Home Novel Cinta THE ADAM BROTHERS
Bab 13

Mina melihat Adam Baihaqi tidak berkelip. Dia terkejut yang Baihaqi boleh melakukan perkara sedemikian. Malunya! Malah, betul ke Adam Bahri bersetuju untuk pergi temu janjinya tu? Eh, Mina? Kau ni team siapa? Cemburu ke?

Adam Baihaqi sedang memakai jaket kulit berwarna hitam gelap. Masih lagi segak dengan kaca matanya. Seluar jeans biru itu menampakkan dia sangat tinggi. Mina yang masih mencangkung tiba-tiba terbatuk-batuk. Dia tak tahu nak buat apa. Berkali-kali dia tepuk dada dia. Tatkala itu, dia dapat rasa degupan jantungnya laju. Darah pada kepala terasa mengalir deras. Dia mahu melarikan diri! 

Masih teringat-ingat aksi dan kehebatan Adam Baihaqi melawan musuh. Siapa dia untuk jejaka itu bertindak demikian? Muka Baihaqi ketika itu sangat bengis. Mina dapat rasa kemarahannya. 

"Awak, nak duduk macam tu berapa lama? Dan kalau nak tenung saya macam tu, boleh. Saya izin. Tapi bukan dekat sini."

Mina terus cepat-cepat bangun. Dia hanya memakai baju sejuk tebal berwarna hitam. Kasutnya yang tinggi bawah lutut menampakkan kakinya yang kecil. Mina nampak cantik memakai tudung selendang yang dililit bersahaja. 

"Awak nak bawa saya pergi mana? Kunci motor dorang dah ambikkan?" Mina menjeling ke arah hadapan kelas. Gadis-gadis itu sedang memekik. Itu aku punya! Aku dapat dulu!

Mina menggeleng kepala.

"Jahat awak buat macam tu. kesian dorang kalau kena reject dengan Bahri nanti. Saya tahu Adam Bahri tak tahu apa-apa." Mina mengerut dahi. 

Baihaqi ketawa kuat. "Saya tak kisah. Yang penting awak ada depan mata saya ni."

Kedengaran suara budak-budak lelaki mengajuk Baihaqi, "cia, cia, cia!"

Jejaka itu membiarkan. Dia masih merenung Mina yang bermasam muka. 

"Ok, fine! Saya minta maaf. Saya tahu saya salah. Saya tak berani nak berterus terang. Tapi hari ni, saya nak cerita semuanya. Boleh? Awak bagi?" Sambung Baihaqi.

Riak wajah Mina terus bertukar ceria. Dia mengangguk perlahan-lahan. Yes! Mestilah boleh! Mestilah nak tahu!

Tanpa membuang masa, Baihaqi terus menarik lengan Mina lalu mereka berlari ke luar universiti. 

***
Di dalam kereta Adam Bahri, Mina banyak senyap. Gadis itu sebenarnya pendiam. Mata meliar mencari kesalahan di dalam kereta. Bau kereta ni bau lelaki. Seperti minyak wangi. Oh, macam ni ke bau Adam Bahri?

Ops! Team Bahri ke?

Dalam kereta ni nampak kemas. Tak ada sampah. Tak ada apa-apa kesalahan. Kasut perempuan? Rokok? Tak ada. Hm, boleh tahan ya, Adam Bahri.

"Mina?" Baihaqi menyapa. Tangannya masih di atas stereng kereta. Cermin mata hitam sudah ditanggalkan dan diletakkan di dalam laci. 

"Cantik la kereta ni." Mina menyampuk.

"Awak berkenan ke?" 

Alamak, soalan cepumas! Berkenan dengan kereta ke pemilik kereta?

"Eh, tak adalah! Saya cuma bersyukur. Awak tahu tak? Rumah saya kecil je. Saya tak pernah ada kereta sendiri. Kalau nak pergi mana-mana, saya naik la kenderaan awam. Pernah sekali saya kena ragut, hati saya sedih sangat. Dalam bag tu, ada hadiah pemberian ibu saya."

"Ibu?" 

"Ya, awak tak tahu kan. Sebenarnya, saya tak ada mak. Ayah saya dia kaki pukul. Saya pula memang tak rapat dengan kakak. Sebab tu saya lari pergi Mesir." Mina mengeluh. 

"Saya dengar orang kata, masuklah ke dalam Mesir, kelak kau akan tenang. Jujurnya, saya memang rasa tenang." Kata Mina sambil mengeluarkan tangannya keluar tingkap. Angin sejuk menampar ke pipi menjadi kemerahan. Baihaqi menoleh ke arah Mina. Tangan di stereng menggenggam erat. Dia tidak tahu hidup gadis ini seteruk itu. 

"Sorry! Awak mesti marah saya kan? Sebab saya tak tahu apa-apa pasal awak." Celah jejaka itu.

Mina tersenyum. "Tak apa. Saya dah biasa. Sebab tu bila datang Mesir ni, saya tak takut. Saya dah biasa buat semua sendiri." 

Kehidupan apa yang teruk sangat sampai buatkan dia nampak sangat kuat! 

Riak wajah Mina tiba-tiba berubah. "Tapi, kadang-kadang tu saya teringin juga ada orang kisah tentang saya. Maksud saya, saya teringin abah dan kakak sayang saya macam dulu-dulu. Kenapa ya? Hidup saya ni menyedihkan?"

Baihaqi tidak menjawab. Dibiarkan gadis itu melepaskan perasaan.

"Mina?"

"Hmm?" Mina memandang Baihaqi. Wajah jejaka itu serius.

"Saya cuba untuk tak buat awak marah. Dan saya akan ceritakan segala-galanya lepas kita sampai Mansoura ya?"

Mina mengangguk. "Thank u, Baihaqi, sebab pungut saya masa saya tak ada apa-apa."

Tingkap kereta dinaikkan. Kemudian Mina membuka radio. Apabila tiada siaran yang menangkap perhatiannya. Dia mematikannya serta-merta. 

Perjalanan mereka agak jauh. Sepanjang perjalanan, Baihaqi tidak berkata apa-apa. Mina pula tidak pasti bila dia terlentok tidur. Kali ini Baihaqi membawa Mina ke sebuah tempat bernama Mansoura

***
Mina membuka mata. 

Adam Baihaqi sedang memarkirkan keretanya di hadapan sebuah rumah. Mina menjeling ke luar kereta. Kawasan rumah itu nampak biasa sahaja. Tidak gah seperti rumah Adam Baihaqi yang dia pernah pergi. Dia berada di mana ni?

Pintu dibuka dari luar. Kelibat Baihaqi diluar pintu kelihatan tenang. Dia tersenyum. Akhirnya, Baihaqi mahu menceritakan semuanya. 

"Kita dah sampai. Saya harap awak tenang dulu. Jangan fikir bukan-bukan. Biar saya jelaskan semuanya."

Mina mengangguk lalu dia keluar dari kereta. Tidak jauh daripada kereta diparkirkan, kelihatan dua kelibat sedang melambai-lambai ke arah Adam Baihaqi. 

Seorang budak perempuan sedang berlari mendapatkan jejaka itu. Kedengaran teriaknya kuat semasa berlari. Tangan anak kecil itu mendepa.

"Abi! Abi! Mama, Abi hina! (Mama, abah di sini!)

Alangkah terkejutnya Mina apabila dia mendengar panggilan budak itu. Matanya bergenang, dia terus pandang Adam Baihaqi. Dia cuba senyum, tetapi dia tak mampu. Hatinya berat. Tekak rasa kering. Apa semua ni!


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.