Home Novel Cinta Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 40

Syazwan dan Nadia Asyila melabuhkan duduk di kerusi berhadapan dengan Fasha. Kawasan restoran agak lengang. Tidak banyak orang yang datang untuk menikmati hidangan petang.

Fasha mencerunkan matanya ke arah Nadia Asyila. Tidak senang dengan gelagat wanita itu dan Syazwan yang datang secara tiba-tiba dan duduk tanpa diundang. Direnung insan di hadapannya dengan pandangan yang tidak senang. Memang dia tidak menyenangi akan kehadiran mereka.

“ Hai. Long time no see.”

Nadia Asyila menuturkan ayat tersebut. Masih diingati ayat yang dilontarkan oleh Fasha kepadanya semasa mereka berada di Terengganu.

“ Kenapa? Kau dah mula rindukan aku?”

Wanita itu membidas. Senyuman yang diberikan sinis. Memain-mainkan jarinya pada penyedut minuman.

“ Mungkin! Aku sentiasa rindu dengan orang tak guna macam kau.”

“ Oh. Pertama kali aku mendengar kata-kata kau yang agak kasar.”

Fasha melepaskan ketawanya. Tangannya juga dirapatkan untuk menghasilkan bunyi tepukan. Senang padanya untuk mengejek insan yang langsung tidak memberi apa-apa makna untuk dirinya.

“ Sudahlah! Korang berambus dari sini. Aku sedang menunggu seseorang. Lain kali la kita bersembang. Aku tak ada masa nak bercakap perkara yang remeh temeh.”

“ Siapa? Syed Faizal?”

Sekali lagi Fasha mencerunkan matanya kepada wanita itu. Nadia Asyila melebarkan senyumannya.

“ Aku tahu segala-galanya tentang kau. Ya! Mungkin kau tak ada masa untuk bercakap perkara yang remeh temeh. Mungkin perjumpaan yang bakal kamu adakan juga untuk membuat cadangan lain untuk hapuskan aku.”

Fasha sedikit tersentak. Namun tidak ditunjukkan reaksi yang tiba-tiba itu. Cuba disembunyikannya. Nadia Asyila terus menghadiahkan senyuman untuk dilihat oleh wanita yang berada di hadapannya.

“ Aku juga tahu yang keadaan Hisyam sekarang disebabkan oleh kau.”

“ Hei kau cakap jangan main nak tuduh jer. Kalau kau tak ada bukti kau jangan nak cakap sembarangan. Polis macam kau ni langsung tak memberikan apa-apa makna pada aku.”

Wanita itu sudah bangun dari duduknya. Suara yang dikeluarkan juga agak tinggi. Ada beberapa mata yang sedang memandang ke arah mereka.

“ Kau takut?”

Sekali lagi wanita itu meledakkan ketawanya.

“ Aku takkan pernah takut dengan orang macam kau.”

“ Dengan aku mungkin. Tapi macam mana dengan undang-undang?”

“ Hei perempuan! Apa yang kau nak cakap sebenarnya hah?”

“ Kau dah mula takut kan?”

Nadia Asyila masih dengan senyumannya.

“ Kau jangan nak senyum la perempuan. Aku benci tengok muka kau.”

Sepantas itu juga diambil jus yang menjadi minumannya seketika tadi. Pantas disimbah mengenai tepat ke wajah Nadia Asyila. Malang untuknya kerana tidak sempat mengelak. Syazwan juga tidak sempat untuk melakukan apa-apa.

“ Kau jangan perkecilkan aku Nadia.”

Nadia Asyila mengelap wajahnya dengan tisu yang dicapai di atas meja. Cuba untuk bertenang seketika. Terasa berdebar hatinya dengan perasaan marah yang semakin membuak.

“ Aku ada surat jemputan untuk kau.”

Dibuka dan ditunjukkan surat itu tepat ke wajah Fasha. Syazwan mengambil tempatnya. Berdiri di belakang perempuan itu. Mata Fasha terbeliak dengan apa yang dibacanya. Namanya tertera di waran tangkap yang berada di tangan Nadia Asyila.

Tanpa menunggu tindak balas daripada Fasha, Syazwan terus memasang gari di tangan milik wanita itu.

“ Apa ni Nadia?”

Nadia Asyila melangkah rapat. Terlalu sedikit jarak yang memisahkan mereka.

“ Kau ditahan atas tuduhan merancang pembunuhan dan menyebabkan kematian.”

Perlahan dibisikkan ke telinga Fasha.

“ Kau tak ada bukti.”

“ Aku tak perlu tunjukkan bukti untuk berurusan dengan pembunuh macam kau.”

“ Kau bangsat Nadia.”

Cuba diludah wajah di hadapannya. Untuk kali ini, Nadia Asyila berjaya mengelak. Serentak itu juga tangannya melayang. Tepat mengenai wajah Fasha yang terkedu dengan tindakannya.

“ Sebagai permulaan hukuman yang akan kau terima.”

Syazwan menarik gari yang mengikat pergerakan wanita itu. Pintu keluar dicari. Hanya beberapa langkah, kakinya terhenti dengan langkahan Fasha yang mati.

“ Aku takkan puas selagi kau dan Hisyam tak mampus.”

“ Itu pun kalau kau tak mati di tali gantung.”

“ Kau memang bedebah.”

Dia terpaksa melangkah apabila Syazwan menarik tangannya sedikit kuat.

Previous: Bab 39
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurul jannah