Home Novel Cinta Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Mastura Abdullah
14/3/2014 15:43:33
1,168,387
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 14

14

IZZUL Haq menggenggam dan membuka jari jemari kirinya yang lenguh memicit butang nombor telefon bimbit Iris Suhayla semenjak setengah jam yang lalu. Apabila sambungan berhasil, hanya kedengaran suara operator yang menjawab. Jika berada di Kuala Lumpur, sudah lama dia terbang menjenguk Iris Suhayla di Labuan namun hakikatnya dia berada di kota London, menyaksikan pelancaran model terbaru Audi. Hanya pada hari esok baru dia akan berangkat pulang ke Malaysia. Itu pun selepas selesai perbincangan tentang pasaran model kereta tersebut di Malaysia kelak.

Jika tidak menonton berita di saluran internet, pasti dia tidak tahu apa yang berlaku terhadap Iris Suhayla. Itupun dia mengecamnya apabila nama Sekolah Kebangsaan Seri Layang disebut di dalam berita tersebut. Hanya seorang guru prasekolah yang mengajar di sekolah itu. Iris Suhayla!

"Kenapa, Iz?"

Tanya Hakimi.

"Iris! Payah betul nak angkat telefon."

Keluhnya sambil merenung telefon bimbit putih itu. Kemudian, dia menapak tanpa sebarang pesanan. Kepalanya berselirat dengan pelbagai persoalan tentang Iris Suhayla, si comel yang pemarah.


KETIKA dia menapak masuk ke dalam rumah kayu itu, telinganya sudah tertangkap sedu sedan. Dia menoleh ke arah Siti Hajar yang mengikut di belakang. Siti Hajar mengangguk, sebahagian semangat disampaikan kepada Iris Suhayla melaluinya. Ada beberapa orang wanita bersama emak Atif ketika mereka menghampiri.

"Puan sihat?"

Tanya Iris Suhayla, sambil menyalami wanita itu. Siti Hajar juga melakukan hal yang sama.

"Belum sihat, cikgu...selagi tak tahu di mana anak saya berada."

Jawab emak Atif bersama sedu sedannya. Iris Suhayla kebuntuan. Dia tidak tahu bagaimana hendak bereaksi. Bimbang jika bercakap lebih, ia bakal mengguris hati tetapi jika tidak bercakap, apa gunanya mereka melawat? Cukupkah sekadar renungan simpati tanpa menghulur sedikit semangat buat wanita itu.

"Ya, kami faham perasaan puan. Saya merasai juga kerana mengajar Atif di sekolah."

"Dia seorang murid yang bersemangat tinggi."

Iris Suhayla menambah lagi. Dia hanya ingin berkongsi cerita yang baik sahaja tentang Atif. Semoga dari cerita yang baik, mereka sama-sama beroleh ketabahan untuk menghadapi dugaan itu. Sukar pastinya, namun dia terus mengharapkan sinar dibaliknya.

"Iya. Hari-hari dia balik ke rumah cerita pasal cikgu. Sehari sebelum kejadian, cikgu ada bagi dia beruang teddy, kan? Dia suka sampai tidur sama teddy bah."

Sambut emak Atif lagi. Iris Suhayla terkenangkan beruang teddy berwarna biru, pemberian darinya buat Atif, serta-merta rasa pilu datang menjengah. Di mana agaknya Atif yang berbakat itu? Tangan di sebelah terasa menepuk lembut pahanya. Iris Suhayla berbalas pandangan dengan Siti Hajar yang tidak berbunyi semenjak tadi.

"Kita doakan yang baik saja, puan. Moga Atif segera pulang ke pangkuan puan dan segera kembali ke sekolah."

"Dan jangan pula disebabkan kes ini, bila Atif pulang ke rumah kelak, puan dah tak mahu hantarnya ke sekolah lagi."

Iris Suhayla sempat menambah. Dia hanya inginkan yang baik-baik sahaja walaupun sedang melalui masa-masa sukar itu. Semoga Atif cepat pulang dan kembali ke sekolah. Dia tidak sabar hendak mengajar Atif. Dia rindukan keletah Atif. Oh, Atif, cepatlah pulang."


"YA ALLAH, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hambaMu, anak kepada hamba perempuanMu, ubun-ubunku di tanganMu, terlaksana ke atasku hukumanMu dan adil kehakimanMu terhadapku, aku memohon kepadaMu dengan setiap nama yang Engkau namakan dengannya diriMu, atau Engkau turunkan di dalam kitabMu, atau Engkau telah mengajarnya kepada seseorang daripada makhlukMu atau yang tersembunyi pada ilmu ghaib di sisiMu, jadikanlah Al-Quran penenang hatiku, cahaya di dadaku, penghapus kedukaanku dan penghilang kesusahanku. Amin Ya Rabbal alamin."

Dia meraup muka, mengakhiri doa tersebut dengan rasa rendah hati. Riak ceria anak didiknya itu terbayang-bayang, menggamit ingatan biar sekelumit Cuma. Di mana anak itu? Moga dia sihat dan kembali pulang ke pangkuan keluarga yang sedang menanti saban waktu.


"ASSALAMMUALAIKUM!"

"Waalaikumussalam. Iris, Izzul ni. Jumpa saya kat airport. Saya sampai dalam tempoh dua jam lagi."

Beritahu Izzul Haq. Iris Suhayla tidak menjawab. Ngeri memikirkan masalah yang tak putus-putus menduga.

"Awak buat apa kat sini?"

"Saya nak jumpa awaklah."

Balasnya ringkas.

"Tak payahlah. Awak jugak yang kata jumpa bulan enam nanti, kan?"

"Suka hati sayalah. Saya yang beli tiket, kan?"

"Kalau macam tu, suka hati saya jugaklah nak jumpa awak ke tidak, kan?"

Tingkah Iris Suhayla pula, geram dengan tekanan yang diberi oleh Izzul Haq ke atas dirinya. Kalaulah lelaki itu boleh diganti dengan tanah liat, dia pasti lelaki itu sudah ditenyeh-tenyeh dengan ibu jari kaki sepenuh hati.

"Tak ada! Dua jam lagi saya nak jumpa awak kat airport. Assalammualaikum!"

Balas Izzul Haq, terus memutuskan talian. Iris Suhayla mengeluh lantas mencampakkan telefon bimbitnya ke atas tilam. Mengapa Izzul Haq muncul di tengah-tengah kekalutan yang sedang dilalui ketika ini? Jika bukan memikirkan harga yang perlu dibayar untuk menaiki pesawat ke Labuan, tak ingin dia bertemu dengan lelaki itu sedang dirinya dalam kegelisahan.


IZZUL Haq menghulur senyuman ketika melihat Iris Suhayla berada di depan mata. Lebih dua bulan yang lalu, mereka sama-sama tiba di lapangan terbang itu. Dua bulan yang berlalu itu dipenuhi dengan kerinduan namun ditegah dirinya untuk bertanya khabar apatah lagi menghubungi gadis itu. Kali ini, mereka bertemu lagi walaupun sambutan Iris Suhayla dingin seperti dinginnya perbualan mereka dua jam yang lepas. Dia mengerti. Dia mengerti mengapa Iris Suhayla dingin begitu.

"Awak sihat?"

"Emm...."

"Jom makan. Saya laparlah!"

Ajak Izzul Haq, bersahaja. Sebenarnya dia ingin menghiburkan wajah yang kelihatan sedang berduka itu. Sebab itu dia pantas ke Labuan sebaik tiba di KLIA. Penat dengan perjalanan jauh itu pun masih belum hilang namun buat Iris Suhayla, tidak mengapa. Dia rela mengorbankan keletihan itu.

"Asal sampai aje nak makan. Awak bayar sendiri tau. Kalau saya makan pun, awak yang bayar. Awak yang yang ajak makan, kan?"

Balas Iris Suhayla, tegang. Izzul Haq terus ketawa. Walaupun suara itu kedengaran agak kasar namun kesudian Iris Suhayla menemaninya hari itu cukup bermakna apatah lagi Iris Suhayla sedang dirundung duka.

"Awak nak makan kat mana?"

"Saya nak makan aiskrim! Siapa suruh awak ajak, kan?"

Jawab Iris Suhayla, selamba. Izzul Haq senyum sendirian. Sekurang-kurangnya Iris Suhayla mahu juga makan.


"CUTI sekolah bulan tiga ni awak balik kampung, kan?"

"Tak tahu lagi. Duit tak berapa ada nak beli tiket."

Jawabnya, tidak berselindung. Ketika itu, Izzul Haq baru memberhentikan keretanya di tepi pantai. Mereka berdua tidak keluar dari perut kereta sebaliknya hanya membuka pintu kereta supaya dapat menghirup udara segar.

"Baliklah. Pasal tiket tu saya boleh usahakan."

"Banyak betul duit awak. Asyik beli tiket kapal terbang aje."

"Bukan banyak duit tapi ada simpanan sikit-sikit."

Balas Izzul Haq, tenang. Dia kemudian membaringkan kerusi supaya lebih selesa. Kalaulah Iris Suhayla sudah sah menjadi isterinya, pasti sudah didakap Iris Suhayla supaya peraduannya bertambah lena. Oh!

"Simpan korek, simpan korek, bila nak penuh simpanan tu?"

"Simpan banyak-banyak pun nak buat apa?"

"Ada pulak tanya nak buat apa? Hari tua? Kecemasan? Nak buat haji? Ke tak berminat semua tu? Terasa diri sentiasa muda?"

Marah Iris Suhayla, tiba-tiba malah bertubi-tubi pula. Izzul Haq yang sedang memejam mata ketawa cuma. Iris Suhayla tiga belas tahun lalu dan Iris Suhayla tiga belas tahun kemudian tidak banyak langsung bezanya. Yang berbeza hanyalah wajahnya yang semakin comel, semakin dewasa.

"Tak ada perasaan langsung. Boleh pulak dia suka!"

Omel Iris Suhayla lagi. Matanya menjeling ke arah Izzul Haq yang masih tersenyum tanpa membuka mata. Kemudian, tertangkap dek telinganya dengkuran halus. Berkerut dahinya memikirkan diri tunangnya yang penuh misteri itu.

"Mudahnya dia tidur."


DIA berbaring di atas sofa setibanya di rumah. Menemani Izzul Haq yang datang tidak diduga dan pulangnya sekelip mata membuatkan dirinya tertanya-tanya tentang sikap lelaki itu. Hilangnya berbulan-bulan tanpa khabar berita dan kemunculannya juga secara tiba-tiba. Siapa lelaki itu sebenarnya? Dia pula? Bersediakah dia menerima Izzul Haq dan keanehannya sebagai suami kelak? Tidak dinafikan lelaki itu kacak tetapi cukupkah wajah yang kacak sebagai jaminan untuk hidup bahagia tambahan pula mereka bakal disatukan oleh keluarga? Namun sepanjang beberapa kali bertemu dengan lelaki itu, dia tidak nampak kepayahan lelaki itu menerima dirinya. Dia belum melihat ketidakselesaan lelaki itu terhadap dirinya.

"Mungkin sebab aku cantik kot."

Ujarnya perlahan namun cukup kuat buat Siti Hajar yang kebetulan lalu di sebelahnya berhenti dan dengan pantas duduk di sebelahnya. Pahanya ditepuk sekali. Iris Suhayla yang tidak menyangka akan kehadiran teman serumahnya bingkas duduk sambil mengurut dada.

"Kau cantik?"

"Ha ha ha."

"Cuba cerita. Cuba cerita. Cuba cerita!"

Pinta Siti Hajar sambil menggoncang bahunya beberapa kali. Dia tahu Iris Suhayla baru pulang dari bertemu dengan tunangnya namun wajah itu tidak menunjukkan tanda-tanda suka atau sebaliknya.

"Cerita apa?"

Balas Iris Suhayla, tidak mengerti apa yang dimahukan Siti Hajar.

"Kenapa kau cakap kau cantik? Apa yang berlaku tadi?"

"Tak ada apa pun. Saja aje nak puji diri sendiri. Tak boleh ke?"

"Eee...suka betul berahsia dengan aku! Baik kau cerita cepat, kalau tidak aku malas dah masak untuk kau,"

Ujar Siti Hajar,geram lalu dia pura-pura merajuk. Ketika dia bangun, Iris Suhayla cepat-cepat menarik tangannya hingga terduduk kembali. Walaupun lengannya sakit dek tarikan itu namun Siti Hajar ketawa sahaja.

"Siti, aku sebenarnya susah hati ni."

"Sebab?"

"Dah masuk hari kelima tapi belum ada berita lagi pasal Atif."

"Eeee, geramnya! Aku nak tahu kisah cantik tu, bukan kisah anak murid kau yang belum ada khabar berita tu. Sampai bila kau nak bersedih pasal Atif? Daripada kau buang masa memikirkan perihal Atif yang masih belum ada perkembangan tu, baik kau isi masa yang ada dengan solat hajat dan doa. InsyaAllah, doa gurunya pasti akan didengar!"

Balas Siti Hajar, agak keras. Sebelum ini dia bersimpati melihat keadaan Iris Suhayla yang terganggu dengan kehilangan anak muridnya namun kesedihan tidak akan berkesudahan jika tiada ikhtiar disampingnya. Tiada jawapan dari teman serumah lantas Siti Hajar bangun menuju ke kamar peraduannya. Iris Suhayla masih berfikir. Kata-kata Siti Hajar memang tepat. Tiada guna sedih dan bersusah hati. Bukankah doa itu ubat paling mujarab?


TIADA perbualan berlangsung sebaik mereka berdua masuk ke dalam perut kereta. Kesunyian itu berlarutan sehinggalah enjin kereta dimatikan. Pagi tadi mereka menerima berita bahawa Atif yang dilaporkan hilang telah kembali ke pangkuan PenciptaNya. Dia dipercayai ditolak ke dalam laut dan mayatnya ditemui terdampar di Pantai Batu Manikar. Lebih parah, perbuatan itu dilakukan oleh bekas bapa tirinya yang menggunakan Atif untuk membalas dendam terhadap ibunya.

"Begitulah perjalanan hidup kita, Su! Tak hari ni, esok! Bila, di mana dan bagaimana, tiada siapa yang tahu. Sampai masa, kita akan pergi juga."

Ucap Siti Hajar ketika dia sedang membuka pintu kereta. Iris Suhayla berdiam diri sebelum keluar dari perut kereta. Yang ada dalam mindanya cuma satu, bagaimana seorang insan bergelar bapa sanggup mengenepikan iman dan kewarasan hati demi memenuhi kehendak hati? Walau tersangkut pertalian tiri dan bukan dari darah daging sendiri, tiada simpatikah pada anak kecil yang pernah membesar di depan matanya satu masa dahulu?

"Ya, Siti! Tak hari ni, esok. Bila-bila masa saja kita akan didatangi malaikat maut. Moga-moga kita semua mati dalam iman."

"Amin."

Sahut Siti Hajar sebelum sama-sama melangkah ke arah lif. Walau wajah Iris Suhayla tidak sesugul sebelumnya namun air muka teman serumahnya itu masih tegang.

"Apa aku nak cakap dengan anak-anak murid aku nanti?"

Tanya Iris Suhayla ketika mereka baru berada di dalam lif. Siti Hajar menoleh ke kanan. Lama dia merenung Iris Suhayla. Rupanya hal itu yang menjadi kebimbangan. Iris Suhayla membalas pandangannya sebelum Siti Hajar menepuk lembut bahunya. Pintu lif terbuka sebelum mereka berdua melangkah keluar bersama-sama.

"Ceritakan sahaja hal yang sebenar. Kau cikgu, kan?"

"Cerita apa? Atif mati dibunuh?"

Soal Iris Suhayla kembali, perlahan tetapi menusuk masuk ke dalam telinganya bersama erti yang cukup mendalam.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.