BAB 9
EL bersandar lemah di kerusi
empuknya. Bermenung jauh bagai ada sesuatu yang memberat di benaknya.
Entahlah... Kenapa asyik terkenang-kenang. Asyik terbayang-bayang pada seraut
wajah itu. Pada kelembutan yang sering disembunyikan dengan penampilannya yang
selamba dan bersahaja. Bukan dia tidak biasa menatap wajah itu. Bukan dia tidak
biasa berhadapan dengan empunya diri.
Tapi, hari ini lain benar rasanya.
Rasa coklat. Manis dan bersari serta lemak berkrim. Apatah lagi bila Si empunya
diri cuba menyembunyikan wajahnya bila mahu ditatap. Lagilah dia suka berbuat
begitu. Curi pandang. Tapi, bukan mudah. Si empunya diri menyedari tingkahnya
itu. Makinlah dia cuba bersembunyi di balik baseball capnya. Macamlah
dia tidak nampak.
Dia memang selamba. Dia memang tidak
pernah kira siapa. Semua dia layan sama rata. Semua dia hormat. Tapi, pada yang
hormat dirinyalah. Lepas itu, dia sangat ringkas tapi menawan. Natural in
every way. Nak-nak kalau masa
bercakap. Selamba gila. Sungguh pun begitu, percakapannya tetap berlapis. Dia
tidak pernah peduli apa orang kata. Dia tak kisah kalau apa yang dia lakukan
salah kerana dia sering bersedia mahu belajar dan membetulkan keadaan. Dia
tidak pernah malu untuk bertanya jika dia tidak yakin dengan apa yang
sepatutnya dia lakukan. Itu yang El dapat lihat tentang dia. Yang penting, dia
tidak hipokrit. Apa yang dilihat oleh mata, itulah dia yang sebenarnya. Dia
tidak pernah cuba jadi orang lain.
Nampak saja macam lelaki. Tapi,
tidak adalah kasar mana. Tengok saja cara dia merawat lukanya tadi. Penuh
kelembutan. Penuh hati-hati. Baru dia berdecit mengaduh sedikit, serta- merta
tangan Si dia terhenti dari terus mencuci lukanya. Pasti bimbang perbuatannya
menyakitkan tangan El. Pasti risau jika tingkahnya bakal menambah luka di hati
El. (Perasan sendiri). Hmm...
Tapi, itulah. Tidak ada pun dia
mendongak atau terngadah ketika El mengaduh sakit tadi. Ingatkan, bila dia cuba
meraih perhatian sebegitu, pasti Si dia akan memandang wajahnya. Mata
bertentang mata. Hati saling bicara. (Perasan lagi). Hampa. Tidak ada pun.
Bertanya pun tidak. Sekadar terhenti sebentar dan kemudian menyambung kerjanya
hingga luka El siap berplaster. Sempurna. Amat sempurna. Rasa diri
diberi perhatian yang tidak berbelah bahagi. (Lagilah perasan). El mengusap
lukanya yang berplaster. Cuba merasai
sentuhan Que seperti tadi.
Dan hati.... Kenapa tiba-tiba rasa
begini? Benarkah apa yang Zira katakan? Bahawa dia memang ‘suka’ pada Que. Dia
tertarik pada Que. Dia sayangkan Que. Benarkah? Sayang? Sayang itu, wujud dari
mana? Dari hati atau hanya dari pandangan mata sahaja? Sayang itu, bagaimana
rasanya? El sendiri tidak dapat menafsir isyarat hati. Terlalu mendadak. Terlalu
malap pada perkiraannya.
Hendak kata suka, mungkin kot! Sebab
Que memang okey. Macam
perempuan lain juga. Cuma, cara berpakaiannya saja yang lain sedikit. Itu pun
mungkin sebab bersangkutan dengan kerjanya juga. Sebagai penghantar surat,
takkanlah dia mahu pakai mini skirt kot! Apatah lagi skirt labuh.
Pakai baju kurung, lagi tidak kena gaya. Kan susah hendak bawa motor. Dibuatnya
kain bergulung di rel roda motor, siapa hendak jawab? Relevan apa! Tapi, dia
pakai apa pun tetap comel.
Hmm... Angau! Memang parah begini!
“Mr. El...” panggilan Jess itu
mematikan lamunannya. Lambat-lambat dia berpaling pada Jess yang berdiri tegak
tidak jauh dari meja kerjanya yang masih berselerak.
“Ya, Jess.”
“Que pesan, tadi. Nanti jangan kunci
bilik ni. Selepas waktu kerja
petang ni, dia kemaskan semula mana yang larat.”
Berkerut dahi El mendengar itu.
Berkerut juga dahi Jess melihat reaksinya.
“Saya tak suruh pun dia kemas.”
“Dah tu, nak suruh siapa? Ke, bos
nak buat sendiri?”
“Kan ada pekerja am yang boleh buat
semua ni, kan? Boleh panggil mereka bersihkan semua ni. Kenapa Que pula?”
“Isy! Bos ni lupa ke, buat-buat
lupa? Syarikatni mana ada gajikan pekerja am lagi. Dah lama
dah. Sebelum bos masuk lagi. Semua tugas tu, kan dah diambil alih oleh Que. Tu
yang dia sedar diri, pesan kat saya supaya bos tak kunci pintu macam selalu.
Nak buat masani, dia
keluar hantar surat. Mana sempat. Jadi,
selepas waktu kerja nanti baru dia buat.”
El termenung seketika. Memang dia
lupa. Yalah. Khidmat pekerja am di situ bukan selalu diperlukan. Kadang-kadang
saja. Itu pun, jika benar-benar perlu. Bayaran tetap berjalan jika tidak buat
kerja pun. Sudah tertulis di dalam perjanjian, ianya mengikut bayaran bulanan.
Bukan mengikut hari atau jika waktu ada kerja saja. Kira membazirlah begitu,
kan? Extra expenses for the company.
Mungkin atas dasar itu, khidmatnya
terus dimansuhkan dan diganti oleh staf yang ada. Que yang jadi mangsa. Tapi,
bukan selalu pun kerja-kerja sebegitu terpaksa dia lakukan. Cuma hari ini. Hari
yang entah apa agaknya. Terlalu banyak yang berlaku. Namun, kes yang rawat
merawat itu juga yang paling segar diingatannya.
“Macam mana, bos?” tanya Jess lagi
bila dia masih berdiam.
Macam mana tidak diam, banyak yang
mendatangi mindanya. Tentang Que terutamanya. Pelik sebenarnya kenapa Que
memilih kerja sebegitu. Sebagai penghantar surat. Dia kan, perempuan? Agak
kurang sesuai kerja itu dengan dirinya. Tapi, betul ke begitu? Kurang sesuai,
ke? Sedangkan apa yang dia dapat lihat selama ini, Que bahagia saja melakukan
tugasnya. Tidak ada masalah pun. Semuanya okey. Atau mungkin Que jenis
perempuan yang sukakan cabaran. Jenis yang tidak suka kerja yang hanya duduk
memerap di pejabat saja. Jenis yang suka sesuatu yang mencabar. Boleh jadi juga.
“You apply overtime for her, Jess.”
“Bos, kan company tengah cut
overtime. Que sendiri kata tak apa. Dia akan buat secara sukarela.”
Sekali lagi kening El berkerut.
Aduh! Macam-macam yang dia lupa hari ini. Tidak boleh tuntut bayaran kerja lebih masa, tidak apa. Di
fikirannya sudah terlintas sesuatu. Syarikat tidak mahu bayar, dia sendiri yang
akan bayar pada Que akan kesediaannya melakukan tugas tambahan tersebut.
Lagipun, segalanya berpunca dari dirinya juga. Kerana dia, Que yang kena buat
itu semua. Mungkin dia akan bayar dengan cara lain juga. Akan dia fikirkan
kemudian.
“Hmm.. okey.” Ringkas jawapannya.
“Okey. Nanti saya call Que
bagi tahu dia. Kalau tak ada apa-apa, saya balik dululah bos. Almost 5.00
p.m.”
“Sure, Jess. Thanks.”
Jess berpaling dan memulakan langkah.
“Hmm... Jess!” panggilnya agak
kalut.
Serta-merta langkah Jess terhenti
dan dia berpaling semula menghadap El.
“Ya, bos?”
“Boleh dapatkan resume or
portfolio Que untuk saya.”
“Eh! Hari tu saya letak kat meja
bos, kan? Rasanya, bos belum pulangkan balik pada saya fail tu.”
“Ya, ke?” tanya El sampil menggaru pelipisnya. “Okey, nanti saya
cari. Must be somewhere here,” sambungnya lagi sambil mata lepas
memandang ke serata meja kerjanya. Dia garu kepala pula.
Macam mana tidak garu kepala.
Mejanya berserabut. Seserabut kepalanya juga saat itu. Bersepah. Memang boleh
cari. Tapi, pasti makan masa. Itulah. Awal-awal, tidak mahu tengok. Sudah macam
ini, baru sibuk. Salah sendirilah, kan? Kalau dari hari itu lagi dia lihat portfolio
Que, pasti banyak yang dia tahu tentang gadis itu.
Alah, belum terlambat pun. Cuma
perlu cari dan baca. Selesai semuanya. Dan tidak perlu membongkar ke akar umbi
kerana matanya terus tertancap pada sebuah spring fail berwarna merah
jambu. Itulah yang dia cari. Sudah jumpa pun. Agak terselit di bawah dokumen
yang bersusun di sudut kanan mejanya tapi masih boleh dilihat dengan jelas
kerana kedudukan fail tersebut yang sedikit menyenget. Macam petanda saja, kan?
Supaya mudah bagi El menemui ia.
Dia duduk santai. Direnung seketika
kulit fail yang tertera nama penuh Que; Balqis Nur Irish binti Qamal Latif. Nice
name. Unik juga. Seunik orangnya. Tapi, kenapa pekerjaan ini yang dia
pilih? Perlahan-lahan dibuka fail itu. Dia menarik nafas panjang. Entahlah...
Seperti ada yang tidak beres bila mengingatkan tentang gadis itu. Sering
menyesakkan minda. Mewujudkan getaran di dadanya. Kadangkala getaran itu
menjadi indah bila menyusupkan rasa tenang dan damai tanpa sedar. Penangan dia.
Apa yang ada pada Que, sampai dia jadi begitu sekali? Nanar dalam tidak
sedar. Resah dan gelisah bila mengenangkan gadis itu.
Baris demi baris dibacanya. Dengan
teliti. Tiba di ruangan yang menyatakan tentang kelulusan, semakin ralit dia
meneliti. Matanya membesar. Membaca berulang kali. Biar benar! Dia bukan
calang-calang gadis. Dia punyai kemahiran dalam bidangnya. Tapi, kenapa jalan
ini yang dia pilih? Kenapa dia tidak menyambung pelajarannya ke peringkat yang
lebih tinggi sejajar dengan kecenderungannya ini? Yang pasti, dia bijak!
Sayangnya... Kepintaran yang dia
miliki, di akhiri dengan menjadi penghantar surat sahaja. El mengeluh perlahan.
Agak kesal dengan jalan yang Que pilih sebenarnya. Fail Que diletakkan di dalam
KIV tray. Dipandang agak lama sebelum pandangannya ditebarkan semula ke
sekitar bilik yang berselerak.
Keadaan jadi sunyi. Maklumlah waktu
kerja sudah tamat. Kalau ada yang buat kerja lebih masa pun, sudah pasti tidak
ramai. Adalah dalam empat, lima orang agaknya. Nama pun, kerja lebih masa kena
sekat. Tentulah hanya staf yang perlu saja diberi kebenaran untuk buat kerja
lebih masa. Itu yang terasa sunyi benar.
Dilirik jam dinding yang
bertentangan dengan tempatnya duduk. Sudah melewati 5.20 p.m. Jess, tentu sudah
balik. Itu juga yang dikatakan olehnya tadi. Mahu pulang. El rasa bosan. Pandangan
ditebarkan ke serata bilik lagi. Dia tersengih sedikit dan menggelengkan kepala
beberapa kali. Entah apa yang merasuknya tadi, sehingga dia hilang pertimbangan
diri. Habis semua barang yang hampir dengannya menjadi sasaran tangan. Nasib
baik ketika itu Zira sudah meninggalkan biliknya. Kalau tidak, tidak tahulah
apa akan terjadi. Bakal ada yang menjadi mangsa. Mangsa yang bernyawa. Bukan
barang seperti di dalam biliknya itu. Masya-Allah...
“Where is she?”
gumamnya perlahan, merujuk pada Que. Matanya tertancap pada jam di pergelangan
tangan.
Sudah hampir setengah jam waktu
bekerja berlalu, Que masih tidak menampakkan diri dan dia belum terasa mahu
meninggalkan pejabat. Rasa malas pula mahu pulang awal hari tersebut. Di rumah
pun, bukan buat apa. Tapi, rasanya tarikan Que yang buat dia masih bertahan di
situ. Entah kenapa, dia sendiri kurang pasti. Pastinya dia rasa bagai ada
sesuatu yang belum selesai di antara mereka. Tapi, apa? Kalau hendak diikutkan,
tiada perang dingin mahupun perang besar di antara dia dan Que. Entahlah...
Mungkin soal hati. Yang ini, benar-benar sudah parah. Memang susah hendak bagi
rawatan biasa-biasa. Tidak terawat punya. Dalam dia melayan angan, dia terlena
di kerusi empuknya. Tersandar tidak selesa.