Home Novel Cinta Jangan Berhenti Mencintaiku
Jangan Berhenti Mencintaiku
Ai Syahindah
19/6/2019 00:16:35
18,993
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Prolog

TENGKU SERI mendekatkan satu kotak ke arah Syafiq yang duduk berdepan dengannya. “Mak Engku nak beri ini pada Syafiq.”

Syafiq membuka kotak tersebut tanpa banyak soal usai kotak tersebut diletakkan di atas ribaannya. Dia mengangkat kepalanya dari terus memandang isi yang ada di dalam kotak. Lama dia memandang anak mata Tengku Seriuntuk menagih jawapan terhadap soalan yang bersarang di dalam kepalanya.

“Dalam dunia ni, Mak Engku cuma percayakan Syafiq. Ingatperkara ni sampai bila-bila.”

Syafiq memilih untuk berdiam diri. Tangannya menutup kembali kotak yang dibukanya.

“Kalau apa-apa jadi pada Mak Engku atau pada Lia, didalam kotak itu mungkin ada jawapannya.”

Syafiq mengerutkan dahi.

“Apa yang ada dalam kotak tu, adalah kunci kepada semua rahsia yang Mak Engku simpan selama ni. Rahsia yang… menyakitkan.” Air mata Tengku Seri menitis tanpa dipinta.

Syafiq memandang kembali kotak di ribaannya.

“Tolong jaga Lia macam nyawa Syafiq sendiri. Lindungi dan sayang dia. Kalau boleh, kahwini dia bila usia Syafiq dan Lia sudah melayakkan kamu berdua untuk berkahwin. Boleh kan?”

“Permintaan Mak Engku terlalu berat.”

“Mak Engku cuma percaya pada Syafiq.” Tengku Seri memandang anak mata Syafiq dengan penuh pengharapan. Meskipun lelaki ini anak kepada dua orang insan yang sudah menghancurkan hatinya, tapi dia tahu cuma remaja ini sahaja yang boleh dipercayai untuk menjaga anak kesayangannya;Natalia.

“Kenapa Mak Engku tak amanahkan kotak dan pesanan untuk menjaga Lia pada Reza? Reza kan abang Lia.”

Riak wajah Tengku Seri berubah sedikit muram. “Reza tu, anak manja dan panas baran. Dia tak akan mampu nak pegang rahsia Mak Engku apatah lagi nak uruskan rahsia tu, Syafiq. Sebab tu Mak Engku amanahkan semua ni pada Syafiq. Mak Engku percaya pada Syafiq.” Tengku Seri mengatakan hal kepercayaannya kepada Syafiq buat kali ketiga. Dia mahu remaja itu faham bahawa dia betul-betul percayakan Syafiq melebihi semua orang disekelilingnya.

Syafiq mengangguk-angguk.

“Tolong,” tambah Tengku Seri.

Syafiq menarik senyum segaris. “Kalau macam tu, takapalah. Syafiq akan cuba jaga amanah Mak Engku sebaiknya.”

“Jaga Reza sekali, ye?”

“Insya-ALLAH.”

“Rahsiakan hal ni dari sesiapa. Termasuklah mama dan papa Syafiq.”

Syafiq rasa tidak sedap hati mendengarnya.

“Jangan percayakan sesiapa.”

Mendengar pesanan terakhir yang keluar dari mulut Tengku Seri, bertambah tidak sedap hatilah Syafiq rasa ketika ini.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ai Syahindah