Home Novel Cinta Jangan Berhenti Mencintaiku
Jangan Berhenti Mencintaiku
Ai Syahindah
19/6/2019 00:16:35
18,970
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

“SERI nak makan apa-apa lagi tak?” Putera menoleh ke kanan, memandang anak kecilnya yang berjalan beriringan disebelahnya untuk masuk ke hotel semula.

Budak perempuan yang dipanggil Seri membatukan diri.

Putera memberhentikan langkahnya. Dia merendahkan dirinya dengan meletakkan kepala lututnya ke lantai. Kemudian diraih kedua-dua belah tangan Seri. Digengam kemas.

Seri masih diam. Jawapan yang diberikan oleh Putera kepadanya sebaik sahaja dia bangun tidur tadi benar-benar mengecewakannya. Kerana itu, dia memilih untuk berdiam diri. Tidak mahu bercakap apa-apa dengan papanya hari ini. Dia tekad.

“Anak papa ni kenapa diam je ni? Papa ada buat salah ke?” Lembut Putera menyoal sambil tangan kanannya menaikkan sedikit dagu anaknya ke atas. Tangan kirinya pula diletakkan di atas bahu kiri Seri.

Seri mengelak dari memandang anak mata Putera.

“Seri marah papa ye?” Putera cuba meneka. Dia yakin, anak tunggalnya ini marah dan merajuk dengannya. Mana tidak, diam sahaja dari tadi.

“Seri tak nak kawan dengan papa ye? Papa ada buat salah apa ni dekat Seri sampai Seri tak nak kawan dengan papa? Boleh Seri beritahu papa?” Putera melontar soalan yang lain apabila soalannya sebentar tadi juga dibiar sepi oleh si anak.

Seri memandang anak mata Putera. “Papa janji nak bawa Seri jumpa mama bila kita sampai Malaysia. Papa tipu!”

Putera menarik senyum segaris. Riak wajahnya dikawal biar nampak tenang walau dalam hatinya sudah dilanda gelora apabila anaknya menyebut perihal bekas isterinya. Tangan kanannya mengusap kepala si anak dengan penuh kasih. “Papa memang nak bawa Seri jumpa mama, tapi mama tengah busy.Mama work. Nanti ye.”

“Papa tipu!”

“Papa tak tipu.”

“Seri tak nak cakap dengan papa sampai papa bawa Seri jumpa mama!”

“Okey macam ni. Seri bagi masa dekat papa untuk papa bincang dengan mama bila papa boleh bawa Seri jumpa mama, ye?”

“Sekarang!”

“Mama work, sayang.”

Seri mengalih pandangannya ke tempat lain.

“Kita masuk bilik dulu, ye? Ke... Seri nak jalan-jalan?”

Baru sahaja Seri beura-ura mahu menjawab soalan Putera, dia menangkap satu figura yang sangat dia kenal di lobi hotel yang berada di depan matanya. Tangan yang masih kemas berada dalam gengaman Putera ditarik lalu dia mula berlari masuk ke dalam lobi hotel.

“Seri!” Putera bingkas bangun untuk mengejar si anak.

“Mama! Mama!” jerit budak perempuan yang berusia lima tahun itu sambil mengejar seseorang.

“Seri!” Langkah Putera yang tadinya laju mengikuti jejak langkah si anak, berubah menjadi perlahan. Ini adalah kerana laluannya telah dihalang oleh beberapa orang penginap hotel yang sedang beratur panjang di kaunter.

“Seri!” Putera menjerit memanggil nama si anak apabila dia sudah sedar yang Seri sudah hilang entah kemana.

“Mama!” Seri yang masih berlari mengejar ‘mamanya’, terjatuh di atas anak tangga. Dahinya terhantuk pada bucu anak tangga kedua manakala kepala lututnya terhantuk pada bucu anak tangga pertama.

“Adik, adik okey?” Salah seorang staff hotel laju mendapatkan Seri yang menangis di atas anak tangga.

“Papa!” Seri menangis kuat sambil memanggil papanya.“Papa!!!”

Syafiq yang kebetulan mahu turun ke lobi hotel menggunakan tangga, menghampiri salah staff hotel yang berada di depan budak perempuan yang masih menangis.

“Papa adik mana? Siapa nama adik?” soal staff hotel tersebut dengan lembut.

“Pergi ambil First Aid Kits,” arah Syafiq sebaik sahaja dia melihat lutut budak perempuan itu sudah berdarah sedikit.

“Baik. Tengku.”

Syafiq mencangkung di hadapan Seri yang masih menangis. “Adik... Adik sakit dekat mana?”

“Nak papa...”

“Nanti uncle cari papa adik, ye? Sekarang boleh tak adik turunkan tangan adik dekat dahi ni. Bagi uncle tengok dahi adik ni. Takut berdarah.”

Seri mengangguk laju. Dia menurut kata Syafiq yang mahu melihat dahinya.

“Seri Qistina!” Putera melajukan lariannya ke tangga hotel sebaik sahaja dia melihat anaknya duduk di atas anak tangga hotel.

“Papa!” Seri mendepakan tangannya ke arah Putera.

Putera pantas mengendong anak kesayangannya. Dipeluk erat satu-satunya cahaya mata yang dia ada dengan penuh kasih. Tangan kirinya mengusap kepala si anak. Saat itu, dia perasan dahi anaknya sudah memerah dek benjol.

Syafiq terkaku seketika saat memandang wajah Putera sebelum pandangannya itu dihalang oleh tubuh kecil Seri. ‘Muka dia...’

“Sakit, papa...” Seri mengadu sambil memeluk batang leher Putera dengan manja.

“Ini, tengku.” Salah seorang staff hotel menghulur sebuah kotak putih ke arah Syafiq.

“Lutut anak encik berdarah. Mari ke sana. Kita rawat dulu.” Syafiq menunjuk ke satu arah ruang hotel yang mempunyai beberapa set sofa di disitu.

Putera mengangguk, bersetuju.

“Papa... Papa marah?” Seri menyoal sebaik sahaja Putera meletakkan tubuhnya di atas sofa yang ditunjuk oleh Syafiq sebentar tadi.

Putera menggeleng sambil menarik senyum sehingga menampakkan lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Tangannya mengusap kepala si anak.

Syafiq terkaku buat kali kedua saat melihat senyuman Putera. Senyuman Putera mengingatkannya dengan senyuman seseorang. Sedang dia membuka kotak First Aid Kit, kepalanya ligat berfikir dimana dia pernah melihat senyuman yang hampir sama seperti Putera itu.

”Seri nampak mama, sebab tu Seri lari tadi. Seri nak kejar mama. Tapi tiba-tiba Seri jatuh.” Seri membuat mimik muka sedih dan simpatinya. Berharap Putera tidak memarahinya kerana meninggalkan papanya tadi.

“Lain kali, Seri kena cakap dekat papa dulu. Jangan buat macam tadi, tinggalkan papa dan kejar sesiapa. Kalau ada orang jahat nak culik anak kesayangan papa ni, macam mana?”

Sorry...”

“Tak apa. Lain kali, jangan buat lagi tau.”

Seri mengangguk laju.

Putera memandang Syafiq yang seakan termenung di depan kotak First Aid. “Encik...”

*****

“TENGKU SYAFIQ.”

Langkah Syafiq untuk ke Pejabat Pengurusan Hotel terhenti apabila telingnya menangkap seseorang memanggil namanya. Baru sahaja dia mahu mencari gerangan si pemanggil, dia melihat seorang wanita cantik tidak jauh darinya.

Melihat perilaku wanita yang mengatur langkah menghampirinya membuatkan Syafiq percaya, pemanggil yang memanggilnya sebentar tadi ialah wanita ini.

“Ada apa Puan Sri?”

Puan Sri Zara menarik nafas dalam-dalam. “Saya nak curi masa Tengku sekejap.”

Syafiq mendiamkan diri.

“Budak perempuan tadi. Yang kamu rawat lutut dia. Saya nak tahu pasal dia”

“Kenapa?”

“Macam mana keadaan dia?”

“Okey.”

Puan Sri Zara mengangguk perlahan. Dia melepaskan satu nafas lega.

Tiba-tiba Syafiq menarik senyum segaris.

Puan Sri Zara memandang anak mata Syafiq.

“Kenapa Puan Sri tak bantu kanak-kanak tadi?” Syafiq menyoal dengan rasa curiga.

Seingatnya dia ada melihat Puan Sri Zara terkaku di atas anak tangga sambil memandang ke arah Seri yang menangis di atas anak tangga. Dia juga yakin yang dia ada melihat wanita itu sudah turun satu anak tangga bagi mendapatkan Seri. Namun tiba-tiba sahaja wanita itu meneruskan langkah ke arah yang bertentangan secara tiba-tiba. Bagaikan sedang melarikan diri dari seseorang.

Puan Sri Zara memandang jam tangan yang melilit dipergelangan tangan kanannya. “Saya harap satu hari nanti kita boleh borak panjang.”

Syafiq mengangguk sekali.

Tanpa berkata apa-apa, Puan Sri Zara mengatur langkah meninggalkan Syafiq di kawasan ruang terbuka Hotel Star Blink. Dia mahu berjumpa lelaki itu hanya kerana budak perempuan itu sahaja. Lagipun dia tidak boleh biarkan misinya gagal.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ai Syahindah