Home Novel Cinta Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Mastura Abdullah
14/3/2014 15:43:33
1,168,174
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 28

28

"BILA kita nak balik? Cuti saya dah nak habis."

Soalnya, sambil membuang pandang ke arah batang pancing. Izzul Haq juga begitu khusyuk memerhati batang pancingnya dimakan ikan. Tiada jawapan dari mulut lelaki itu. Lama juga dia menanti hingga lelaki itu membuka mulut jua akhirnya.

"Balik ke mana?"

"Balik ke rumah mak lah. Nanti nak balik ke Labuan pulak."

Tekannya, lagi. Izzul Haq sekali lagi menoleh ke arahnya. Tiada jawapan lagi. Iris Suhayla jadi hairan dengan gelagat lelaki itu yang kembali menyepi.

"Bila awak nak mintak balik ke Semenanjung?"

"Err...saya tak terfikir pun nak balik ke Semenanjung. Lagipun, saya baru aje nak serasi dengan kawan-kawan di sana."

Jawabnya, jujur. Soalan Izzul Haq itu langsung tidak dijangka hingga dia pula yang termenung panjang. Kembali mencari jawapan terhadap persoalan itu. Raut wajah insan-insan di sekelilingnya terbayang seorang demi seorang. Siti Hajar, Kak Nisa, cikgu-cikgu SKSL, Syahmi tanpa gigi hadapan, Awang yang suka mengorek hidung, Sofia, Saufi.

"Mungkin dulu awak tak terfikir tapi sekarang awak dah kena fikir. Saya bukan lagi tunangan awak, saya ini suami awak."

"Betul... Awak suami saya tapi saya seorang isteri yang bekerja. Awak kena faham juga."

Tingkah Iris Suhayla, tidak berpuas hati dengan kenyataan itu. Dia tidak bersetuju jika perkahwinan membawa maksud duduk di dalam rumah dan melupakan segala-galanya.

"Bekerja hanya jika diizinkan. Kalau saya tak izinkan?"

Izzul Haq bertanya lagi, membikin panas di hati. Iris Suhayla terus tidak menjawab. Dia malas hendak bertekak lalu segera bangun dan menjauhkan diri. Barangkali dia belum memahami diri Izzul Haq dan barangkali Izzul Haq tidak berniat untuk memperlakukan ucapannya sebentar tadi. Iris Suhayla berjalan hingga ke belakang dek. Dia mundar-mandir hingga kepenatan.


IRIS Suhayla masih tiada suara ketika mereka menjamu makan malam di sebuah restoran di Pantai Cenang. Malam itu mereka kembali ke darat setelah dua malam berada di atas bot. Pesanan mereka telah tiba. Izzul Haq lantas memimpin bacaan doa makan sebelum mereka berdua sama-sama menikmati hidangan malam bertemankan cahaya lilin dan bunga segar.

"Senyap aje...marah lagi ya?"

"Tak marah pun. Lapar aje."

Dia menjawab perlahan. Kemudian dia melorek sedikit senyuman, supaya nampak lebih manis di mata seorang suami. Tiada guna memanjangkan pertelingkahan itu. Benar kata Izzul Haq. Dia kini bukan tunangan yang dahulu boleh diperlekeh. Dia kini seorang suami yang juga pemimpin serta wajar dihormati.

"Kan comel kalau senyum macam ni selalu."

Iris Suhayla senyum sahaja, kemudian dia mengerdipkan matanya beberapa kali, mengundang tawa sang suami.

"Memanglah saya comel. Untung awak, kan?"

"Ha ah...untung kan! Sedap mata memandang. Harap-harap, muka yang comel ni masih comel tiga puluh tahun nanti."

Usik Izzul Haq. Iris Suhayla mengangkat muka. Dia membayangkan dirinya selepas tiga puluh tahun. Ada kedut di bawah dagu serta mata, lalu mata memandang tepat wajah si suami. Menyesal pula terlepas kata.

"Kalau tak comel?"

"Eh, bukan tadi awak yang cakap saya beruntung sebab awak comel?"

"Tarik balik."

Selamba dia membalas sambil menyua nasi ke dalam mulut. Kemudian, seorang pelayan menghampiri lalu menghidangkan sesuatu kepada Iris Suhayla.

"Apa ni?"

"Aiskrim goreng perisa vanila,

Lepas makan jangan over gumbira,

La la la la."

Iris Suhayla membaca pantun dua kerat dengan kening yang keruh. Kemudian, terdengar tawa si suami yang meletus tiba-tiba. Lelaki itu menolak pinggannya ke tepi. Iris Suhayla sengih sahaja.

"Sempat lagi dia tulis pantun...mengenakan orang pulak tu."

Kata Iris Suhayla. Perlahan-lahan dia memotong aiskrim goreng yang masih panas itu. Kemudian, dia menyua ke mulutnya sekali sebelum mempelawa Izzul Haq untuk sama menikmati kenikmatan aiskrim goreng namun lelaki itu menolak.

"Perjalanan hidup kita tak panjang mana. Tiada alasan untuk menikmati hidup asalkan tidak melanggar batas-batasNYA."

"Iya, awak betul! Thanks, Izzul. Bawa saya bersiar-siar di Langkawi, naik feri dan aiskrim goreng."

"Thanks to Iris Suhayla, kerana sudi jadi isteri saya."

Ucapnya lalu mengajak sang isteri menikmati pemandangan malam di Pantai Cenang. Iris Suhayla akur. Dia menyudahkan suapan terakhir sebelum berdiri, namun matanya sempat menangkap ros cantik yang menyeri meja makan itu. Izzul Haq sempat memerhati lagak isterinya menarik sekuntum bunga.

"Nak buat apa bunga tu?"

"Nak buat main."

Balas Iris Suhayla, lalu ketawa kecil. Izzul Haq menggeleng namun dia tertawa juga di penghujungnya.


AINI melihat dari jauh sikap Dianah yang asyik termenung semenjak keluar dari persembunyiannya tempoh hari. Cakapnya sepatah sepatah, menungannya panjang. Sekejap-sekejap dia menangis. Kekadang dia nampak kecewa. Begitulah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

"Kak Aini nak ke balai raya. Ada kelas memasak. Diah nak ikut?"

"Tak apalah. Kak Aini saja yang pergi."

"Marilah ikut Kak Aini. Kita jalan-jalan, hirup udara kampung."

Ajak Aini, tidak mahu cepat melatah. Kali ini dia lebih bersungguh. Dia menarik tangan Dianah yang masih belum mahu mengikut. Beberapa kali juga dia melakukan hal itu sehingga berjaya. Dianah bangun juga, lambat-lambat.

"Saya ke dalam dulu, nak pakai tudung."

Ujar Dianah, perlahan. Aini mengangguk dan menghantar langkah Dianah masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur. Lama juga dia menanti sehingga kelibat yang dinanti muncul juga. Dia tersenyum dari jauh. Dalam hati, dia memanjat kesyukuran. Sekurang-kurangnya Dianah tidak lagi berkurung di dalam rumah. Ketika mereka mula menapak, kelibat kereta menantunya kelihatan dan berhenti tidak jauh dari mereka. Iris Suhayla muncul selepas itu. Dia memeluk emak kemudian memegang tangan Mak Su Dianah.

"Mak nak ke kelas memasak ke?"

"Iyalah nak oi. Awak tu seronok sangat ke makan aiskrim sampai berhari-hari tak jumpa jalan balik ke rumah?"

"Su makan aiskrim kat Langkawi. Mak Su sihat ke? Su rindulah dengan Mak Su."

Dia mengalih perbualan itu dan bertanya khabar Mak Su Dianah. Izzul Haq sudah berdiri di sisi, bersalaman dengan emak dan Mak Su Dianah.

"Sihat. Mak Su pergi dulu ya."

Jawab Mak Su Dianah, bersisa duka. Iris Suhayla dapat mengesan perasaan yang terbuku itu. Emak di sebelah memberi isyarat supaya dia segera masuk ke dalam rumah.

"Iz rehat dulu, ya. Malam nanti kita sembang panjang."

"Baik, mak. Iz ke dalam dulu."

Jawabnya penuh tertib, seperti selalu. Dia mengikut langkah Iris Suhayla, namun tertanya-tenya juga tentang Mak Su Dianah yang muram sejak mereka berkenalan tempoh hari.


SELEPAS pulang dari kelas memasak, emak segera ke dapur, menyediakan bahan untuk makan malam mereka sekeluarga. Mak Su Dianah membantu juga ketika dia masuk ke ruang dapur. Walaupun tidak tahu memasak, tetapi dia perlu membantu juga.

"Bila Su nak memasak? Along dah nak balik Miri lepas kenduri di rumah Izzul nanti. Tak dapat rasalah jugak masakan Su."

Ujar Hafiy, seakan berjauh hati. Dia duduk di atas anak tangga, menanti reaksi si adik. Tidak lama kemudian, muncul Izzul Haq di antara mereka.

"Along pun tak pernah rasa? Agaknya kalau aku ni, bila pulak boleh rasa air tangan isteri?"

Tanya Izzul Haq sambil duduk di tepi Hafiy. Iris Suhayla menjeling ke arahnya namun tangannya masih ligat mengopek bawang.

"Jangan kau mimpilah Iz. Aku yang dah tiga puluh pun tak dapat. Kau tambah lah tiga puluh tahun lagi."

"Aku sebaya kau, along. Tambah tiga puluh equal to sixty. Entah hidup entahkan tidak."

Sambung Izzul Haq, sengaja memancing reaksi Iris Suhayla. Emak ketawa kecil, tidak pula berniat untuk menokok. Mak Su Dianah juga belum membuka mulut.

"Itu yang aku maksudkan tadi. Nak tunggu Su masak, entah hidup lagi ke tidak kita ni."

"Oh. Nak makan sangat, kan? Su nak goreng ikan masin untuk Mat Abu berdua ni. Kalau tak makan, siap!"

Bentak Iris Suhayla, laju mencari ikan masin yang biasa disimpan emak di dalam peti ais. Dia bisa menegakkan keadilan tetapi tewas apabila Izzul Haq ada bersama. Yang termampu dilakukan hanya memprotes secara tingkah laku.

"Cari apa pulak tu? Habis digeledah satu rumah."

Tegur emak, walaupun dia tahu Iris Suhayla sedang mencari kuali. Izzul Haq dan Hafiy ketawa bersambung-sambung. Telatah Iris Suhayla mencuit hati.

"Tu punggung hitam atas kepala tu bukan yang dicari ke?"

Hafiy menyambung apabila tawanya kembali reda sedang Izzul Haq terus ketawa. Iris Suhayla tidak membalas tetapi dia merentap kuali itu dengan kuat lalu menghidupkan api dapur.

"Aku rasa baik kita cabut, Iz. Memang dia sedang mengotakan janji tu. Dia nak goreng ikan masin untuk kita."

Cadang Hafiy sambil menepuk bahu iparnya. Dia tahu Iris Suhayla seorang yang cepat melenting tetapi dia harus menanganinya secara matang apatah lagi mereka berada di kalangan keluarga.

"Aku dah lama tak makan ikan masin. Kalau ada nasi, aku nak makan dengan nasi."

Balas Izzul Haq pula. Iris Suhayla tetap meneruskan misinya. Sekejap sahaja ruang dapur itu dipenuhi dengan aroma ikan masin sehingga menggamit kemunculan Riyad secara tiba-tiba.

"Lapar nasi lah pulak petang-petang ni. Terbau pulak ikan masin goreng. Lah, Su yang goreng ke? Mimpi apa?"

"Shhhh. Kalau tak nak kena denda dengan Cikgu Su, baik kau tutup mulut dan jangan komen."

Tegah Hafiy sambil menoleh ke arahnya. Riyad tidak peduli lantas dia menolak bahu kedua-dua lelaki yang duduk di atas anak tangga itu menuju ke dapur. Ikan masin di dalam kuali dijelingnya lantas dia menutup api.

"Tak payah goreng lama-lama. Nanti jadi ikan pahit pulak."

Pesannya kepada Iris Suhayla.

"Nasi ada lagi, mak?"

"E'eh. Dah lapar? Tak menyempat-nyempat. Kalau nak sangat makan, tu nasi sejuk tu. Habiskan, lepas tu cuci periuk tu sekali."

Balas emak, menunjuk periuk nasi dengan kangkung yang belum selesai disiangnya. Dia mengikut sahaja perintah emak tanpa banyak bicara.

"Kau tak nak makan, duduk senyap-senyap. Aku nak makan nasi dengan ikan masin."

Pesan Izzul Haq, bingkas berdiri. Dia mendekati si isteri yang masih panjang muncungnya.

"Turun sikit muncung tu, tak comel."

Usik Izzul Haq hampir tidak kedengaran. Kalau dia mengusik kuat, nanti mereka bakal mendengar apa isi ceritanya. Iris Suhayla akur. Kemudian, dia bertanya,

"Awak nak apa?"

"Nak makan nasi lah, dengan ikan masin goreng. Tak kisahlah awak reti masak apa pun, asalkan awak masak untuk saya."

Beritahu Izzul Haq sambil memandang tepat mukanya, kemudian dia menghadiahkan sebuah senyuman di hujungnya. Iris Suhayla terpaku melihat reaksi selamba sang suaminya.

"Sini Iz. Aku bentang tikar, kita makan di bawah. Kau okay tak?"

"Apa tak okay pulak? Macam aku tak biasa makan atas tikar."

"Mak, Mak Su. Kami makan dulu, ya. Hafiy, kau menganga lah atas tangga tu."

Tambah Izzul Haq lagi. Hafiy bagai tersedar dari lamunan ketika suara Izzul Haq menyebut namanya. Perutnya mendidih pula melihat suapan pertama adik dan iparnya lalu dia bangun menghampiri mereka berdua.


"KE mana kau berdua tuju ni? Tiga hari tak jumpa jalan balik rumah."

Soal Hafiy ketika semua ahli keluarga berkumpul di ruang tamu. Mereka sedang sembang kosong sementara menanti ayah untuk sama-sama ke masjid. Iris Suhayla ketawa kecil. Dia menoleh ke arah suaminya di sisi sedang Izzul Haq berpura-pura tidak mendengar.

"Tengok tv tak berkelip-kelip mata tu. Tengok berita aje kut."

Riyad menyakat dari belakang. Sebagai abang, dia dapat melihat kebahagiaan dari wajah masing-masing, walaupun Iris Suhayla menentang pada awalnya. Dan dia yakin, Izzul Haq punya cara memikat hati isterinya dengan pantas.

"Su, makan aiskrim kat mana?"

Soal Hafiy, tidak puas hati. Dia duduk di tepi Iris Suhayla, memaksa adik bongsu itu mengesot lebih dekat ke arah suaminya. Izzul Haq menahan hati dari ketawa.

"Apa ni? Sibuk berhimpit dengan orang."

"Jawablah dulu, Su honeymoon ke mana? Mesej tak, telefon tak. Tup-tup menghilangkan diri selepas kahwin?"

"Kan hari tu Su dah cakap nak makan aiskrim. Kami ronda satu Malaysia lah, cari aiskrim paling sedap."

Jawab Iris Suhayla, masih berahsia. Kali ini Izzul Haq memuji Iris Suhayla dalam diam kerana berjaya mematahkan serangan dua orang abangnya. Biarlah memori di Langkawi mereka simpan bersama.

"Kau percaya Su ni, along?"

"Huh, tak percaya langsung! Macam aku tak kenal Su. Jawapan tak pernah lurus."

"Mana boleh bagi jawapan lurus. Yang kena dengan labi-labi dua ekor ni Su jugak nanti."

Izzul Haq ketawa kecil lalu bagun. Dia tidak sanggup berhimpit lama. Kasihan pula Iris Suhayla yang duduk di bahagian tengah. Jadi papan barangkali.

"Jom kita!"

Ayah memanggil dari depan daun pintu. Hilang sembang kosong sebaliknya mereka berempat bersegera mengambil peralatan masing-masing untuk berjemaah di masjid.

Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.