Home Novel Cinta Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 34

Fazar Azameer yang terlena di samping Nadia Asyila terjaga. Terasa seperti ada sesuatu yang bergerak di tangannya. Pantas diangkat kepalanya yang sedang terlentok di atas katil.

Segera pandangannya diarahkan kepada wajah Nadia Asyila. Namun mata itu tetap seperti hari-hari sebelum. Terpejam rapat. Fazar Azameer mengeluh. Dia tersilap. Hampa menguasai diri.

Tangan Nadia Asyila yang berada di dalam genggamannya dipandang. Seakan ada jari yang bergerak. Diamati satu persatu. Memang betul jari itu bergerak. Segera dipanggil nama wanita itu berulang kali. Disentuh pipi wanita itu lembut. Perlahan-lahan mata itu terbuka.

“ Nadia…”

Begitu sayu suara yang keluar dari bibir Fazar Azameer. Sekian lama menunggu akhirnya mata itu terbuka jua. Memberinya satu tangisan yang rela diundang.

“ Nadia kenal saya?”

Nadia Asyila mengangguk sebagai jawapan. Matanya dipejam seketika. Ada rasa terharu dan sayu singgah di hatinya.

“ Sudah terlalu lama saya menantikan saat ni. Saya rindukan Nadia.”

Nadia asyila melebarkan senyumannya. Seakan sukar untuk percaya bahawa lelaki di hadapannya itu Fazar Azameer. Lelaki yang pernah menghinanya dengan teruk mengungkapkan kata rindu. Sesuatu yang di luar dugaan dan kepercayaannya.

“ Kenapa lama sangat awak tidur?”

“ Berapa lama saya tak sedar”

“ Dah sebulan lebih sayang. Empat puluh empat hari. ”

Nadia asyila meluaskan matanya. Berat dirasakan kelopak mata yang telah lama terpejam. Disentuh kepalanya yang terasa pening. Memang langsung tidak percaya yang dia koma selama itu. Dan bibir lelaki itu tadi mengungkapkan kata sayang.

“ Sebulan lebih?”

“ Ramai yang rindukan Nadia. Kawan-kawan yang lain tak pernah jemu menunggu awak sedar. Kami terlalu merindui awak. Saya terlalu.”

“ Kenapa?”

“ Kerana saya mula sedar yang saya cintakan awak. Saya dah tahu dan pasti awak cinta sejati saya. Saya akan bahagiakan awak seperti yang awak idamkan selama ni. Saya takkan buat awak seperti masa yang lalu. Saya menunggu untuk membahagiakan awak. Saya cintakan awak.”

Tangan Nadia Asyila diambil dan diramas lembut. Satu ciuman terlekat di situ. Penuh perasaan. Namun Fazar Azameer kaget seketika. Tangan lembut yang sekian lama dipegangnya itu dileraikan Nadia Asyila perlahan-lahan.

“ Syam mana?”

Fazar Azameer mengerutkan keningnya. Hairan kerana nama lelaki itu yang dicari sedangkan cinta yang dilafazkannya langsung tiada jawapan.

“ Kenapa?”

“ Di mana Syam?”

Fazar Azameer memandang wajah itu dengan pandangan yang inginkan pengertian. Nadia Asyila seakan tidak begitu mempedulikan kehadirannya. Seakan tidak menghargai kepenatan dan pengorbanannya menemani wanita itu di hospital.

Dia sanggup turun daripada Kuala Lumpur setiap hujung minggu untuk melawat Nadia Asyila di hospital di Kelantan.

Telah terlalu lama dia menunggu wanita itu sedar dari koma. Kenapa setelah dia membuka mata Iqmal Hisyam yang dicari? Apakah ada lagi cubaan untuk dirinya. Apakah wanita itu menemui sesuatu di dalam komanya yang membuatkan dia kembali untuk meneruskan kehidupan ini?

Apakah dia mendapat petunjuk bahawa Iqmal Hisyam adalah cinta sejatinya? Fazar Azameer kacau. Dia menelan liurnya. Terasa pahit. Dia cuba bertenang.

“ Syam di KL. Kita di Kelantan sekarang.”

Nadia Asyila memandang wajah di hadapannya yang kelihatan sayu.

“ Maafkan saya. Saya tak berniat nak kecewakan awak. Sebenarnya tadi, saya langsung tak menyangka yang awak akan mengungkapkan kata cinta. Sedangkan selama ini…”

Nadia Asyila tidak jadi meneruskan ayatnya. Dia yakin lelaki itu memahami. Tidak perlu untuk dia terus melukai lagi hati lelaki yang kini merasa cinta seperti yang pernah dirasakannya.

“ Apakah saya telah kecundang sebelum sempat saya berjuang?”

Fazar Azameer tunduk memandang tilam. Tidak sanggup untuk dia menentang wajah insan yang telah lama dinantikan kehadirannya sebagai seorang yang bebas dari alam koma.

“ Maafkan saya. Saya kembali untuk menyambut cintanya. Saya mula sedar siapa yang paling layak untuk memiliki cinta saya. Kenangan hidup saya dengan dirinya banyak yang terimbau semasa saya berada di tempat yang asing itu.”

“ Saya kembali kerana merinduinya. Merindui saat kami bersama walaupun saya telah banyak menyakitinya. Saya rindukan kelembutan yang telah dia beri. Di mana dia sekarang?”

Nadia Asyila meluahkan rasa yang tidak diduga itu. Sumbang di telingan Fazar Azameer. Kecewa dengan pengakuan yang sayu itu. Namun apalah dayanya untuk menghalang jika wanita itu hanya kembali ke dunia realiti untuk mencari cintanya yang sejati.

Daripada insan yang betul-betul tulus menyayanginya. Itu adalah hak dirinya yang abadi. Terasa kecewa memuncak di dadanya. Apa yang dia tahu, rasa itu sakit. Itukah balasan dirinya kerana sentiasa menyakiti wanita itu? Persoalan itu terlalu berbisa di hatinya.

“ Maafkan saya. Memang dulu rasa cinta itu tak pernah padam untuk awak. Dan saya tak pernah jemu menyintai awak. Saya juga takkan pernah menyesal. Tapi sekarang hati saya mengatakan yang saya terlalu rindukan Syam. Awak langsung tiada. Maafkan saya.”

Fazar Azameer menggagahkan dirinya untuk menentang wajah yang sedang berbicara di hadapannya. Dia sedar kini yang dia memang tewas. Baru sahaja dia belajar untuk mencintai pencinta setia seperti Nadia Asyila, tetapi takdir sekali lagi kejam dengan dirinya.

Terlalu berat dirasakan dugaan ini. Dia sedar yang sekali lagi dia perlu melakukan pengorbanan. Pengorbanan yang akan menjerat dirinya sendiri. Tetapi, dia perlu menerima kenyataan itu untuk tidak lagi menghancurkan hati milik wanita itu. Selama ini telah banyak salah yang diperlakukannya.

Mungkin inilah masanya untuk dia menebus salah. Walaupun bukan dengan cara seperti apa yang Nadia Asyila mahukan dulu. Tetapi, dengan cara seperti apa yang Nadia Asyila mahukan sekarang.

Dia perlu melakukan pengorbanan itu. Andai itu memang kehendak takdir, dia akan redha. Dia pasrah dalam keredhaan yang akan memberikan kebahagiaan kepada semua orang. Dia berharap pilihannya kali ini akan tepat.

Ditelan liurnya sekali lagi. Diambil nafasnya perlahan dan dihembuskan perlahan-lahan. Dia perlu menuturkan ayat untuk diperdengarkan kepada wanita itu. Dia perlu memberikan kekuatannya kepada Nadia Asyila.

Wanita itu pastinya akan menerima kejutan dengan apa yang bakal dia perkatakan. Itu sememangnya pasti. Di yakin.

“ Apalah salah awak untuk saya maafkan. Memang saya layak untuk terima semua ni. Saya memang berhak. Saya sepatutnya dari dulu lagi faham yang awak hanya milik Syam. Walau apa pun yang terjadi, dia memang tetap milik awak yang abadi.”

“ Maafkan saya.”

“ Saya akan bantu awak untuk mendapat kebahagiaan awak. Saya janji.”

“ Di mana Syam sekarang?”

‘ Mungkin inilah masanya’

Detik hati lelaki itu.

“ Awak masih ingat segala yang berlaku sebelum awak terlantar kat sini?”

Nadia Asyila memejamkan matanya dan mengangguk perlahan-lahan. Segalanya tergambar jelas di ruang fikirannya.

“ Awak perlu bertenang. Ada berita buruk tentang Syam.”

Nadia Asyila sudah mengagak. Berkemungkinan besar Iqmal Hisyam sekarang berada di dalam penjara kerana jenayah yang dia lakukan.

“ Syam di penjara kan?”

Nadia Asyila kaget seketika apabila lelaki itu menggelengkan kepalanya. Kalau bukan berita itu apakah berita buruk yang ingin disampaikan? Apakah yang telah menimpa lelaki itu? Apakah dia telah terlewat?

“ Apa yang berlaku pada Syam? Di mana dia sekarang?”

“ Dia terlampau kecewa dengan dirinya. Terlampau sedih kerana hampir mengorbankan nyawa awak. Orang yang paling dia sayang.”

“ Apa yang berlaku pada dia?”

Nadia Asyila bangun dari pembaringan. Tidak selesa berada dalam keadaan itu. Fikirannya pada Iqmal Hisyam.

“ Takdir telah tentukan segalanya….”

“ Apa yang dah berlaku pada dia?”

Untuk kali ini suara yang kedengaran agak kuat. Tidak sabar untuk mengetahui khabar yang telah menimpa lelaki itu. Fazar Azameer mengeluh seketika. Berat untuk dia melafazkannya.

“ Dia tak normal sekarang.”

“ Apa? Tak normal? Apa maksudnya?”

Kali ini juga Nadia Asyila seakan menengking. Tidak hiraukan lagi apa yang dirasakan oleh lelaki di hadapannya.

“ Dia mengalami tekanan jiwa yang teruk. Langsung tak dapat mengenali sesiapa.”

“ Maksudnya?”

Debaran yang kuat menerjah dadanya.

“ Sekarang dia di hospital sakit jiwa.”

“ Ya Allah.”

Deraian air mata datang tanpa diundang. Lagsung tidak menjangka yang takdir sebegitu akan terselit dalam lipatan hidup Iqmal Hisyam.

“ Seriuskah keadaannya?”

Satu pertanyaan dengan suara yang sebak.

“ Dia tak dapat mengenali sesiapa. Cuma…”

“ Apa?”

“ Bibirnya sentiasa memanggil nama awak. Tak pernah terhenti sejak keadaannya jadi macam tu.”

“ Sejak bila Fazar?”

“ Seminggu selepas awak tak sedar.”

Nadia Asyila menangis semahunya. Dia langsung tidak cuba untuk melindunginya. Biarlah lelaki di hadapannya itu mahu memberikan pandangan yang bagaimana. Biarlah. Dia tidak kisah!

“ Saya yang kejam dengan dirinya. Sampai sebegitu dia terseksa. Saya tak pernah cuba untuk membahagiakannya. Saya memang kejam. Kejam!”

Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurul jannah