulut itu yang seperti bertih menjawab dan mencabar kata-katanya di bus stop itu. Mulut Zahra terkumat-kamit hilang kata-kata bila direnung dengan dekat begitu. Begitu merasai dekatnya lelaki itu dengannya saat itu.

“Kenapa terkedu pulak tak bercakap ni?” sindirnya pada Zahra yang terdiam dengan mata merenung tajam. Mereka renung merenung seketika. Masa seolah berhenti untuk mereka berdua. Usapan tangan Hasef mula terasa. Mengingatkan Zahra salahnya semua itu. Zahra lantas menepis tangan Hasef.

Hasef hanya tersengeh meskipun cara gadis itu menepis agak kasar. Dia maklum gadis itu mula rasa tidak selesa. Apakah maknanya itu? Ye sudah pasti telahannya betul.

“Ye…saya rasa awak dan gadis itu adalah orang yang sama. Saya pasti sangat,” tuduhnya merenung Zahra dengan senyum sinis di bibir. Zahra makin galau melihat senyuman itu. Senyuman yang dia akui menggetar jiwa sejak semalam.

“Err…bukan…awak silap orang. Saya tak pernah jual nasi lemak.” nafi Zahra acuh tak acuh. Dia tidak mahu lelaki itu tahu siapa dia. Dia akan malu. Biarlah lelaki itu tidak tahu siapa dia.

“Eh…betul ke? Saya rasa saya tak silap. Saya ni sukar nak lupakan wajah orang macam awak. Terutama bila dah bertelagah. Dan yang bertelagah dengan saya tu pula arrogant semacam. Manalah saya tak ingat!,” Wajah Zahra diamati lagi dalam-dalam. Terbayang dia wajah degil Zahra di restoran dan juga wajah comot terpalit lumpur di bus stop.

Zahra bingkas bangun. Dia rasa tidak selesa bila direnung begitu.

“Hasef…, saya nak balik. Saya takut ayah saya akan cari saya.” kata Zahra tiba-tiba. Hasef tersentak. Kedegilan Zahra yang itu memang mirip gadis di restoran itu. Memang sah gadis itu sama dengan gadis nasi lemak itu tapi gadis itu tidak mahu mengaku pula. Siapa sangka gadis nasi lemak itu sebenarnya gadis escort?

“Kalau ya pun….habiskanlah dulu sarapan tu.” tegas Hasef terasa panas di hati dengan kedegilan gadis itu.

“Saya tak lapar Hasef.” jawab Zahra cepat.

“Habiskan dulu. Saya hanya akan hantar bila awak dah habiskan sarapan tu. Faham??” kata Hasef tegas, geram pula dia dengan kedegilan gadis itu. Dia tahu kenapa gadis itu cepat benar mahu balik. Pasti sebab dia sudah bertanya tentang perkara itu. Dia pasti sangat, gadis di hadapannya itu ialah gadis nasi lemak yang digilai oleh rakan baiknya. Itulah juga gadis yang dia bergaduh di perhentian bas semalam. Sebelum ini bukan main sombong lagi gadis itu. Tapi malam tadi dan hari ini dia seperti seekor tikus yang terperangkap. Dan siapa sangka dia dan gadis itu kini berkongsi rahsia bersama. Rahsia di bilik hotel itu. Rahsia yang dia juga seorang gadis escort. Kecilnya dunia itu. Cuma, beza sungguh wajah gadis itu malam tadi berbanding hari itu bila tiada lagi solekan di wajah. Zahra duduk kembali terpaksa akur bila mendengar suara kasar lelaki itu. Dia mengangguk akur biarpun seleranya entah ke mana.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.