Home Novel Cinta Dia Si Katak Puru ( Tajuk Asal : Sekali Ini Saja)
Dia Si Katak Puru ( Tajuk Asal : Sekali Ini Saja)
Farrah Izzlorna
6/8/2014 23:52:11
74,862
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 13

‘’ARIANA,awak tak apa-apa ke?’’

Soalan Tengku Yusrizal itu membuatkan aku tersentak.Aku memandang ke wajah bosku itu.

‘’ Kenapa Tengku tanya macam tu?’’ Soalku,walhal aku sendiri tahu jawapan kepada soalanku itu.

‘’Tak adalah.Semenjak beberapa hari ni saya tengok awak asyik mengelamun saja.Macam ada sesuatu yang mengganggu fikiran awak sampai awak tak boleh tumpukan perhatian pada kerja.Awak ada apa-apa masalah ke?’’ Soal Tengku Yusrizal prihatin.

Aku tersenyum pahit.Penuh kepura-puraan. ‘’Saya tak ada apa-apa masalah,Tengku. Cuma sejak kebelakangan ni saya kurang tidur sebab banyak sangat kerja kat pejabat,itu yang Tengku tengok saya asyik tak bermaya saja.’’ Aku cuba memberikan alasan yang paling munasabah yang dapat kufikirkan.

‘’ Janganlah asyik fikirkan kerja sangat.Kesihatan tu awak kena jaga juga.’’ Nasihat Tengku Yusrizal.Aku hanya mengangguk.

Setelah selesai urusanku dengan Tengku Yusrizal,aku kembali ke bilikku dan duduk bersandar di atas kerusiku.Aku mengeluh.Peristiwa tempoh hari masih menghantui fikiranku.Aku tidak menyangka,setelah beberapa tahun berlalu,aku akan dapat bersua muka dengan Firdaus dalam situasi yang langsung tidak dapat kuduga.

Aku menutup mataku rapat.Diriku teringat-ingat akan situasi yang berlaku di kedai makan itu.Setelah aku mengetahui lelaki itu adalah Firdaus,tanpa berlengah aku terus beredar dari situ.Aku meredah hujan yang turun semakin menggila.Panggilan Nadia langsung tidak kupedulikan. Aku masuk ke pejabat dalam keadaan baju yang basah kuyup dan menghempaskan pintu kasar sehingga menarik perhatian semua pekerja ketika itu.Tubuhku menggigil dan keadaan persekitaranku terasa begitu dingin sekali.Hanya ALLAH S.W.T. sahaja yang tahu bagaimana perasaanku ketika itu.Takut,terkejut,gemuruh,semuanya bercampur baur menguasai diriku.

‘’Disebabkan perangai bodoh sombong kau tu Firdaus sedang berada dalam koma,bahkan nyawanya pun sedang berada di hujung tanduk. Dan semuanya berlaku disebabkan perempuan tak sedar diri macam kau.Dasar pembawa malang!‘’

Kata-kata sepupu Firdaus itu terngiang-ngiang kembali di telingaku.Aku menekup telingaku rapat.Tak,aku bukan pembawa malang! Aku bukan! Jeritku di dalam hati.

Tak,Ariana! Kau memang pembawa malang.Kau tak layak untuk menerima atau memberi kasih sayang kepada sesiapa pun,kerana kau hanya akan membawa kesusahan kepada orang yang kau sayangi.

Tiba-tiba suatu suara berbisik di telingaku.Aku tidak tahu dari mana suara itu datang.Puas aku menafikannya,tetapi hatiku terlalu lemah untuk menolaknya.Jeritan terakhir Firdaus semasa kemalangan itu bagaikan masih bergema di cuping telingaku.Bunyi kereta yang dinaikinya terbabas juga masih dapat kuingat dengan jelas.

Air mataku mengalir.Kalaulah masa boleh diputar,aku takkan sesekali memilih untuk kenal dengan Firdaus.Bahkan aku juga tidak akan menerima tawaran Nadia.Biarlah aku gagal dalam peperiksaan.Biarlah Abang Haikal tidak mendapat modal untuk perniagaannya. Kerana dari situlah segala masalah timbul,sehingga ke tahap nyawa lelaki yang tidak bersalah hampir hilang kerana aku!

‘’PERKENALKAN,Ariana. Ni anak lelaki saya,Tengku Nazrul Hakimi,bakal pengarah urusan baru syarikat ni. Nazrul,ni pula Ariana. Pengurus projek di syarikat kita.’’

Tengku Yusrizal memperkenalkan anak lelakinya kepadaku.Lelaki kacak yang segak berkot dan memakai tali leher berwarna biru laut itu hanya mengangguk-nganggukkan kepala. Aku tersenyum nipis seraya menghulurkan tangan kepadanya,mahu bersalaman. Tetapi wajah aku berubah apabila Nazrul tidak menyambut huluran tanganku,sebaliknya berpura-pura meliarkan pandangannya ke sekeliling pejabat. Aku pantas menjatuhkan tanganku. Malu betul aku diperlakukan seperti itu.

‘’Nazrul,lepas ni kalau kamu perlukan apa-apa bantuan atau nak tanya perkara berkenaan syarikat,kamu boleh rujuk kepada Ariana. Papa telah meminta pertolongannya untuk membantu kamu sementara kamu nak biasa dengan keadaan di syarikat ni,sebab dia adalah pekerja yang papa paling percaya sekali.’’

‘’Orang yang paling papa percaya?’’ Tengku Nazrul tersenyum. ‘’I see!’’

Entah kenapa,aku dapat mendengar kesinisan dalam nada suara lelaki itu. Macam nak isytihar perang dengan aku saja lelaki ni,desis hatiku.

KETIKA aku sedang membuat kerjaku,tiba-tiba interkom di hadapanku berbunyi.

‘’Helo.’’ Kataku.Panggilan itu daripada bilik pengarah.Yakni daripada Tengku Nazrul.

‘’Sila datang ke bilik saya sekarang.’’ Tanpa menunggu sebarang jawapan daripadaku,talian dimatikan.Aku segera bangun dari dudukku dan bergegas ke bilik pengarah urusan.

‘’Ya Encik Nazrul,ada apa-apa yang boleh saya bantu?’’ Soalku setelah duduk berhadapan dengan lelaki itu.

Tengku Nazrul tidak menjawab pertanyaanku.Dia hanya memandangku dari atas ke bawah.Aku mula berasa tidak selesa apabila dia merenungku sebegitu.Aku berpura-pura berdehem,tetapi dia masih memandangku dengan cara yang sama.Ah,ini tak boleh jadi!

‘’Maafkan saya.Kalau Encik Nazrul tak ada apa-apa yang penting untuk dikatakan,boleh tak saya keluar sekarang? Sebab saya ada banyak lagi kerja yang hendak dibuat.’’ Ujarku kurang senang.

Tengku Nazrul mengangkat keningnya. ‘’Oh ya? Bukankah tugas awak sekarang adalah membantu saya dalam syarikat ni?’’

‘’Memanglah.Tetapi itu bukan bermakna saya perlu duduk dalam bilik ini sepanjang hari,berhadapan dengan Encik Nazrul yang asyik memandang saya dengan pandangan macam saya ni dah buat salah besar.’’ Akhirnya aku meluahkan isi hatiku.Selama tiga hari lelaki itu memegang jawatan pengarah urusan di Cemerlang Holding,aku sudah cuba sebaik mungkin untuk bertoleransi dengannya,mengenangkan dia adalah anak kepada Tengku Yusrizal.Juga bosku.Tetapi apabila melihat Tengku Nazrul asyik melayanku dengan dingin,aku rasa aku juga mempunyai hak untuk mempertahankan diriku.

‘’Wah,nampaknya betullah seperti apa yang dikatakan oleh papa saya.Awak ni memang seorang yang outspoken,berani juga I guess.Tak hairanlah papa kata awak ni adalah pekerja kesayangan dia.’’Tengku Nazrul bangun dari kerusinya lalu berbisik di telingaku.

‘’Itupun kalau memang betul yang awak ni sekadar pekerja dia sajalah kan.’’

Wajahku berubah apabila mendengar tuduhan itu. ‘’Apa yang Encik Nazrul maksudkan ni? Jangan nak tuduh saya yang bukan-bukanlah.Saya tak suka.’’

‘’Oh,pandai pula kau kata yang kau tak suka bila aku cakap macam tu? Habis tu,kau ingat aku sukalah bila tahu yang kau tu ada skandal dengan papa aku?’’ Ujar Tengku Nazrul sinis.Bahasanya juga sudah berubah menjadi kasar.

‘’Dari mana Tengku dapat tahu pasal semua ni? This is all nonsense!’’ Aku sudah mula naik marah dengan tuduhan Tengku Nazrul itu.

‘’Tak payah nak nafikanlah.Aku dengar cerita daripada pekerja kat sini,kau dengan papa bukan main rapat lagi masa kat pejabat.Kau ingat aku tak tahu ke yang kau dan papa pergi bercuti sama-sama ke Dubai dua bulan lepas.Siap pergi beli cincin segala lagi.Jangan-jangan dah kahwin dekat Selatan Thailand tu.’’

‘’Siapa yang pandai-pandai buat cerita ni?’’ Tahap kesabaranku sudah hampir sampai ke puncak.Kalaulah aku tahu siapa yang pandai-pandai buat cerita itu,memang nahas orang itu aku kerjakan!

‘’Kau tak perlu tahulah siapa yang bagitau aku cerita ni.Lagipun,yang nampak kau dengan papa kat Dubai tu pun sepupu aku sendiri.Takkanlah dia nak menipu aku pulak.’’

‘’Encik Nazrul,seriously saya cakap yang saya tak tahu apa yang terjadi.Ya,memang Tengku Yusrizal ada pergi ke Dubai dua bulan lepas,tapi bukan dengan saya.Kalau Encik Nazrul tak percaya,Encik Nazrul boleh check dengan Marlia.Saya memang datang kerja sepanjang Tengku Yusrizal berada di Dubai.Jadi macam mana orang yang sama boleh berada di dua tempat yang berlainan,in the same time?’’

‘’Whatever,I don’t care.Sekarang ni aku bagi kau kata dua.Kau pilih.Kau nak berhenti secara sukarela ke atau kau nak aku yang pecat kau?’’

Kata-kata Tengku Nazrul itu betul-betul mengejutkan aku.

‘’Are you crazy? Encik Nazrul tak berhak nak pecat saya tanpa alasan yang munasabah macam ni!’’ Aku terus menjerkah dengan nada suara yang tinggi.Kesabaranku memang betul-betul telah hilang ketika itu apabila Nazrul mahu memecatku kerana alasan yang bodoh.

‘’Aku berhak untuk pecat kau sebab aku adalah pengarah urusan syarikat ni! And you want a reason? Because you have an unforgivable scandal with my father!’’

‘’Kalau saya betul-betul buat benda tu,tunjukkan bukti! Bawa orang yang konon-kononnya ternampak saya dengan Tengku di Dubai tu dan suruh dia cakap sendiri depan saya.Kemudian saya sendiri akan keluar dari syarikat ni secara sukarela.’’ Cabarku.

‘’Okay,fine.As you wish!’’ Tengku Nazrul mencapai telefon pejabat dan mendail nombor seseorang.

‘’Daus,come to my office now.I need your confirmation about something.Very urgent.’’ Tengku Nazrul berkata kepada orang yang dipanggil Daus itu.Setelah selesai bercakap,Tengku Nazrul meletakkan telefon dan memandangku dengan pandangan sinis.

‘’We will see!’’

Kemudian aku pula membalas dengan kata-kata yang sama. ‘’We will see!’’

Tak sabar-sabar aku mahu melihat wajah orang yang cuba menganiayaku itu.Dua puluh minit berlalu,akhirnya penantianku tiba ke penghujungnya.

‘’Encik Nazrul,ada seseorang nak jumpa.Dia kata dia adalah sepupu Encik Nazrul dan Encik Nazrul yang panggil dia ke mari.’’ Suara Marlia,setiausaha Nazrul kedengaran melalui interkom.

‘’Ya,benarkan dia masuk.’’ Arah Tengku Nazrul.Seketika kemudian,pintu bilik itu dibuka.Aku mengalih pandang ke arah pintu itu,dan aku rasa macam tak percaya dengan apa yang kulihat di hadapan mataku kini.

‘’Yo,Nazrul! What’s up? Apa yang urgent sangat sampai panggil aku datang office kau ni?’’ Tegur Firdaus dengan ceria.Dia masih tidak menyedari akan kehadiranku di situ.

Aku berasa jantungku bagai bergegar apabila mendengar suara Firdaus.YA-ALLAH,apa yang dia buat kat sini?

‘’Daus,aku nak tanya kau.Perempuan ni kan yang kau nampak bersama papa aku kat Dubai dulu?’’ Nazrul menudingkan jarinya ke arahku.Wajahku menjadi pucat apabila Firdaus memandangku.Dia memerhatikanku buat tempoh yang agak lama.

‘’Ariana,right?’’

Aku terkedu apabila Firdaus menyebut namaku.Habislah,dia sudah tahu siapa aku yang sebenarnya!

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.