BAB 16
QUE memerhati kesemua ahli
kumpulannya. Bila ada peluang atau masa terluang, memang inilah aktiviti
mereka, berkumpul dan adakalanya berkonvoi bersama. Selain mengeratkan lagi
tali silaturahim, ini juga salah satu cara Que mendekati mereka secara tidak
langsung. Yalah, bukan mudah mahu mengumpulkan kesemua ahli bila mana dalam
masa yang sama, masing-masing punyai komitmen sendiri.
Kali ini, setelah sudah tiga kali
program mereka tertunda, akhirnya berjaya juga dilaksanakan. Mereka berkonvoi
ke Port Dickson. Tiada cadangan untuk bermalam. Hanya pergi dan balik pada hari
yang sama sahaja. Itu lebih mudah dari mendatangkan isu yang tidak enak nantinya.
Maklumlah, ahli kumpulannya bukan semua perempuan. Malah lelaki melebihi
perempuan sebenarnya. Nama pun kumpulan budak motor. QRT = Que Racing Team.
Sesekali, dia menggelengkan kepala.
Macam-macam perangai! Kadang-kadang, rasa hendak tergelak pun ada. Tapi, ada
masa, dia pun macam hendak melenting dengan perangai masing-masingi. Kalau ada remote
control yang boleh kawal setiap perilaku, sudah lama Que guna.
Kena yang hendak buat lawak, buat
lawak semedang. Mana yang ‘berangin’, tiba-tiba hendak marah tidak tentu pasal.
Ada pula yang layan jiwang, jadi mat bunga sepanjang masa. Nama saja mat motor,
tapi dalam hati sentiasa ada taman, bak kata Adnan Sempit. Tapi, itulah yang
membuatkan Que selesa bersama mereka. Dalam begitu, mereka tidak banyak kerenah.
Dengar kata. Bagus budak-budak ini semua. Siapalah yang ajar, ya?
Pagi masih awal. Que duduk sendirian
menghadap laut lepas. Membiarkan fikiran melayang di bawa angin lalu. Indah.
Ahli kumpulan yang lain, masing-masing buat aktiviti sendiri pagi ini. Sehingga
jam 10.00 pagi nanti, mereka bebas. Tapi selepas detik itu, mereka ada agenda
penting. Setiap ahli diwajibkan ada. Tidak boleh lepaskan diri.
Que sendiri yang beri syarat begitu.
Kalau tidak mahu mengikut syarat tersebut, ada baiknya mereka balik dan jangan
sertai kumpulan ini. Itulah kata dua yang selalu Que gunakan. Ironinya, sekeras
mana pun syarat dan ketetapan yang Que kenakan, semua ahli akan menurut tanpa
banyak bicara. Dia begitu dihormati oleh ahli kumpulannya. Dia begitu
berpengaruh dalam komuniti mereka.
“Que!!!” jerit satu suara
memanggilnya.
Pantas Que berpaling mencari siapa
yang memanggilnya. Kay sedang melambai-lambaikan tangan padanya sambil berlari
anak ke arahnya. Que bangun, menanti Kay tiba. Dikibas belakang seluar jeannya
yang berpasir.
Kay, orang yang dia percaya. Orang kananya di dalam kumpulan tersebut.
Kay banyak membantu dia menjayakan aktiviti-aktiviti yang mereka susun.
Sementelah, Kay banyak tahu tentang masa silam dan akar umbi kumpulan mereka
sebenarnya. Kenapa dan bagaimana kumpulan ini terbentuk, Kay tahu semuanya.
“Ada apa, Kay?” tanyanya sebaik Kay
berdiri mengah di hadapannya. Kay masih mencuri nafas.
“Ni hah! Mai cari kau. Dah empat
kali dia call. Kau tertinggal telefon
ni kat kafe tadi. Lepas sarapan, terus hilang. Nasib baik aku perasan.
Aku ambilkan. Nah!”
Kay mengunjukkan telefon pada Que.
Que menyambut dengan senyuman sambil
menggaru kepala yang tidak gatal. Boleh tahan juga Kay ini kalau membebel.
“Thanks, bro!”
“No problem! Aku chow
dulu. Pukul sepuluh nanti kita jumpa kat simpang ke masjid, eh. Budak-budak
kita akan berkumpul kat sana terus. Apa-apa hal, kau call aku.” Kay
mengingatkan.
Que sekadar mengangguk.
“Okey. Kita jumpa kat sana nanti.”
Kay terus berlalu.
Que membelek telefon bimbitnya beberapa ketika. Sedang memikir-mikir
sebenarnya. Apa hal yang Mai mencarinya? Selalunya, tidak pernah pun sampai
berkali-kali Mai telefon kalau dia berkonvoi dengan ahli kumpulannya yang lain.
Bukannya dia tidak memberitahu Mai ke mana dia pergi. Sudah dia maklumkan
sedari awal.
Menolak mainan minda yang semakin
melarut dan mengarut, dia pantas mendail nombor Mai. Tenang dia menanti Mai
menerima panggilannya. Mata terus terarah ke laut lepas. Menyaksikan kapal nun
jauh berbalam-balam di sana. Dikecilkan sedikit matanya mencari fokus. Agar
daya penglihatannya semakin jelas melihat objek yang jauh.
‘Bilalah aku boleh pergi belayar...’
“Ya, Mai! Ada apa?”
“Que!!!” jerit Mai seperti hilang
kawalan.
Que terdiam sebentar. Kaget. Sakit
telinganya bila suara nyaring Mai menerombos ke gegendang telinga. Dijauhkan
sedikit telefon dari telinganya buat seketika.
“Apa hal kau ni? Sakit telinga aku
dengar kau menjerit-jerit. Kenapa, ni? Macam orang mati laki.”
“Mati laki apanya? Kahwin pun belum!
Mr. El!!!” Sekali lagi Mai terjerit seperti takutkan sesuatu.
Kena sampuk agaknya budak ini. Que
menggosok cuping telinganya beberapa kali. Aduh! Sengal betullah perempuan ini!
Boleh pekak jika selalu begitu.
“Kau ni, kenapa? Tadi sebut nama
aku. Ni, kau sebut nama bos aku pula! Apa cerita, ni?”
“Que... Tadi Mr. El datang. Cari
kau.”
“So?”
“Aku cakap kau tak ada. Pergi PD
dengan kawan-kawan motor kau. Dia terkejut! Kau tak cerita ke kat dia yang kau
ada kumpulan motor?”
“Tak.” Ringkas jawapannya.
Memang dia tidak pernah bercerita
pada lelaki itu pun tentang itu semua. Sedikit pun tidak. Sudah El sendiri pun,
tidak pernah bertanya. Apa kes yang dia kena buka cerita. El itu siapa dengan
dirinya?
“Aduh! Kenapa kau tak cerita?”
“Eh! Dah dia tak tanya! Lagipun, apa
kait mengait hal ini dengan dia? Tak ada, kan? Takkanlah hal peribadi aku,
semua aku kena cerita dekat dia. Kau ni pun satu!”
“Aku dah terlepas cakap ni, Que.”
“Tak... Yang kau kalut semacam ni,
kenapa? Apa masalahnya kalau kau terlepas cakap sekalipun? Bukannya aku nak
marah pun. Biarlah.”
“Bagi kau tak apa. Tapi, dia?”
“Kenapa pula dengan dia. Bukan
masalah dia, apa?”
“Dia macam marahlah, Que. Macam tak
percaya kau campur dengan budak-budak motor. Berubah terus nada suara dia bila
aku cakap kau konvoi naik motor dengan kumpulan
kau. Macam-macam dia tanya. Lepas tu muka dia tegang aje tadi. Aku tak sedap
hatilah Que. Entah apa dia fikir nanti. Aku tak sempat nak cerita sebab apa kau
campur dengan budak-budak motor tu. Aku rasa dia dah salah fahamlah, Que.”
“Mai... Tenang okey. Tak perlu rasa
bersalah pasal tu. Kalau dia nak tahu perkara sebenar, dia boleh tanya aku
sendiri nanti. Dahlah, kau jangan susah hati pula. Perkara kecil je tu. Tak
payah risau.”
“Macam mana aku tak susah hati, Que.
Nanti dia salah anggap kat kau. Aku tak nak macam tu.”
“Hal tu nanti, aku selesaikansendiri, okey. Kau jangan
risau. Tahulah aku nak buat macam mana. Kan dia tu bos aku. Dah, aku ada kerja
ni. Nanti budak-budak tu semua, tunggu aku lama pula. Rin, mana?”
“Rin keluar. Petang nanti baru balik
kot. Kau jadi ke nak bersihkan masjid kat kawasan tu?”
“Jadi. Tu yang aku tak boleh lambat.
Ini aje yang aku mampu buat untuk tolong masyarakat dengan budak-budak motor
yang bermasalah ni, Mai. Nak bantu dari segi lain, aku tak mampu. Jadi, beri mereka motivasi dan berfikiran positif macam
ni, lagi mudah rasanya nak bawa mereka kembali ke jalan asal. Okeylah, pukul
sepuluh ni dah nak mula. Ada
tiga tempat kami nak buat. Kita jumpa malam nanti kat rumah ya. Aku kena pergi
dah ni.”
“Alhamdulillah... Berjaya juga cara
dan pendekatan yang kau gunakan tu, Que. Dari budak-budak yang bermasalah,
mereka dah jadi budak-budak yang tinggi martabatnya bagi sesetengah masyarakat
yang menghargai usaha mereka ni. Aku bangga dengan kau sebagai penggerak dan
pemangkin untuk mereka berubah. Siapa kata budak-budak motor ni semua jahat?
Okey, Que. Jaga diri.”
Que tersenyum panjang. Tingginya
pujian Mai terhadapnya. Dia buat semua ini bukan untuk cari nama. Dia buat
semua ini, pertama kerana Allah. Kedua, untuk Angah. Angah... Sayu hatinya
tiba-tiba.
“I will! Kau pun.”
**********
Que memberi salam kepada jemaah
masjid yang baru selesai berusrah. Memang kehadiran mereka sudah diberitahu
awal-awal, jadi ramai penduduk kampung yang berkumpul menunggu mereka untuk
tujuan gotong-royong tersebut. Sebenarnya ramai yang hendak lihat betulkah
anak-anak muda bermotor ini benar-benar buat kerja atau saja suka-suka.
Nah! Selalunya itulah tanggapan
pertama penduduk-penduduk kampung yang mereka lawati. Sering saja membuat
tanggapan yang kurang elok apatah lagi bila melibatkan budak-budak bermotor
yang dianggap mat dan minah rempit. Sempitnya pemikiran sebegitu. Sampai bila
masyarakat hanya melihat ke satu arah sahaja? Tanpa sedikit pun mahu memberi
peluang kepada mereka yang ingin berubah. Tanpa ada sedikit pun kata-kata
semangat sebagai pemangkin kepada mereka-mereka ini.
Sepatutnya, bila seseorang itu mahu
berubah, berilah semangat dan kepercayaan kepada mereka. Galakkan mereka
berbuat kebaikan. Bukan tetap menyalah dan meletakkan kesalahan sahaja. Macam
manalah mereka hendak ada motivasi kalau begitu keadaannya, kan? Tapi,
alhamdulillah... Setakat ini Que dan kumpulannya kurang menempui rintangan
sebegitu.
Maksudnya, usaha murni Que untuk
membawa anak-anak muda bermotor itu ke arah kebaikan, di terima baik oleh
masyarakat. Syukur sangat! Bukan tiada orang yang mengata dan cakap belakang.
Ada. Tapi, Que jadikan itu sebagai cabaran. Itu jugalah yang dia katakan pada
ahli kumpulannya yang lain. Tempuhi situasi begitu sebagai cabaran. Hasilnya,
mereka berjaya sampai ke tahap sekarang ini. Meletakkan diri di tempat yang
selamat di mata segelintir masyarakat.
Memang sukar untuk meyakinkan setiap
dari kita mengenai sesuatu yang berkaitan dengan perkara menuju kebaikan. Tapi,
tidak bermakna tidak boleh, bukan? Que sedang lakukan itu. Sedang dan akan
terus lakukan itu, demi anak bangsa. Itu tekadnya. Biarlah kalau masyarakat
melabelkan dia sebagai anak gadis yang rosak akhlak. Biarlah kalau orang hendak
kata dia minah rempit. Biarlah kalau mereka hendak kata dia melakukan sesuatu
yang tiada hasil. Dia sabar. Dia terima. Dia reda.
Demi Angah. Demi mak. Demi sebuah
‘kemerdekaan’, dia sanggup hadapi. Dia mahu minda anak bangsa ‘merdeka’ dari anasir-anasir
yang serong. Dia tidak kisah apa jua latar belakang dan kepentingan hidup
masing-masing. Apa minat dan kecenderungan mereka sekalipun, dia tidak ambil kisah
sangat. Tidak bererti jadi mat atau minah rempit, keperibadian juga merundum
jatuh. Tidak. Janji, segalanya itu ditelusuri dengan niat menuju ke arah jalan
kebaikan. Itu sudah cukup bermakna. Tapi, ramai yang tidak mahu memahami
keadaan ini. Itulah cabarannya.
“Assalamu’alaikum...” Sapa Que
ketika sudah hampir benar dengan kelompok yang menunggu. Bibir mengukir senyum
seiring sapaan salam yang di hulur.
“Waalaikumussalam...” Jawab mereka
semua, hampir serentak. Masing-masing turut mengukir senyum. Sejuk hati.
“Wah! Ramainya. Semua anak buah tok
ketua ke, ni?”
“A’ah, Que. Bila saya beritahu yang
kamu nak datang dengan budak-budak kamu, semua nak turut serta. Alhamdulillah,
yang muda, yang tua, perempuan, anak-anak, semua ada. Mereka ingat kamu, Que.
Yang tahun dulu kamu datang tu, mereka seronok. Tapi, masa itu tak seramai ini,
kan? Tu yang semua ada kali ni.”
“Saya tak sangka seramai ni, tok
ketua. Terharu saya dan kawan-kawan semua bila masyarakat menerima kami
seadanya. Alhamdulillah... Sekurang-kurangnya kami rasa dihargai bila usaha
kami ini tidak di pandang serong. Kami bukan mahu mengambil kesempatan,
mengganggu kampung orang atau anak dara orang. Kami hanya mahu membuat
kebajikan saja. Sungguh! Saya terharu sangat hari ini. Kiranya, di sinilah
tempat yang kami diterima dan di alu-alukan oleh ramai masyarakat sekitar.”
“Alhamdulillah... Kami di sini
sentiasa menyokong anak-anak muda seperti kamu semua. Kamu dah membuka mata
kami semua. Kamu terutamanya, Que. Saya nak ucapkan banyak-banyak terima kasih
kerana membawa anak-anak muda bercampur masyarakat macam ini. Satu usaha yang
sangat murni. Anak-anak muda di sini pun nampaknya ramai yang mencontohi kamu.
Eloklah sangat macam tu.”
Que hanya membalas dengan senyuman.
“Eh! Bolehlah kita mulakan
gotong-royong ni. Kami ada dua tempat lagi selepas ini. Elok kalau kita mula
sekarang.”
“Elok juga tu. Marilah. Nampak semua
macam dah tak sabar-sabar lagi tu. Bersemangat.” Tok ketua membalas sambil
berseloroh. Pandai juga dia buat lawak ya.
Semua yang ada tersengih menahan
tawa. Takkan hendak ketawa kuat-kuat. Kenalah kawal tingkah laku, ya tidak?
Hendak buat baik, biar semuanya baik. Nak-nak di kawasan masjid begini. Elok
jaga segala segi. Jaga tingkah laku. Jaga tutur kata. Jaga mata. Jaga telinga.
Jaga semualah. Niat yang ikhlas mestilah di sertai dengan perbuatan yang ikhlas
juga. Bukan setakat suka-suka. Moga mereka mendapat keberkatan yang tinggi.
Insya-Allah...