Home Novel Cinta Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Mastura Abdullah
14/3/2014 15:43:33
1,169,222
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 6

6

"JOM makan, saya laparlah!"

Ajak Izzul Haq ketika mereka melintasi pintu balai ketibaan. Dua jam yang lepas, mereka bertemu di dalam perut pesawat. Kini, pertemuan itu berlanjutan sehingga dia tidak tahu bagaimana cara hendak menjauhkan diri dari lelaki itu. Menghalaunya pulangkah? Aduh, tidak tergamak rasanya memandangkan betapa jauhnya perjalanan mereka berdua. Barangkali lebih elok jika dia menerima kehadiran lelaki itu sebagai kehadiran seorang tetamu.

"Habis tu, beg ni nak tolak ke sana sini?"

"Penat ke? Mari saya tolakkan!"

Tawar Izzul Haq. Iris Suhayla menapak ke belakang apabila Izzul Haq mendekati troli yang sedang disorongnya. Buat apa dia menolak jika tawaran itu lebih memudahkannya lalu diikuti sahaja langkah lelaki itu.

"Dah hilang sakit kepala?"

"Dah."

"Lepas hantar awak ke rumah sewa nanti, kita pusing tengok sekolah dulu, lepas tu saya nak balik KL semula,"

Beritahu Izzul Haq tentang rencananya. Jika diikutkan hati, dia ingin menemani Iris Suhayla lebih lama namun kekangan waktu lapang, ditambah pula dengan keadaan Iris Suhayla yang seakan tidak sudi didekati membataskannya. Barangkali Iris Suhayla perlukan ruang untuk mengenali dirinya. Tak mengapalah.

"Okey,"

Jawabnya mudah.

APABILA pintu apartment dibuka, Iris Suhayla ternganga. Tak sangka apartment itu sudah siap dikemas dan tunggu masa untuk diduduki sahaja lantas wajah Izzul Haq dipandangnya.

"Rumah awak ke?"

"Rumah saya? Rumah awaklah ni,"

Dalihnya, menyerahkan kunci apartment kepada Iris Suhayla. Walaupun tidak mengerti apa yang berlaku, diambil juga kunci itu.

"Rasanya saya baru survey aje dalam internet pasal rumah kosong di Labuan. Kat mana nak tinggal pun, saya belum buat keputusan lagi. Macam mana dah boleh dapat kunci secepat ni?"

"Kalau saya kat tempat awak, malas saya fikir semua benda ni bila dah ada tempat berteduh. Semua dah lengkap pulak tu,"

Balas Izzul Haq sambil menarik beg Iris Suhayla. Pintu bagi kamar utama apartment itu ditolak dengan cermat lantas dengan bersahaja dia meletakkan barang-barang Iris Suhayla di tepi dinding kamar peraduan itu.

"Lagak macam tuan rumah aje awak ni. Cuba cakap betul-betul, rumah ni awak punya, ya?"

"Saya punya? Kan saya dah kata awak yang punya,"

Balasnya, masih menyorokkan fakta dari Iris Suhayla. Dia berjalan ke arah tingkap lantas ditolaknya daun tingkap satu per satu. Dari situ dapat dilihat betapa birunya pemandangan di Laut Cina Selatan.

"Nak tengok laut?"

Tanya Izzul Haq kepada Iris Suhayla namun gadis itu tidak menjawab. Bila Izzul Haq menoleh ke belakangnya, Iris Suhayla sudah tiada di situ.

IRIS Suhayla senyap sahaja apabila disuruh masuk ke dalam kereta. Kata Izzul Haq, dia tak perlu bersusah payah ke sekolah kerana pengangkutan sudah ada. Yang tinggal hanyalah keberanian untuk memandu kereta.Iris Suhayla memegang kepala yang tidak sakit. Bertambah lagi kejutan yang diterimanya.

"Kereta ni saya punya jugaklah?"

Sinis Iris Suhayla bertanya. Izzul Haq menyambutnya dalam tawa. Barangkali Iris Suhayla sudah mengerti bahawa segala-galanya telah tersedia buat dirinya.

"Siapa awak ni sebenarnya?"

"Tunang awak, kan?"

Jawabnya ringkas. Belum tiba masa buat dirinya mendedahkan apa yang tersimpan selama ini. Biarkan masa berlalu, sekurang-kurangnya sehingga tiba pada hari pernikahan mereka. Selepas itu, baru boleh dirungkai segala rahsia yang tersimpan rapi selama ini.

"Saya tak kenal pun awak, siapa keluarga awak, di mana awak tinggal, apa kerja awak tapi macam mana awak boleh meminang saya?"

"Tak adventure lah kalau saya cerita semuanya sekarang. Kalau awak berminat, awak boleh kenali saya, kalau belum berminat, tak perlu semua tu. So, kita dah sampai di sekolah awak. Tak jauh pun dari apartment tu. If you drive slowly pun, insyaAllah, akan selamat sampai dalam masa sepuluh minit."

Beritahu Izzul Haq sambil memberhentikan kereta di bahu jalan. Tidak menunggu lama, Iris Suhayla keluar dari perut kereta lantas berjalan menuju ke arah pintu utama sekolah.

"Ada yang boleh saya bantu?"

"Oh, saya cuma nak pastikan alamat sekolah sahaja. Nama saya Iris Suhayla, guru baru di sekolah ni,"

"Oh, guru baru! Kata guru besar ada seorang sahaja guru baru tahun ini. Mungkin Cikgu Iris lah orang yang dimaksudkan itu."

Balas pengawal itu dari dalam pagar sekolah. Iris Suhayla tersenyum cuma, kemudian dia meminta diri untuk pulang. Dia masuk semula ke dalam perut kereta sebelum Izzul Haq kembali memandu.

"Macam mana?"

"Selagi belum lapor diri, selagi tu belum boleh buat apa-apa kesimpulan,"

"Agreed! Positif bagus untuk memajukan diri,"

Ujarnya, bersetuju dengan pendapat Iris Suhayla. Dia terus membuat pusingan U sebelum berpatah semula ke apartment yang disewa khusus buat Iris Suhayla.

"Saya hantar awak balik ke rumah, lepas tu saya nak terus ke airport,"

"Emm...terima kasih!"

Ucap Iris Suhayla tanpa ragu. Terfikir juga hendak menghantar lelaki itu ke lapangan terbang namun egonya menghalang. Dia membuang pandang ke luar tingkap, mengamati jalan dan lorong yang dilalui supaya perjalanannya menjadi mudah kelak.

"You are most welcome."

"Saya tak boleh janji nak menjenguk awak di sini, cuma saya nak pesan jaga diri selalu."

Pesan Izzul Haq sambil membelok masuk ke perkarangan blok apartment Iris Suhayla. Tunangnya di sebelah tidak menjawab. Pasti gadis itu masih belum menyesuaikan diri dengan status mereka kini. Iris berjalan menuju ke arah lif sedang Izzul Haq masih tercegat di sisi kereta.

"Iris!"

Iris Suhayla mematikan langah ketika namanya dilaung. Dia berpaling menghadap Izzul Haq yang masih berdiri di sisi kereta. Izzul Haq menggoyang-goyangkan kunci kereta, memberi isyarat untuk menyerahkan kunci itu kepadanya.

"Thanks!"

Jawab Iris Suhayla, malas. Dia berpusing selepas mengambil kunci kereta itu namun panggilan kali kedua dari Izzul Haq menyebabkan dia berpusing lagi.

"Mungkin saya tak romantik macam orang lain. Lepas ni, mungkin tiada call atau mesej untuk awak tapi di mana pun saya, atau di mana pun awak, tolong jaga diri dan status awak. Saya tunggu awak kurang enam bulan lagi,"

Pesan Izzul Haq buat kali yang terakhir. Iris Suhayla tidak membalas, tetapi meneruskan langkah, perlahan-lahan hingga tiba di pintu lif. Ketika pintu lif terbuka, dia masuk dan menghadap ke arah letaknya kereta tadi namun kelibat Izzul Haq sudah hilang dari pandangan. Iris Suhayla menggosok-gosok keningnya. Sungguh, hari itu adalah hari yang sangat mencabar.Cabarannya adalah kerana terpaksa bersemuka dengan Izzul Haq ketika dia langsung tidak bersedia.


"BOS, ni surat jemputan untuk hadir ke pelancaran model baru Audi.Februari 15 di United Kingdom. Kalau bos nak ke sana saya nak comfirmkan kehadiran dan booking tiket sekali."

Beritahu Aina, menyerahkan surat jemputan kepada Izzul Haq. Sekilas lalu, Izzul Haq membaca kandungan surat jemputan itu. Kemudian, dia menyelak kalendar peribadi untuk melihat tarikh tersebut sama ada telah terjadual dengan kerja ataupun tidak.

"Jadual bos penuh sampai bulan lima,"

Jelas Aina ketika melihat Izzul leka menyelak kalendar peribadinya. Izzul mengangkat muka, bagai tidak percaya dengan Aina tentang jadualnya. Aina segeramenghulurkan jadual kerja Izzul Haq yang memang telah dicatat di dalam diarinya. Izzul menyelak satu persatu sehingga ke penghujung tahun. Hampir setiap hari, termasuk Sabtu dan Ahad telah dibulatkan dan dicatatkan nota pada tarikh tersebut.

"Okey. Terima jemputan dari Audi. Tapi saya cuma nak tiga hari sahaja di sana. A day before and two days later."

"Kemudian, rearrange my schedule on June. Saya tak mahu sebarang aktiviti pada bulan enam. Enjak semuanya kepada bulan tujuh dan ke atas."

"Alamak, bos nak kahwin ke bulan enam tu?"

Izzul Haq ketawa sahaja. Walaupun benar apa yang Aina duga, dia belum mahu mengiyakan. Belum tiba masanya untuk dia membuat sebarang pengumuman tentang hal perkahwinannya. Tambahan, semuanya masih awal lagi.

"Oh, asal cuti panjang sikit, kahwinlah, ya?"

"Iyalah, tak ada angin masakan pokok bergoyang. Takkan bos tak dengar gosip hangat yang mengatakan bos dah bertunang?"

Tanya Aina, dengan sebelah tangan di tepi mulut. Seolah-olah berita itu rahsia antara dia dan Izzul Haq.

"Nama pun gosip."

"Eh, saya pun nak berehat jugak. Bukan awak aje yang penat. Dah lama saya tak berehat panjang."

Tambah Izzul Haq lagi.

"Iyalah bos, berehatlah. Tapi sebelum berehat. Bos kena harungi semua jadual yang saya dah susun ni. Lima bulan yang penuh dengan aktiviti. Chaiyok, bos!"

"Chaiyok apa pulak?"

"Bahasa korea. Ibarat bos bolehh!!!"

"Macam-macamlah awak ni, Aina,"


IRIS Suhayla melangkah masuk ke dalam bilik mesyuarat dengan penuh yakin. Walaupun hari itu merupakan hari pertama dia melapor diri, namun dia berasa teruja dan bersemangat untuk bersama-sama barisan warga pendidik membangunkan potensi murid di sekolah itu. Setiap wajah yang dilihat, tak kekok dia menghadiahkan senyuman. Pelbagai juga reaksi mereka. Ada yang turut membalas dengan senyuman, tidak kurang juga yang bersahaja ketika dia menghulur senyuman.

"Mungkin Cikgu Iris boleh perkenalkan diri serba sedikit memandangkan ini hari pertama cikgu bertugas,"

"Assalammualaikum dan selamat pagi. Terima kasih saya ucapkan kepada yang berusaha guru besar, Puan Hajjah Aminah binti Salikin, barisan GPK, serta warga pendidik sekalian. Nama saya, Iris Suhayla binti Idris. Saya berasal dari Hulu Langat, Selangor dan berusia 25 tahun. Alhamdulillah, saya baru sahaja menamatkan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak. Harapan saya, semoga guru-guru semua dapat memberi tunjuk ajar kepada saya tentang persekitaran kerja dan budaya sekolah ini. Terima kasih!"

"Dah kahwin ke belum?"

Celah seorang guru lelaki, mengundang tawa seisi bilik mesyuarat itu. Iris Suhayla yang baru hendak duduk tersipu malu ditanya soalan sebegitu.

"Bujang,"

Jawabnya perlahan. Terus menundukkan kepala.

"Amboi Cikgu Nizam, asal ada cikgu baru mesti tanya dah kahwin ke belum! Berapa kosong lagi yang tinggal ya, Cikgu Nizam?

Sampuk guru besar, Puan Hajjah Aminah binti Salikin. Gelak tawa guru-guru lelaki bertambah kuat, memenuhi ruang bilik mesyuarat itu.

"Terima kasih kembali Cikgu Iris. Selaku guru besar saya mengalu-alukan kedatangan cikgu ke sekolah ini. Semoga ilmu pengetahuan yang cikgu timba semasa di maktab dahulu dapat cikgu gunakan sebaiknya untuk mendidik anak-anak di Labuan ini. Tempat baru, budaya baru, persekitaran baru, InsyaAllah, sama-samalah kita berkongsi ilmu yang ada untuk membantu Cikgu Iris mengenali sekolah ini,"

Kata guru besar selepas suasana riuh tadi kembali terkawal. Barangkali itulah asam garam bersosial dengan teman-teman seangkatan. Menyelit gurauan sebagai hiburan.

"Cikgu Nizam memang macam tu. Miang sikit. Hati-hati dengan dia, ya!"

Kata seorang guru bertudung merah jambu. Iris Suhayla cuma mengangguk. Hendak bertanya lebih lanjut, terasa masa itu bukan pilihan yang tepat.

"Saya Siti Hajar!"

Ujar guru itu lagi, memperkenalkan dirinya. Iris menyambut tangan yang dihulur bersama senyuman.

"Iris Suhayla, kak!"

"Tak payah panggil kak lah. Rasa macam tua sangat, panggil Siti aje,"

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.