Home Novel Cinta Jangan Berhenti Mencintaiku
Jangan Berhenti Mencintaiku
Ai Syahindah
19/6/2019 00:16:35
18,967
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

“NATALIA…

Natalia menoleh ke kanan. Dia bertentangan mata dengan Tengku Seri buat seketika sebelum pandangan matanya jatuh pada lengan kanannya yang dipegang oleh si bonda.

Tengku Seri mengusap pipi anakdara tunggalnya dengan senyuman yang sukar untuk ditafsirkan. “Bonda sayang Natalia. Sayang sangat dengan permata hati bonda ni.”

Natalia mengerutkan dahi mendengar ungkapan sayang yang keluar dari mulut bondanya. Kurang mengerti dengan kata-kata tersirat dari bondanya. Tidak pernah-pernah bondanya ungkapkan hal sebegitu apabila mahu menghantarnya ke sekolah. Tapi mengapa hari ini berbeza? Mengapa perilaku bondanya berubah?

Tengku Seri ketawa kecil melihat reaksi yang diterimanya dari Natalia sehingga menampakkan kedua-dua lesung pipit di wajahnya. Manis sahaja senyumannya. Sejuk mata memandang.

Tahulah Natalia apa yang menyebabkan papanya jatuh cinta dengan Tengku Seri Qistina ini, senyuman dan lesung pipit bondanya rupanya.

“Kenapa pandang bonda macamtu?”

“Bonda nampak… pelik.” Natalia menyuarakan isi hatinya.

“Pelik? Pelik macam mana?”

“Bonda tak pernah masak, tapi hari ni bonda rajin masak. Selalunya, mama yang masak. Kedua, bonda tak pernah macam ni. Tiba-tiba sangat.”

“Bonda sayang anak-anak bonda. Tak salah kalau bonda cakap bonda sayang serta masak untuk suami dan anak-anak bonda, kan?” Tengku Seri mengengam kemas jemari kanan Natalia.

Dia akui, selama berbelas tahun mendirikan rumah tangga bersama Encik Zarif, dia tidak pernah ke dapur untuk memasak. Entah angin apa yang menyapanya sejak akhir-akhir ini, keinginan untuk memasak buat suami dan kedua-dua permata hatinya bagaikan sukar dibendung. Mujurlah ada Puan Aqila; madunya yang baik hati sudi membantunya dalam hal seperti ini.

“Tak salah tapi… Lia rasa macam ada benda tak kena dengan bonda. Lia… Lia rasa takut la.”

Sejak akhir-akhir ini perilaku pelik bondanya semakin ketara. Buatkan dirinya dipukul dengan rasa takut yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Takut sangat-sangat.

Kata kawan-kawan sekelasnya, apabila seseorang ingin menemui ajal perilaku orang tersebut akan berubah. Jadi… adakah bondanya akan meninggalkannya?

Natalia mengucap panjang saat kepalanya terlintas dengan kenyataan – bondanya mahu meninggal dunia atau bakal meninggalkannya.

“Takut?”

“Kenapa bonda pelik sangat?” Sekali lagi Natalia bertanya. Makin lama dia bersama dengan Tengku Seri, makin pelik dia rasa dan dia semakin takut. Takut sekiranya apa yang berada di benak fikirannya bakal menjadi kenyataan.

“Bonda cuba untuk berubah jadi bonda dan isteri yang baik je sayang. Bonda tahu Lia, abang dan papa banyak makan hati dengan bonda. Bonda sibuk sangat dengan kerja bonda sampai abaikan keluarga bonda. Mujur ada mama, kan? Kalau tak ada mama… kesianlah anak-anak bonda dan papa ni. Apalah nasib Lia dan abang.”

“Bonda ni, merepek!” Natalia bersuara meskipun dalam diam dia bersetuju dengan apa yang bondanya katakan. Kalau Puan Aqila tidak ada, apalah nasib dia, abangnya dan papa.

Tengku Seri membetulkan tudung yang membalut kepala Natalia.

“Bonda ada masalah dengan papa ke?” Natalia memandang anak mata bondanya.

Tengku Seri menggeleng.

“Papa nak kahwin lain ye?”

“Tak la.”

Natalia melepaskan satu nafas panjang. Lega dia mendengarnya. Fikirnya papanya; Encik Zarif mahu menambah isteri lagi. Baru sahaja dia mahu bertanya kepada Tengku Seri, tidak cukupkah kehadiran bonda dan mamanya sebagai isteri-isteri papanya sampai Encik Zarif perlu berkahwin lagi?

“Panjangnya lepaskan nafas.” Tengku Seri memandang penuh kasih anak mata si anak dara.

“Lia lega dengar. Ingat papa nak kahwin lagi.”

Tengku Seri ketawa kecil.“Berani ke papa nak kahwin lagi?”

“Manalah tahu, kan?”

“Kalau betul papa nak kahwin lagi itu maknanya papa menempah peperangan dari bonda dan mama. Jangan harap kami nak bagi papa tambah isteri lagi.”

Natalia ketawa mendengar ayat terakhir keluar dari mulut bondanya. “Masa perang tu, bonda nanti ambil alih jadi apa?”

“Jadi pembaling periuk belanga yang berjaya.”

Makin kuat Natalia ketawa. “Habis mama pulak?”

Tengku Seri turut ketawa. “Mama sesuai jadi pemanah.”

Natalia menekup mulutnya saat dia ketawa. Dia dapat membayangkan mama tirinya ‘memanah’ papanya dengan batang penyapu manakala bondanya bersedia untuk membaling periuk belanga yang ada didapur ke arah Encik Zarif nanti.

“Dah, sudah. Lambat dah ni. Nanti kena denda pula anak bonda ni.”

Natalia melingkarkan tangan untuk memeluk tubuh Tengku Seri. “Sayang bonda.” Dicium pipi kiri Tengku Seri. Dia tidak tahu, mengapa hari ini timbul keinginan untuk bermanja dengan sibonda. Selalu dia bersikap manja begini dengan Puan Aqila sahaja.

Tengku Seri merenggangkan pelukan diantaranya dan Natalia. Dipandang dalam-dalam anak mata Natalia yang persis suaminya. Bibirnya hinggap di dahi Natalia. “Balik sekolah nanti, mama datang ambil Lia macam biasa.”

“Kenapa bonda tak nak ambilLia?” Kening kiri Natalia terangkat.

“Bonda tunggu Lia, abang dan papa dekat rumah. Bonda nak masak makan malam ni. Mama ajar bonda resepi baru.” Tengku Seri tersenyum-senyum. Teruja benar dia mahu memasak menu makan malam sempena ulang tahun kelahiran anaknya yang seorang ini.

“Masak apa?”

“Adalah, rahsia bonda dan mama. Nanti Lia akan tahu juga.” Tengku Seri menarik batang hidung si anak.

Natalia menarik senyum lebar.

“Selamat hari jadi, sayang,”

Sekali lagi Natalia memeluk Tengku Seri. “Thank you, bonda.” Pipi kanan si bonda menjadi mangsa. “Terima kasih sebab lahirkan Lia. Lia sayanggg bonda.”

“Bonda pun sayang puteri manja bonda ni.”

Natalia mengalirkan air matanya mengingati kenangan terakhirnya dirinya dengan Tengku Seri tengah hari tadi. Tidak dia menyangka itulah kali terakhir dia memeluk, mencium, bersembang dan bergurau dengan bondanya. Insan yang mengandung dan melahirkannya ke dunia ini.

Natalia dapat merasakan tilam tempat dia menghemburkan kesedihannya, tenggelam sedikit. Menandakan ada insan melabuhkan punggung di atas katil miliknya.

“Lia…”

Natalia masih dengan dunianya.Langsung tidak memberi reaksi kepada insan yang memanggil lembut namanya.

“Sayang…”

Makin kuat Natalia menangis saat bahunya disentuh oleh insan tersebut. Seterusnya dia mulai bangun dari posisi baringnya lalu dengan laju dia memeluk tubuh seorang. “Mama… Bonda tinggalkan Lia…”

Puan Aqila mengusap lembut kepala Natalia yang masih berbalut tudung sekolah putih. Dia turut membalas pelukan anak tirinya itu.

“Sampai hati bonda tinggalkan Lia, ma…” adu Natalia dengan nada suaranya yang mendayu-dayu. “Bonda memang tak sayang Lia. Bonda suka tinggalkan Lia. Dah la hari ni hari jadi, Lia.”

Puan Aqila menitiskan air matanya. Sayu dia mendengarnya. Sebagai madu pun dia sudah dapat rasa kehilangan Tengku Seri apatah lagi anak yang dikandung madunya sendiri. Pasti sukar untuk Natalia menerima hakikat ini. Kehilangan seorang bonda saat usianya genap 14 tahun.

“Ma… Bonda tak sayang Lia ke, ma? Mama kata bonda sayang Lia tapi kenapa bonda tinggalkan Lia?”

Puan Aqila mengangkat wajah Natalia ke atas. “Bonda memang sayangkan Lia. Percayalah sayang. Tak ada mak yang tak sayang anak.”

“Tapi bonda dah tinggalkan Lia! Kenapa bonda tak nak ajak Lia kalau betul bonda sayang Lia?”

“Lia nak tinggalkan mama?”

Natalia menggeleng.

“Lia… Bonda sayang Lia. Bonda pergi bukan bermakna bonda tak sayang Lia. Kasih sayang seorang mak itu tidak dapat diukur dengan apa-apa, sayang.”

“Mama akan tinggalkan Lia macam bonda?” Natalia menyoal sambil menatap anak mata mama tirinya.

Puan Aqila hanya mempu menarik senyum. Dia tidak mampu untuk menjawab soalan itu. Ajal maut di tangan ALLAH, tuhan YANG MAHA ESA. Hari ini mereka kehilangan Tengku Seri, esok-lusa mungkin dirinya atau suaminya pula bakal menyusul.

Natalia memeluk erat batang tubuh mama tirinya.

Syafiq mengengam novel dihadapan pintu bilik Natalia sambil memerhatikan gadis berusia 14 tahun itu dari muka pintu. Kesian dia melihat nasib Natalia yang baru sahaja kehilangan Tengku Seri sewaktu ulang tahunnya yang ke-14. Dipandang dua buah novel yang diikat kemas dengan reben di tangannya.

Satu novel yang ditulis olehnya sendiri, satu lagi karya terakhir Tengku Seri yang sememangnya dituju khas untuk Natalia.

Tidak mahu menganggu Nataliayang bersedih, Syafiq perlahan-lahan meletakkan novel ditangannya di hadapan pintu bilik Natalia.

“Abang Fiq harap yang abang akan sentiasa nampak Lia tersenyum kembali selepas ni, Natalia.” Syafiq mengusap permukaan novel yang sudah berada di atas lantai dengan senyuman.

“Selamat hari jadi, budak comel.”

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ai Syahindah