BAB 21
EL bersandar lemah di bangku taman.
Pandangan dilepaskan pada kocakan air dari kolam sederhana besar yang
menempatkan ikan koi tidak jauh dari tempatnya berehat. Riaknya seperti
memikirkan sesuatu. Mendalam dan jauh tidak terselam. Bagaikan tembus matanya
menerombos ke dasar kolam. Tunak namun tanpa perasaan. Pandangan yang kosong
tanpa intipati. Tidak berisi. Dalam pada itu dia masih tidak perasan yang
dirinya menjadi perhatian. Dirinya yang bagai tiada jiwa, seakan rohnya
melayang meninggalkan jasad yang kaku bak terpaku di situ. Lelah jiwa digelodak
resah tanpa sahih puncanya.
Sekujur tubuh yang datang
menghampiri, hatta sudah santai duduk berhadapan dengannya pun masih juga dia
tiada reaksi. Beku. Makin diperhati, makin dia culas membisu. Terkurung dalam dunia
yang dia sendiri ciptai. Dunia batinnya. Tidak mampu membendung tanda tanya,
sekujur tubuh yang dari tadi hanya memerhati segera menyuarakan isi hati. Sudah
pasti ingin mengetahui apa yang bersarang di minda dan memenjara jiwa sang
lelaki yang beku dari tadi. Rasa simpati berbaur dengan rasa ingin tahu yang
tinggi. Tidak pernah lelaki ini berkeadaan seperti itu. Tidak pernah!
“Hey, bro! What’s up!
Termenung macam orang mati bini aje ni, kenapa?” tegur Ray sekaligus menyentak
lamunan sang abang.
Ray, adik lelakinya. Satu-satunya
saudara lelaki yang dia ada selain seorang adik perempuan. Mereka hanya tiga
beradik saja. Dia sebagai abang yang sulung dan selalu menjadi tempat mengadu
adik-adiknya. Mereka amat rapat.
El tersenyum nipis. Macam orang mati
bini, ya? Ya sangatlah begitu. Bini pun belum ada. Sekarang ini bukan macam
orang mati bini. Macam orang gila hendak berbini, adalah. Asyik terkenangkan
Que sejak peristiwa hari itu. Apa yang dia lakukan, wajah Que yang sering
datang mengganggu. Tidak mampu menghapus bayangan itu walau sekuat mana dia
cuba mengusirnya. Semakin seringnya wujud pertelingkahan antara mereka, semakin
dia merasakan keakraban dengan gadis itu. Tidak mampu menolak gejolak rasa yang
wujud tentangnya. Hmm... Macam orang gila bayang! Angau!
“Kenapa ni, bro?” tanya Ray
lagi bila pertanyaannya tadi tidak mendapat reaksi selain dari senyuman hambar
dari abangnya.
“Tak ada apalah, Ray. Bosan!”
ringkas jawapannya. El membetulkan duduknya.
“Bosan! Dah tahu bosan, keluarlah
dengan kawan-kawan. Yang kau duduk memerap kat rumah, buat apa? Selalu tu, tak
lekat kat rumah. Apa hal, ni? Nak jadi anak dara pingitan pula, ke? Asyik
berkurung dua puluh empat jam. Macam manalah kau tak bosan, bro!”
“Banyaklah kau punya anak dara
pingitan. Malaslah keluar. Cuaca panas. Duduk rumah lagiseronok.”
“Hei! Apa hal, ni? Sejak bila kau jadi ‘putera lilin’? Tak boleh
kena panas, takut cair, ke? Tak pernah dengar pun selama ini kau kata duduk
rumah lagi seronok. Sebelum ini
pantang hari cuti, hilang semedang. Nak nampak bayang pun susah. Apa hal, ni?
Cuba cerita, mana tahu aku boleh tolong.”
Begitulah mereka. Ber’aku’ dan ‘kau’
saja. Nampak kasar tapi itulah yang membuat mereka lebih mesra. Lebih rapat.
Lagipun jurang perbezaan umur antara keduanya tidaklah jauh mana. Hanya berbeza
3 tahun. El pun tidak kisah sangat pasal itu. Yang penting Ray sebagai adik
tetap menghormati dirinya yang lebih tua. Itu lebih dari cukup buatnya. Soal
panggilan seharian, tidak menjadi hal langsung.
“Kau dari mana, ni? Dah dua hari tak
balik. Ni balik pun entah berapa lama kau lekat kat rumah. Mana kau tidur?” El
ubah topik.
“Aku tidur rumah kawanlah. Don’t
worry, big bro! Aku tahu jaga diri dan tak akan buat sesuatu yang boleh malukan keluarga
kita. Biasalah orang muda macam aku ni... Lepak-lepak dengan kawan-kawan, budak
motor. Release tension. Tapi aku tak berlumba. Serius! Just hang out with them.”
Lepak dengan budak motor? El semakin
menegakkan duduknya. Tidak sesantai tadi. Ada kata-kata Ray yang mencuri
perhatiannya. Senyumannya meleret seketika. Wajahnya sudah membiaskan riak
ceria.
“Kau kenal ramai budak motor ke,
Ray?” Tanya El penuh minat.
Ray pula yang berwajah blur.
Biar benar! Sejak bila abangnya yang seorang ini berminat mahu tahu pasal budak
motor. Selalunya, dia akan dibebel jika El tahu yang dia sering menghabiskan
masa terluang dengan budak motor. Tidak ada faedah katanya. Hanya buang masa.
Alah, nama pun masa terluang. Jadi,
tidak ada hal kalau hendak melepak dengan siapa pun.
“Tak adalah kenal ramai sangat.
Tapi, boleh kata top group racer aku campur. Kenapa? Bro, kau
tanya lain macam aje ni. Sebelum ni pantang kalau aku sebut pasal budak motor.
Panjang syarahan kau pada aku. Sejak bila kau minat nak tahu pasal budak motor,
ni? Ke kereta kau kena sondol dengan budak motor lagi, sampai kau nak tahu
sangat ni?”
“Good then! Jadi, kau kenallah dengan Que?”
Ray melopong. Biar betul! El
bertanya tentang Que? Gila apa kalau tidak kenal dia. Queen of bikerdia
itu! Tapi dia kenal ‘gitu-gitu’ sajalah. Tidaklah rapat. Tidak berkesempatan
sebenarnya untuk lebih rapat kerana seperti yang semuabudak motor tahu, bahawa Que bukan
mudah untuk didekati dalam erti kata yang sebenarnya.
Dia tidak seperti perempuan lain
yang pantang ditegur sikit, sudah perasan diri digilai. Que tidak seperti itu.
Que berada di dalam kelasnya yang tersendiri. Que memang jenis perempuan yang
pandai menjaga batas pergaulan diri walaupun bercampur dengan budak motor. Itu yang
dia hormatitentang
gadis itu. Que tidak mudah terpengaruh malah dia yang mampu mempengaruhi orang
lain. Itu kenyataan kerana dia sendiri sebenarnya tertarik dengan keperibadian
Que. Betul! Tidak tipu!
“Dia ke yang langgar kereta kau?”
El menepis angin.
“Tu cerita lama. Kau kenal dia,
tak?”
Peliklah abangnya ini. Apa kes yang
dia hendak tahu sangat pasal Que? Muskyil sungguh!
“Kenal... Tapi, taklah rapat.
Pernahlah juga lepakdengan dia
dan kumpulandia.”
“Dia jenis yang macam mana?” soal El
terus, penuh minat.
Ray mencerun memandang abangnya.
Isy! Sudah kenapa dengan El ini? Berminat sungguh hendak mengetahui tentang
Que. Bukan main bersungguh-sungguh dia bertanya. Muka pun sudah mula membiaskan
riak ceria.
“Well... Dia... Okey. Jenis
yang easy-going. Boleh ‘masuk’ dengan sesiapa saja. Tapi, dia
jinak-jinak merpati. Susah nak tarik perhatian
dia kalau tak kena gaya. Kadang tu dia buat ‘dek’ aje walaupun kita ada
depan dia. Macam sombong, tapi sebenarnya tak. Dia memang macam tu. Sangat
berhati-hati dengan orang lain terutamanya lelaki.”
El jongket kening, menghantar pertanyaan.
“Hmm... Pelik! Nak kata jenis tak
campur orang tapi bercampur dengan budak motor. Tentulah bercampur dengan
lelaki. Tapi kenapa dia terlalu berhati-hati sampai macam tu sekali? Paranoid,
ke?”
Ray angkat bahu. Apa yang dia lihat,
itulah yang dia khabarkan.
“She must have good reasons for
acting like that, bro!”
El menganggukkan kepala beberapa
kali. Bersetuju dengan apa yang Ray katakan itu. Selebihnya hanya dia yang tahu
apa makna dia berbuat begitu. Mungkin di fikirannya ada terlintas sesuatu.
“Kenapa kau berminat sangat nak tahu
pasal Que, ni? Kau kenal dia, ke?” tanya Ray bila El terus berdiam.
Senyum El meleret. Giliran Ray pula
menjongketkan kening menghantar pertanyan. Memang peliklah lelaki ini. Tidak
pernah dia bersikap sedemikian jika membicarakan soal perempuan. Selalunya, dia
buat sambil lewa saja kalau Ray bertanya pasal perempuan kepadanya. Hari ini,
sudah terbalik pula. El yang lebih banyak bertanya dan ingin tahu tentang
perempuan. Sudah kenapa? Jangan kata El sudah jatuh tangga. Eh! Salah... Jatuh
cinta!
“Macam ni...”
El membuka cerita. Namun, hanya yang
penting saja dia ceritakan pada Ray. Selebihnya masih dia simpan. Tidak perlu
berkongsi semuanya. Ia tetap menjadi salah satu cerita peribadinya. Rahsia
peribadi yang akan dia simpan rapi.
Ray termenung seketika setelah
mendengar cerita dari abangnya. Walaupun penerangan El agak ringkas tapi dia
faham benar maksud yang tersirat. Terlalu mendalam dan dia tidak mampu
menyelami hingga ke dasar apatah lagi ke akar umbi. Agak berselirat tapi masih
jelas. Masih bisa ditelusuri jalan yang berselirat itu dan dirungkaikan
satu-persatu. Masih boleh untuk berbuat sesuatu. Yang penting dia faham apa
yang abangnya mahu. Isy! Biar betul!!!
“Bro, kerja gila ni! Aku
memang tak sebaik mana tapi aku tak pernah buat benda yang boleh menyusahkan
kita sekeluarga. Kau tahu tu, kan? Jangan buat aku jadi jahat, bro!”
“Jahat apanya ni, Ray. Aku cuma
minta tolong kau lancarkan lagi rancangan
aku ni. Kau kan adik aku. Takkan aku nak biarkan kau lakukan sorang-sorang. Aku
akan tetap bantu kau apa yang patut. Cuma kau kena jadi watak utamanya aje. Bila
dia dah ada dalam tangan kita, kerja kau selesai. Selebihnya, aku akan
selesaikan sendiri nanti. Relax, bro! Kita bukan nak bunuh orang. Hanya nak pastikandia tak
jatuh ke tangan orang yang salah. Kita nak bantu dia, Ray.”
Hendak bantu dia atau hendak bantu
diri sendiri?
“Isy! Kau ni... Tahulah nak bantu
dia. Tapi, takkan sampai kena buat macam tu, bro? Tak ada cara lain, ke?
That's too much! Kalau papa dan mama tahu, teruk kita nanti.”
“Jangan risau, Ray. Aku akan pastikan tak ada apa-apa yang tak
elok jadi kat kita. Papa dan mama tak akan tahu, okey. Alah... Kerja mudahje ni, Ray. Takkan kau
tak boleh tolong.”
“Kerja mudah kau kata! Ni melibatkan orang lain ni, bro. Dia tu
‘clean’. Apa kes kau nak buat dia sampai macam tu sekali? Kes naya ni, bro!
Kesian dia! Memang kerja gilalah! Tak kena gaya, kita yang kena balik nanti.”
“Habis tu, abang kau ni, kau tak kesian?
Sanggup kau tengok abang kau ni macam orang ‘mati bini’ bak kau kata tu?
Okeylah kalau macam tu, tak payah tolong pun tak apa. Sampai matilah kau tengok
aku macam ni.”
“Laa... Yang kau ni sensitif sangat,
apa hal? Aku baru cakap macam tu, dah nak sentap. Susah betullah kalau dah kena
badi perempuan ni! Tak boleh salah cakap sikit, tahu nak sentap aje.”
“Kau dah tak nak tolong, jangan
banyak bunyi pula!”
“Aku tak kata tak nak tolong.
Tapi...”
Belum pun sempat Ray menghabiskan
kata, El mengunjukkan sesuatu pada Ray. Sesuatu yang dikeluarkan dari saku
seluarnya.
“Nah. Kunci kondo. Buat macam kondo
sendiri pun tak apa. Jangan sampai aku tarik balik keistimewaan yang aku bagi ni.”
El sudah senyum semula.
Ray geleng kepala. Kalau sudah main
sogok-menyogok, dia memang kalah. Lepas itu, dapat duduk di kondo mewah milik
abangnya, siapa tidak mahu. Tolak rezeki kalau dia enggan. Lagipun, seperti
kata El, bukanlah mereka sampai hendak bunuh orang. Hendak bantu saja. Kira
kerja mulia jugalah, kan? Yang penting ‘nawaitu’ mahu membantu itu. Dengan niat
saja malaikat sudah tulis markah kebaikan. Itu belum lakukan lagi. Tapi, kalau
jalan yang diambil untuk melaksanakan niat baik tersebut kurang elok, apakah
masih dikira kebaikan?
“Teruk betul angau kau ni, ek?”
Selar Ray bersahaja namun disambut juga kunci kondo milik abangnya.
El hanya jongket kening double
jerk! Hmm... Sukalah sebab ‘niat’nya bakal tercapai. Masalahnya, Ray yang
kena ‘buat kerja’. Dia tunggu masa yang sesuai, muncul dan semuanya boleh dianggap
selesai. Memang otak mastermind betul abangnya ini, kan? Nama pun bos!
Tahu mengarah sajalah kerjanya. Nasiblah...