Home Novel Cinta Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 31

Fazar Azameer melangkah mendekati Iqmal Hisyam yang duduk memandang lantai. Keizinan diminta daripada pegawai polis yang mengawal Iqmal Hisyam untuk meninggalkan mereka seketika.

“ Syam.”

Lelaki itu menegur sambil menepuk bahu perlahan-lahan. Jelas di penglihatannya yang mata lelaki di depannya itu begitu setia dengan air mata. Begitu mendalam cinta untuk wanita yang bernama Nadia Asyila.

“ Kenapa aku diberi dugaan yang sebegini? Kenapa kau masih datang jumpa aku? Kalau peluru tadi tak terkena Nadia pasti akan tembus badan kau. Kau masih lagi nak jumpa aku? Aku jahat Fazar. Aku tak layak untuk jadi kawan kau. Aku tak sepatutnya berdendam dengan kau dan tak patut salahkan kau sebab Nadia cintakan kau.”

Iqmal Hisyam mengusap-usap rambutnya ke belakang. Suara serak basahnya tenggelam timbul.

“ Tapi kau tak patut hina dia.”

Jerkahan yang kuat kedengaran. Fazar Azameer terperanjat dan terpinga-pinga. Nada lelaki di hadapannya berubah dengan tiba-tiba. Iqmal Hisyam menerkam laju tepat ke dada Fazar Azameer. Pegawai polis yang berada berhampiran segera menenangkan Iqmal Hisyam. Amarahnya yang datang dengan tiba-tiba memeranjatkan mereka.

“ Memang aku silap kerana tak pernah cuba untuk memahami dia. Memang semua yang berlaku kerana kesilapan aku. Tapi kau tak dapat nak paksa dia untuk cintakan kau. Aku tahu yang aku takkan dapat tandingi cinta kau. Mungkin sebab itulah takdir tak benarkan aku cintakan dia.”

Iqmal Hisyam memandang wajah temannya itu. Teman yang cuba diambil nyawanya.

“ Tolong pergi dari sini.”

“ Tapi kiranya takdir menyebelahi aku, dan memang kehendak takdir yang mahukan kami bersatu, aku akan belajar untuk menghargai dia. Aku akan sambut cintanya.”

Fazar Azameer meluahkan kata-kata itu. Iqmal Hisyam terkulai. Fikirannya melayang dengan tiba-tiba. Entah apa yang mengawal fikirannya, dia sendiri tidak tahu. Apakah Fazar Azameer semakin kejam terhadap dirinya? Dia seakan tidak dapat mengawal fikirannya lagi.

Sekali lagi Iqmal Hisyam meluru untuk rapat kepada lelaki itu namun kali ini dia dihalang. Dia benci dengan kata-kata yang dirasakan penuh keegoan yang keluar daripada mulut lelaki itu. Dia benci untuk memberikan derianya itu mendengar kata-kata yang merobek hatinya. Dia amat bencikannya.

“ Syam jangan lakukan sesuatu yang aku tak dapat nak tolong kau. Aku takut kau akan dibawa keluar dari hospital ni dan kau tak sempat dengar perkhabaran tentang Nadia. Jangan buat rayuan aku untuk menjamin kau berada di sini terbang macam tu jer. Jangan buat hal. Tolonglah! Seperti mana aku memahami kau, aku harap kau faham aku.”

Iqmal Hisyam memandang wajah Syazwan.

“ Maafkan aku.”

Syazwan memberikan isyarat mata sebagai tanda yang dia mempercayai lelaki itu. Pegawai polis yang berada berhampiran melangkah agak jauh apabila mendapat arahan daripada Syazwan. Memberikan jaminan yang penjenayah yang dikawal takkan bertindak di luar batasan.

Pintu bilik kecemasan dibuka dari dalam. Iqmal Hisyam dan semua yang ada pantas meluru.

“ Macam mana dengan dia doktor?”

“ Kami berjaya mengeluarkan peluru. Dia bernasib baik sebab peluru itu tidak mengenai jantung. Keadaan dia sekarang serius dan masih belum melepasi tahap kritikal. Sebelum dia sedar, saya tak dapat nak cakap apa-apa. Semuanya bergantung kepada tindakan fizikal dan dalaman apabila dia sedar nanti. Buat masa sekarang, sama-samalah kita berdoa.”

“ Boleh saya lihat dia sekarang doktor?”

“ Maaf. Pesakit perlu berehat. Kamu boleh melawat dia esok pagi.”

“ Esok pagi? Kau gila? Macam mana aku nak tengok dia esok pagi kalau aku terikat dengan undang-undang?”

Iqmal Hisyam menjerkah agak kuat. Syazwan dan yang ada terperanjat dengan tindakan lelaki itu yang berani bertindak sedemikian.

“ Doktor, kalau boleh diberi kelonggaran, biarlah dia menjenguknya untuk seketika.”

Syazwan cuba memujuk pakar perubatan itu untuk bersimpati dengan nasib Iqmal Hisyam.

“ Baiklah. Cuma, jangan bising. Pesakit memerlukan rehat. Keadaannya masih dalam kritikal. Walaupun dia tak sedar tapi ada kemungkinan deria dia akan memberikan tindakan positif dengan apa yang berlaku di sekeliling dia. ”

Doktor muda itu terus berlalu dengan jawapan yang membingungkan semua orang. Tiada kata-kata yang mampu diucapkan. Iqmal Hisyam menyandarkan badannya ke dinding. Punggungnya rapat ke lantai. Berkali-kali digelengkan kepalanya.

Seakan-akan tidak dapat menerima apa yang sedang terjadi dan akan terjadi jika nyawa tidak menyebelahi orang yang amat dicintainya.

Langkahnya diatur laju menuju ke arah insan yang dicintainya. Hanya dirinya dan Syazwan yang dibenarkan memasuki bilik tersebut. Itu atas arahan doktr tadi dan kawalan dialakukan oleh jururawat yang berada di situ.

Lutut dirapatkan di lantai hospital. Badannya rapat di katil yang menampung tubuh Nadia Asyila. Wayar berselirat di badan wanita itu. Oksigen yang disedut hanya dibantu oleh alat bantuan pernafasan.

Keadaan itu amat memberikan kepiluan kepada Iqmal Hisyam. Tidak sanggup untuk dia melihat insan itu yang terbaring kaku seperti mayat hidup. Benar. Hatinya terlampau sedih. Dia kecewa dengan dirinya sendiri yang telah melakukan kesilapan itu.

Seandainya takdir akan mengejami dirinya dengan apa yang diperlakukan, pastinya dia tidak dapat menerima. Dia tidak dapat menerima apa-apa berita buruk tentang wanita yang amat dicintainya itu.

Dia mengawal dirinya untuk ttidak menyentuh mana-mana bahagian badan wanita itu. Bimbang kiranya jasad itu akan mengalami kesakitan. Juraian air mata tidak berhenti sedari tadi. Terlalu murah untuk dihadiahkan sebagai satu harapan agar insan itu bangkit dari pembaringan.

“ Maafkan Syam kerana meletakkan Nadia dalam keadaan seperti ni. Kalau Syam tahu yang kesudahannya akan seperti ini, takkan pernah Syam cuba untuk melakukan sedikitpun perkara yang akan menyakiti Nadia. Bangunlah sayang. Syam rela Nadia bahagia dengan Fazar. Cuma, berikan Syam peluang untuk melihat pandangan mata Nadia sebelum Syam pergi. Berikan Syam satu ketenangan untuk Syam jadikan bekalan dalam kurungan besi kelak. Tolonglah. Jangan hukum Syam seperti ini. Syam tak dapat terima dengan apa yang sedang berlaku sekarang ni. Semuanya mendera Syam. Bangunlah. Renung mata Syam untuk kali yang terakhir. Untuk hukuman yang bakal Syam terima, Syam rela apa sahaja. Asalkan pada saat ini, sebelum Syam pergi, Nadia bangun dan melihat ke dalam mata Syam. Syam rela dan restu seandainya hubungan Nadia dengan Fazar akan memberikan syurga dalam kehidupan Nadia. Syam rela. Cuma, berikan Syam kesempatan untuk perjumpaan yang terakhir ini. Syam rela walaupun Nadia takkan pernah melawat Syam di penjara nanti. Tolonglah! Bangun. Pandang Syam. Syam merayu.”

Iqmal Hisyam terus karam dengan rasa hati yang membebani jiwanya. Terasa amat kecewa dengan situasinya sekarang. Seperti hidupnya telah berakhir dengan apa yang akan dilaluinya.

Syazwan meyapu air hangat yang mengalir keluar dari tubir matanya. Setiap patah perkataan yang keluar dari bibir Iqmal Hisyam seketika tadi sangat jelas di pendengarannya. Dia bersimpati. Tetapi dia tiada daya untuk membantu. Hanya kuasa Tuhan yang dapat menguasai segalanya.

Perlahan-lahan langkahnya diatur mendekati Iqmal Hisyam apabila dia menerima isyarat daripada jururawat supaya mereka terpaksa meninggalkan bilik itu. Dia perlu melakukan tanggungjawabnya.

“ Maafkan aku.”

Setelah mengungkapkan kata-kata itu, diambil tangan lemah lelaki itu dan digari. Dia tidak mahu melakukannya tapi itu adalah tugas dan tanggungjawab yang tidak dapat dielak oleh sesiapapun jika berada di tempatnya.

“ Kenapa aku terlalu kejam Syazwan? Aku tak nak sikitpun menyakiti dia. Tetapi kenapa dia sanggup untuk menghukum aku dengan cara yang sebegini? Aku lebih rela menggantikan tempatnya. Aku jauh lebih rela begitu. Sebab aku memang layak. Terlalu berat hukuman ini.”

Syazwan pantas membawa lelaki itu ke dalam pelukannya. Dia tahu dan dapat menyelami dengan mendalam apa yang dilalui oleh kawannya itu. Satu kesakitan yang sukar untuk dicari ubatnya. Tersungkur sebegitu rupa dengan penderitaan yang entah bila akan berkesudahan.

Syazwan dibantu seorang lagi konstabelnya untuk memapah Iqmal Hisyam. Lelaki itu perlu berserah yang dia tidak lagi dibenarkan untuk berada di situ. Terpaksa meninggalkan kekasih hatinya dengan harapan yang tinggal harapan. Entah untuk subur atau terkubur.

Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurul jannah