Home Novel Cinta Sekilas Kenangan
Sekilas Kenangan
Damya Hanna
19/3/2020 13:27:29
57,368
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 7

BAB 7 (LUCU)

JIHAD AMJAD ingin sekali melambakkan tawa. Kalau diikutkan rasa hati, di situ juga dia mahu melakukannya. Tapi mengenangkan Ainul Tihani ada bersama-samanya, dia segera mengawal diri. Sejujurnya, mengenang situasi tadi membuatkan dia geli hati.

Riak terkedu gadis bertudung bawal itu semasa terpandang dirinya di hadapan pintu lif menyebabkan sanubarinya bagai digeletek dalam diam. Jelas sekali Tihani sedang menahan perasaan malu. Bukan dia tidak nampak Tihani terkial-kial melarikan diri semasa dia kian menghampiri kawasan lif blok itu sebentar tadi.

Malah, dia juga tahu Tihani sedang menyorok di balik pintu rintangan api kerana dia dapat mendengar bunyi deringan telefon bimbit gadis itu yang jelas memecah sunyi. Nampak sangat Tihani cuba mengelakkan diri daripada bertembung dengannya.

Mana mungkin Jihad tidak perasan semua itu? Sebagai seorang anggota polis berjawatan detektif, satu kewajipan yang perlu ada pada dirinya ialah daya penglihatan dan pendengaran yang jelas dan tajam!

Sebenarnya, Jihad tidak berniat pun mahu membuatkan Tihani dilanda resah begitu. Dia faham benar gadis itu segan hingga bersungguh-sungguh mengelakkan diri. Tapi beberapa detik tadi, dia terpaksa berpatah semula ke kereta kerana tertinggal fail penting berkaitan kes-kes yang ditugaskan padanya. Tak tahu pula rupa-rupanya Tihani masih berada di tingkat bawah semasa dia kembali.

Kalau dia tahu, pasti dia akan berlama-lama di keretanya. Biar Tihani selamat menaiki lif tanpa perlu bertembung dengannya.

Kesepian mula melingkari alam. Kebetulan Jihad dan Tihani hanya berdua di dalam lif yang sedang bergerak ke tingkat atas. Ekor mata Jihad dalam diam melirik Tihani. Dia tiba-tiba rasa kelakar saat terkenang semula situasi sejam lalu ketika di kawasan parkir Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam.

Sebenarnya pergerakan gadis itu sudah diintip sejak di situ lagi. Walaupun dari jauh, dia nampak segala yang berlaku. Dia melihat Tihani bermenung dalam kereta bagai mengenang apa yang terjadi. Kemudian gadis itu menghantuk-hantukkan kepala di stereng hingga tak sengaja tertekan hon sendiri. Situasi itu membuatkan dia tersengih-sengih lucu sendirian.

Selepas itu, Tihani dilihat pula menapak keluar dari perut kereta untuk mengambil sehelai kertas dari wiper dan membacanya. Sekali gus Tihani kelihatan mengomel seorang diri sambil menendang tayar kereta sebagai tanda geram.

Waktu itu, Jihad sudah terkekeh-kekeh ketawa. Dia mengetahui kertas itu berupa surat saman kerana sedari awal ketika di deretan lot kedai, dia sudah ternampak seorang pegawai majlis bandaraya meletakkan surat denda itu di kereta Tihani.

Akibat terlalu asyik mentertawakan gelagat Tihani di kawasan balai tadi, Jihad langsung tidak perasan ada beberapa orang pegawai dan anggota polis melintasinya. Masing-masing memandangnya hairan. Mujur dia segera bertindak. Cepat-cepat mengawal perasaan. Jika tidak, lain pula kisahnya. Tak cukup hari itu dia dituduh sebagai peragut, boleh jadi dia dicop pula sebagai orang gila kerana berlebih-lebihan ketawa.

Tapi, memang padan muka Tihani! Siapa suruh menuduhnya tanpa usul periksa? Kemudian, berani pula menghempuknya bertalu-talu dengan payung tanpa belas ihsan. Kan dah tak pasal-pasal gadis itu sendiri yang menempah malu!

Nampaknya, terpaksalah dia menghentikan sebentar siasatan kes berkaitan sindiket seksual dan pelacuran yang sudah diusahakan sejak berbulan-bulan lalu! Tindakan Tihani benar-benar telah mengganggu perjalanan risikannya dan pasti membahayakan diri jika dia meneruskannya.

Buat sementara waktu, mungkin dia patut bertenang. Biar kesemua suspek sindiket pelacuran itu tidak tahu bahawa masing-masing sedang dalam pemerhatian pihak polis. Lamunan terhenti. Bunyi telefon bimbit memecah sepi.

Tihani yang membeku sedari tadi hampir-hampir nak melompat. Terkejut benar dengan deringan yang tiba-tiba itu. Namun, bunyi nada dering yang berlagu-lagu itu bukan miliknya.

"Helo." Jihad menjawab panggilan yang masuk bila terpandang nama rakan sekerjanya di skrin.

Tihani menarik nafas dalam. Makin tidak sabar menanti pintu lif terbuka. Rumahnya berada di tingkat enam, tapi kenapa dia terasa kelajuan lif seolah-olah ingin membawanya ke tingkat 60?

"Aku okey. Baru sampai rumah. Kenapa?" Jihad bersuara.

Si pemanggil berbicara di talian.

"Taklah. Luka-luka sikit aje. Ada salah faham. Dia ingat aku nak ragut suspek. Tak pasal-pasal kena belasah dengan payung. Siap kena cucuk-cucuk pulak tu." Jihad berkata lagi.

Berdesup ucapan itu menyusup ke lubang telinga Tihani. Perlahan-lahan dia mengerling ke sisi. Serentak itu, pandangannya dan Jihad bersatu. Tihani ternampak lelaki yang berdiri di penjuru lif itu menguntum senyuman kecil ke arahnya.

'Kurang asam!' Tihani lantas menggerutu.

Bukan dia tidak dapat membaca maksud kata-kata serta senyuman mengejek yang dilemparkan Jihad. Sekilas pandang pun, dia sudah tahu.

'Argh, sabar ajelah! Dah memang aku yang bersalah! Memang aku yang hempuk dia dengan payung. Memang aku yang cucuk-cucuk dia! Jadi, apa hak aku nak naik angin?' bisik Tihani, cuba menenangkan hatinya.

Maka benarlah kata pepatah selama ini, siapa makan cili dia terasa pedasnya!

"Okey, apa-apa contact aku. Kalau boleh carikan maklumat yang aku minta tu secepat mungkin," ujar Jihad.

"Hari ni pun, aku tak ke mana-mana. Mungkin kat rumah aje sebab aku nak check CCTV. Rasa macam ada orang masuk rumah aku semalam."

Kedengaran Jihad bercakap-cakap lagi dengan pemanggil di talian.

Tihani tergamam. Makin keras kejung dia di situ sebaik mendengar tutur kata Jihad.

'CCTV? Biar betul! Ada kamera litar tertutup kat rumah dia ke? Ya ALLAH, macam mana kalau dia nampak aku dalam video tu?'

Tihani panasaran. Tak tentu arah memikirkan perkara yang mengejutkannya itu. Dadanya terasa sesak dengan tiba-tiba.

Kebetulan pintu lif terbuka. Tihani tidak menunggu lagi. Dia terus membuka langkah seribu. Kakinya bergerak begitu laju. Bak kilat sabung-menyabung. Sesaat pun tidak berhenti. Waktu itu, Tihani sudah tidak peduli jika Jihad memerhati gerak-gerinya sekalipun.

Apayang dia tahu, dia cuma ingin cepat-cepat memasuki rumahnya. Tak berdaya untukterus mendengar apa-apa.

[Bersambung...]

** Terima kasih kerana terus sudi menunggu update bab ke bab Sekilas Kenangan. Semoga kalian berpuas hati dengan nukilan Kak Damya kali ini. Sudi-sudilah vote dan beri komen ya.

*** Untuk info, novel ni sedang dalam proses cetak. Kalau berminat nak pre order boleh contact Whatsapp Kak Damya (013-3766 496), Karangkraf Mall atau boleh juga ke akaun media sosial Kak Damya seperti di bawah :

1. Facebook dan Facebook Page : Damya Hanna

2. Instagram : @Damya_Hanna.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna