Home Novel Cinta Jangan Berhenti Mencintaiku
Jangan Berhenti Mencintaiku
Ai Syahindah
19/6/2019 00:16:35
18,968
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

PUAN AQILA meletakkan dulang makanan di atas meja kecil yang ada di tepi katil milik Natalia. Dia menoleh ke arah anak tiri yang sedang berselimut dengan tuala kecil yang ada di dahi. Perlahan-lahan punggung dilabuhkan di sisi Natalia yang masih lena.

Lama dia memandang anak gadisnya yang seorang ini.

Wajah Natalia, saling tak tumpah dengan wajah arwah Tengku Seri. Bentuk hidung, bulu mata, kening dan anak mata Natalia sahaja persis suaminya; Encik Zarif. Perlahan-lahan dia mengusap wajah itu.

Kesian dia dengan Natalia.

Meskipun anak daranya ini tidak lahir dari rahimnya, tetapi inilah racun penawar hatinya. Sama dengan keadaan Tengku Seri yang begitu sayangkan Reza seperti anak sendiri, begitu juga dengan dirinya untuk Natalia. Tiada beza antara Reza dan Natalia di mata mereka berdua sebagai ibu-ibu kepada Natalia dan Reza. Kedua-duanya anak mereka. Yang berbeza hanyalah satu kenyataan - Reza anak yang dilahirkannya sendiri manakala Natalia dilahirkan oleh arwah madunya.

Perlahan-lahan Natalia membuka kedua-dua kelopak matanya. Dia dapat rasakan ada tangan sedang mengusap wajahnya. Secara tidak langsungitu telah menganggu tidurnya.

“Sayang mama dah bangun pun.” Puan Aqila menarik senyum lebar.

Natalia bangun dari posisi baringnya. Matanya memandang wajah Puan Aqila dalam keadaan mamai.

“Lia pergi cuci muka lepas tu kita makan sikit. Mama buatkan bubur nasi untuk Lia.” Rambut si anak dara dikemaskan.

“Lia tak ada selera nak makan, ma. Bonda…” Air mata Natalia mengalir lagi.

“Lia tak makan apa pun sejak semalam, kan? Sayang mama nitak lapar ke? Nanti kena gastrik, lagi susah.” Puan Aqila memujuk si anak dara dengan lembut.

Natalia mendiamkan diri.

“Sebelum bonda pergi, bonda sempat masak sesuatu untuk kita. Lia nak makan masakkan bonda tak?” Puan Aqila bertanya dengan lemah-lembut. Bimbang sekiranya salah bicara nanti hati anak daranya dirundum pilu lagi.

Sebelum madunya terlibat dengan kemalangan untuk berjumpa seseorang petang semalam, madunya sudah masakkan lauk makan malam untuk mereka sekeluarga.

Disebabkan berita kemalangan dan kematian Tengku Seriberlaku secara drastik, maka dia hanya sempat simpan semua lauk yang dimasak kedalam peti sejuk tanpa dapat menghidangkannya kepada sesiapa untuk makan malam semalam.

Saat mereka mahu menguruskan jenazah, mereka sekeluarga hanya mengalas perut dengan roti dan air masak sahaja. Selera untuk makan sudah mati buat seketika.

“Bonda… masak apa mama?”

“Bonda masak sambal ikan bilis. Lia, abang dan papa suka makan sambal ikan bilis, kan?” Puan Aqila memaksa dirinya untuk tersenyum meskipun air matanya sudah bergenang. Meniti masa untuk tumpah sahaja.

Dia teringat bagaimana teruja dan bersunguh Tengku Seri memasak lauk itu semalam. Lauk kegemaran Natalia, Reza dan Encik Zarif. Meskipun lauk itu kedengaran lauk yang mudah untuk dimasak, tetapi bagi Tengku Seri yang tidak pernah ke dapur itu satu perkara yang patut dibanggakan

Menitik juga air mata jantan suaminya saat merasa masakan tersebut sebentar tadi. Ini kerana mereka masing-masing tahu Tengku Seri memasak semua itu untuk Majlis Hari Jadi Natalia yang sepatutnya berlangsung malam semalam.

Air mata Natalia menitik lagi.

“Lia nak makan masakan bonda?”

Natalia mengangguk bagi menjawab pertanyaan si mama.

“Mama ambilkan ye? Lia pergi cuci muka dulu,” ujar Puan Aqila sambil menepuk lembut bahu kiri Natalia.

Natalia hanya menurut. Selesai dia mencuci muka dan memberus gigi, Natalia kembali duduk di atas katil. Dia memandang sekeliling biliknya.

Meskipun Tengku Seri sangat sibuk menguruskan perniagaan-perniagaannya, tetapi Tengku Seri tidak pernah culas memberi kasih sayang kepadanya dan Reza sejak tujuh tahun lepas. Arwah bondanya  , mengajar dan membantu mereka dua beradik dalam membuat kerja sekolah.

Satu perkara yang dia tidak pernah lupa sehingga ke hariini, saat usianya tujuh tahun baru dia rapat dengan bonda yang melahirkannya. Sebelum itu, dunianya hanya Reza, Puan Aqila dan Encik Zarif sahaja. Kerana itu dia pernah berburuk sangka dan terasa hati dengan Reza dan Tengku Seri kerana bagi dia, bondanya banyak melebihkan Reza darinya.

Natalia memandang bahagian ruang kosong yang berada betul-betul di hadapan katilnya. Ruang itulah yang sering dia, Reza dan Tengku Seri gunakan untuk luangkan masa dan bergurau sesama sendiri.

“Bonda tak adil! Ajar abang je. Taknak ajar Lia pun. Bonda tak sayang Lia. Merajuk!” Natalia yang berusia sepuluh tahun memuncungkan bibirnya.

Tengku Seri ketawa. Dia mengusap kepala Natalia sebelum mencium ubun-ubun anak daranya dengan penuh kasih.“Bonda sayang Lia dan abang sampai bila-bila.”

“Kalau sayang Lia, kenapa masa Lia tadika bonda tak nak dekat dengan Lia?”

Riak wajah Tengku Seri berubah sesaat. Namun cepat-cepat dia memaniskan wajahnya dengan senyuman. Tangan kanan bergerak menyentuh lembut pipi si anak dara. “Satu hari nanti, Lia pasti akan faham. Apapun, bonda minta maaf ye sayang sebab dah abaikan Lia masa Lia baby sampai tadika. Lia maafkan bonda, ye?”

“Sebab Lia sayanggg sangat dekat bonda dan sebab mama dan papa cakap bonda yang lahirkan Lia... jadi Lia maafkan bonda. Tapi bonda kena janji, jangan tinggalkan Lia lagi tau.” Natalia yang masih kecil itu mengerakkan jari telunjuknya atas bawah, di depan wajah sibonda. “Kalau tak, Lia tak nak sayang bonda dah.”

Tengku Seri ketawa kecil.

“Dan kalau bonda sayang Lia, bonda kena ajar Lia juga macam bonda ajar abang.”

“Boleh sayang.”

“Lia rindu bonda…” Air mata mengalir lagi tanpa dipinta. Kehilangan Tengku Seri secara tiba-tiba membuatkan separuh dari dirinya turut pergi. Sukar untuk dia menerima berita kematian bondanya yang mengejutkan ini.

 “Lia…” Puan Aqila duduk di hadapan anak daranya usai dia meletakkan lauk yang dimasak arwah madunya semalam, di atas dulang makanan yang dibawanya untuk Natalia.

Natalia mengangkat mukanya ke atas saat ada jari halus milik Puan Aqila berada di bawah dagunya.

“Mama… Lia rindu bonda… Rindu sangat…” Sukar benar bagi Natalia untuk menjelaskan rasa rindunya untuk Tengku Seri ini.

Puan Aqila turut menitiskan air matanya. Ditarik kepala anaknya ke dadanya. Diusap kepala Natalia dengan penuh kasih sayang. “Mama pun rindu bonda, sayang.”

Natalia memeluk batang tubuh Puan Aqila. “Mama jangan tinggalkan Lia. Lia dah tak ada mak. Mama je mak yang Lia ada.”

Puan Aqila mencium ubun-ubun Natalia. Sejak sesaat Natalia lahir dari rahim Tengku Seri, dia sudah jatuh sayang dengan anak yang seorang ini. Sayangnya untuk Natalia menggebu apabila Tengku Seri memberi tanggungjawab sebagai seorang ibu kandung Natalia kepadanya. Natalia ini dia susukan, jaga, asuh, didik dan beri kasih sayang sama seperti apa yang dia berikan kepada Reza.

“Ma…” Natalia mendongakkan kepalanya ke atas sedikit.

Puan Aqila menarik senyum.

“Abang mana?”

Rambut Natalia dibelai penuh kasih. “Abang ada dekat bilik bonda. Nak merawat rindunya pada bonda agaknya.”

“Abang beruntungkan mama. Walau abang tak lahir dari rahim bonda, tapi bonda sayang sangat dekat abang lebih dari Lia. Abang dapat kasih sayang bonda lebih banyak dari Lia.”

“Lia... Jangan cakap macam tu. Bonda sayang Lia dan abang, sama rata. Sama macam mama sayangkan Lia dan abang. Lia lupakanlah perkara lalu masa Lia kecil-kecil tu. Bila Lia dah dewasa nanti, mesti Lia akan faham kenapa bonda buat macam tu dulu.”

Natalia membatukan diri.

“Lia nak jumpa abang?”

Natalia mengangguk. “Lia rindu dekat abang.”

Sejak abangnya masuk asrama, dia jarang dapat berjumpa dengan abang seayahnya itu. Meskipun begitu, hubungannya dengan Reza sangat rapat sebagai adik-beradik. Kerana itu selain dari Encik Zarif dan Puan Aqila, dia tetap memerlukan bahu dan dada Reza untuk menangis dan mengadu.

“Pergilah jumpa abang. Tapi... Lia kena makan dulu.”

Natalia mengangguk.

*****

“SYAFIQ, siap sekarang. Teman mama pergi hospital.”

Syafiq yang sedang menaip sesuatu pada komputer ribanya,menoleh ke arah Datin Aira yang sudah menapak masuk ke dalam biliknya.

“Hospital?” Syafiq kerut dahi. “Mama nak melawat siapa?”

Aunty Aqila, Reza dan Lia kemalangan.”

Mulut Syafiq sudah terganga sedikit saat mendengar beritaitu.

‘Kemalangan? Lagi? Masuk kali ini sudah berlaku dua kali kemalangan berlaku dalam keluarga kawan baik mamanya. Pelik. Macam ada sesuatu.’ Syafiq bermonolog.

“Jom teman mama. Uncle Zarif bagitahu, Aunty Aqila tengah nazak.”

Syafiq menangkap lengan kanan Datin Aira. “Lia macam mana, mama?” Risau hatinya memikirkan ‘budak comel’ yang seorang itu. Sudah la baru semalam Natalia menerima berita kematian Tengku Seri. Hari ini Natalia terlibat dalam kemalangan pula.

“Natalia dan abang dia cedera ringan. Aunty Aqila yang teruk sebab…”

Baru sahaja Datin Aira mahu memberitahu informasi yangdia dapat dari Encik Zarif, bunyi telefon bimbit menganggu pula. Pantas dia menyelukkan tangannya ke dalam beg tangan untuk mencari telefon bimbit.

“Ya Allah. Innalillahiwainnailaihirojiun.” Ucap Datin Aira saat membaca pesanan ringkas dari Encik Zarif.

“Kenapa, ma?”

Datin Aira memandang anak mata Syafiq. “Aunty Aqila… dah meninggal…”

‘Budak comel… kesiannya awak.’

“Jom ikut mama.”

“Baik mama.”

Sebaik sahaja pintu biliknya ditutup oleh Datin Aira, Syafiq mengangkat kepalanya ke atas. Memandang kabinet yang ada di atas almari baju yang dikhaskan untuk menggantungkan baju disitu.

‘Mak Engku, apa yang sedang berlaku pada keluarga Mak Engku?’

Aku rasa takut untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. Aku jadi tak tenang. Aku diburu rasa takut yang melampau setiap hari.

Tengku Seri.

*****

NATALIA menangis semahunya sambil memeluk kedua-dua kakinya.

Tadi dia, Puan Aqila dan Reza ingin melawat kubur TengkuSeri. Sepulangan mereka dari Tanah Perkuburan, mereka terlibat dengan kemalangan. Kereta merempuh laju ke arah tempat duduk pemandu tanpa sempat mamanya mahu mengelak.

Natalia mendongak memandang syiling. Dipandang lama kipas yang berbilah tiga berputar di atas kepalanya. Entah apa yang ada di dalam benak fikirannya, dia kini sudah berdiri di atas kerusi betul-betul di bawah kipas. Kipas pula sudah dia matikan suis sebentar tadi.

Tangannya memegang cadar yang sudah dia gantung di salahsatu bilah kipas. Baru sahaja dia mahu menyangkut dagunya di situ, pintubiliknya dibuka oleh seseorang.

“Lia!” Syafiq pantas meluru ke arah Natalia yang berdiri di atas kerusi. Betul-betul di bawah kipas. Mujurlah sebantar tadi dia ikutkan sahaja arahan Datin Aira untuk memanggil Natalia ke bawah untuk mencium jenazah Puan Aqila buat kali terakhir. Kalau tidak, pasti Natalia…

Natalia terkejut melihat kehadiran Syafiq yang secara tiba-tiba masuk ke dalam bilik tidurnya. Mulutnya ternganga melihat lelaki berusia 19 tahun itu berlari ke arahnya dan seterusnya menariknya turun dari kerusi yang ada di atas katilnya.

“Apa kau cuba buat ni?!” tengking Syafiq. Dia memandang tajam anak mata Natalia. Kedua-dua tangannya memegang bahu Natalia.

Natalia menghemburkan tangisannya lalu memeluk batang tubuh anak kawan baik arwah bondanya ini dengan erat. “Mama dan bonda dah tinggalkan Lia…”

Mendengar apa yang diungkapkan oleh Natalia, hati Syafiq diragut rasa sedih. Dia perlahan-lahan membalas pelukan Natalia.

Apa yang dia mahukan saat ini adalah untuk menenangkan jiwa Natalia. Dia lupa, niat tidak akan pernah menghalalkan cara. Perbuatan dan caranya tetap salah dalam hukum-hakam Islam. Dia dan Natalia tiada pertalian darah. Haram untuknya menyentuh Natalia kecuali mereka mempunyai hubungan darah, keluarga atau susuan.

“Abang tak nak tengok muka Lia. Dia benci Lia sangat-sangat agaknya…” adu Natalia. Basah sedikit t-shirt biru yang dipakai Syafiq dek air matanya.

Sebaik sahaja doktor mengesahkan Puan Aqila meninggal dunia, Reza terus menjauhkan diri dan termelenting dirinya saat dia cuba mengadu nasib kepada si abang. Untuk pertama kali dalam hidupnya, abang yang dia sayang melentingnya. Ini satu kejutan yang sukar untuk dia terima.

Meskipun Reza tidak mengungkap kata-kata bahawa dia penyebab kematian Puan Aqila, tapi dia dapat rasakan kebencian itu di mata abang seayahnya. Cara Reza pandang dirinya, seolah-olah dia yang membunuh mama mereka! Dia jadi takut dengan Reza.

“Papa tak pedulikan Lia…”

Selepas diherdik oleh Reza, Natalia mencari papa kesayangannya pula. Namun apa yang berlaku benar-benar membuatnya bertambah sedih. Papanya langsung tidak memberi respon dengan adunya seperti selalu. Papanya hanya termenung memandang gambar perkahwinan papanya dengan arwah bonda dan mamanya sahaja.

Lalu kepada siapa lagi untuk dia mengadu? Dia sudah hilang bonda semalam pada hari ulang tahun kelahirannya. Hari ini, dia kehilangan Puan Aqila dan juga ‘kehilangan’ seorang abang dan ayah. Dalam sekelip mata, dia sudah kehilangan semua insan yang dia sayang. Dia sudah tiada tempat untuk mengadu.

Sebab itu, dia menurut kata hati kecilnya untuk mengantung dirinya sebantar tadi. Biarlah dia mati sekurang-kurangnya dia dapat bertemu mama dan bondanya di alam sana.

“Lia takut…”

Syafiq mengeratkan pelukan. “Abang Fiq kan ada. Abang akan sentiasa ada untuk Lia. Abang janji akan jaga Lia. Sampai bila-bila.”

Natalia mendongak. Dia memandang anak mata Syafiq.

Syafiq menarik senyum. Ibu jarinya mengesat air mata dibawah tubir mata Natalia. “Lia kena beri masa pada abang dan papa Lia. Mereka pun tengah bersedih macam Lia.”

Perlahan-lahan Natalia menarik senyum bagi membalas senyuman dari lelaki yang sudah lama dia puja sejak zaman kanak-kanaknya lagi.

“Syafiq!”

Syafiq menoleh ke muka pintu. “Mama…” Pelukan direngangkan. Barulah Syafiq sedar kesalahan yang dibuatnya sebentar tadi.

Datin Aira memandang sekeliling bilik Natalia. Matanya lama memandang ke arah katil yang diatasnya terdapat kerusi betul-betul dibawah kipas. Ada kain tergantung lagi.

“Syafiq cuma…”

“Niat tak pernah menghalalkan cara.” Datin Aira mengatakannya dengan lembut tetapi tegas.

“Natalia, jom ikut aunty. Kita jenguk mama sebelum kebumi, ye sayang.”

“Mama…” Natalia menyebut perlahan.

“Lia kena kuat. Abang Fiq percaya, Lia kuat hadapi semua ni.” Syafiq meniup semangat dalam diri Natalia.

Melihat air mata Natalia merembes laju mengalir ke pipi, Datin Aira memeluk anak kawan baiknya itu. Diusap belakang tubuh Natalia dengan penuh kasih sayang.

Pada masa yang sama, Syafiq memandang tajam belakang tubuh mamanya. Di sisi tubuhnya dia menggempalkan penumbuk sekuat hati.

Dia teringat apa yang dia baca di dalam diari Tengku Seri. Apa yang ditulis oleh Tengku Seri di dalam diari, terbayang-bayang dikornea matanya.

Aku tak sangka yang selama ini Aira, daddy dan Zarif membohongiku. Paling aku tak sangka ialah kebencian Aira terhadapku. Dia cuba bunuh aku. Tapi aku sengaja berlakon seolah-olah aku tak tahu apa-apa sedangkan aku nampak dia masukkan racun dalam minuman untuk aku.

Tengku Seri.

‘Mama… mama ke yang buat semua ni?’ monolog Syafiq.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ai Syahindah