Home Novel Cinta Sekilas Kenangan
Sekilas Kenangan
Damya Hanna
19/3/2020 13:27:29
57,386
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 10b

BAB 10 (RENJATAN)

Selang beberapa minit, keheningan pagi mula berubah. Kelihatan beberapa kenderaan lalu-lalang di sekitar kawasan parkir apartmen itu. Menunjukkan kebanyakan penghuni sudah sibuk memulakan rutin perjalanan untuk ke tempat kerja masing-masing.

Tihani perlahan-lahan mengerling jam. Nampaknya sudah 15 minit masa berlalu pergi.

Sempatkah dia tiba di IKEA pada waktu yang dirancang sedangkan jalanraya menuju ke Bandar Utama pasti semakin sesak sekarang ini?

"Kau ada urusan penting ke? Kalau tengah kejar masa..."

"Tak adalah. Saya tak kejar masa pun." Tihani berbohong. Malas mahu bercerita lebih-lebih tentang urusannya pagi itu.

"Encik pulak..."

"Panggil aku Jihad aje."

"Okey, Encik Jihad pulak..."

"Jihad! Tak payah encik-encik."

Tihani terdiam semula. Faham maksud Jihad yang tidak mahu dia menggunakan bahasa formal.

"Aku pun tak kejar masa. Tapi kalau kereta kau dah boleh start, kejap lagi... kau boleh cari kedai bateri sendiri, kan?"

Tihani mengangguk sambil matanya menoleh lagi ke arah jam tangan.

'Okey, sekarang dah pukul 7.30 pagi. Lepas ni, aku kena cari kedai jual bateri. Mungkin pukul 9.00 pagi baru kedai tu buka. Maknanya, aku kena buat anggaran lebih kurang satu jam baru semua urusan kereta selesai.'

'Kalau macam tu, pukul berapa pulak aku nak bertolak ke IKEA? Mesti jalan nak ke Damansara dah jammed gila sekarang ni.'

'Sempat ke aku nak balik sebelum waktu makan tengah hari? Dahlah kena hantar barang pulak kat pejabat pos petang nanti.'

Tihani mengeluh sambil bermonolog panjang.

Sedang dia sibuk memikirkan pelbagai perkara, telinganya tak semena-mena disapa dengan bunyi enjin keretanya yang tersenggut-senggut, cuba dihidupkan.

Dunia Tihani kembali ke alam nyata.

Jihad kini sedang duduk di kerusi pemandu Perodua Myvinya. Tampak bersungguh-sungguh lelaki itu memutarkan kunci. Tihani terus mendekati pintu keretanya yang terbuka.

"Tak boleh hidup jugak ke?" soalnya dalam nada risau.

"Sekejap. Kita cuba jumper lama sikit. Mungkin power belum sampai," jawab Jihad.

Tihani terangguk-angguk. Namun sudut hatinya tiba-tiba diketuk rasa bersalah. Sekitar wajah Jihad kelihatan basah dengan titis-titis peluh. Jelas sekali lelaki itu sedang kehangatan.

"Kalau tak boleh jugak, lepas ni kita cuba tukar bateri." Jihad menambah.

'Tukar bateri? Maksudnya Jihad nak buka bateri kereta dia dan masukkan ke dalam kereta aku?' Tihani menggetus.

"Dan kalau masih tak boleh, kereta kau ni memang kena hantar bengkel. Mungkin ada masalah lain," sambung Jihad lagi.

Walaupun gelisah memikirkan masalah keretanya, rasa bersalah yang tercetus dalam hati Tihani bagai menggunung tinggi bila mengenangkan kesungguhan Jihad cuba membantunya.

Argh, kenapalah dia boleh berfikiran negatif, prejudis, dan skeptikal tentang Jihad selama ini?

Walhal personaliti lelaki itu jauh panggang daripada api berbanding apa yang dia bayangkan sebelum ini!

Kalaulah dia tidak bersangka buruk tentang Jihad, pasti mereka boleh menjadi jiran tetangga yang berhubungan baik.

"Nasib baiklah budak Jihad tu jenis bertimbang rasa. Senang dibawa berbincang. Kalaulah dia berkeras nak buat report pasal kau lepas tengok video CCTV kat rumah dia tu, tak tahulah aku nak buat macam mana!"

Sekonyong-konyong minda Tihani teringatkan kata-kata Bariah tadi.

"Kalau kau terserempak dengan dia lepas ni, jangan lupa minta maaf! Ingat pesan aku ni!"

Tutur kata Bariah itu masih terlintas di fikirannya lagi.

Perlahan-lahan Tihani menoleh ke arah Jihad. Jarak mereka yang agak dekat menyebabkan dia dapat memerhati gerak-geri lelaki itu dengan lebih jelas.

Tika itu barulah Tihani benar-benar perasan, terdapat beberapa kesan luka dan calar-balar yang tertera pada permukaan jari-jemari Jihad.

Tihani lantas teringatkan kembali situasi dia membalun Jihad berkali-kali dengan payungnya semalam.

'Aku ke yang jadi punca dia dapat semua luka dan calar-balar tu?'

Tihani telan air liurnya sebelum cuba membuka mulutnya untuk berkata sesuatu. Namun, niatnya terencat bila Jihad akhirnya berjaya menghidupkan enjin keretanya yang tersenggut-senggut.

Segala kata-kata yang baru singgah di sudut fikiran Tihani, melayang pergi di saat bunyi deruman enjin Perodua Myvinya merentas alam.

"Okey! Nasib baik boleh." Jihad bersuara. Seakan-akan mengomel seorang diri.

'Alhamdulillah.' Tihani turut lega tak terkata.

Kalau diikut rasa hatinya yang gembira kala itu, mahu sahaja dia bersujud syukur. Tapi nanti pelik pula Jihad melihat tindakan keterlaluannya di kawasan parkir terbuka apartmen mereka itu.

Jihad bergerak keluar daripada Perodua Myvi. Tihani tidak sedar langkahnya turut mengekori lelaki itu.

Bila ternampak Jihad mula mencabut kabel berwarna hitam daripada bateri keretanya, entah apa yang merasuk... tangan Tihani turut gatal mencabut penyepit kabel yang berwarna merah.

"Eh, jangan usik tu dulu!" sergah Jihad sewaktu terpandangkan perbuatan Tihani.

Tihani tersentak.

'Aku dah salah buat ke?' detiknya.

Cepat-cepat dia meletakkan semula kabel berwarna merah itu ke tempatnya. Tetapi dalam keadaan kelam-kabut, Tihani langsung tidak sedar tangannya sudah tersasar ke salah arah.

Beberapa percikan api kecil mula kelihatan ketika hujung kepala kabel di tangannya itu berlaga-laga dengan terminal bateri yang berbentuk negatif.

Tihani makin terperanjat melihat situasi itu. Langsung tidak perasan jari-jemarinya ditarik sepantas kilat. Suasana jadi cemas. Segala-galanya bagaikan hilang dalam sekelip mata.

Tihani dapat merasakan seolah-olah ada renjatan elektrik yang mengalir di segenap tubuhnya. Seperti lintar pintas!

Namun, dia tidak pasti apakah renjatan yang baru dirasai itu berpunca daripada kabel di tangannya atau sentuhan tangan Jihad yang amat mengejutkan?

Sungguh, Tihani keliru!

[Bersambung...]

** Terima kasih kerana terus sudi menunggu update bab ke bab Sekilas Kenangan. Semoga kalian berpuas hati dengan nukilan Kak Damya kali ini. Sudi-sudilah vote dan beri komen ya.

*** Untuk info, novel ni sedang dalam proses cetak. Kalau berminat nak pre order boleh contact Whatsapp Kak Damya (013-3766 496) dan boleh juga ke akaun media sosial Kak Damya seperti di bawah :

1. Facebook dan Facebook Page : Damya Hanna

2. Instagram : @Damya_Hanna.


Previous: Bab 10a
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna
© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham