Home Novel Cinta Sekilas Kenangan
Sekilas Kenangan
Damya Hanna
19/3/2020 13:27:29
58,013
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 6

BAB 6 (MALU)

LIF yang ditunggu-tunggu terasa lambat benar mahu tiba. Mungkin kerana Tihani sudah tidak sabar mahu berada di rumah. Setelah apa yang dilalui hari ini, dia kini hanya terfikir mahu menyelubungkan diri dalam selimut di biliknya. Perasaan malu masih tak terbendung di sudut dada. Membuatkan dia membuang nafas dalam.

Tiba-tiba dia teringatkan Bariah. Terasa mahu mengadu pada kakaknya itu. Tak kisahlah kalau dia dibebel sekalipun. Yang penting, dia inginkan teman berbicara. Biar perasaan gundah yang singgah di sudut hatinya dapat ditenangkan.

Secara automatik, Tihani mendail nombor panggilan kakaknya yang disimpan sebagai pemanggil pertama. Tapi tak sampai 10 saat menanti, dia tersentak bukan kepalang. Matanya terpandang kelibat Jihad yang sedang menghampiri kawasan lif blok itu.

Lehernya terasa bagai dijerut!

Kelam-kabut Tihani mematikan talian. Selepas itu, dia mengerling lampu bernombor pada lif. Nampaknya lif itu sedang berada di tingkat lima. Memikirkan Jihad yang semakin dekat, Tihani kesuntukan masa. Dia tidak mahu terus menunggu. Dia betul-betul tak bersedia mahu berhadapan dengan lelaki itu.

Bagaikan kilat menyambar, Tihani berpusing-pusing mencari arah untuk menyembunyikan dirinya. Muzik saspens dan alunan dram bagai berkumandang di lubang telinganya.

Sebaik terlihat pintu rintangan api yang menempatkan bahagian tangga, Tihani cepat-cepat menuju ke situ. Spontan dia mematikan diri setelah merapatkan pintu.

Minta-mintalah lelaki yang tinggal berjiran dengannya itu tidak menyedari kewujudannya sejak tadi. Tolonglah aku, Ya ALLAH. Bantulah hamba-MU yang sedang terdesak ini.

Tihani sempat berdoa sambil cuba meninjau ke arah lif. Dia tercari-cari kelibat Detektif Jihad Amjad melalui celahan pintu yang sedikit terbuka.

Sedang dia leka memerhati, deringan telefon bimbitnya tak semena-mena bergema. Bunyinya berlagu-lagu di sekitar kawasan anak tangga. Rasa bagai nak tercabut jantung Tihani waktu itu. Bak halilintar ibu jarinya membatalkan panggilan yang datang daripada Bariah.

Argh, kenapa Bariah mesti menghubunginya pada waktu-waktu genting sebegitu? Tihani merengus marah.

Kebetulan cuping telinganya disapa pula dengan bunyi dentingan loceng yang nyaring menandakan lif sudah tiba di tingkat bawah. Dalam lima saat, kedengaran lagi dentingan loceng memberi tanda yang lif itu sudah bergerak ke tingkat atas. Tihani menghembus nafas lega.

"Mesti detektif tu dah selamat masuk lif," bisiknya sendiri sambil perlahan-lahan menarik pintu rintangan api.

Sebaik menjengulkan kepala ke luar, Tihani mengucap syukur. Kelibat Jihad memang sudah lesap. Malah, tiada sesiapa yang kelihatan di situ.

Ya ALLAH, nasib baik tak terserempak! Tihani mengurut-urut dadanya.

Dia kembali melangkah mendekati lif. Pada waktu sama, telefon bimbitnya berdering semula. Nama Bariah sedang tertera di skrin.

"Hah, kenapa kau telefon aku tadi? Tak boleh ke telefon kejap lagi?" serangnya sebaik menjawab panggilan itu.

"Eh... eh... kau ni dah kenapa? Hilang ingatan ke? Tadi kau yang telefon aku dulu, tiba-tiba kau nak marah aku pulak, apa hal?" Bariah membalas di hujung talian.

Terdiam sejenak Tihani dibuatnya.

'Ya tak ya, dungu betul!' kutuknya termalu sendiri. Dia baru teringat perkara itu.

"Kenapa kau telefon? Aku dah bersiap-siap nak balik ni." Bariah terus menyoal. Tak sempat Tihani memberi alasan.

Tihani terus mengerling jam. Lima minit lagi jarum akan mencecah pukul 3.00 petang.

"Kalau dah nak balik, okeylah. Kita borak nanti aje." Tihani akhirnya berkata.

Tiba-tiba dia tidak tahu bagaimana mahu menyampaikan cerita yang berlaku kepadanya tengah hari tadi kepada Bariah.

"Macam ada hal penting aje kau ni?" duga Bariah. Jauh di sudut hati, dia mula tertanya-tanya.

"Tak adalah. Tak ada apa."

"Betul ke tak ada apa?"

"Hmm."

Bisu seketika di hujung talian sebelum Bariah kembali melemparkan soalan.

"Hani, sebenarnya kau okey ke ni? Ada apa-apa yang dah jadi ke tadi?"

Tihani terkejut dengan pertanyaan Bariah yang tidak diduga.

"Macam mana kau tahu ada benda dah jadi?" soalnya.

Hebat betul! Bariah seakan mempunyai semangat telepati yang boleh membaca fikirannya.

"Betul ke? Apa yang dah jadi? Cakap kat aku!" Kedengaran suara Bariah yang berbaur risau.

"Tak pun macam ni! Beritahu aku kat mana kau sekarang ni? Aku datang!" Bariah  memberi kata putus.

Tihani kurang pasti apa yang menyebabkan kakaknya tiba-tiba bertingkah begitu.

"Cepatlah beritahu aku, kau kat mana?" Suara Bariah kedengaran agak tinggi.

Tihani tersentak. Dia menjadi keliru.

'Dah kenapa Bariah nak naik angin tak tentu hala sampai menjerit di lubang telinganya?'

"Hani? Hani?" Bariah terus memanggil.

Nada itu kedengaran cemas. Sekali dengar Tihani dapat merasakan yang Bariah seolah-olah sedang cuba membuatkan dia tersedar. Tapi, tersedar daripada apa? Mimpi?

"Hani, kau dengar tak ni?"

"Bariah, kenapa dengan kau ni? Relakslah. Aku dah sampai rumah. Tengah tunggu lif nak naik atas."

Bariah terdiam. Keadaan sepi itu berlanjutan untuk beberapa detik.

"Peliklah aku dengan kau ni. Tak pernah-pernah risau tak tentu pasal. Bukannya aku jatuh pengsan kat mana-mana." Tihani menyatakan rasa hairan.

Bariah lantas berdeham. Cuba membetulkan saluran tekak yang seolah-olah kehilangan suara. Mana mungkin dia mampu bertenang sedangkan semalam dia telah melihat dengan matanya sendiri bagaimana Tihani pulang ke rumah dalam keadaan ketakutan. Disebabkan itulah, dia berasa cemas bila Tihani tiba-tiba menyepikan diri seketika tadi.

Manalah tahu kalau-kalau situasi semalam itu berulang lagi kepada Tihani. Adiknya itu bukannya ingat apa yang terjadi!

"Bariah, dah alang-alang kau on the way balik tu, belilah makanan sekali. Aku lapar ni. Tak lunch dari tadi." Tihani sempat berpesan bila terasa perutnya mula berkeroncong.

"Kenapa tak lunch dari tadi? Kau buat apa? Bukan ke kau cuma pergi pejabat pos?"

Tihani serta-merta terkenangkan semula situasi yang terjadi padanya.

Gara-gara dia sibuk mengejar Detektif Jihad Amjad yang disangka peragut, habis air sirap limaunya tertumpah ke dalam nasi bungkus yang dibeli semasa dia menekan brek mengejut. Terpaksalah dia membuang hidangan itu walaupun belum berusik.

Takkan dia nak makan juga sedangkan nasi dan lauk-pauk itu sudah terendam dan berubah warna kemerah-merahan? Tak pernah-pernah dibuat orang!

Argh, segannya Tihani hendak menceritakan perkara yang berlaku itu kepada Bariah. Selain dibebel, boleh jadi kakaknya itu mentertawakan dirinya. Pasti dia akan dikritik kerana bersikap prejudis dan bersangka buruk terhadap jiran mereka yang rupa-rupanya seorang detektif polis.

Keluhan Tihani terhambur. Bila difikir-fikir, dia baru tersedar betapa malang nasibnya hari itu. Sudahlah bergelut dengan situasi memalukan, hidangan makan tengah harinya pula tidak dapat dijamu. Lebih malang lagi, dia menerima saman dari majlis bandaraya kerana tidak membeli tiket parkir.

Aduhai... memang hari ini nasibnya betul-betul kurang baik!

"Hani? Helo... helo!" Bariah menegur.

"Hmm, aku kat sini," balas Tihani saat tersedar.

Agaknya lama sangat dia mendiamkan diri hingga Bariah terpaksa menegurnya.

"Hisy, aku ingatkan kau dah letak!" marah Bariah.

Tihani ketawa.

"Takkanlah aku nak biarkan kau bercakap sorang-sorang."

"Manalah tahu! Tiba-tiba aje kau diam, kot dah tertidur ke? Bukan boleh percaya kau tu!"

Tawa Tihani terhambur lagi. Dia faham maksud Bariah. Memang selalu dia membiarkan kakaknya itu berbicara seorang diri. Biasanya, ketika sedang bersantai-santai menonton televisyen pada waktu malam.

Tapi, nak buat macam mana? Tihani bukannya boleh kawal mata yang suka benar terlelap sendiri walaupun ketika mereka sedang rancak berbual-bual.

"Okeylah. Aku nak drive ni. Nanti aku singgah beli makanan." Bariah kembali berbicara untuk menoktahkan perbualan.

"Okey. Aku tunggu. Jangan lambat sangat pulak. Aku dah lapar ni. Lagipun aku ada benda nak cerita kat kau pasal apa yang jadi tadi."

"Cerita best ke?" Berbunyi teruja suara Bariah.

"Hmm... tak tahulah nak kata best ke tak. Tapi..."

Tihani menggantungkan ayat sambil menoleh ke sebelah. Dia terasa ada seseorang yang baru muncul di ruangan itu untuk sama-sama menaiki lif.

Sebaik anak matanya menangkap wajah lelaki berambut panjang yang sedang berdiri di sisinya, Tihani terkesima.

Detektif Jihad?

Tihani jadi tak keruan. Lidahnya terkelu. Bibirnya terkunci. Jantungnya terasa hampir nak gugur. Tapak kakinya bagai tak jejak ke tanah.

Kebetulan, lelaki yang memakai seluar jeans dan T-shirt hitam itu tiba-tiba berpaling ke arahnya. Mungkin cuba membalas pandangannya.

Tihani cepat-cepat melarikan wajah. Mukanya sudah berubah panas. Atau sebenarnya, dah terbakar rentung! Perasaan malu kembali berkejar-kejaran mencucuk sanubari. Dia terbayang-bayang semula apa yang telah dilakukan kepada lelaki itu tengah hari tadi.

Betapa bersungguh-sungguhnya dia menghempuk lelaki berpangkat detektif itu dengan payung. Bertalu-talu pula tu!

'Ya ALLAH, kat mana aku nak letak muka aku ni?'

"Tapi apa, Hani?" Sayup-sayup suara Bariah bergema di hujung talian.

Namun,waktu itu Tihani merasakan dunianya sudah hilang. Segala-galanya kabur dan kelam. Tak tahu ke mana fokusnya dibawa pergi kerana rohnya bagai berada diawang-awangan.

[Bersambung...]

** Terima kasih sebab sudi baca Sekilas Kenangan. So apa pandangan korang setakat bab 6? Ada penambahbaikan untuk stail penulisan Kak Damya? Sudi-sudilah vote dan beri komen ya.

*** Untuk info, novel ni sedang dalam proses cetak. Kalau berminat nak pre order boleh contact Whatsapp (013-3766 496) atau akaun media sosial Kak Damya seperti di bawah :

1. Facebook dan Facebook Page : Damya Hanna

2. Instagram : @Damya_Hanna.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna
© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham