Home Novel Cinta Sekilas Kenangan
Sekilas Kenangan
Damya Hanna
19/3/2020 13:27:29
58,063
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 14

BAB 14 (CEDERA)

TIHANI menelusuri laluan berbumbung untuk menuju ke blok kediamannya selepas singgah di Baiduri-Mart, kedai runcit yang terletak di bangunan sama dengan kafeteria Apartmen Baiduri Alam. Dia ke situ untuk membeli sebotol kicap dan 10 biji telur ayam.

Bangunan tidak bertingkat ini menjadi penyambung antara dua blok apartmen. Selain kafeteria dan kedai runcit terdapat juga kedai dobi layan diri, gimnasium dan pejabat pengurusan di situ. Malah, kolam renang dan tempat riadah serta taman permainan kanak-kanak terletak di kawasan berhampiran. Semua kemudahan itu adalah untuk kegunaan penghuni-penghuni Apartmen Baiduri Alam.

Panorama petang di sekitar apartmen tampak meriah. Terdapat sekumpulan kanak-kanak sedang bersuka ria berenang di kolam sambil dipantau oleh ibu bapa. Ada juga kanak-kanak sedang gembira berkejar-kejaran di taman permainan bersebelahan dengan kolam renang itu.

Tihani segera mengambil tempat apabila terpandang sebuah bangku kosong. Bercadang mahu menikmati suasana redup sambil menghabiskan aiskrim Magnum coklat yang sempat dibeli di Baiduri-Mart tadi.

"Aku boleh uruskan sendirilah!"

Tiba-tiba perhatian Tihani dicuri. Anak matanya terus beralih ke Proton Wira. Kereta berwarna kelabu itu sedang berhenti di kawasan lobi.

Kelihatan seorang lelaki yang mungkin pemandu kereta itu, menarik pintu di tempat duduk belakang.

"Aku tahulah kau boleh uruskan sendiri. Tapi kalau aku nak tolong pun, apa salahnya?" Pemandu itu berkata.

"Dah, kau pergi balik!"

"Rumah kau kat tingkat berapa? Biar aku hantar sampai atas."

"Tak payah! Aku boleh naik sendiri."

"Janganlah degil!"

Tihani tidak berminat untuk mengambil tahu urusan yang tiada kaitan dengannya itu. Dia cepat-cepat memasukkan saki-baki aiskrim coklat yang semakin cair ke dalam mulutnya. Kemudian bangun dan melangkah ke arah lif sejurus membuang batang aiskrim ke dalam tong sampah.

"Hani!"

Tiba-tiba kedengaran namanya diseru. Tihani pantas berpaling. Serentak itu, anak matanya terlekat pada wajah Jihad. Dia terkejut. Rupa-rupanya lelaki yang menapak keluar dari tempat duduk belakang Proton Wira tadi adalah Jihad.

"Kau pergilah balik. Aku boleh naik lif dengan dia." Jihad berkata kepada Ehsan.

Anak mata Ehsan sempat ditebarkan ke arah gadis bertudung yang waktu itu memakai T-shirt lengan panjang dan seluar jeans, sedang berdiri tidak jauh dari situ.

Jihad terus mencapai beg galasnya daripada tangan Ehsan. Selepas itu, dia melangkah mendekati Tihani.

"Ad!" panggil Ehsan.

"Aku kata aku boleh uruskan sendiri. Kau tak faham ke?" Jihad naik angin.

Tihani terpinga-pinga. Tetapi dia tidak bercadang mahu membuat sebarang kesimpulan tentang situasi aneh berkaitan dua orang lelaki di hadapannya itu. Kebetulan pandangannya terpanah ke arah tangan kanan Jihad.

"Eh, kenapa dengan tangan awak tu?" Mata Tihani terbuntang. Tangan Jihad dilihatnya berbalut dengan kain anduh berwarna putih. Padahal pagi tadi lelaki itu baik-baik sahaja.

"Dia tercedera masa operasi tengah hari tadi. Doktor kata tangan dia tak patah, tapi terseliuh. Dia kena berehat untuk beberapa hari." Ada suara yang menjawab.

Tihani menoleh ke arah datangnya bunyi suara itu.

Pemandu tidak dikenali yang membawa Jihad pulang tadi dilihatnya sedang menghampiri.

Jihad melepaskan rengusan.

"Dahlah, Ehsan. Tak payah sibuk-sibuk hal aku. Kau pergi balik!"

"Ya, aku nak baliklah ni," sahut Ehsan sebelum mengalihkan semula fokusnya ke arah gadis manis bertudung di sisi Jihad.

Serentak itu, bibir Ehsan menguntum senyum.

"Hai, nama awak Hani ya?"

Tihani mengerutkan dahi.

"Saya dengar Jihad panggil nama awak tadi. Saya Ehsan, kawan satu department dengan Jihad. Tapi, kami sebenarnya dah berkawan sejak dari kampung. Sejak kami kecil lagi." Ehsan memperkenalkan diri tanpa disuruh.

Jihad rasa bengang bila Ehsan bertindak selamba begitu. Namun, dia tidak sempat berbicara apa-apa bila Tihani tiba-tiba membuka mulut. Turut memperkenalkan diri.

"Oh, hai. Saya Hani, tinggal kat sebelah rumah Jihad. Kami berjiran." Tihani tersenyum manis.

Ehsan terangguk-angguk sambil melirikkan pandangan ke arah Jihad.

"Oh, tinggal berjiran," ujar lelaki itu penuh bererti.

Jihad malas mahu memberi sebarang komen. Kebetulan pintu lif tiba-tiba terbuka.

"Hani, masuk!" Jihad memberi arahan sejurus kakinya menapak ke dalam kotak lif yang kosong itu.

Tihani memandang Jihad.

"Masuk!" Jihad menegaskan.

"Kenapa saya nak kena dengar cakap awak?"

"Aku kata masuk!"

Tihani mendengus. Lambat-lambat dia menurut. Tak semena-mena, dia jadi bengang. Apa hak Jihad nak paksa-paksa dia naik satu lif dengan lelaki itu?

"Dah, kau pergi balik!"

Di celah-celah kemusykilan yang melanda, kedengaran suara Jihad berkata ke arah Ehsan.

"Ya, aku tahulah. Memang aku nak balik dah pun. Hisy, dia ni!" gerutu Ehsan sebelum fokusnya dialihkan semula pada Tihani. Dia tersenyum lagi.

"Tolong tengok-tengokkan Jihad ya? Dia tu degil sikit. Tambah-tambah bila sakit. Ubat confirm dia tak nak usik. Kalau boleh, sehari dua ni pastikan dia makan on time dan ambil ubat macam yang doktor suruh. Kalau ada apa-apa, awak boleh telefon saya kat nombor ni."

Ehsan mengeluarkan sehelai kertas dari kocek seluar. Ingin mencatatkan nombor telefon bimbitnya di situ. Namun tidak sempat kertas itu dihulurkan kepada Tihani, Jihad sudah pun menekan butang tutup di sisi pintu lif.

Tidak sampai tiga saat, pintu lif itu tertutup rapat.

[Bersambung...]

** Terima kasih kerana terus sudi menunggu update bab ke bab Sekilas Kenangan. Semoga kalian berpuas hati dengan nukilan Kak Damya kali ini. Sudi-sudilah vote dan beri komen ya.

*** Untuk info, novel ni sedang dalam proses cetak. Kalau berminat nak pre order boleh contact Whatsapp Kak Damya (013-3766 496) dan boleh juga ke akaun media sosial Kak Damya seperti di bawah :

1. Facebook dan Facebook Page : Damya Hanna

2. Instagram : @Damya_Hanna.


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna
© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham