Home Novel Cinta Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Mastura Abdullah
14/3/2014 15:43:33
1,167,693
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 24

24

SITI Hajar duduk di atas sofa. Menanti Iris Suhayla keluar dari kamarnya. Lama dia duduk menunggu namun kelibat Iris Suhayla tidak juga kunjung tiba. Selalunya, Iris Suhayla sudah duduk menonton rancangan kartun kegemarannya. Siti Hajar mengambil keputusan untuk menjenguk teman serumahnya di dalam bilik. Dia ketawa kecil melihat Iris Suhayla yang tidur sambil memeluk bantal golek.

"Oi, anak dara! Bangunlah! Tak nak tengok cerita Spongebob ke?"

Siti Hajar memanggil. Dia menekan ibu jari kaki kanan Iris Suhayla, berniat untuk mengejutkan Iris Suhayla dari lenanya.

"Su. Bangunlah! Meh la kita kongsi cerita. Aku dah lama tunggu ni."

Siti Hajar memanggil lagi. Iris Suhayla menggerak-gerakkan tubuhnya. Dia membalikkan tubuhnya ke kiri, memejam kembali kelopak mata yang masih berat.

"Oi! Banyak cantik muka hang. Tayang punggung kat aku."

Suara Siti hajar menyusup masuk ke dalam telinganya. Iris Suhayla senyum dengan mata yang masih terkatup.

"Bukan punggung, pungkok."

Dia membetulkan dialek utara yang diguna Siti Hajar dengan suara malas. Iris Suhayla membalikkan lagi badannya, kali ini menghadap Siti Hajar pula.

"Cerita apa kau nak tahu?"

"Kenapa satu sekolah tahu ada flight percuma sedangkan aku tak tahu ni? Mana aci."

"Beriya-iya kau kejut aku bangun ni sebab tu aje? Tak senonoh punya kawan."

Balas Iris Suhayla, sambil memukul Siti Hajar dengan bantal golek.

"Sakitlah. Main bantal hapak pulak dia."

Siti Hajar menggosok-gosok lengannya yang terkena bantal golek itu. Kuat juga pukulan teman serumahnya walaupun baru bangun tidur. Barangkali bateri dicas penuh ketika tidur tadi.

"Siti, aku balik kampung hari Rabu ni tau. Hati-hati duduk rumah seorang diri, ya?"

"Lusa?"

Tanyanya setelah mengira hari di dalam hati.

"Emm."

"Iyalah. Mesti banyak persiapan yang kau nak buat,kan?"

"Malas lah aku nak fikir pasal semua tu."

"Malas? Eh, mental dan fizikal kena ready tau. Kahwin bukan macam ikat tali. Masa mahu, ikat, masa benci, buka."

Ujar Siti Hajar, sebagai pesan. Iris Suhayla mula bangun. Dia duduk bersandar di kepala katil. Pesanan teman serumahnya dibiarkan berputaran di dalam kepala.

"Tang 'buka' tu bukan kuasa isteri, kan?"

"Hmm. Banyak lagi ilmu rumah tangga yang kau kena belajar ni. Macam nak main redah aje kau ni."

Balas Siti Hajar. Dia meragui kesediaan Iris Suhayla untuk berumah tangga.

"Redah aje lah. Dah memang kena redah, kan?"

"Gila! Takkan kau masih mengidam CEO kereta tu lagi kot."

Usik Siti Hajar. Iris Suhayla terus ketawa. Sudah lama juga Siti Hajar tidak mengusiknya dengan nama itu. Apa agaknya reaksi Siti Hajar jika andaiannya itu ternyata benar?

"Dah sah kau gila. Ingat sikit, Su. Tiga hari lagi kau bakal jadi isteri orang. Lupa-lupakanlah orang yang tak pernah kenal kau."

"Kau datang ke majlis aku nanti, ya?"

Tanyanya, sengaja mengalih tajuk perbualan mereka. Dia tidak mahu perihal Izzul Haq menjadi tumpuan Siti Hajar kerana dia belum bersedia untuk bercerita tentang lelaki itu kepada orang lain waima teman serumahnya sendiri.

"Kan bakal suami kau dah taja kita orang. Mestilah aku pergi."


IRIS Suhayla mencari Zakwan di Bilik Bimbingan dan Kaunseling. Dia meminta Siti Hajar menemaninya. Dari jauh dia dapat melihat kasut hitam terletak elok di tepi pintu. Barangkali Zakwan masih ada di dalam bilik itu memandangkan waktu tamat sekolah sudah tiba ke penghujungnya.

"Assalammualaikum."

Ucap Siti Hajar, agak kuat. Dia menanggalkan kasut lantas mengajaknya masuk ke dalam bilik itu.

"Zack!"

Panggil Siti Hajar lagi. Tiada suara menjawab namun Zakwan keluar dari bilik hujung tidak lama kemudian. Wajahnya keruh, tidak seperti selalu.

"Tak balik lagi ke?"

Tanya Zakwan, mendatar. Dia tidak ceria seperti selalu. Barangkali dia sudah tahu tentang berita perkahwinan Iris Suhayla, wanita idamannya.

"Kami nak balik jugak ni tapi singgah sini dulu."

Sambut Iris Suhayla pula. Dia mengeluarkan sampul keemasan lantas melihat nama yang tertera pada sampul tersebut. Zakwan menjeling ke arah sampul itu. Dia sudah tahu. Faiz sudah menceritakan segala-galanya semalam. Dia juga sudah tahu bahawa satu sekolah bakal diangkut menaiki pesawat untuk ke majlis tersebut. Dia tahu dan akan lebih pasti apabila Iris Suhayla menyerahkan sampul tersebut kepadanya sebentar lagi.

"Saya nak jemput Zack-"

"Tengok Su kahwin?"

Sambungnya, serius. Iris Suhayla mengangkat muka. Kali ini dia mendapat kekuatan untuk menentang wajah itu. Akhirnya dia mengangguk lantas kad jemputan itu dihulur kepada Zakwan.

"Sampai hati Su."

Kata Zakwan perlahan. Dia tidak menyambut kad undangan itu walaupun lama tangan wanita itu menghulur. Iris Suhayla menjatuhkan kembali tangannya. Dia diam tidak membalas kenyataan itu. Siti Hajar pula berasa kekok di celah perbualan itu lantas dia meminta izin untuk menunggu di luar. Barangkali Zakwan ingin meluahkan perasaannya terhadap Iris Suhayla.

"Su tak patut buat Zack macam ni."

Zakwan mengulangi kata-katanya sebentar tadi. Padanya, Iris Suhayla mempermainkan perasaannya. Jika benar Iris Suhayla sudah menjadi tunangan orang semenjak mula berkenalan, kenapa Iris Suhayla tidak berterus-terang dan terus memberi harapan?

"Saya tak buat apa-apa dan tak pernah cakap apa pun Zack."

"Kenapa Su tak berterus terang tentang status Su dan saja biarkan saya memikat Su?"

"Siapa awak Zack untuk saya cerita tentang diri saya? Kawan baik? Teman serumah? Mak? Ayah? Abang?"

"Awak pun tahu saya sentiasa mengelak bila jumpa awak. Tak cukup lagi ke bahasa saya tu?"

Tambah Iris Suhayla lagi. Hatinya panas bila dituduh begitu. Zakwan tidak segera menjawab namun matanya tajam menikam pandangan Iris Suhayla.

Siti Hajar yang menunggu di koridor luar berasa bimbang. Pertengkaran mereka terdengar hingga ke luar lalu dia menjenguk ke dalam. Wajah Zakwan merah padam buat pertama kalinya.

"Zack, saya minta maaf kalau buat awak terguris tapi inilah hakikatnya. Saya bakal menjadi isteri orang dan saya juga tak mahu kerana hal ini, status kita sebagai rakan sejawatan terjejas."

"Itu tanggapan awak pada saya? Rakan sejawatan?"

"Itu saja, Zack. Kalaupun saya belum berkahwin, belum tentu tanggapan saya lebih dari ini. Assalammualaikum."

Ucapnya lantas meletakkan kad jemputan itu ke atas meja tetamu. Dia memusingkan badan lantas berjalan menuju ke pintu.

"Jom, Siti! Kita balik."


"TUMPANG lalu."

Ujar seseorang. Iris Suhayla mengalih sedikit kakinya, membenarkan lelaki itu untuk masuk ke tempat duduknya. Isyarat memakai tali pinggang kaledar sudah dinyalakan lantas dia menarik tali pinggang kaledar untuk dipasang. Deruan enjin pesawat mengaum dengan lebih kuat, menunggu masa untuk berlepas. Di hadapan mereka pula, seorang pramugari sedang menunjukkan cara untuk memakai jaket keselamatan.

Iris Suhayla memejam mata. Dia membaca doa menaiki kenderaan di dalam hati serta memohon agar perjalanan mereka terlindung dari segala bahaya. Iris Suhayla membuka mata apabila pesawat mula bergerak perlahan-lahan. Tekaknya berasa mual, kepala mula berputar lantas dia mengeluarkan minyak angin yang telah disediakan di dalam beg galasnya.

"Mintak sikit."

Bisik seseorang di telinganya sebelum menarik minyak angin itu dari pegangannya. Dahi Iris Suhayla berkerut. Dia teringatkan Izzul Haq lantas dia menoleh ke sebelah kirinya. Tunangnya itu sedang menyapu minyak angin di tepi mata, kiri dan kanan. Iris Suhayla mengerdip matanya beberapa kali.

"Kenapa, terpikat dengan ketampanan saya ke?"

Usik Izzul Haq sambil berbisik. Dia meletakkan minyak angin yang diambilnya tadi ke atas riba Iris Suhayla.

"Eee, perasan!"

Balasnya, lambat. Itupun selepas dia yakin bahawa jejaka yang duduk di sebelah kirinya itu benar-benar Izzul Haq. Iris Suhayla memulas penutup minyak angin itu lantas menyapu sedikit ke tepi matanya, sama seperti yang dibuat Izzul Haq sebentar tadi.

"Tiru orang."

Kata Izzul Haq, mengusik lagi. Iris Suhayla naik geram. Dia menggumpal penumbuk lantas ditunjuk kepada lelaki itu.

"Uih, garangnya! Ni ada ciri isteriku gangster ni."

Izzul Haq terus-terusan mengusik. Iris Suhayla tidak menjawab. Rasa geramnya berganda-ganda, lantas penumbuk diempal sekali lagi. Dia menenyeh gumpalan penumbuk itu ke atas tangan kirinya tanda marah. kemudian, dia mengeluarkan earphone dari beg galasnya. Dia menyumbat kedua belah telinganya dengan earphone itu lalu memainkan lagu dari pemain mp3 dengan kasar. Izzul Haq di sebelah tidak dipedulikan. Dia membelakangkan lelaki itu sambil memejam mata.

Dia hanya tersedar apabila terdengar sayup-sayup pengumuman yang dibuat oleh kapten pesawat tersebut.

"Untuk makluman tuan, cuaca di Kuala lumpur agak panas dan dijangka meningkat sehingga 34 darjah pada hari ini. Kita dijangka mendarat pada pukul 4.45 petang. Kami warga Penerbangan MAS mendoakan agar perjalanan tuan selamat. Kami gembira dapat bersama tuan di sepanjang penerbangan ini dan berharap dapat bertemu tuan dalam penerbangan yang lain. Terima kasih."

Iris Suhayla menepuk tengkuknya beberapa kali. Tidur dalam kenderaan yang bergerak-gerak seperti itu hanya menambah kelesuan. Dia melihat pemandangan di luar. Kapal terbang hampir mendarat. Dadanya berdetak lebih pantas. Saat kapal mendarat adalah saat yang paling mendebarkan. Henjutan badan pesawat ke atas landasan melalui rodanya sangat-sangat mencemaskan. Iris Suhayla mencengkam pembahagi kerusi dengan kuat sambil memejam mata. Badannya turut terhenjut apabila pesawat mula mencecah landasan dan dia berasa seolah-olah kapal bakal menjunam jatuh. Sekejap sahaja. Kemudian, keadaan kembali seperti biasa.

"Dah sampai dah kita, labu."

Beritahu Izzul Haq sambil membuka jaketnya. Iris Suhayla kembali membuka mata.

"Labu dia panggil aku."


IRIS Suhayla berjalan keluar dari balai ketibaan sambil menolak begnya. Dia menoleh ke belakang namun Izzul Haq sudah berjalan di sampingnya.

"Jom makan! Saya laparlah."

Ajak lelaki itu. Iris Suhayla tidak terus membalas kerana dia juga berasa lapar. Manakan tidak, dia berkejar ke lapangan terbang selepas sesi pembelajaran murid prasekolah tamat. Dia hanya sempat menjamah mee yang digoreng Kak Nisa pagi tadi. Kini, perutnya berdikir meminta diisi. Cuma dia yang teragak-agak. Dia perlu menyusun kata supaya tak kelihatan yang dia bersependapat dengan Izzul Haq.

"Dah agak dah. Sampai aje airport, lapar. Sampai aje airport, lapar."

"Iyalah. Dah berbini esok, hilanglah lapar saya yang tak tentu hala ni. Maklumlah, ada bini yang bakal jaga makan minum saya."

"Ha ha. Nampak gayanya awak akan terus berlaparlah Encik Izzul."

Iris Suhayla mengejek, namun suaranya perlahan sahaja. Hampir berbisik.

"Tengah praktis cakap dalam bilik ke?"

"Eee, tolonglah!"

Katanya. Izzul Haq ketawa kecil. Kemudian, mereka berdua sama-sama berhenti di restoran Secret Recipe. Iris Suhayla mengambil tempat di hujung restoran. Mereka berdua duduk, menunggu pelayan namun tiada siapa yang mendekati mereka. Izzul Haq menjeling ke arah kaunter restoran yang sentiasa dipenuhi pelanggan.

"Self service I guess."

Katanya lantas bangun.

"Nak makan apa?"

Tanyanya lagi. Izzul Haq sudah berdiri. Iris Suhayla tidak menyahut. Dia berfikir sejenak, bertanya tekak akan makanan yang ingin dinikmati.

"Emmm.... Nak makan noodle tomyum soup tu."

"Kek nak jugak. Nak carrot cake for one slice. Awak belanja."

Sempat dia menambah. Izzul Haq tersenyum sebelum berlalu ke kaunter. Sementara menunggu hidangan yang dipesan tiba, Iris Suhayla mengaktifkan kembali telefon bimbitnya. Ada beberapa pesanan ringkas masuk ke dalam kotak pesanan. Iris Suhayla membaca satu per satu. Mesej dari Afiqah segera dibalas.

"Aku dah sampai KLIA. Tengah date dengan my future hubby."

Dia menaip mesej itu kemudian menghantarnya ke talian telefon bimbit Afiqah. Tiba-tiba debaran di dadanya berdetak kencang. Entah mengapa perkataan bakal suami yang tidak pernah diendahkan selama ini membuatkan dirinya serba tidak kena. Bagaimana dengan hari pertamanya nanti? Perlukah dia berlagak asing atau terus menerima Izzul Haq sebagai suami?

"Kejap lagi makanan sampai."

Jelas Izzul Haq. Dia duduk berhadapan Iris Suhayla. Wajah tunangnya itu diperhatikan dengan penuh minat. Iris Suhayla berpaling ke arah lain apabila dirasakan mata lelaki itu seakan meratah wajahnya. Ini kali pertama dirinya jadi tidak menentu setelah mengenali Izzul Haq.

"Barang hantaran dah ada ke?"

"Masa bila saya nak beli? Bukan ke saya ni tiba-tiba kena kahwin?"

Balasnya, masih memandang ke arah lain. Dia melihat gelagat para penumpang yang lalu lalang di hadapan mereka. Barangkali itu dapat mengurangkan debarannya.

"Kena? Awak masih tak sudi jadi isteri saya ke?"

"Sudi tak sudi pun kena kahwin jugak, kan?"

"Saya pun kena kahwin jugak."

Izzul Haq membalas. Dia sengaja menekan perkataan 'kena' itu untuk menarik perhatian Iris Suhayla. Perlahan-lahan, Iris Suhayla memandangnya kembali.

"Memang saya nak kahwin tapi bukan seawal ni. Rancangan saya bulan enam ni, bukan bulan tiga. Sama-samalah kita redha Puan Izzul, ya?"


DERUMAN enjin kereta Izzul Haq sudah lama menghilang. Iris Suhayla berdiri di hujung anak tangga lalu memberi salam. Sudah lebih tiga bulan dia meninggalkan kampung. Selama tempoh itu, warna cat rumah telah berubah. Ada lebih banyak pohon bunga yang menghiasi tangga rumah. Halaman juga semakin terang. Rasanya pokok ciku sudah ditebang ayah.

"Assalammualaikum."

Dia memberi salam sebelum masuk ke dalam rumah namun berpaling ke luar rumah apabila namanya dipanggil.

"Angah!"

Jeritnya lantas laju menuruni anak tangga rumah. Abang nombor dua itu dipeluk erat, seperti selalu.

"Balik berhantar nampak."

Usik Riyad selepas Iris Suhayla meleraikan pelukannya. Iris Suhayla mencebik sahaja. Dia tahu semenjak mula-mula hendak ditunangkan pun Riyad galak mengusiknya.

"Angah balik senyap-senyap aje, kan. Langsung tak beritahu Su."

"Angah dah seminggu balik. Malaslah nak kacau Su. Saja nak buat surprise."

Jawab Riyad lantas memaut bahu adik kesayangannya. Mereka kembali menuju ke rumah apabila terdengar suara emak menegur dari jendela.

"Bukan dia nak tanya khabar mak ayah dia. Sibuk dengan angah lagi rupanya."

"Alah mak ni. Bukan senang nak jumpa angah-"

"Ha ah. Mak ni senang sangatlah jumpa Su tiga beradik."

Emak menjawab dengan nada menjauh. Iris Suhayla berlari anak mendaki tangga. Kemudian, dia memeluk emak dari belakang.

"Mak apa khabar? Sihat ke?"

Tanya Iris Suhayla lalu meleraikan pelukannya. Dia berdiri di sebelah emak, melihat ke luar melalui jendela kayu itu.

"Sihat sangat. Su balik dengan Izzul, ya?"

"Emm. Dia sampaikan salam pada mak dan ayah."

"Waalaikumussalam."

Jawab emak perlahan.

"Eh, berani dia tak kirim salam pada angah?"

Riyad menyampuk dari daun pintu. Dia duduk di situ, mengambil angin petang yang hampir ke hujungnya.

"Buat apa kirim salam pada angah. Bukan laku pun salam dia tu."

"Oh, dulu bukan main marah lagi dengan tunang dia tu. Sekarang semua nak menangkan tunang dia. Along balik nanti, siap Su. Lepas kahwin ni, lagi siap Su dengan Izzul."

Balas Riyad, sengaja mengugut. Iris Suhayla menjelir sambil memaut bahu emaknya.

"Emmm.... nak mula dah. Dia nak mula dah. Tak kira maghrib ke subuh ke. Asal jumpa aje adalah benda yang dia nak gaduhkan tu."

"Siapa? Angah? Angah memang macam tu dari dulu. Pendengki!"

"Tepi sikit. Mak nak tutup tingkap ni. Korang selagi tak gelap, selagi tu duduk bertenggek sana sini. Bila dah penghujung maghrib, semua berlumba nak mandi."

Leter emak sambil mengunci tingkap. Iris Suhayla berundur ke belakang sedang Riyad bangun lalu menutup pintu.

"Tak payah kunci. Kejap lagi ayah nak ke masjid."

Pesan emak. Riyad akur. Iris Suhayla mengambil beg kainnya lalu membawanya masuk ke dalam bilik.

"Aik. Mana pergi katil kayu tu?"

"Ada, bawah rumah tu. Ayah nak buat kayu api masa kenduri nanti. Kalau rasa sayang, pergilah ambil balik."

"Hah, kayu api? Sayangnya... dah tu, mana pulak bantal golek Su?"

"Bantal golek busuk pun cari. Tak payah nak bantal golek sangat. Suami Su tu nanti jadi bantal golek."

Riyad menyahut dari bilik sebelah. Terasa seperti lama tidak menyiat kertas. Kalaulah Riyad itu kertas, sudah lama dia siat-siat Riyad menjadi cebisan kecil. Geram.Grrrr.

"Kenapa gatal sangat angah ni? Cili giling karang."

"Cili giling sokmo dia ni."

Aini ketawa kecil. Sesungguhnya itulah saat yang paling dirindui. Dia rindukan 'amukan' anak-anaknya yang pantang berjumpa. Kalau Hafiy ada bersama, pasti rumah itu lebih riuh.

"Bergaduh lagi?"

Tanya Idris kepada isterinya. Dia berhenti di muka pintu sambil membutangkan baju yang paling atas. Aini mengangguk, juga tersenyum. Idris menggeleng sebelum menarik daun pintu. Sekejap sahaja, kelibatnya sudah tidak kelihatan lagi.

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.