Home Novel Cinta Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 42

Nadia Asyila membawa bungkusan makanan yang dibelinya ke ruang dapur. Iqmal Hisyam membawa dirinya ke kawasan rehat di luar rumah. Sengaja dia berbuat begitu.

Tidak manis seandainya ada jiran-jiran yang ternampak dirinya berdua-duaan dengan Nadia Asyila. Mereka masih tidak mempunyai ikatan suci untuk dibanggakan pada semua orang.

Mereka masih lagi mempunyai hubungan yang asing untuk meletakkan pandangan halal pada mata semua. Ikatan perkahwinan masih tidak menjadi milik mereka. Kebetulan pembantu rumahnya mengambil cuti sejak 3 hari yang lepas kerana mempunyai masalah di kampung halaman. Segera diluluskan cuti untuk pembantunya itu apabila ada garisan kesedihan yang terpancar pada wajah yang sudah senja itu.

Sudah sebulan dirinya dibenarkan keluar daripada hospital. Dia masih beruntung kerana masih dalam rawatan pihak hospital. Ini memberi keuntungan kepadanya kerana seandainya dia sudah tidak berada di bawah jagaan pihak hospital, dirinya tidak akan mempunyai alasan untuk berada bebas di rumah yang didiaminya sekarang.

Jagaan yang diterimanya berganda apabila pihak polis juga turut sama campur tangan untuk kesalahan jenayah yang pernah dia lakukan. Hukuman kerajaan takkan pernah bertolak ansur dengan bekas penjenayah sepertinya.

Tindakan ini diambil oleh pihak kerajaan apabila pihak hospital mental mengesahkan bahawa ingatan Iqmal Hisyam semakin baik dari masa ke semasa. Walaupun belum mencapai seratus peratus tetapi peningkatannya mampu membuatkan ramai yang menyenangi akan perubahan yang positif itu.

Cinta yang mendalam untuk Nadia Asyila kini diingati setiap ruang. Diraih kembali setiap memori yang mempunyai insan yang bernama Nadia Asyila.

Dia semakin sedar yang cintanya untuk gadis itu semakin mendalam apabila ingtannya turut sama diraih semasa dia berada dalam dunianya sendiri. Dikenali sebagai seseorang yang mempunyai masalah mental.

Hatinya kini tidak meragui lagi tentang kata cinta yang dituturkan oleh Nadia Asyila kepadanya. Dia yakin kini setelah sebulan diselami hati gadis itu sedalamnya. Dia sedar yang rasa cinta daripada gadis itu yang diidamkannya selama ini bukan kerana simpati.

Bukan kerana rasa hormat. Bukan kerana untuk membalas budi. Tetapi kerana katulusan hati. Kerana rasa cinta yang penuh keikhlasan. Sama seperti apa yang dirinya rasakan selama ini.

Dia sedar yang dia patut memanjatkan kesyukuran yang tinggi melangit untuk rasa cinta yang diberikan itu. walaupun mengetahui dengan jelas bahawa dirinya merupakan seorang penjenayah, namun gadis itu mencintainya dengan jujur.

Malah, pengorbanan juga dilakukan apabila dirinya diperkenalkan dengan kawan gadis itu yang bernama Radlina. Seorang peguam terkemuka di ibu kota. Peguam muda yang berbakat besar itu sanggup mengambil kesnya untuk dibicarakan.

Berjanji untuk cuba mencari jalan supaya hukuman yang akan diterima dirinya lebih ringan daripada apa yang dia akan dapat.

Tiada pandangan serong yang diterimanya daripada teman-teman Nadia Asyila. Tidak pernah menghinanya walaupun dia sedar yang dia memang layak mendapat penghinaan dengan kesalahan yang telah dia lakukan.

Dia tidak pernah mendengar sebarang cakap-cakap sumbang yang dihadiahkan untuknya daripada teman-teman gadis itu. Setiap kali mereka datang melawatnya atau bertemu pandang di luar, mereka akan menghadiahkan senyuman. Senyuman yang membuatkan dia senang dalam segan.

Sepanjang sebulan rehatnya di rumah, Nadia Asyila tidak pernah jemu untuk bertandang. Sentiasa menjaga kebajikannya walaupun di rumah itu telah disediakan orang gaji. Itupun atas jasa Nadia Asyila.

Katanya lebih elok ada yang dapat melihat dan menjaga kesihatannya sewaktu lelaki itu berada di rumah. Seandainya berseorangan, tidak mahu kejadian yang tidak diingini berlaku. Malang tidak berbau dan tidak mengenal masa dan mangsa. Kerana sejak keluar daripada hospital, kepalanya sering mengalami kesakitan yang datang secara tiba-tiba.

Sejak tiga hari yang lepas, gadis itu pasti akan datang apabila habis sahaja waktu kerja. Pasti di tangannya akan ada bungkusan makanan yang di dalamnya terisi lauk gulai tempoyak. Makanan kegemarannya.

Walaupun ditegah untuk tidak melakukannya, Nadia Asyila masih dengan lagaknya. Tidak mengendahkan kata-kata itu dan hanya melakukan apa sahaja kata hatinya. Apa yang pasti, hanya untuk melakukan yang terbaik untuk dirinya.

“Hei kenapa termenung ni? Apa yang Syam fikirkan?” Iqmal Hisyam tersentak dari menungannya yang panjang. Senyuman dihulurkan pada Nadia Asyila yang entah bila melabuhkan duduk di atas kerusi si hadapannya.

Dipandang makanan yang berada di atas meja. Memang Nadia Asyila tidak akan pernah mengabaikan dirinya. Segalanya dipersiapkan dengan penuh tertib. Menggunung rasanya budi gadis itu untuknya.

Dipandang wajah yang putih bersih di hadapannya itu. Seakan mahu sahaja diucapkan kata lamaran untuk gadis itu. Cinta yang menggunung untuk gadis di hadapannya itu semakin marak dari hari ke hari.

Tetapi dia sedar, jalan kehidupannya penuh berliku. Masih banyak perkara yang perlu dihadapinya. Hukuman di atas kesalahan jenayah yang akan diterimanya nanti entah bila akan berkesudahan. Entah berapa lama masa yang akan diberikan hakim untuk dia meringkuk di dalam tirai besi.

Dia takkan sesekali melakukan salah lagi dalam perjalanan hidupnya. Dia takkan melukakan hati insan yang menyayanginya itu. Tapi….. apakah nanti cinta Nadia Asyila akan kekal untuknya? Sanggupkah gadis itu menunggu untuk dia menghabiskan hukumannya?

Dia takkan pernah melafazkan lamaran untuk memiliki gadis itu secara mutlak pada masa sekarang. Kerana dia tahu sekiranya itu yang berlaku, gadis itu akan lebih terluka apabila takdir ilahi akan datang memisahkan mereka untuk waktu yang telah disuratkan.

“ Hei, dengar tak apa Nadia cakap ni? Kenapa termenung je?”

Untuk kali ini dia tersentak lagi. Diwaraskan fikirannya. Kembali ke alam nyata. Memandang wajah insan yang dicintai itu dengan senyuman.

“ Syam cuba ramalkan apa yang akan berlaku dalam perhubungan kita kelak. Dengan adanya selitan takdir yang kita sendiri akan dapat mengagaknya.”

“ Untuk apa fikirkan semua tu. Nadia akan tunggu Syam. Cinta dalam hati ni hanya untuk Syam je.”

“ Tapi Nadia sendiri tahu yang kesalahan Syam bukannya kecil. Entah berapa lama Syam akan meringkuk dalam penjara. Tak malu ke kalau orang sekeliling mengatakan yang seorang anggota polis menyintai seorang banduan.”

“ Lama atau tidak itu bukan kita yang akan tentukan. Biarlah yang berhak menentukan semua tu. Kita hanya mampu berusaha untuk mendapatkan yang terbaik. Semoga hukuman Syam akan diringankan. Kita tak boleh nak tutup mulut orang. Biarlah apa yang orang nak kata. Apa yang penting, Nadia bahagia dengan pilihan Nadia.”

“ Kenapa setelah sekian lama baru Nadia berikan cinta itu? kenapa setelah Nadia Nampak segala tentang keburukan Syam?”

“ Menerima seseorang yang kita sayangi dengan seadanya adalah satu kebahagiaan yang takkan pernah berpenghujung. Itulah apa yang Nadia cuba lakukan. Dan insyaAllah, rasa cinta yang ada sekarang ini takkan berkesudahan.”

“ Setiap orang tak pernah sempurna. Pasti akan ada salah dan silap yang akan kita lakukan. Keikhlasan cinta Syam yang mengajar hati Nadia bagaimana untuk Nadia membalas rasa suci itu.”

“ Tapi Syam sebenarnya kotor. Sampah dalam masyarakat.”

“ Untuk masa lalu, memang itu diri Syam. Tetapi untuk masa sekarang, keinsafan itu lebih bernilai dari segalanya.”

“ Syam memang takkan pernah menang kalau berdebat dengan Nadia. Memang sejak dari dulu lagi.”

Akhirnya mereka sama-sama tergelak. Ada getaran bibir seakan mahu mengeluarkan patah perkataan tetapi segera Iqmal Hisyam meletakkan jari telunjuk di bibirnya sebagai isyarat supaya gadis itu tidak menyambung kata. Menyebabkan gadis itu mengalah dalam senyuman.

Previous: Bab 41
Next: Bab 43

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurul jannah