Home Novel Cinta Sekilas Kenangan
Sekilas Kenangan
Damya Hanna
19/3/2020 13:27:29
3,995
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 15

BAB 15 (LELAKI IDAMAN WANITA)

"HEI, apa masalah awak? Kawan awak belum habis cakap pun lagi! Kenapa terus tutup pintu lif ni?" Tihani menegur. Dia ternampak apa yang Jihad lakukan.

"Siapa kawan dia?"

"Mestilah awak! Bukan ke tadi dia cakap dah kenal awak sejak dari kampung? Takkan kawan saya pulak?"

"Itu dulu. Sekarang, dia bukan kawan aku!"

"Kalau bukan kawan sekalipun, tak baiklah apa yang awak buat tu. Sekurang-kurangnya biarlah dia habiskan dulu apa yang dia nak buat tadi." Tihani merungut.

Lif yang mereka naiki sudah pun bergerak menuju ke tingkat atas.

"Yang kau beria-ia marah ni, kenapa?"

Tihani mengetap bibir. Lantas memuncung.

'Teruk betullah perangai dia ni! Dahlah paksa aku naik lif dengan dia, lepas tu nak bebel-bebel kat aku pulak. Menyesal ikut cakap dia tadi. Kalau tahu, jangan harap aku nak masuk lif yang sama dengan dia!'

Tihani mencemuh dalam hati. Lalu membuat keputusan untuk mendiamkan diri.

"Entah-entah kau kecewa aku tutup pintu lif, sebab kau tak dapat nombor telefon dia."

Sepantas kilat Tihani menoleh ke arah Jihad.

"Bukan itu alasannya, kan?"

"Kalau betul, apa masalahnya? Awak jealous ke?" provok Tihani.

Jihad terdiam. Sekali gus meneliti raut Tihani. Cuba mencari kepastian selepas mendengar pengakuan gadis itu yang tak disangka-sangka.

"Sah-sahlah lelaki tadi tu lagi handsome daripada awak. Dahlah segak, ada rupa elok pulak tu. Macam tulah baru ada ciri-ciri lelaki idaman wanita," ucap Tihani. Sedetik kemudian, dia tersengih-sengih perasan.

Jihad spontan membuat muka. Terbayang-bayang wajah Ehsan di mindanya.

'Segak? Lelaki idaman wanita? Huh!'

"Selama ni, saya tak tahu pun detektif polis yang segak macam lelaki tu, betul-betul wujud kat Malaysia. Saya ingatkan, syarat wajib nak apply jadi detektif kat negara kita, kena ada muka gengster... ala-ala samseng." Tihani berbicara panjang.

Serentak, anak matanya dilekapkan ke raut muka Jihad. Menggunakan kesempatan itu untuk membelek-belek lelaki berambut panjang itu dari atas ke bawah.

Jihad mengerutkan dahi.

"Kau nak kata muka aku ni macam gengster ala-ala samseng ke apa?" Dia seakan memahami maksud kata-kata dan gerak-geri Tihani itu.

"Eh, taklah! Saya tak kata pun macam tu. Saya cuma kata, saya ingatkan. Maksudnya saya fikir. Janganlah terasa hati pulak!"

Jihad ketap bibir. Sedikit sebanyak dipalu rasa bengang dengan kata-kata Tihani.

Melihat reaksi yang terpamer di wajah Jihad itu, Tihani tiba-tiba ketawa. Gagal menahan perasaannya. Entah kenapa lawak pula dia setelah berhujah dengan Jihad. Rupa-rupanya lelaki itu boleh membaca maksud tutur katanya sebentar tadi.

"Okeylah... okey, saya bergurau. Muka awak tak nampak macam samseng pun. Kalau ada pun, sikit aje. Tak banyak. Mungkin lepas adjust sana sini, muka ala-ala samseng tu boleh ditolak ke tepi."

"Suka-suka hati aje nak adjust muka orang. Kau ingat muka aku ni batu-bata ke apa?" Jihad tak puas hati.

Tihani tergelak lagi tanpa sedar. Dia rasa kelakar mendengar kata-kata Jihad yang spontan.

Alunan gelak tawa yang kedengaran memecah alam itu membuatkan Jihad rasa terbuai-buai seketika.

Anehnya! Kenapa hatinya rasa begitu tenang sebaik mendengar gadis bernama Ainul Tihani itu ketawa ceria di sisinya?

"Tapi kan Jihad, saya tak tipu. Kawan awak tadi tu memang ada ciri-ciri lelaki idaman wanitalah," ujar Tihani tak semena-mena.

Dunia khayalan Jihad bergerak pergi bersama angin lalu.

"Dah... dah... jangan cakap lebih-lebih pasal dia. Dia bukan kawan aku. Aku tak nak dengar!" Segera Jihad menegaskan.

Benar-benar tidak mahu Tihani menyebut apa-apa perkara berkaitan Ehsan. Dia tidak suka.

"Yalah... yalah!" Tihani muncung.

Lif berhenti di tingkat enam. Langkah Tihani pantas diayun. Diikuti dengan Jihad yang terkial-kial menyangkut beg galasnya di bahu kiri.

Mungkin kerana sudah terbiasa memakai beg galas di sebelah kanan, maka Jihad sedikit kekok bila terpaksa menggunakan bahu kirinya pula.

"Biar saya tolong bawakan beg tu."

Saat ternampak situasi yang berlaku itu, Tihani menawarkan diri untuk membantu. Dia terus mengambil beg galas milik Jihad.

Tindakan mengejutkan itu membuatkan Jihad tersentak. Namun, dia sekadar membisu bila Tihani dilihatnya sudah meneruskan perjalanan.

"Sebenarnya, macam mana tangan awak boleh cedera?"

Tihani tiba-tiba berpaling. Kebisuan yang berlegar-legar di sekeliling mereka membuatkan dia terpanggil untuk melontar soalan.

Minda Jihad yang baru hendak melayang, serta-merta terbayangkan kejadian tengah hari tadi. Operasi menangkap suspek kecurian dan pecah rumah membuatkan dia terpaksa bergelut dengan suspek warga asing di lorong kaki lima berhampiran rumah kedai.

Tindakan agresif suspek itu menyerang balas ketika cuba melarikan diri menyebabkan dia jatuh tersungkur dan akhirnya, tangan kanannya mengalami seliuh akibat terhempas. Mujurlah tiada kecederaan serius.

Menurut doktor yang merawatnya di klinik, tulangnya tidak retak mahupun patah. Dia cuma perlu berehat selama beberapa hari untuk meredakan bengkak akibat terseliuh. Nasib baik!

"Mesti awak cuai sebenarnya, kan? Isk... isk... isk..." Tihani membuat kesimpulan sendiri sambil menggeleng-geleng.

Lamunan Jihad sekali lagi berdedai pergi.

"Kalau tak tahu cerita, lebih baik jangan cakap apa-apa," pangkahnya.

Tihani menjuihkan bibir.

"Aku ni detektif polis. Hari-hari berdepan dengan penjenayah. Setakat cedera macam ni bukannya benda pelik. Apa yang kau nampak ni sebenarnya baru sikit."

"Amboi, bunyi macam nak berlagak aje! Nak kata diri sendiri hebat ke apa tu? Atau nak tunjuk rasa bangga sebab tercedera sana sini masa tangkap penjenayah?" sindir Tihani.

"Kau ingat aku sesuka hati ke nak cedera sana sini semata-mata nak tunjuk hebat? Aku pun manusia biasa. Kena cucuk jarum pun tetap rasa sakit."

Sebaik mendengar ucapan itu, Tihani membisu.

"Jangan terpengaruh sangat dengan filem atau drama yang kau tengok kat TV pasal detektif yang konon-konon gagah perkasa macam superhero tu. Apa yang kau nampak tak semuanya digambarkan macam dunia realiti.

Bila dah jadi detektif polis, setakat tulang retak, patah dan urat terseliuh ni benda kecil aje. Ramai lagi yang pernah tercedera sampai lumpuh satu badan. Kalau nasib tak baik, ada juga yang cedera parah sampai bawa ke mati semata-mata nak tangkap penjenayah." Panjang lebar penerangan Jihad menceritakan serba sedikit pengalaman berkaitan tugasnya.

Tihani masih diam. Sekadar membiarkan tutur kata Jihad mengetuk gegendang telinganya yang tanpa sedar membuatkan hatinya sedikit tersentuh.

Pasti sudah banyak tragedi dan jerih-perih yang dilalui oleh Jihad sepanjang hidup lelaki itu bergelar detektif polis. Masakan tidak? Sejak dia dan lelaki itu mula berinteraksi pagi tadi mahupun sekarang, banyak juga kesan parut dapat dilihat di kawasan tangan dan sebahagian wajah lelaki itu.

'Entah berapa orang agaknya rakan-rakan seperjuangan Jihad yang telah terkorban semasa menjalankan operasi,' bisik Tihani.

Dia perlahan-lahan mengerling wajah Jihad. Cuba merenung raut wajah itu dalam diam. Tapi, dia terkedu. Jihad juga sedang memandang tepat ke arahnya.

Tihani tak pasti, kenapa dunianya terasa seakan-akan terhenti bila anak mata mereka saling beradu?

Menyedari situasi janggal itu kian berlanjutan, Tihani cuba melarikan fokusnya. Namun, dia ternampak ada senyuman kecil yang terukir di bibir Jihad.

Perasaan aneh yang bertandang di sudut hati, membuatkan dia serta-merta mengerling semula ke arah lelaki yang berkulit sawo matang itu.

"Kenapa pandang saya sambil senyum-senyum macam tu?" Tihani musykil.

Jihad menggeleng. Membuatkan Tihani makin hairan. Tambah-tambah bila melihat senyuman Jihad yang kian melebar. Bagai ada sesuatu yang melucukan.

"Hisy, cakaplah kenapa!"

Terus Jihad meletakkan jari telunjuknya ke pipi kanan.

Tihani tak faham. Apatah lagi dia tidak nampak apa-apa di pipi kanan Jihad.

"Tak ada apalah." Akhirnya, Jihad berkata.

"Oh ya, macam mana kereta kau tadi?" Tiba-tiba benak Jihad teringatkan perkara itu, lalu dia terus mengajukan soalan.

"Kereta saya? Alhamdulillah semua okey. Abang Fahmi dah tolong periksa enjin, lepas tu ganti bateri. Dia kata, setakat apa yang dia tengok... kereta saya tak ada apa-apa masalah kritikal. Bateri memang dah low dan dia ada ganti beberapa fius terbakar. Tapi, lepas ni misal kata enjin tak boleh start atau apa-apa jadi, dia suruh saya terus telefon dia." Tihani menjawab panjang.

"Abang Fahmi? Cepat betul kau mesra dengan dia?"

"Kenapa? Tak boleh ke? Dia yang suruh saya panggil macam tu. Lagipun saya tengok Abang Fahmi tu macam tua beberapa tahun daripada saya. Mungkin sebaya abang-abang saya. Jadi, apa salahnya saya panggil dia abang?"

"Kalau macam tu, maknanya... kau pun kena panggil aku Abang Jihadlah sebab umur aku dengan Fahmi tu lebih kurang sebaya!"

Tihani terus memahatkan renungannya pada laman wajah Jihad.

"Tak naklah!" Pantas dia memberi respons.

"Kenapa pulak tak nak? Mana boleh kau beza-bezakan nama panggilan orang? Itu dipanggil diskriminasi tahu tak?"

"Tak kisahlah apa pun istilahnya. Yang penting, saya tak nak panggil awak Abang Jihad. Kenapa? Sebab saya punya sukalah. Mulut saya yang sebut. Bukan mulut awak!"

Jihad mengetap bibir.

"Yalah, suka hati kaulah! Memang mulut kau yang sebut. Tapi kejap lagi, bila masuk rumah... pergilah tengok cermin dulu."

Berkerut dahi Tihani.

"Kenapa?" Dia tertanya-tanya.

Langkah mereka sudah sampai di hadapan pintu rumah masing-masing.

"Nanti tengoklah sendiri. Malas aku nak cakap. Apa-apa pun terima kasih bawakan beg aku," kata Jihad yang masih tersengih. Dia mencapai beg galasnya daripada tangan Tihani.

"No problem. Memang tanggungjawab jiran pun untuk saling membantu. Sebenarnya, saya pun nak berterima kasih kat awak sebab rekomenkan bengkel Abang Fahmi kat saya. Kalau bukan sebab bantuan awak, mesti saya masih tercari-cari bengkel mana nak pergi." Tihani membalas bersama senyuman yang terkuntum di bibir halusnya.

Jihad rasa tersentuh, tetapi tidak berkata apa-apa. Sekadar meneruskan niatnya untuk menarik zip pada beg galasnya. Ingin mengeluarkan kunci rumahnya dari situ.

Apakan daya, pergerakan tangan yang terbatas membuatkan dia terkial-kial.

"Awak nak cari apa?" soal Tihani yang baru hendak menarik tombol pintu rumahnya.

"Tak ada apa. Masuklah. Aku boleh buat sendiri."

"Kunci rumah?" teka Tihani sambil mendekati.

Jihad tidak sempat menjawab bila tak semena-mena Tihani membantunya menarik zip beg walaupun tidak disuruh. Dia terkedu.

"Lain kali kalau tak mampu, mintalah tolong. Kenapa berat sangat mulut awak tu?" sungut Tihani lantas mendongak ke arah Jihad.

"Nah!"

Tidak lama kemudian, Tihani menghulurkan segugus kunci yang baru dijumpainya dalam poket beg Jihad.

Jihad membetulkan suara sambil cuba bertenang. Entah kenapa, jarak yang agak dekat dengan Tihani itu membuatkan dadanya sedikit sesak.

"Kau tu bercakap pasal orang bukan main pandai lagi. Tapi, sebenarnya kau pun sama aje."

Jihad mendapat idea untuk menukar mood suasana. Mungkin dia seorang sahaja yang berasa tidak selesa tika itu.

"Apa yang sama?"

"Pagi tadi masa kereta kau tak boleh start, kalau bukan sebab aku yang tanya sungguh-sungguh mesti kau berkeras kata kereta kau tak apa-apa, kan? Itu tak berat mulut ke namanya?" sindir Jihad.

Tihani menjongketkan bibir. Geram pula bila Jihad mengungkit-ungkit sebegitu.

"Dahlah, saya nak masuk! Malas nak layan awak."

Jihad tertawa lepas. Berasa lucu dengan respons drastik Tihani. Malah, bertambah lucu bila dia terpandangkan kesan coklat yang sedikit comot di pipi kanan gadis itu.

Sewaktu mula-mula ternampak kesan itu di tingkat bawah, memang Jihad ringan mulut hendak menegur. Tapi entah kenapa lidahnya bagai terkunci.

Mungkin celoteh Tihani sepanjang mereka berjalan tadi telah membuatkan dia ralit berinteraksi dengan gadis itu. Akhirnya, dia membiarkan sahaja kesan comot itu terus-menerus terpampang di pipi Tihani.

"Nanti jangan lupa isi perut dulu sebelum makan ubat! Kalau perlukan apa-apa pertolongan, beritahu aje. Awak masih simpan nombor telefon saya, kan?" Tihani sempat berpesan.

Jihad memandang Tihani. Dia mengangguk.

Dalam sedetik, Tihani terus menghilangkan diri.

Sebaik gadis itu menutup pintu, Jihad tidak perasan bibirnya sekali lagi menguntum senyuman. Entah apa sebabnya, dia tidak tahu.

Yang pasti, dia menyedari senyumannya itu bukan disebabkan kesan comot di pipi Tihani.

Habis tu, sebab apa?

[Bersambung...]

** Terima kasih kerana terus sudi menunggu update bab ke bab Sekilas Kenangan. Semoga kalian berpuas hati dengan nukilan Kak Damya kali ini. Sudi-sudilah vote dan beri komen ya.

*** Untuk info, novel ni sedang dalam proses cetak. Kalau berminat nak pre order boleh contact Whatsapp Kak Damya (013-3766 496) dan boleh juga ke akaun media sosial Kak Damya seperti di bawah :

1. Facebook dan Facebook Page : Damya Hanna

2. Instagram : @Damya_Hanna.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna
© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham